EDU = EDUCATION kasi = dedikasi: Blog ini cuba menyuburkan pendidikan positif, dedikasi dalam kehidupan, mengembangkan baiksangka, nilai positif, setiakawan, jaringan sahabat, saling membantu demi kebaikan. Blog ini tidak mengalu-alukan elemen mengumpat, gosip negatif, cerita seks/kelucahan, jenayah/kemungkaran, elemen politik kepartian, judi, pengubahan wang haram, perbincangan agama yang ekstrim atau isu sensitif yang membawa perbalahan, perpecahan, dan apa-apa jua yang negatif
Apr 28, 2021
Sejarah Uighur
Isu Uyghur tengah hangat, ramai minta aku ulas. Aku nak ulas lama dah, cuma asyik tulis padam, tulis padam. Serba salah rasa sebenarnya.
Disebabkan agak panjang (ini mungkin tulisan FB aku yang paling panjang, gila psycho), aku pakai format numbering. First time aku tulis style macam ini. Senang korang nak refer nanti. Kalau nak copy paste tak perlu lah salin penuh, ambil je perenggan yang berkaitan. Kadang aku buat lawak hambar pun korang copy share, aduhai.
Panjang pulak mukadimah. Ini dia:
1. Sedikit sejarah pasal Xinjiang. "Xinjiang" (ejaan Mandarin baharu / Hanyu Pinyin) atau "Sinkiang" (ejaan Mandarin lama / Postal Romanization) bermaksud sempadan baharu dalam Bahasa Cina. "Baharu" sebab hanya sehingga 1759, kawasan ini dimasukkan ke dalam Empayar China (waktu itu diperintah oleh Dinasti Qing yang pemerintahnya terdiri daripada Kaum Manchu).
2. Di bawah Republik Rakyat China (PRC), Xinjiang ialah sebuah wilayah autonomi. Autonomi ini perlu disebabkan majoriti penduduk Xinjiang ialah Kaum Uyghur yang mempunyai agama (Islam) dan bahasa (Uyghur) yang tersendiri. Uyghur ialah etnik terbesar di Xinjiang (46%), diikuti oleh Han (39%), Kazakh (7%), Hui (4.5%) dan Kyrgyz (0.9%). Di peringkat negara, Uyghur ialah etnik ke-5 besar selepas Han, Zhuang, Hui dan Manchu.
3. Uyghur ialah salah satu cabang kelompok rumpun Turkik ("Turkic") yang bertebaran di Asia Tengah, bersama-sama Kazakh (bangsa utama Kazakhstan), Uzbek (bangsa utama Uzbekistan), Turkmen (bangsa utama Turkmenistan), Kyrgyz (bangsa utama Kyrgyzstan), Azeri (bangsa utama Azerbaijan) dan Turk (bangsa utama Turki). Tapi jangan anggap ada nama "-stan" terus jadi Turkik. Tajikistan dan Afghanistan ialah "Iranic".
4. Sebab itu muka selebriti Uyghur seperti Dilraba, Gulnazar dan Hanikezi ada mirip Orang Turki. Tapi jangan pukul rata. Ada juga muka Uyghur yang lebih dekat dengan Cina Han dan Mongol, contoh seperti Abudushalamu Abudurexiti, pemain basketball dan Neghmet Rakhman, pengacara CCTV. Konsep rumpun bangsa yang dipakai dalam bidang "ethnolinguistics" adalah berdasarkan persamaan bahasa, bukan berdasarkan keturunan.
5. Uyghur pada asalnya ialah penganut Manichean dan Buddha, pernah mendirikan Uyghur Khaganate yang menguasai seluruh kawasan Mongolia dan pernah menakluk ibu kota China, Chang'an pada tahun 765. Namun sekitar tahun 840, Uyghur dikalahkan oleh Kyrgyz dan berpecah. Ada yang berpindah ke Gansu dan berkembang menjadi Kaum Yugur (裕固族). Uyghur yang berada di Qocho dan Turpan (di Xinjiang sekarang, tapi waktu itu tak ada konsep Xinjiang) mendirikan negara Qara-Khoja.
6. Pada tahun 1209, Qara-Khoja menyerah kepada Empayar Mongol bawah Genghis Khan. Selepas Empayar Mongol berpecah, Uyghur jadi subject kepada Chagatai Khanate (yang diasaskan oleh anak kedua Genghis Khan). Selepas raja (khan) Chagatai memeluk Islam, Uyghur pun bertukar agama mereka daripada Buddha kepada Islam, mengikuti mazhab Hanafi.
