Feb 23, 2011

Tanggungjawab Tuanpunya Haiwan & Mengkhianati Haiwan

Haiwan bertuan punya atau berpenjaga
Tuan punya atau penjaga haiwan dikenakan tanggungjawab yang tertentu ke atas haiwan yang dimilikinya dan dijaganya.  Jika di dalam sesuatu keluarga yang memelihara sesuatu haiwan, maka ketua keluarga itu dianggap penjaga haiwan tersebut.1  Tiga bentuk tanggungjawab penjaga haiwan iaitu:
(i)  Tanggungjawab penjaga kepada haiwan yang menceroboh.
(ii)  Tanggungjawab penjaga kepada haiwan yang merayau, terutamanya di jalan-jalan   awam.
(iii)  Tanggungjawab penjaga kepada haiwan yang mengganas.

(i)  Tanggungjawab penjaga kepada haiwan yang menceroboh.
Durga Das Basu (1979) menyebut bahawa pada masa dahulu, pencerobohan oleh haiwan yang diternak oleh seseorang samalah seperti pencerobohan penjaganya sendiri.
Dalam tahun 1863, Mahkamah dalam kes Cox lwn Burbidge2 memberi panduan tentang tanggungjawab penjaga kepada haiwan yang menceroboh.  Mahkamah menyebut,
      Jika ternakan seseorang seperti lembu, kambing atau ayam itik, berkeliaran di halaman atau di  atas tanah seseorang jiran, dan merosakkan apa-apa yang biasanya boleh dijangkakan dilakukan oleh ternakan tersebut, maka tuan punya atau penjaganya bertanggungjawab kepada jiran berkenaan atas kerosakan tersebut.  Tanggungjawab ini berasaskan tabiat semula jadi haiwan yang berkenaan untuk merosakkan harta apabila ia berkeliaran; misalnya tabiat semula jadi lembu dan ternakan lain berkeliaran jika tidak dikurung, dan haiwan jenis ini biasanya dikawal (dikurung, ditambat dan lain-lain).  Tuan punya kucing atau anjing tidak pula bertanggungjawab atas pencerobohan yang dilakukan oleh kucing atau anjing tersebut kerana haiwan tersebut bukan daripada jenis haiwan yang perlu dikurung, lainlah halnya dengan lembu jantan.
            Peraturan tentang pencerobohan oleh haiwan (yang ada penjaga) yang dikenakan terhadap penjaga seperti yang disebut dalam kes Cox lwn Burbidge3 itu tegas sekali, hinggakan jika mana-mana angora sesuatu haiwan didapati melampaui sempadannya, juga dianggap pencerobohan.  Penjaga haiwan tersebut bukan sahaja bertanggungjawab terhadap pencerobohan malah menanggung kerosakan lain yang terbit daripada pencerobohan itu.  Dalam kes Ellis lwn  Loftus Iron Co.4  kuda jantan kepunyaan D telah mencederakan kuda betina kepunyaan P dengan cara menggigit dan menendang kuda betina melalui pagar yang memisahkan tanah P dan tanah D.   Mahkamah memutuskan bahawa D bertanggungjawab atas kecuaiannya sehingga terjadi pencerobohan tersebut.  Walau bagaimanapun tanggungjawab yang dikenakan seperti yang disebut itu terhad kepada keadaan semula jadi dan ada kebarangkaliannya bahawa perkara itu akan berlaku, kerana adalah menjadi semula jadi kuda jantan menggigit dan menendang kuda betina (kes Ellis lwn  Loftus Iron Co.) dan sifat semula jadi kuda saling bertendang-tendangan jika ditinggalkan pada sesuatu tempat atau apabil bertemu dan jika kuda itu tidak mengenali antara satu sama lain (kes Lee lwn Riley),6  tetapi bukan sifat semula jadi kuda yang merayau di jalan raya untuk menendang manusia (kes Cox lwn Burbidge).  Dalam kes Wormald lwn Cole,7 Mahkamah menyebut:
Adalah suatu keadaan yang semula jadi anak lembu menendang manusia apabila ia dihalang memasuk atau menceroboh tanah seseorang.  Dalam kes seperti ini, tuan punya tanah tersebut boleh menuntut ganti rugi terhadap penjaga anak lembu tersebut atas apa-apa kerosakan harta dan kecederaan yang dialaminya itu.

 
Mengkhianati haiwan yang dimiliki oleh orang lain
Adalah menjadi suatu kesalahan kepada sesiapa yang mengkhianati haiwan yang dimiliki oleh orang lain.  “Pengkhianatan” yang dilakukan boleh jadi dengan cara mencacatkan haiwan itu, atau meracuninya atau membunuh haiwan tersebut.  Perkara ini diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan seperti yang berikut:
428.     Barang siapa melakukan khianat yang membunuh, meracun, mencacatkan atau menjadikan tidak berguna, seseekor haiwan yang berharga lima ringgit atau lebih, hendaklah dihukum penjara selama tempoh sehingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.
429.     Barang siapa melakukan khianat dengan membunuh, meracun, mencacatkan atau menjadikan tidak berguna, seseekor gajah, unta, kuda, keldai, kerbau, atau lembu, walau berapa pun harganya, atau seseekor haiwan lain yang berharga dua puluh lima ringgit atau lebih hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh sehingga lima tahun, atau didenda atau kedua-duanya.
430.     Barang siapa melakukan khianat dengan melakukan apa-apa perbuatan yang menyebabkan, atau yang id ketahui mungkin menyebabkan, susut bekalan air bagi maksud pertanian, atau untuk minuman manusia atau untuk haiwan yang dipelihara, atau untuk kebersihan, atau untuk menjalankan apa-apa perusahaan, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.


--------------------------------------------------

Di atas adalah cabutan daripada buku, Abdul Aziz Hussin. 1990. Tanggungjawab Manusia Terhadap Haiwan Di Sisi Undang-undang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hlm. 28-29, dan 47. Harga RM8.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.