Empat maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Toyota Vellfire dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 446, Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat persimpangan Rawang Selatan, jam 12 tengah hari tadi. Kemalangan turut membabitkan tiga kenderaan lain model BMW, Toyota Alphard dan Honda City. Nahas di lebuh raya arah utara itu turut mengakibatkan seorang mangsa cedera parah dan tiga lagi mangsa cedera ringan.
Empat maut nahas enam kenderaan
RAWANG: Empat maut, seorang parah dan
tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer
446, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.00
tengah hari itu, enam kenderaan yang terbabit adalah dua kereta, dua kenderaan
pelbagai guna (MPV) dan sebuah treler.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi
Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya
menerima panggilan kecemasan pada jam 12.02 tengah hari.
"Anggota bomba dari Balai Bomba
Dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Rawang dan BBP Selayang dikejarkan ke
lokasi kejadian.
"Mangsa yang meninggal dunia
adalah dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki Perodua Alza
serta seorang lelaki yang menaiki Toyota Vellfire.
"Sementara yang cedera parah
adalah seorang kanak-kanak lelaki penumpang Toyota Vellfire, pemandu treler
pula mengalami cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan.
Alimaddia berkata dua lagi mangsa
yang cedera ringan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah
Gombak, ACP Ali Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku
apabila treler itu melanggar belakang kereta Nissan Almera di laluan menghala
ke utara berhampiran simpang susur Rawang Selatan.
"Treler itu kemudian terbabas
memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan lain iaitu BMW,
Perodua Alza, Toyota Vellfire dan bas.
"Kemalangan itu mengakibatkan
pemandu Toyota Vellfire, Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, maut serta merta
di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, tiga lagi mangsa yang
menaiki Perodua Alza iaitu Nur Fitrah Rosman, Nurbaya Mohd Zaki dan Mohammad
Hafiz Shahrul Jefri Din masing-masing berusia 24 tahun turut meninggal dunia di
lokasi kejadian.
"Nahas turut mengakibatkan empat
cedera termasuk seorang parah. Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Sungai
Buloh (HSB) untuk bedah siasat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/449004/empat-maut-nahas-enam-kenderaan
Polis selesai rakam percakapan pemandu treler
AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF
Kosmo Online/ 15 Julai 2018 9:40 PM
KUALA LUMPUR - Polis selesai merakam percakapan pemandu treler
yang terbabit dalam satu kemalangan sehingga meragut empat nyawa selepas
dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan
Azman Shari’at berkata, anggota polis telah melakukan tangkapan terhadap suspek
sejurus dibenarkan keluar dari hospital.
“Kita telah merakam percakapan suspek termasuk melakukan ujian saringan
air kencing dan mendapati pemandu berusia 45 tahun tersebut negatif dadah.
“Suspek telah diberi jaminan polis setelah semua prosedur siasatan
selesai dan disamping itu, kita akan meneruskan siasatan bagi mengenalpasti
punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman turut memberitahu, seorang penumpang Toyota Vellfire yang terlibat
dalam kemalangan tersebut masih berada di hospital untuk menerima rawatan
lanjut.
“Sementara jenazah Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48; Nur Fitrah
Rosman, 24; Nurbaya Mohd. Zaki, 24 dan Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din, 24,
telah diserahkan kepada waris pada pukul 2 pagi tadi bagi urusan pengebumian,”
jelasnya.
Kosmo! hari ini melaporkan, empat maut, seorang parah dan tiga lagi
cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 446, Lebuh
Raya Utara-Selatan (PLUS), Rawang. - K! ONLINE
http://www.kosmo.com.my/terkini/polis-selesai-rakam-percakapan-pemandu-treler-1.709566
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.