7. Kerajaan Mongol terakhir yang memerintah Uyghur ialah Dzungar Khanate. Dzungar ialah penganut Buddha, jadi Uyghur cuba lawan Dzungar dengan bekerjasama dengan Qing.
8. Pada tahun 1755, Qing menghapuskan Dzungar. Qing melantik Burhanuddin Khoja dan adiknya Jahan Khoja sebagai pemimpin Uyghur di Altishahr.
9. Altishahr merujuk kepada kawasan Tarim Basin. Geografi 101: Xinjiang dipisahkan oleh Banjaran Gunung Tianshan. Bahagian utara dikenali sebagai Dzungaria, kawasan yang dikuasai penuh oleh Dzungar (Mongol). Bahagian selatan dikenali sebagai Kashgaria atau Tarim Basin, atau Altishahr menurut Uyghur. Altishahr (آلتی شهر) bermaksud "6 bandar", merujuk kepada Kashgar, Yarkand, Khotan, Aqsu, Uch Turfan dan Kucha.
10. Burhanuddin dan Jahan Khoja ialah makhdum (مخدوم) atau syeikh tarekat Naqshbandi. Kerajaan Qing menggelarkan mereka sebagai Khoja Besar dan Khoja Kecil (大小和卓 / da xiao he zhuo). Khoja (خوجا) ialah gelaran hormat kepada guru Sufi yang dipakai di kalangan kaum-kaum Turkik. Kalau di Turki panggil "hoca".
11. Tak lama kemudian, Burhanuddin dan Jahan memberontak dan melancarkan jihad terhadap Qing. Qing berjaya mematahkan pemberontakan pada tahun 1759 dan menempatkan Altishahr di bawah pemerintahan langsung, maka bermulalah sejarah Uyghur di bawah China.
12. Tapi keturunan Khoja meneruskan jihad mereka di Kokand Khanate (Uzbekistan hari ini). Kokand menghantar Yaqub Beg (ياقۇب بەگ) untuk membantu Burzug Khan (cicit Burhanuddin) untuk merampas balik Altishahr. Tapi Yaqub Beg menyingkirkan Burzug Khan, sendiri jadi penguasa Altishahr dan mendirikan kerajaan bernama Yettishahar pada tahun 1864. Yettishahar bermaksud "7 bandar", tambah Turfan. [1]
13. Walaupun Yaqub Beg berjaya dipatahkan oleh Qing pada tahun 1877, tapi ia kekal sebagai inspirasi Uyghur yang mahu bebas daripada China. Rebiya Kadeer (pemimpin World Uyghur Congress, lihat Perenggan 26) menggelarkan Yaqub Beg sebagai "our Uyghur hero", walaupun etnisiti Yaqub Beg ialah Tajik. [2]
14. Kesan pemberontakan Yaqub Beg ialah merosotnya autoriti agamawan seperti Khoja di kalangan Uyghur. Dengan itu, "Pan-Turkic nationalism" muncul sebagai "rallying call" baharu. [3]
15. Pan-Turkic Nationalism ialah ideologi yang dibawa oleh Kaum Muda ("Jadid") di kalangan intelektual Uyghur (Kaum Tua digelar sebagai "Qadim"). Golongan ini dipengaruhi oleh ideologi Pan-nasionalisme moden semasa menerima pendidikan di Russia di mana kajian "Turcology" (kajian bahasa dan budaya Turkik) berkembang dengan pesat. [4]
16. Mereka membayangkan Asia Tengah sebagai "Turkestan", tanah tumpah darah rumpun Turkik. Xinjiang berada di sebelah timur, jadi ia adalah "East Turkestan". Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Kyrgyzstan pula adalah "West Turkestan". Matlamat Jadid adalah untuk mendirikan sebuah negara Turkestan yang menyatukan semua bangsa-bangsa Turkik.
17. Percubaan pertama untuk mendirikan negara East Turkestan berlaku pada November 1933. Waktu itu Qing sudah tumbang, diganti dengan Republik China (ROC) yang diperintah oleh Parti Nasionalis (Kuomintang).
