Sep 7, 2011

Dari tandas ke tandas

Takrif "tandas" (toilet) tidak perlu diberikan, kerana semua kita tahu apa dia dan kegunaannya. Emm, itu cuma tanggapan umum. Namun setiap rumah akan ada tandas, kecuali rumah tradisional yang berada di pedalaman yang masih menggunakan "tandas otomatik" (iaitu kawasan di dalam kebun, di keliling pokok, dan lain-lain, dimana "pelakunya" secara otomatik akan bersembunyi jika ada orang datang.
Rumah yang mahal harganya dan paling canggih akan "hilang" harganya dan kecanggihannya jika tiada tandas. Dengan kata lain, rumah berkenaan tidak akan dibeli/disewa jika tiada tandas. Ini juga tanggapan umum tentang kegunaan asal tandas. Namun, daripada penelitian, semakan, pengalaman, cerita yang saya tahu, tandas juga digunakan untuk perkara-perkara lain:
Pertama, tandas dijadikan tempat melakukan kejahatan-- merompak, menghisap/menyuntik dadah, merogol, mengurung mangsa culik, dan seumpamanya.
Kedua, tandas dijadikan tempat meluahkan perasaan. Contohnya, suatu masa dahulu, di sebuah masjid lama di Johor, saya terbaca pantun berikut:
           Egg is telor
           Wood is kayu
           Pabila saya tidor
           Saya selalu teringat kat you.
Ketiga, tandas juga digunakan sebagai tempat pengiklanan: Iklan ah long, iklan perkhidmatan seks dan homoseks, iklan mengurut batin, dan lain-lain.





Dicadangkan pengurusan mesjid, pihak berkuasa tempatan dan seumpamanya boleh menggiatkan lagi kepelbagai kegunaan tandas secara baik, berguna/bermanfaat, bernilai komersil/positif, dan sebagainya.

Disamping itu, banyak juga tandas menjadi kotor akibat perbuatan perotor (perokok pengotor)



Boleh anda melihat sesuai yang ganjil pada gambar di bawah?





"Undang-undang", "Peraturan"

Kerap juga kita terbaca atau diperdengarkan dengan ungkapan, "Kita mesti patuh kepada undang-undang dan peraturan...", atau , "Undang-undang dan peraturan sedia ada perlu dipinda...", atau, "Ramai yang masih tidak patuh kepada undang-undang dan peraturan..."

Ayat-ayat di atas sebenarnya janggal. Menurut tafsiran yang diberikan oleh Akta Tafsiran 1948 & 1067 (Akta 388), perkataan "undang-undang" sememangnya telah termasuk "peraturan". Jadi, adalah memadai jika ayat-ayat diatas disesubut begini:
"Kita mesti patuh kepada undang-undang..."
"Undang-undang sedia ada perlu dipinda...",
"Ramai yang masih tidak patuh kepada undang-undang..."

Jika masih mahu mengekalkan ayat-ayat yang asal di atas, maka samalah jika kita menyebut,
"Rakyat Malaysia rata-rata suka makan nasi dan beras rebus..."
Semasa perkataan "Jalur Gemilang" digunakan, saya pernah terdengar seorang juruhebah menyebut, "Jangan lupa, kita ramai-ramai mengibarkan Bendera Malaysia dan Jalur Gemilang yer..."

Ops Sikap v. Ops, Sikap

Ops Sikap v. Ops, Sikap
"Ops" bagi yang pertama itu adalah kependekan kepada perkataan "Operasi".
Bagi "ops" yang kedua itu pula, ia merujuk kepada satu seruan terkejut (seolah-olah terkejut), misalnya, "Ops, maaf, saya silap tulis", "Ops, saya terlanggar bahu orang itu". "Ops, saya tersembur racun serangga ke arah seekor kucing yang sedang tidor".

