Nov 7, 2019

OPERASI SETIA 5


PEMBURUAN CHONG CHOR PENGGANAS KOMUNIS YANG DIKEHENDAKI PIHAK BERKUASA.

CHONG CHOR atau nama sebenar Chung Thian Thye (juga mempunyai 33 nama samaran) merupakan antara ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang paling kejam dan licik, dan amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia. Dia yang mengetuai Unit Penggempur ke-5 PKM dan kemudiannya Unit Penggempur ke-6 PKM di Pahang, telah terbabit hampir 50 tahun dalam kegiatan komunis sejak menyertai PKM pada usia 13 tahun. Dia dilahirkan di Canton (kini Guangzhou) dan mengikut keluarganya berhijrah ke Tronoh, Malaya pada tahun 1929 ketika berusia 7 tahun.

Pada penghujung bulan Oktober 1973, Special Branch (SB) menerima laporan yang sekumpulan pengganas komunis telah bermalam di kawasan Ringlet untuk beberapa hari. Ini merupakan petanda pertama yang mereka telah aktif di negeri Pahang. Dua patrol VAT 69 yang diarahkan menjejak mereka telah melaporkan pasukan komunis tersebut dianggarkan berkekuatan 50 anggota berdasarkan kesan tinggalan mereka yang telah berusia 12 hari. (setiap satu patrol VAT 69 mengandungi 6 anggota yang memiliki pelbagai kepakaran seperti komunikasi, letupan dan perubatan). Untuk memburu pasukan musuh yang besar ini dan meliputi kawasan operasi yang besar, sebagai tambahan 4 patrol dimasukkan dari arah selatan (Tanjung Malim) dan 5 lagi patrol dimasukkan dari arah utara (Cameron Highlands).

Setelah beberapa ketika, 9 pasukan patrol yang dimasukkan dari Tanjung Malim dan Cameron Highland telah dikeluarkan dan diletakkan dalam keadaan "stand by" kerana mereka tidak menemui sebarang jejak dari pasukan komunis tersebut. Dua patrol/ronda yang awal masih meneruskan pemburuan, dan dengan jumlah anggota yang sedikit, VAT 69 mampu bergerak dengan lebih pantas dan menghampiri pasukan pengganas komunis. Pada 10 November 1973, pasukan ronda itu menemui tempat rehat musuh di Lembah Bertam. Kemudian pada 20 November 1972, iaitu hari ke-12 operasi, mereka telah menemui 10 tempat rehat, dan mendapati musuh masih bergerak dalam kumpulan yang besar (kira-kira 50 orang) dan tidak berpecah kepada kumpulan kecil. Jika ini berlaku, usaha penjejakan menjadi lebih rumit. Dalam penjejakan seterusnya, pasukan ronda VAT 69 menemui botol-botol kosong vitamin buatan Thai, barangan yg telah rosak atau lusuh seperti kasut getah, topi, uniform dan juga sarung pistol. Kebiasaanya, pengganas komunis tidak begitu cuai dalam meninggalkan kesan dalam pergerakan mereka, tetapi mungkin kali ini mereka "over confident" yang pasukan mereka tidak diikuti memandangkan bentuk mukabumi yang mereka lalui begitu rumit dan mencabar fizikal dan mental.

Untuk membuat ulang-bekal (resupply) kepada pasukan ronda VAT 69, mereka tidak menggunakan helikopter kerana bunyi yang bising akan menarik perhatian pengganas komunis itu. Sebaliknya, ulang-bekal dilakukan oleh "runners" untuk menghantar rangsum. Selain itu, runners tersebut akan membawa pulang dokumen yang ditemui di kawasan rehat musuh untuk diteliti oleh Special Branch. Ulang-bekal dilakukan setiap 10 hari untuk tempoh sepanjang operasi tersebut.