18. Islamic Republic of East Turkestan diisytiharkan di Kasghar dengan Khoja Niyaz sebagai Presiden dan Sabit Damulla sebagai Perdana Menteri. Namun akibat serangan tentera Kuomintang (dipimpin oleh Ma Chung-ying, jeneral Muslim Hui) dan konflik dalaman, kerajaan East Turkestan pertama ini tumbang selepas 5 bulan, belum sempat nak menguasai seluruh Xinjiang. Dan disebabkan insiden, ramai Uyghur masih berdendam dengan Hui walaupun sama-sama Muslim.
19. Percubaan kedua berlaku pada 1944. East Turkestan Republic didirikan di Ili, dipimpin oleh Elihan Tore dan kemudian Ehmetjan Qasim. Kali ini tiada nama "Islamic" sebab ia disokong oleh USSR yang komunis. Republik kedua bertahan lebih lama (1944-1949) tapi tak dapat sokongan Pan-Turkic Nationalist yang anti-komunis.
20. Pan-Turkic Nationalist yang anti-USSR seperti Muhammad Amin Bughra, Isa Alptekin, Masud Sabri dan Burhan Shahidi mula mengubah pendirian. Mereka tidak lagi menaruh harapan terhadap idea East Turkestan dan sebaliknya memilih untuk pertahankan kepentingan Uyghur di bawah kerangka China. Hasil daripada perundingan dengan Kuomintang, Masud dilantik sebagai gabenor Xinjiang pada tahun 1947. Buat kali pertama dalam sejarah, pemimpin Uyghur sendiri mentadbir Xinjiang.
21. Namun malangnya, Kuomintang tewas dalam perang dengan Parti Komunis China. Keluar mulut komunis Russia, masuk mulut komunis China. Untuk elakkan tumpahan darah, Burhan (pengganti Masud) mengumumkan penyerahan kepada Parti Komunis China pada 26 September 1949. Burhan dilantik sebagai pengerusi Xinjiang Provincial People's Government.
22. Muhammad Amin dan Isa lari ke Turki dan meneruskan perjuangan Pan-Turkik mereka. Dengan itu, Turki menjadi markas Pan-Turkic Nationalist dan idea East Turkestan ("Doğu Türkistan" dalam Bahasa Turki) disebar.
23. Burhan kemudian diganti oleh Saifuddin Azizi yang pernah jadi Menteri Pendidikan di bawah East Turkestan Republic kedua. Pada tahun 1955, Saifuddin berjaya mendapatkan status autonomi kepada Xinjiang dan Xinjiang dinamakan semula sebagai Xinjiang Uyghur Autonomous Region.
24. Pemerintahan PRC di Xinjiang mula-mula tak ada masalah, malah Uyghur dipandang sebagai aset penting. Burhan jadi duta ke negara-negara Arab sosialis seperti Mesir dan Syria dan menjadi jambatan antara PRC dan dunia Muslim.
25. Tapi gelombang fenomena "Kebangkitan Islam" pada 1980-an turut melanda Xinjiang. Tambahan kedudukan geografi Xinjiang yang dekat dengan Afghanistan, ramai bekas "mujahideen" yang menyertai jihad lawan USSR mula menubuhkan kumpulan militan untuk membebaskan Xinjiang. Gerakan-gerakan ini juga guna nama East Turkestan. Antaranya East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang ada hubungan dengan Al-Qaeda didakwa China sebagai dalang serangan pengganas di Xinjiang yang makin menjadi-jadi memasuki 1990-an. [5]
26. Ada juga gerakan separatis bukan militan seperti World Uyghur Congress yang diasaskan oleh Rebiya Kadeer, dan East Turkestan Government-in-Exile yang diasaskan oleh Anwar Yusuf Turani. Kedua-dua diasaskan pada tahun 2004. Yang menariknya Rebiya dan Anwar saling menuduh sesama mereka sebagai "pemecah-bela bangsa".
27. Namun semua gerakan East Turkestan ini menggugat keabsahan pemerintahan China di Xinjiang. Untuk mengatasi masalah ini, China melancarkan Program Pembangunan Barat atau Xibu Dakaifa (西部大開發) untuk membangunkan kawasan Barat termasuk Xinjiang, dengan harapan pembangunan akan mengurangkan jurang kekayaan antara Uyghur dan Han di Xinjiang yang dianggap sebagai penyumbang kepada semangat separatisme.