Dalam "Ops Sikap", ia merujuk kepada "suatu operasi oleh beberapa pihak berkuasa yang dilaksanakan secara bersepadu dengan objektif mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dalam sesuatu tempoh tertentu, yang mempunyai risiko tinggi berlaku kemalangan, misalnya pada musim perayaan besar negara". Maka pelbagai langkah dan cara dilaksanakan, termasuklah nasihat dan penguatkuasaan. Namun daripada statistik (dulu digunakan perkataan "perangkaan"), kemalangan jalan raya, termasuk melibatkan kematian, masih meningkat.

Ramai yang kecewa, termasuk pegawai agensi-agensi pelaksananya, dan bos-bos besar berkaitan. Bagi saya, kita perlu mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha-usaha murni itu. Bayangkan jika tiada pun "OPS SIKAP", maka mungkin lagi banyak kemalangan jalan raya, termasuk makin ramai/banyak kematian.

Namun dengan mengambilkira jumlah kenderaan yang bertambah (dan kenderaan baru yang rata-rata canggih dan senang dipandu laju)(dan kenderaan lama yang amat uzur yang masih menggunakan jalan raya, yang pernah saya terserempak yang dipandu laju), maka kadar kenaikan angka kemalangan perlulah dibandingkan dengan kadar jumlah kenderaan (termasuk jumlah kenderaan yang sedang bergerak dimusim perayaan). Tapi, saya ingin menambah, bahawa banyak juga kejadian kemalangan berlaku adalah kerana "OPS, SIKAP!!!!" (sikap pemandu, termasuk saya la tu...)

Cuba lihat video di bawah... Sebuah kereta kancil diletakkan betul-betul di tengah jalan, yang walaupun bukan jalan utama, ia masih digunakan kenderaan lain. Pemandu wanita tersebut meletakkan di situ sekitar 10 minit, dan sebuah kereta waja yang nak membelok masuk ke rumahnya terhalang. Kemudian dia datang dengan selamba sahaja memasukan barang di tempat duduk penumpang depan, tanpa apa-apa kegopohan, dan selamba jer masuk ke keretanya...dan berlalu... Apakah sikap dan sifat pemandu ini?

Sep 6, 2011

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Peranan
Kuasa PBT
Cabaran
Sejarah
Siapa Ahli Majlis?
Lantikan
Tempoh
Paradigma dan cabaran















Tak Tercapai Tujuan...

Beberapa hari dalam bulan Ramadhan dan Syawal 1432 Hijrah, terdapat satu "iklan nasihat" yang diterbitkan oleh sebuah organisasi keselamatan jalan raya, dan ditayangkan kerap kali dalam beberapa saluran televisyen. Iklan menunjukkan 3 pemuda kacak dan ceria berdiri di sisi motosikal masing-masing. Selepas itu ditunjukkan seorang gadis yang ceria tetapi tegas memerintahkan seorang pemuda menyalakan lampu belakang salah satu motosikal, dan ternyata lampu belakang berfungsi. Kemudian gadis tersebut mengarahkan pemuda kedua menyalakan lampu depan motosikal yang satu lagi, dan ternyata menyala. Bagus. Bagus. Kemudian gadis tersebut menanyakan jaket/baju keselamatan lantun cahaya berwarna hijau pucuk pisang. Ketiga-tiga pemuda tersebut terus memakainya. Maknanya, semua ada memakai jaket/baju tersebut. Bagus. Bagus. Dan iklan tersebut tamat disitu.

Persoalan:
Bagi motosikal pertama, adakah memadai dengan nyalanya lampu belakang? Lampu depan pula tidak diuji!!!
Bagi motosikal kedua, adakah sudah memadai dengan nyalanya lampu hadapan? Lampu belakang tidak pula diuji!!!
Bagi motosikal ketiga, tak diuji pun nyala atau tidak lampu depan dan belakangnya...!!!!
Mungkin secara tersirat, jika kita menunggang motosikal tiga buah berkonvoi, memadai jika motosikal kedua berada dihadapan (sebab lampu depannya menyala, motosikal ketiga berada di tengah sebab lampu depan dan belakangnya tidak bernyala, dan motosikal pertama berada di belakang kerana lampu belakangnya menyala???
He he he...hi hi hi... Ops...jangan lupa pakai jaket/baju keselamatan walaupun pada siang hari, sebab kita mempunyai jaket/baju keselematan, kan?

