May 16, 2012

Empangan Pergau, Jeli, Kelantan

Pada 26 Mac 2012 saya membuat lawatan penyelidikan ke kawasan Empangan Pergau, Jeli, Kelantan. Tasik Pergau ini popular kerana kewujudan empangan TNB dan juga Taman santuarinya. Berikut ini sebahagian gambar yang dapat menceritakan perihal kawasan ini.













Laman sesawang Majlis Daerah Jeli, Kelantan, mencatatkan seperti berikut:

Taman Santuari, Tasik Pergau Jeli terletak di Batu 16 Jalan Raya Timur Barat. Ia merupakan taman yang terletak di sebuah pulau di Tasik Pergau yang dahulu dikenali sebagai Pulau D.O. Pulau ini telah dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 2003 dan mula dibuka kepada pelawat pada awal tahun 2004 dan dikenali sebagai Pulau Santuari. Di sekitar Pulau Santuari ini terdapat beberapa pulau-pulau kecil. Panorama alam dan kehidupan flora dan fauna di sekitar hutan dan perairan di Tasik Pergau dapat dinikmati sepenuhnya oleh pengunjung yang mengunjungi Pulau Santuari ini. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di pulau ini seperti chalet terapung, dewan, musalla, tapak perkhemahan, bot dan kayak untuk disewa dan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pengunjung yang mengunjungi pulau ini. Terletak 32 km dari Jeli dan 98 km dari Kota Bharu. Kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar Jeli melalui Lebuhraya Timur-Barat (4) akan menemui papan iklan khas Tasik Pergau dan dari situ, 4 km ke hadapan adalah simpang masuk ke tarikan. Tasik Pergau merupakan tasik buatan manusia bagi projek janakuasa hidroelektrik. Dengan pemandangan tasik dan landskap pergunungan yang indah, pihak KESEDAR mengambil inisiatif untuk membangunkannya dengan pembangunan eko pelancongan. Pakej-pakej menarik telah ditawarkan seperti memancing, berkayak, penganjuran kursus-kursus dan aktiviti rekreasi yang lain. Pelbagai kemudahan telah ditempatkan untuk memberi keselesaan dan kepuasan kepada pelancong. Telah banyak menerima kedatangan pelancong dari luar dan dalam negeri.

Di bawah adalah sebahagian petikan daripada laman sesawang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR):

TASIK PERGAU – Jeli
Jika Perak terkenal kerana keindahan Pula Banding dan tasiknya, Kelantan pula mempunyai Tasik Pergau yang memberikan pelbagai kelebihan kepada pencinta alam semulajadi.
Selain koleksi flora dan fauna yang banyak di kedua-dua tempat itu, persamaan lain adalah dua tasik buatan manusia yang terhasil akibat pembinaan empangan hidroelektrik di Temenggor dan Pergau.
Tasik Pergau mungkin tidak sepopular Tasik Banding, tetapi ia berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung ke kawasan ini.
Kecantikan alam semulajadi tasik ini, sentiasa menggamit pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand, dan juga negara Eropah dan Jepun.
Suasana tenang dan aman di Tasik Pergau menggoda pengunjung untuk menghabiskan percutian di sini, dan terdapat laporan bahawa tasik ini menjadi tempat persinggahan tahunan bagi ramai pelancongan asing.
LALUAN TIMUR BARAT
Pengunjung dari Perak ke Tasik Pergau boleh menggunakan laluan Timur-Barat dari Gerik ke Jeli, sementara pengunjung dari Kota Bharu boleh ke Jeli untuk ke tasik ini.
Tidak sukar untuk ke jeti di Tasik Pergau ini, yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama. Kawasan ini turut dikenali sebagai Taman Lindungan Tasik Pergau, sebuah tasik 460 hektar yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.
Bagi peminat aktiviti memancing, Tasik Pergau mempunyai ikan air tawar seperti lampam , talapia dan toman. Di sepanjang tebing tasik pula, anda akan dapat melihat rusa yang datang ke tebing air untuk minum.
HUTAN HUJAN TERTUA DUNIA
Dikelilingi hutan hujan yang menghijau, dan dikatakan lebih tua daripada tasik Amazon, Brazil, tasik ini menawarkan sebuah pengalaman unik kepada pengunjung. Pada malam hari, suhu di Tasik Pergau mencecah sehingga 18 darjah Celsius, seperti suhu di Tanah Tinggi Cameron.
Penginapan di sini mencukupi kerana Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) membuka chalet untuk pengunjung yang ingin bermalam di sekitar kawasan tasik.
Dengan hanya RM 70, termasuk kos menaiki bot, setiap pengunjung dapat bermalam di tepi tasik. Malah, resort di sini turut menawarkan kemudahan bagi mereka yang ingin mengadakan seminar dan kursus.
Resort ini dapat menempatkan 100 penghuni pada satu-satu masa. Antara kemudahan yang disediakan oleh Kesedar adalah enam chalet terapung. Terdapat juga kemudahan surau, khemah, hostel, dewan makan dan bilik mandi.
Kecantikan Tasik Pergau juga sentiasa menggamit pengunjung dari negara jiran, Singapura dan Thailand dan negara lain seperti Eropah dan Jepun.
TREK HUTAN
Mereka yang berminat untuk melihat flora dan fauna di Tasik Pergau, resort Kesedar turut mengadakan program trek hutan untuk mereka, kata Che Zaaba.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Singapura Stephen Tan, berkata dia dan keluarganya telah ke tasik itu sebanyak empat kali.
"Selain Tasik Banding, Tasik Pergau juga menjadi pilihan kami kerana tasik ini suatu tempat yang sesuai untuk kami merehatkan diri,"katanya kepada Bernama di resort tersebut.
Ditanya tentang Tasik Pergau, Stephen berkata dia mengetahui tentang tasik itu setelah melayari laman web Kesedar  http://www.kesedar.gov.my/.
Pelancong yang ingin melawat Tasik Pergau boleh membuat tempahan di pejabat KESEDAR Wilayahi Jeli di talian 09-944 0281 atau faks kepada 09-944 1388.
Che Zaaba juga boleh dihubungi di talian 019-929 1578 atau 014-6096023.
Untuk mempromosikan Tasik Pergau, sebuah syarikat swasta iaitu Pergau Agro Resort Sdn Bhd melabur sebanyak RM5 juta bagi memperkenalkan konsep bercuti di kawasan ladang tanaman herba dan buah-buahan sambil menikmati keindahan Tasik Pergau.
Taman Santuari Tasik Pergau seluas 460 hektar itu yang terletak 100 kilometer dari bandar Jeli, menjanjikan pengalaman percutian yang tidak akan mungkin dilupakan.
Bagi penggemar kaki pancing, di situlah "syurga" untuk menangkap spesis lampam, tilapia, toman dan pelbagai lagi.
Di kelilingi hutan tertua di dunia yang dikatakan lebih tua daripada Hutan Amazon, suatu yang lebih istimewa adalah ia berada pada suhu kedinginan yang dikatakan menyamai suhu di Cameron Highlands ketika malam.
Berada pada paras ketinggian 2,400 kaki dari aras laut, suhu sehingga 18 darjah Celsius sudah cukup menjanjikan suasana damai selain melihat kabus menyelimuti tasik berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.