Apr 4, 2017

Menentang makhluk halus bernama Qarin (termasuk ummu sibyan)



Berikut adalah penerangan oleh (Allahyarham) Dr Haron Din mengenai makhluk halus bernama qarin dan yang berkaitan dengannya. Qarin daripada ungkapan Arab yang bermaksud "rakan". Ungkapan qarin bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk halus yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Kewujudan qarin adalah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk, dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjerumuskan manusia dengan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyal qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim. Dalam surah al-An'am: 112 Allah s.w.t. berfirman (bermaksud): Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu. Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud): Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan scorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan. Telah berkata Ummul Mukminin As-Sayyidah Aishah binti As-Siddiq: Bahawasanya Rasulullah s. a. w telah keluar dari sisinya pada satu malam, tiba-tiba berlakulah satu tiupan (syaitan) terhadapnya. Maka Rasulullah pun datang melihat perkara yang sedang saya lakukan. Baginda bertanya: Apakah yang terjadi Aishah? Maka saya menjawab: Apa halnya saya, tidak diberi daya sebagaimana yang dikurniakan kepada engkau? Jawab Rasulullah s.a. w.: Adakah syaitanmu telah datang. Maka saya menjawab: Wahai Rasulullah. Adakah syaitan bersamaku? Jawab baginda: Ya. Saya bertanya lagi: Adakah terjadi pada tiap manusia. Jawab baginda: Ya. Maka saya pun bertanya: Adakah juga berlaku atasmu wahai Rasulullah. Jawab Rasulullah: Ya tetapi Tuhanku memelihara akan daku hingga aku selamat daripada tipu dayanya.
Dari Husain bin Ali r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud): Siapa yang melahirkan anak lalu bayi yang dilahirkan itu diazankan pada telinga kanan dan diqamatkan pada telinga kirinya, nescaya ummu sibyan (jin yang menganggu kanak-kanak) tidak akan menganggunya. Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya meriwayatkan bahawa.Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud):
Apabila malam meliputi (atau apabila malam menyelubungi) maka cegahlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu berkeliaran ketika itu. Maka apabila luputlah satu ketika daripada Isyak, maka berilah kebebasan kepada mereka, selak pintu kamu serta sebut nama Allah dan padamkan lampu serta sebut nama Allah, dan tudunglah bekas-bekas minuman kamu dan sebut nama Allah, dan tutuplah bekas-bekas makanan dan menyebut nama Allah biarpun bekas itu telah ditudungi atau direntangi sesuatu ke atasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.