NOTA:
Alangkah baiknya jika iklan di atas menunjukkan gadis tersebut mengarahkan ketiga-tiga pemuda tersebut menyalakan lampu depan dan lampu belakang (termasuk lampu brek) motosikal masing-masing (ketiga-tiga motosikal), dan menayakan mengenai pemakaian jake/baju keselamatan...dan "bagus, bagus, bagus" kerana semua lampu bernya dan semua memakai jaket/baju keselamatan.

Sep 5, 2011

Buta, Bisu dan Pekak

Pada zaman dahulu, seorang alim  bernama Abu Salleh yang sedang mengembara telah singgah di suatu tebing sungai. Dia ternampak sebiji epal yang sedang hanyut. Dek kerana kelaparan, beliau mengambil dan terus memakannya. Setelah hampir selesai makan, barulah beliau teringat bahawa epal itu mungkin kepunyaan seseorang, dan perlulah dia meminta izin daripada tuannya. Setelah dia berjalan ke arah hulu sungai, dia sampai ke satu kebun buahan dimana terdapat salah satu pokok epal yang sedang berbuah yang dahannya menjulur ke sungai. Dia yakin pokok epal itulah yang buahnya terjatuh ke sungai (dan yang dimakannya). Dia terus berjumpa tuan kebun tersebut (iaitu Abdullah Suhaimi). Abu Salleh terus memohon izin dan memohon dihalalkan epal yang dimakannya  itu. Namun Abdullah menyatakan bahawa dia boleh memaafkan dan menghalalkannya jika Abu Salleh bekerja dengannya selama 12 tahun. Abu Salleh pun bekerja di kebun berkenaan, dan pada akhir tahun ke 12, Abdullah mengenakan syarat tambahan iaitu dia boleh maafkan Abu Salleh jika Abu Salleh menikahi anak perempuan tunggalnya. Namun Abdullah ada menyatakan bahawa, "Anak saya ini buta, bisu dan pekak". Abu Salleh tetap bersetuju mengahwini gadis tersebut. Namun selepas itu dia mendapati isterinya tidak buta, bisu mahupun pekak. Abdullah Suhaimi menyatakan bahawa dia menggunakan bahasa kiasan, kerana anaknya itu tidak melihat kejahatan, tidak berkata perkara yang sia-sia dan tidak mendengar perkara yang sia-sia dan melalaikan. Pasangan tadi dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama SHEIKH ABDUL KADIR JAILANI (seorang ulama besar dan tersohor)

Di atas adalah versi asal dan versi lama. Di bawah ini pula versi baru:

Ada satu keluarga (ibu bapa) kepada seorang perempuan (gadis), dimana gadis ini amat meminati (tergila-gilakan) seorang pemuda yang hensem. Oleh kerana kesihankan anak gadisnya, ibu bapa gadis tadi bertemu dengan ibu bapa pemuda tersebut. Ibu bapa pemuda tersebut agak keberatan menerima gadis tersebut sebagai menantunya, dan berkata,
"Anak lelaki kami ini tak pandai segalanya....buta, bisu. Dia tak pandai berjudi, tak pandai minum arak..."
Setahu ibu bapa gadis tersebut, pemuda tersebut tidak buta dan tidak bisu. Lalu mereka teringat cerita keluarga Sheikh Abdul Kadir Jailani (seperti cerita di atas). Mereka berkata, "Pemuda seperti itulah yang kami cari". Lalu pasangan gadis dan pemuda tadi pun dijodohkan.
Kemudiannya, ibu bapa gadis tersebut mendapati pemuda tersebut kerap pulang lewat malam, dan kadangkala dalam keadaan mabuk, wang yang habis, dalam keadaan membisu dan kerap terlena di hadapan rumah.
Lantas ibu bapa gadis tadi segera bertemu semula dengan besan mereka (ibu bapa pemuda tersebut). Besan mereka pun berkata,
"Itu la yang kami sebut. Anak kami tak pandai berjudi, sebab memang dia akan kalah jika berjudi. Jadi dia tak pandai berjudi la tu. Kalu dia minum arak, walaupun sedikit, dia akan mabuk. Jadi dia tak pandai minum arak. Dia buta, kerana apabila pulang, belum pun sempat masuk ke dalam rumah, dia dah terlena di luar rumah, jadi dia buta tak nampak pintu rumah. Dia juga tak menjawab apa-apa bila kami memarahinya, menasihati dan bertanya dia. Jadi, dia macam orang bisu".