Pada 21 November 1973, pasukan ronda menemui tanda-tanda minyak gris (grease) pada pokok yang menunjukkan musuh membawa kotak-kotak yang berat, berkemungkinan kotak yang mengandungi senjata-senjata baru. Pada satu lokasi, di sebuah jurang selebar 6 meter dan 120 meter dalam, musuh telah menumbangkan pokok yang besar untuk dijadikan titi. Bagaimanapun musuh berjaya melintasi jurang itu sambil membawa peralatan yang berat itu bersama mereka. Sembilan hari kemudian (30 November 1973), mereka telah berada 5 hari dibelakang musuh. Ketika tiba di satu perkampungan orang asli, pada mulanya mereka enggan berkerjasama dan memberi maklumat kepada pasukan ronda VAT 69. Setelah Special Branch dipanggil, dan soal-siasat dijalankan, ketua orang asli memberitahu mereka telah menjual seekor kambing, beberapa ekor ayam, sayuran dan beras kepada pengganas komunis. Beliau mengesahkan yang Chong Chor berada dalam kumpulan tersebut, berdasarkan gambar yang ditunjukkan oleh Special Branch.

Pasukan keselamatan berusaha mencantumkan beberapa "puzzles", antaranya mengapa Chong Chor yang merupakan Komander bagi Unit Penggempur ke-5 PKM di negeri Perak, kini berada di Pahang? Mengapa sepasukan kecil (5 orang) pengganas komunis telah bergerak di kawasan tersebut 3 bulan sebelumnya, dan tempat rehat mereka serta laluan turut digunakan oleh pasukan yang menyusul kemudian?

Tidak lama kemudian, Tentera Darat yang juga mengikuti perkembangan ini telah mengaturgerak pasukan komando dengan memasukkan mereka ke kawasan operasi dengan cara "abseiling" dari helikopter. Bagaimanapun, pasukan ini kemudiannya telah ditarik keluar ke Fort Betau, dan penjejakan seterusnya hanya dilakukan oleh VAT 69. Pada petang 8 Disember 1973, pasukan ronda VAT 69 hanya berada 4 jam dibelakang pasukan musuh. Mereka mengambil keputusan untuk berehat sehari, bagaimanapun pada tengah malam itu, mereka terdengar bunyi enjin lori berhampiran, datang dan berlalu pergi. Mereka khuatir terdapat kemungkinan lori balak tersebut telah mengangkut pasukan musuh ke kawasan lain. Setelah hari cerah keesokkannya, pasukan ronda meneruskan penjejakan. Setelah 3 jam berjalan pantas dan berlari, mereka menemui kesan tayar lori membuat pusingan. Di situ juga kesan tapak kaki musuh telah hilang, menandakan mereka telah lolos dengan menaiki lori balak itu. Perancangan licik ini telah dirangka oleh pergerakan bawah-tanah pasukan komunis.

VAT 69 kecewa kerana terlepas peluang untuk bertempur dengan musuh pada saat-saat akhir walaupun telah mengekori mereka selama 31 hari, tanpa disedari oleh musuh. Kawasan pembalakan di hutan Pahang merupakan bukan kawasan terkawal kerana jauh ke pendalaman. Bagi kawasan pembalakan terkawal, biasanya tiada pergerakan atau aktiviti dibenarkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi.

Pada 18 Mac 1974, seorang pengganas komunis wanita bernama See Hong, yang telah menyerah diri menceritakan terdapat 52 anggota komunis didalam pasukan tersebut. Dia turut menceritakan bagaimana pasukannya telah tersesat selama dua hari sebelum melintasi cerun yang dalam dengan membuat titi dari pokok yang ditumbangkan. Mereka mengambil masa lebih sejam untuk memikul kotak senjata dan melepasi titi yang licin tersebut. Risikonya, mereka boleh terjatuh ke cerun sedalam lebih 100 meter. Dia tutut menerangkan pasukan kecil yang mendahului 3 bulan awal telah melakukan tinjauan dan menandakan 24 tempat rehat yg sesuai. Kedatangan pasukan Chong Chor dengan 50 anggota juga telah diketahui awal oleh ketua orang asli disitu. Dengan berkomunikasi secara sulit, mereka berjaya mengaturkan sebuah lori membawa mereka keluar ke pinggir hutan sebelum mereka meneruskan berjalan kaki ke Jerkoh di Kuala Lipis. Bagi pasukan ronda VAT 69, keupayaan mereka mengekori musuh selama 31 hari tanpa disedari menunjukkan keupayaan dan kemahiran mereka bergerak di dalam hutan. Walaupun hanya dengan 12 anggota, jauh lebih kecil dari pasukan musuh, tetap meneruskan pemburuan tanpa mengenal erti kalah.