28. Tapi masalahnya, pembangunan menggalakkan lagi migrasi Cina Han ke Xinjiang. Pada tahun 1953, peratusan Uyghur dan Han ialah 75% dan 6%, tapi peratusan berubah jadi 46% dan 39% pada tahun 2015.
29. Takut jadi minoriti di tanah sendiri, rusuhan tercetus seperti rusuhan di Urumqi pada Julai 2009 yang mengorbankan hampir 200 nyawa. Kerajaan China macam biasa, mendakwa semua ini sebagai kerja ETIM dan sewaktunya.
30. Xi Jinping yang mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2012 mahu mengambil pendekatan yang lebih keras untuk membanteras kegiatan ETIM. Terutamanya selepas berlaku kejadian serangan di stesen keretapi di Kunming, Yunnan yang mengorbankan 31 orang awam.
31. Atas alasan membanteras "Islam radikal", Xi memperkenalkan "re-education camp" (再教育营 / zai jiao yu ying). Ini bukan sekolah pendidikan vokasional, tapi lebih kepada "corrective camp" yang digunakan untuk "de-radicalize" tahanan Uyghur yang disyaki terlibat dalam ETIM. Macam Gulag di USSR lah.
32. Ada juga beberapa langkah "de-radicalization" Xi yang kontroversial seperti "Kempen Anti-Halal" sebab Kerajaan Xi melihat "halal" ini sebagai tanda Islam radikal. Undang-Undang De-Radicalization yang dikeluarkan pada tahun 2017 ada sebut "泛化清真" (fan hua qing zhen) iaitu mengaplikasikan konsep halal selain untuk tujuan makanan adalah dilarang (Artikel 2.6). Muslimah dilarang pakai burqa kerana itu tanda radikal (Artikel 2.7). Lelaki dilarang menyimpan janggut di "luar kebiasaan" (非正常蓄须 / fei zheng chang xu xu - Artikel 2.8). Ini People’s Daily eh, bukan kelentong. [6]
33. Like seriously? Tapi kan, kalau kita sendiri pun ada yang anggap Jawi sebagai Arabisasi takkan nak expect Komunis China faham konsep halal atau sunnah.
34. Hui yang tak ada kena mengena dengan separatisme Uyghur pun menerima kesan. Selain Muslim, kebebasan beragama penganut Kristian, Buddha dan Tao pun semakin tergugat di bawah Xi. Jadi orang mula pertikai Xi. "De-radicalization" hanyalah alasan, Xi sebenarnya anti-agama, takut agama mengalihkan kesetiaan rakyat terhadap Parti Komunis China.
35. Tapi yang betul-betul membuat isu re-educational camp ini menarik perhatian dunia ialah kenyataan Gay McDougall di sidang Jawatankuasa Penghapusan Diskrimasi Kaum (CERD, ye betul, ICERD itu lah), PBB pada 13 Ogos 2018 yang kata ada 1 juta Uyghur ditahan bawah re-education camp. [7]
36. Susulan daripada, pelbagai cerita horror tentang kekejaman yang berlaku di dalam re-education camp mula memenuhi media antarabangsa. Ada yang sahih, ada yang boleh diragui. Ada yang pakai gambar ahli Falun Gong kena seksa, tapi letak tajuk kesengsaraan Uyghur.
37. Berdasarkan laporan PBB ini, 23 negara termasuk US, UK, Jepun dan Australia telah mengemukakan kenyataan bersama yang mengecam China dan menggesa re-education ditutup camp serta merta.
38. Di kalangan negara ini, tak ada satu pun negara anggota OIC (negara-negara Islam). Malah negara-negara seperti Saudi, Iran, Pakistan, Bangladesh even Turkmenistan (saudara serumpun) siap keluarkan kenyataan bersama menyokong tindakan China.
39. Jadi ramai marah mana suara umat Islam membela nasib Uyghur, termasuk Mesut Özil yang bikin panas baru-baru ini.
40. Namun idola Özil sendiri, Erdoğan pun tak nyatakan pendirian. Sikap Erdoğan dikecam oleh media Turki dan juga gerakan-gerakan East Turkestan yang selama ini memandang Turki sebagai "abang besar" yang sentiasa bersedia untuk membela nasib negara Turkik yang lain. [8]
41. Mereka syak Erdoğan desperate nak berbaik dengan China selepas bergaduh dengan US. Buktinya Turki telah mengiktiraf ETIM sebagai pengganas pada tahun 2017, walaupun selama ini Turki enggan berbuat demikian.