Elok juga mendengar rintihan Ahmad Jais, KE MANA DI MANA, agar kita dapat mempastikan tidak kehilangan juita yang sudah berada disamping...

"Maaf Zahir Batin"

Ungkapan "Maaf zahir batin" biasanya ditulis atau diungkap semasa Perayaan Aidul Fitri atau Eidul Adha. Ada juga ditulis sedemikian semasa kiriman kad, email dan seumpamanya. Kalau di mimbar, khatib (tidak semua) dan orang yang memberikan ucapan di mimbar, atau penceramah yang selesai memberikan ceramah, dan seumpamanya pun akan berkata, "Saya memohon maaf atas apa-apa kesilapan dan kesalahan saya".

Apakah semua kita tahu apa maksud sebenar ungkapan, "Maaf zahir dan batin" ("Forgive my physical and emotional (wrongdoings)"? Secara ringkas, ia bermaksud, "Maafkan saya atas apa-apa kesalahan atau perbuatan saya yang dilakukan secara fizikal (yang memberi kesan fizikal) atau ungkapan saya yang berlaku secara emosi (yang menyentuh perasaan)"


Dengan demikian, terdapat 2 kategori memohon kemaafan, iaitu, pertama, memohon maaf perkara-perkara zahir (misalnya terambil barang/harta orang yang dipohon kemaafan, terhutang harta dan wang  yang mungkin terlupa dilunasi, dan lain-lain salah silap) bersifat zahiriah. Kedua, memohon maaf berkaitan batin  pula berkaitan dengan sentimen, perasaan dan nurani seperti terguris hati sanubari, membangkit kemarahan, dendam, mendukacitakan di pihak yang dipohon kemaafan (akibat ungkapan atau perbuatan orang yang memohon kemaafan).
Saya berpandangan, apabila seseorang mengungkapkan sedemikian, dia cuma memohon maaf daripada pihak yang satu lagi, TETAPI DIA SENDIRI SEOLAH-OLAH TIDAK PULA MEMAAFKAN PIHAK YANG SATU LAGI. Jadi tiada "timbal balas, tidak tulus, tidak selesai, dan tidak adil dan saksama". Aneh, kan? Jika sedemikian, alangkah eloknya jika kita berkata atau menulis seperti di bawah ini:

"Maaf zahir batin kepada saya, dan halalkan saya, dan saya juga memaafkan dan menghalalkan saudara/i"

Imam As-Syafi'i pernah menukilkan:


Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.”



Cuba hayati kisah ini:
Nabi Yusuf a.s. adalah anak kesayangan Nabi Ya’kub a.s. Adik-beradik Nabi Yusof a.s. amat mencemburui hal tersebut, lantas kemuncaknya, mereka telah mengikat Nabi Yusof a.s. dan mencampakknya ke dalam sebuah telaga. Ditakdirkan Allah s.w.t., Nabi Yusof telah diselamatkan oleh sekumpulan pedagang Mesir yang singgah di telaga tersebut. Mereka menyelamatkan Nabi Yusof a.s. dan membawa pulang ke Mesir. Ditakdirkan pula selanjutnya, Nabi Yusof a.s.  dilantik menjadi Bendahari (Menteri Kewangan Mesir). Ditakdirkan lagi selanjutnya, adik-beradik Nabi Yusof a.s. yang merempat telah datang ke Mesir, dan ditemukan dengan Nabi Yusof a.s. Berikut sedikit sedutan perbualan mereka (yang disebutkan di dalam Al-Qur’an)(Lihat Surah Yusof):
Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah?
Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan."
Mereka berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.
Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. (Surah Yusuf 12: Ayat 90-92).