Kesemua 52 anggota pengganas komunis itu diturunkan oleh lori dipinggir hutan dekat Raub, Pahang. Disini, Unit Penggempur ke-6 PKM, dibawah pimpinan Chong Chor mendapat tambahan 4 lagi anggota baru. Atas faktor keselamatan, mereka dipecahkan kepada 2 kumpulan, 33 anggota dibawah Chong Chor dan lagi 21 anggota dibawah pimpinan Chong San. Mereka menuju ke Cheroh, dan setelah berjalan selama 20 hari mereka mendapati kesemua stok simpanan makanan mereka telah dimusnahkan oleh pasukan keselamatan. (Stok makanan mereka ditanam di dalam tanah - food dump).

Selepas dua hari meninggalkan Cheroh dan menuju ke Teras, mereka telah kehabisan bekalan makanan dan terpaksa memakan daging monyet. Beberapa hari kemudian mereka menemui kebun pisang dan memotong kira-kira 50 tandan pisang dalam masa sejam. Kerana kebuluran, sebahagian pisang dimakan disitu juga. Pekerja kebun pisang kemudian menjumpai banyak kesan kulit pisang yang ditinggalkan dan melaporkan kepada pasukan keselamatan. Disinilah menjadi permulaan pemburuan mereka oleh pasukan keselamatan. Beberapa hari kemudian, pada 11 Jan 1974, berlaku pertempuran, pengganas komunis berundur setelah memasang jerangkap samar untuk melengahkan pergerakan pasukan keselamatan. Chong Chor bercadang menukar arah dari Teras menuju ke Tanjung Malim, tetapi Special Branch (SB) telah berfikir selangkah kehadapan, pasukan keselamatan dihantar ke Slim River dan Tanjung Malim. Berlaku lagi pertempuran pada 13 Jan 1974 selama 20 minit, sebelum mereka melarikan diri. Keesokkannya mereka telah dihujani dengan tembakan artileri, peluru yang meletup pada semak samun kering telah membakar kawasan tersebut menjadikan musuh bertempiaran lari ke segenap arah. Pada waktu malam pula helikopter melepaskan flare, dan pada waktu siangnya pula menggugurkan risalah menawarkan pengampunan jika pengganas komunis menyerah diri.

Akhirnya pada 26 Jan 1974, Chong Chor dan pasukannya tiba di Tanjung Malim. Dalam usaha mencari makanan, pasukannya diserang hendap oleh pasukan keselamatan, membunuh seorang dan mencederakan lagi dua anggotanya. Mereka kemudian melarikan diri ke Ulu Slim, disana dua anggota pasukannya yang mencari makanan telah tidak kembali. Pada malam yang sama, kedudukan mereka telah diserang dengan tembakan mortar. Pada ketika ini, mereka telah kebuluran dan hilang arah. Seorang anggota mereka mati kelaparan, mayatnya dibungkus dengan plastik dan ditanam dibawah pokok besar.

Mereka kemudiannya berpecah kepada 2 pasukan untuk mengelirukan pasukan keselamatan, 8 orang yang diketuai Yit Meow menuju ke utara (Cameron Highlands) dan Chong Chor bersama 13 orang menuju ke selatan, kembali ke Pahang. Pergerakan menjadi semakin sukar kerana muka bumi yang berbukit bukau, serta mereka dalam keadaan kebuluran. Mereka bergantung kepada tumbuhan dan daging monyet, adakalanya dimakan mentah-mentah kerana terlalu lapar. Ketika ini, radio operator mereka mati kebuluran. Mereka tiada tenaga lagi untuk menggali kubur, sebaliknya mayat dibungkus dengan plastik dan ditinggalkan dibawah pokok, bersama-sama dengan radio dan senjata kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk menggalas peralatan tersebut. Dua hari kemudian, seorang lagi tidak mampu untuk bergerak, dia diberi makan 4 butir pil tidur dan mati 15 minit setelah memakan pil-pil tersebut. Sehingga 19 Feb 1974, dua orang lagi telah mati kebuluran.