42. Rata-rata negara Islam juga dituduh senyap kerana takut nak confront China. Kalau bahasa kasaq sikit, tak ada teluq. Teluq kena pegang oleh China. Saudi dan Pakistan menerima berpuluh bilion pelaburan oleh China, confirm kena beli lah orang kata.
43. Tapi tak adil sebenarnya nak kata mereka pengecut. Mereka sebenarnya ada masalah dengan dakwaan "sejuta tahanan". Dakwaan tersebut bukan dibuat oleh siasatan tapi berdasarkan dakwaan McDougall sendiri tanpa menyatakan sebarang sumber.
44. Negara-negara Islam ini tak sokong kecaman US dan sekutunya yang berdasarkan dakwaan McDougall, tapi bukan bermaksud mereka tak prihatin dengan isu Uyghur. Kena ada siasatan impartial dari pihak PBB. "Pendedahan" di Oh Bintang atau Nangka Cheese, walaupun ada sejuta share, tak cukup untuk negara-negara ini mencabar China.
45. Suka atau tidak, isu ini intertwine dengan geopolitik. Aku cakap macam ini sebab dah agak mesti ada yang akan kecam aku "eh, orang cerita pasal hak asasi manusia lah, kau lagi nak sibuk dengan geopolitik!"
46. Menyokong gerakan pemisah untuk menyahstabil sesebuah negara bukan benda yang baru. Contoh klasik macam campur tangan NATO di Kosovo dan Negara-Negara Teluk di Syria untuk tumbangkan Bashar al-Assad. Semua bermula dengan "krisis kemanusiaan".
47. Bukan bermaksud tak berlaku kezaliman dalam kem, atau cerita-cerita penderitaan hanya rekaan/propaganda semata-mata. Tahanan berprofil tinggi seperti Muhammad Salih Halim (ulama), Rahile Dawut (profesor) dan Ablajan Ayup (penyanyi) yang jauh sekali nak dikaitkan dengan "radikal" merupakan isyarat bahawa something is wrong dengan re-education camp.
48. Cuma isu diperalatkan untuk agenda geopolitik. Negara perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dalam usaha untuk mengabsahkan gerakan kemerdekaan.
49. Dalam isu Uyghur ini kita kena bezakan bersolidariti atas kemanusiaan dan menyokong gerakan East Turkestan.
50. Isu pertama melibatkan kemanusiaan, hak asasi untuk dapat fair trial dan tidak diseksa. Benda ini universal, terpakai untuk Uyghur, terpakai untuk Tibet, terpakai untuk Cina Han. Kisah kena electric shock dan tuai organ sudah lama dilaporkan di kalangan penganut Falun Gong yang diharamkan pada tahun 1999. Pengikut Falun Gong kebanyakan ialah Orang Han. Benda ini juga berlaku kepada separatis Tibet. Malah laporan McDougall juga ada sebut Mongolia dan Tibet.
51. Isu kedua melibatkan kedaulatan ("sovereignty") China ke atas Xinjiang. Naratif yang cuba diwujudkan oleh sesetengah pihak sekarang ialah bahawa East Turkestan ialah sebuah negara merdeka sehingga China datang menjajah. Macam Aydin Anwar (aktivis Uyghur warga US) yang videonya ramai orang share.
52. Aydin menyeru ramai untuk gantikan nama Xinjiang dengan East Turkestan, dan buat perbandingan antara isu Israel-Palestin dan China-Xinjiang. Katanya Xinjiang ialah "Occupied East Turkestan". Ramai (walhal ahli akademik) sokong dakwaan demikian. Tapi cuba bandingkan klaim dia dengan kronologi sejarah dari Perenggan 7-23 (kalau tak yakin dengan aku, boleh kaji sendiri). Xinjiang ini Palestin, atau Catalonia?
53. Perasan tak selepas isu 1 juta tahanan Uyghur timbul, simbol kemerdekaan East Turkevisit tetiba pop up sini sana? Poster "Save Uyghur" letak budak muka yang dicat dengan "gök bayrak" (lambang separatis Uyghur yang diadaptasi daripada bendera East Turkestan Republic). Manga Jepun pasal Mihrigul Tursun yang viral baru-baru ini pun letak gök bayrak di muka depan. Motif?
