Feb 24, 2011

TIMBANG TARA DALAM INDUSTRI PEMBINAAN BAGI KONTRAK PEMBINAAN BANGUNAN KERAJAAN

Dalam pelaksanaan projek pembinaan bangunan kerajaan atau badan berkanun, salah satu perkara yang sering terjadi adalah pertikaian di antara pihak-pihak yang terlibat, terutamanya di antara klien (jabatan atau agensi kerajaan) dengan kontraktor, sama ada mengenai bayaran, pelan dan lukisan, tempoh masa pelaksanaan kerja, kualiti dan kuantiti kerja (Barnett, 1997; Harrison, 2004; Talal Abi-Karam, 2001).  Pertikaian perlu diselesaikan demi menjamin pelaksanaan lancar projek pembinaan dan demi kebaikan pihak-pihak yang terlibat. Dengan itu diwujudkan beberapa kaedah penyelesaian: Mesyuarat tapak, Arahan Pegawai Penguasa, Perantara, Timbang tara, dan Mahkamah. Namun begitu alternatif perantara tidak ada disediakan di dalam Borang Perjanjian Seragam Jabatan Kerja Raya (JKR)(Borang Seragam JKR 203) yang digunakan dalam projek pembinaan bangunan kerajaan. Didapati banyak pertikaian diselesaikan semasa mesyuarat tapak.  Jika tidak dapat diselesaikan, kontraktor akan menunggu arahan Pegawai Penguasa (P.P).  Jika kontraktor masih tidak berpuashati keputusan P.P., biasanya dia membawa terus ke mahkamah.  Amat jarang kontraktor dan juga kerajaan cuba merujuk kepada timbang tara (Kuala Lumpur Regional Center for Arbitration)(KLRA, 2004), walaupun “Rujukan Kepada Timbang tara” ada diperuntukkan di bawah “fasal timbang tara” (fasal 54, Borang Seragam JKR 203/203A)(Lim Chong Fong, 2004).
Persoalan berbangkit ialah: betulkah kontraktor dan/atau kerajaan tidak begitu berminat menyelesaikan pertikaian melalui timbang tara? Jika tidak berminat, mengapa? Adakah mereka maklum mengenai kebaikan atau kelebihan dan kelemahan atau keburukan timbang tara? Adakah kontraktor tidak memahami penggunaan “fasal timbang tara”, dan dengan itu tidak menggunakannya? Adakah terdapat “halangan” dalam menggunakan “fasal timbang tara”? Satu lagi pra-syarat ialah rujukan kepada timbang tara hanya boleh dibuat selepas tamat kerja (atau kerja ditamatkan), kecuali dalam kes rujukan timbang tara pertikaian berkaitan kesan perang atau gempa bumi.  Namun pra-syarat yang kedua itu boleh diketepikan jika dipersetujui oleh klien. Selain itu, menurut “fasal timbang tara” itu juga, rujukan kepada timbang tara sedemikian hendaklah diadakan di Pusat Timbang Tara Serantau di Kuala Lumpur (KLRCA). Timbul isu percanggahan di antara hasrat sebenar proses dan kebaikan timbang tara (iaitu boleh dibuat di mana-mana yang selesa kepada kedua-dua pihak) dan ia dibuat segera apabila timbul pertikaian.  Dengan itu, persoalan berbangkit ialah sama ada “fasal timbang tara” bermanfaat atau pun tidak kepada kontraktor, dan adakah dengan pelbagai persoalan di atas, maka kontraktor akan memanfaatkan penggunaan “fasal timbang tara”?

Di atas adalah pengenalan kepada Bab 13, Abdul Aziz Hussin & Kamal Halili Hassan. 2008. “Satu survey kesedaran proses timbang tara dalam projek pembinaan kerajaan” dalam Sakina Shaik Ahmad Yusoff et al, Undang-undang dalam era teknologi, Bangi: Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 420-448.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.