Sembilan hari kemudian, mereka menemui buah kelihatan seperti buah nangka. Mereka pun makan buah tersebut setelah melihat beberapa ekor monyet memakannya. Mereka memakan buah dan biji sekali, yang menyebabkan mereka keracunan. Mereka muntah-muntah dan bergulingan seolah-oleh diserang histeria tanpa dapat dikawal, sehingga ada yang koma. Menjelang 28 Feb 1974, hanya 4 orang yang masih hidup. See Hong, yang koma selama 3 hari selepas memakan buah tersebut, terlalu lemah dan ditinggalkan. Dia kemudian mengagahkan diri bergerak menuju ke kawasan pembalakan, dimana dia diselamatkan dan diserahkan kepada pihak Polis di Raub.

Didalam bukunya, "I Want to Live", dia menceritakan pengalamannya, dimana pada malam sebelum dia ditinggalkan, dia ternampak Chong Chor dan isterinya sedang memakan makanan di dalam tin. Dia sangat terkejut kerana Chong Chor sanggup membiarkan anggotanya mati kebuluran, sedangkan dia mempunyai bekalan makanan yang disimpan untuk isteri dan dirinya sendiri. Ketika di soal siasat semasa penangkapannya, Chong Chor menceritakan yang dia terjumpa tin-tin makanan yang ditinggalkan oleh anggota pasukan keselamatan. Setiap kali mereka menemui bekas pangkalan sementara pasukan keselamatan, beliau akan menguis tanah dengan jari-jarinya di kawasan yang dijangka ada lebihan makanan yang telah dikambus oleh pasukan keselamatan, tanpa dilihat oleh pengganas komunis yang lain. Jika berjaya menemui tin makanan yang belum dibuka, dia akan menyorokkan dari pengetahuan anggota pasukannya.

Tertangkapnya Chong Chor - 1988

Apabila telah tiba di Raub, Chong Chor, Ahli Komiti Pusat, Parti Komunis Malaya (PKM) dan isterinya Ailian mula merekrut dan melatih anggota-anggota baru di kawasan tersebut. Ia tidak mengambil tempoh yang lama untuk mereka membina kawasan simpanan makanan (food dumps) dan dibawah pimpinan Chong Chor jugalah, Unit Penggempur ke-6 PKM (6th Assault Unit) kembali mencapai kekuatan dan menjadi ancaman serius kepada kerajaan. Beliau tinggal di Pahang sepanjang tahun-tahun 1980an.

Menjelang tahun 1980, Special Branch telah berjaya melumpuhkan gerakan bawah tanah komunis (underground) di Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan. Ini memberikan tamparan hebat kepada pengganas komunis yang beroperasi di hutan kerana mereka amat bergantung kepada sokongan lojistik yang diberikan oleh pasukan bawah tanah mereka itu. Semakin ramai anggota pengganas komunis di Perak, Pahang dan Selangor samada menyerah diri atau ditangkap oleh Special Branch. Hal ini semakin menjatuhkan moral PKM untuk meneruskan perjuangan sia-sia mereka.

Dengan kemudahan infrastruktur jalanraya yang lebih baik di semenanjung, pasukan keselamatan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penggunaan helikopter dalam mobiliti. Lebuhraya Timur-Barat umpamanya boleh digunakan oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke kawasan operasi pada bila-bila masa, berbanding penggunaan helikopter yang mana kehadirannya boleh disedari oleh musuh.