54. Ramai yang sekadar bersolidariti dengan Uyghur pun secara tidak langsung memandang simbol-simbol tersebut sebagai lambang Kaum Uyghur.
55. Tindakan Özil yang mengiktiraf East Turkestan dalam tweet yang sebenarnya dikecam oleh warganet China, bukan kenyataannya tentang Uyghur. Tapi hampir semua media tak highlight aspek itu. Motif?
56. Selain Turki, markas utama separatis Uyghur ialah US dan Jepun. Jepun menyokong gerakan East Turkestan sejak 1930-an lagi, dengan cita-cita menjadikan East Turkestan sebagai "Manchukuo" di Asia Tengah (Manchukuo ialah negara boneka Jepun di Manchuria yang digunakan untuk memperluaskan kepentingan Jepun). Rebiya Kadeer ada kabel kuat di Jepun. Uyghur menjadi satu bidak penting dalam percaturan US-Jepun terhadap China.
57. Kita boleh tekan China untuk memperbaiki layanannya terhadap Uyghur, tapi kalau kita nak kata "Free Uyghur" "Free East Turkestan" itu dah kira mencabar kedaulatan China. China tak akan lepaskan Xinjiang atas kepentingan dari segi "energy security" dan "strategic depth" (akan diulas lebih lanjut dalam DTT3).
58. Bukan bermaksud aku setuju dengan perbuatan China, tapi mencampur adukkan isu kemanusiaan dengan kedaulatan, diapi-apikan lagi dengan dakwaan ada konspirasi Cina terhadap Muslim hanya merumitkan isu.
59. Walaupun layanan China terhadap Uyghur teruk, tapi China ialah penyokong teguh Palestin dan Muslim di Kashmir. Aku percaya negara-negara yang berdiam bukan kerana takut, tapi sebenarnya nak cari jalan tengah, tak nak ikut rentak negara-negara Barat yang ada agenda tersendiri. Bukan semudah "berdiam itu tanda lemahnya iman". Islam juga ajar bertindak dengan hikmah, kena lihat big picture.
60. China juga patut bertindak dengan hikmah dan come clean. Sikap China yang sorok-sorok dan tak telus dalam isu re-education camp dan layanan ke atas Uyghur hanya akan backfire. ISIS tunggu masa je nak venture masuk Xinjiang, isu Uyghur yang semakin disensasikan akan memudahkan lagi mereka rekrut pejuang.
61. Apa yang patut kita buat sebagai orang awam? Doakan kesejahteraan saudara seagama. Nak boikot pun boikot lah. Tapi hindari daripada mensensasikan sentimen agama dan perkauman.
62. Secara peribadi aku rasa tak wajar promote simbol East Turkestan dalam masa bersolidariti. Tapi itu kebebasan korang, aku tak berhak untuk halang. Cuma kalau kita tak suka orang buat kat kita, kita jangan buat kat orang.
63. Aku ambil jalan tengah: tak percaya bulat-bulat propaganda pro-China yang "whitewash" China seolah-olah keadaan di Xinjiang semua baik-baik sahaja, tapi juga sangsi dengan cerita sensasi berkaitan Xinjiang yang mengandungi agenda tertentu.
64. Akhir kalam, kalau ada point yang tak setuju, sila berdiskusi secara tenang. Aku tak ada kepentingan dalam isu ni, cuma menulis atas dasar penuntut ilmu dan juga permintaan ramai. Janganlah kecam-mengecam.
Versi TL;DR: Dalam mengecam tindakan China di Xinjiang yang melanggari hak asasi manusia, kita juga harus berhati-hati untuk tidak ikut rentak pihak berkepentingan yang cuba legitimize gerakan pemisah dan mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman. Jangan beremosi dan berdoa baik-baik saja.
Sekian, Salam Hormat.
