Feb 7, 2024

Buku PERISTIWA TENANG ERA KONFRONTASI

Antara buku yang saya tulis adalahberjodol PERISTIWA TENANG ERA KONFRONTASI. Buku ini mengalami masa paling lama dalam sejarah saya menulis buku-buku. Penulisannya, yang dimulai dengan mengumpul bahan, membuat kajian kes yang etrdapat dalam Jurnal, menemubual saksi, dll, bermula tahun 1993, dan diterbitkan tahun 2022. PRAKATA BUKU Bersyukur ke Hadhrat Allah (swt) yang mempermudahkan penulis menyiapkan satu lagi buku yang diharapkan dapat menyumbang kepada kelompok “ilmu yang memberi manfaat”. Buku ini berkisar kepada kisah benar salah satu sejarah penting Malaysia pada sekitar tahun 1960an yang berlaku di sekitar Tenang, Johor. Buku ini membincangkan sejarah dan rentetan pencerobohan bersenjata pihak luar (yang disokong segelintir orang tempatan), yang menjadi elemen konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku di tempat berkenaan, dan juga siri fakta beberapa kes mahkamah berkaitan. Dalam beberapa perbincangan dan kupasan, turut dikemukakan juga peranan yang amat bermakna beberapa “orang besar” dalam menamatkan konfrontasi tersebut secara baik dan berprinsipkan “menang-menang.” Rumusan yang menjurus betapa pentingnya elemen “SETIA KEPADA NEGARA” turut dimasukkan dalam buku ini. Dalam sejarah penulisan buku-buku oleh penulis, penulisan buku ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri: Pertama, ia mengambil masa paling lama dalam sejarah penulisan oleh penulis, iaitu lebihkurang 21 tahun untuk disiapkan. Ia bermula pada tahun 1993 apabila penulis secara tidak sengaja menemui beberapa siri laporan kes yang berkaitan yang penulis terbaca di dalam satu jurnal undang-undang, semasa penulis sedang menyediakan bahan untuk penasihatan undang-undang (semasa berkhidmat sebagai Penasihat Undang-undang sebuah badan berkanun Persekutuan). Kemudiannya kajian sedikit demi sedikit diteruskan, dan penulisan akhir cuma dapat dimulakan pada akhir tahun 2012 dan siap awal tahun 2014; Kedua, ia pertama kali penulis menggabungkan gaya penulisan yang mengandungi tiga ciri iaitu penceritaan sejarah berfakta, aspek kemasyarakatan, dan perbincangan undang-undang yang dibuat secara santai. Penulis memasukkan beberapa gambar, peta, ilustrasi dan huraian (dalam bentuk “catatan”) yang berkaitan bagi menyokong “pembacaan santai”; dan Ketiga, buku ini menggabungkan penyelidikan teks dan penulisan-penulisan lain dengan hasil kajian di tapak kejadian yang penulis lakukan pada 15 Julai 1994, iaitu di Tenang, Johor. Tujuan utama buku ini, selain daripada menambah koleksi bahan sejarah negara, ia juga bertujuan menimbulkan rasa kesedaran dan keinsafan bertapa pentingnya semangat kesatu-paduan (solidariti) dikalangan pelbagai pihak dan bangsa di Malaysia, dan bertapa indah dan nikmatnya keamanan dan ketenangan dalam sesebuah negara. Dengan itu diharapkan ia dapat menyemai semangat dan rasa cinta kepada negara dan ketaatsetiaan kepada negara sendiri, serta bertapa pentingnya mengekalkan hubungan baik dan baik sangka diantara negara serumpun dan berjiran. Penulis ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam menjayakan penulisan ini, terutamanya kepada beberapa pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia di Labis dan Tenang (yang meminta nama mereka tidak dinyatakan di dalam buku ini), serta beberapa penduduk FELDA Tenang terutamanya Tuan Haji Zainudin Bauk dan Tuan Haji Ibrahim Mohamad, yang berkongsi pengalaman dan kesaksian mereka sendiri mengenai kejadian berkenaan pendaratan penceroboh di situ. Akhir sekali, tetapi tidak kurang pentingnya adalah penulis berharap semoga buku ini dapat dijadikan satu lagi ilmu yang bermanfaat bagi kita semua, yang dapat pula sama-sama disebarluaskan dengan tujuan-tujuan yang penulis telah sebutkan sebelum ini. Salam takzim dari penulis ABDUL AZIZ HUSSIN GUA MUSANG 2016.
Pada 16 Januari 2024, saya ke Felda Kampung Tenang Labis Johor untuk menyrahkan naskhah buku tersebut kepada pihak berkaitan. a. Kepada Puan Noraini Ibrahim, mewakili bapanya Allahyarham Ibrahim Mohamad, yang menjadi saksi penceritaan dalam buku tersebut
b. Kepada Haji ZaidiShafaat Hj Zainudin, yang mewakili bapanya Hj Zainudin Bauk, salah seorang pencerita dalam buku tersebut
c. Senaskhah lagi saya hadiahkan kepada Hj. Halim, Ketua Kampung Felda Tenang
Balai Polis Labis masa kini. Gamabar dirakam pada16 Januari 2024. Nama balai polis ini ada tercatat di dalam buku berkenaan.
Buku PERISTIWA TENANG ERA KONFRONTASI ini ada dijual melalui Shopee dan lain-lain dan, boleh juga menempah melalui Bahagian Pemasaran DBP melalui email pp@dbp.gov.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.