Setelah berjaya melumpuhkan jaringan-jaringan kumpulan bawah tanah PKM di beberapa negeri yang disebutkan tadi, Special Branch kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti yang dilakukan oleh Chong Chor dan pasukannya. Mereka telah berjaya memintas frekuensi radio dan mampu mengesan kedudukannya dengan tepat setiap kali Chong Chor berkomunikasi dengan Ibupejabat PKM di Betong di Selatan Thai. Dalam satu insiden, mereka berjaya menyelamatkan diri semasa kem mereka dibom oleh pasukan keselamatan. Mengesyaki yang frekuensi radio mereka telah dipintas oleh pasukan keselamatan. beliau mengarahkan sebarang perhubungan radio untuk seluruh semenanjung dihentikan buat seketika. Radio-radio yang sedia ada telah diarahkan untuk ditanam, dan semua unit pengganas komunis yang beroperasi dikehendaki menggunakan kaedah komunikasi dimana mesej akan dibawa oleh courier (anggota pengganas) dan ditinggalkan pada tempat-tempat tertentu untuk diambil oleh pihak penerima. Tempat-tempat tersebut adalah seperti pokok-pokok yang telah ditanda atau di pondok-pondok ladang yang tertentu. Jika satu-satu tempat itu telah ditetapkan sebagai tempat berkumpul atau rendezvous, setiap pihak hanya akan menunggu di lokasi tersebut selama tidak lebih 48 jam sahaja, untuk mengelakkan mereka dari ditangkap oleh pasukan keselamatan. Jika salah satu pihak gagal hadir dalam tempoh masa tersebut mereka dianggap samada telah tertangkap atau dibunuh oleh pasukan keselamatan.

Pada tahun 1986, pasukan keselamatan telah berjaya menemui stor simpanan makan (food dump) di kaki bukit kawasan Sungai Penjuring. Ini adalah satu penemuan yang sangat penting dimana ia berkeluasan satu petak peta (1000 meter persegi), yang merupakan nadi kepada pasukan pengganas komunis yang bergerak antara tiga negeri - Pahang, Selangor dan Perak. Tiga Unit Penggempur telah terlibat dalam membina stor simpanan ini, iaitu Unit-unit Penggempur PKM ke-5, ke-7 dan ke-11.
Antara barang-barang yang ditemui adalah:
1. beras - 72 drum bersaiz 44 gallon
2. minyak masak - 42 tin x 17kg
3. gula - 29 guni x 50kg
4. garam - 61 drum bersaiz 1 gallon
5. marjerin - 15 tin x 17kg
6. pelbagai jenis makanan dalam tin dalam jumlah yang besar
Jumlah makanan yang ditemui ini mampu membekalkan 50 pengganas komunis untuk tempoh selama setahun.

Sekali lagi Chong Chor terpaksa mengubah strategi. Dalam keadaan yang sangat terdesak, dia mengarahkan anggota pasukannya keluar dari hutan dan cuba berhubung dengan penyokong-penyokong mereka yang ternyata semakin berkurangan kerana ramai telah ditangkap oleh Special Branch. Beliau sendiri terpaksa menggunakan khidmat pasukan bawah tanah untuk membawanya ke Betong untuk menemui Ahli Komiti Pusat PKM, Ah Sek yang juga komander kepada Rejimen ke-12 PKM. Menyedari keadaan ini, Special Branch melancarkan "Operasi Talong" dengan objektif menangkap Chong Chor dan menamatkan riwayat Unit Penggempur ke-6 PKM. Pada masa itu, hanya unit penggempur ini yang masih aktif di semenanjung kerana Abdullah CD dan Rashid Mydin telah cenderung kepada perdamaian yang dicadangkan oleh kerajaan Thai.

Untuk seketika, Chong Chor dengan liciknya berjaya melepaskan diri dari Operasi Talong. Beliau berada di Kuala Lumpur sejak Disember 1987, dan berulang alik dari rumah kakaknya di Jalan Pasar, Kuala Lumpur ke rumah anaknya di Sungai Buloh. Beliau berpindah randah untuk megelak dari dikesan, bagaimanapun pada 1 Mac 1988, Special Branch (SB) telah dapat menjejaknya di Jalan Pasar. Walaupun dia boleh ditangkap pada masa itu, Ketua Polis Negara telah mengarahkan SB untuk menunggu sehingga waktu malam, kemungkinan Chong Chor ada membuat temujanji dengan anggota komunis lainnya.
Pada keesokkannya, 2 Mac 1988, Chong Chor bersama pengawal peribadinya menemui Yeung Nam, salah seorang anggota 5th Armed Work Force (AWF) dihadapan Globe Silk Store di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Mereka ditangkap tanpa sebarang perlawanan dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa. Menjelang penghujung bulan Julai 1989, semua anggota pengganas komunis dari Unit Penggempur ke-6 PKM telah diberkas oleh SB dalam beberapa siri operasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

(Terima kasih atas sumber tulisan asal. Kredit kepada Penulis asal bahan sejarah ini)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.