Rujukan (tak semua benda di letak rujukan, hanya untuk point spesifik sahaja)
[1] "Mais Mohammed Yacoub ne pouvait longtemps se résoudre à laisser un Chodjajouir des fruits de sa victoire; il renversa le prince Burzug-Khan qu'il avait rétabli au pouvoir, le jeta en prison et finalement l'expulsa du pays" (Bulletin de la Société de géographie, Juillet à Décembre 1877)
[2] Rebiya Kadeer & Alexandra Cavelius, Dragon Fighter: One Woman's Epic Struggle for Peace With China (Kales Press, 2009)
[3] Nabijan Tursun, "Factors and Challenges of Uyghur Nationalism in the Early Twentieth Century" dalam Güljanat Kurmangaliyeva & Konuralp Ercilasun, The Uyghur Community: Diaspora, Identity and Geopolitics (Palgrave Macmillan, 2018)
[4] Arne Haugen, The Establishment of National Republics in Soviet Central Asia (Palgrave Macmillan, 2003)
[5] J. Todd Reed & Diana Raschke, The ETIM: China's Islamic Militants and the Global Terrorist Threat (Praeger, 2010)
[6] http://xj.people.com.cn/n2/2017/0330/c186332-29942874.html
[7] https://www.ohchr.org/EN/NewsEvents/Pages/DisplayNews.aspx?NewsID=23452&LangID=E
[8] https://www.middleeasteye.net/news/erdogan-criticised-over-silence-uighurs-during-china-visit
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10212212504027416&id=1821685114
Perang Sungai Manik
*Selendang Merah Sg Manik*
Jangan dibangkit Harimau yang sedang lena;
*PERANG SUNGAI MANIK*
Cerita di bawah ini adalah terjemahan dari cerita asal bahasa Banjar bertajuk “Sungai Manik Bamandi Darah”. yang diterjemah ke Bahasa Melayu oleh Utuh Lingkun didalam blog beliau dibawah tajuk Perang Sungai Manik. Saya menyusunnya sedikit dengan gaya bahasa yang mudah.
Badan Ismail Rudo yang sudah tidak berkaki dan bertangan menggelupur di atas titi dan sedang menunggu masa untuk nyawa berpisah dengan badan – kedua belah kaki dan tangan Mail Rudo putus ditetak parang ‘bungkol’ Utoh Putih. Air jernih yang mengalir deras di bawah titi bertukar merah disirami darah. Maka tertawa besarlah ‘sangkala’ mendapat habuan petang – darah dalam jantung adalah makanannya. Begitulah adat orang berkelahi, salah seorang pasti kecundang. Selepas Asar, Mail Rudo pergi seorang diri – menghembuskan nafas terakhir tanpa seorang pun yang sudi mendekatinya. Sepucuk pistol .38 tanpa peluru masih berada di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa lagi. Ramai penduduk Bendang DO, parit 6, Sungai Manik terdiri dari keluarga Banjar. Kehidupan mereka begitu daif, terhimpit dan dihimpit oleh gerombolan komunis yang bermarkas di Sungai Tungko, dan diketuai oleh Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang. Pembunuh Mail Rudo, orang kuat Parti Komunis Malaya (PKM) mesti ditangkap segera.
Utoh Putih, Banjar ‘Alai’ jati beranak dua – anak bungsunya seorang bayi perempuan dan baru pandai berdiri-jatuh. Dia menetap di Pekan Rabu, Parit 6, Sungai Manik. Oleh kerana warna kulitnya yang tersangat cerah maka lekatlah gelaran Utuh Putih. Arwah datuk (pencerita) dan Utuh Putih adalah rakan karib yang sama hebat ilmu zahir dan batin. Mail Rudo, Banjar Sungai Tungko, Sungai Manik sudah lama menyertai PKM dalam bahagian risik. Selepas tentera Jepun menyerah kalah, Mail Rudo ditugaskan mencari ahli baru dalam daerah Sungai Manik. Disebabkan tidak ramai keluarga Banjar yang sudi menyertai perjuangan komunis, maka akhirnya Mail Rudo terpaksa menggunakan kekerasan. Mereka yang enggan akan menerima padah.
Saban hari ada saja penduduk kampung yang ditangkap, tak kira muda ataupun tua. Disiksa, disembelih, disumbat dalam guni hidup-hidup dan dibuang ke Sungai Perak, ditembak, disula, dan bermacam lagi hukuman. Begitulah gerangan bila manusia (Mail Rudo) sudah ada kedudukan – mudah lupa diri hingga hilang rasa kemanusiaan. Pada masa itu bukan sedikit orang Banjar dan orang Melayu yang menyokong perjuangan komunis. Malah ada juga orang Banjar yang hebat ilmunya turut menjadi talibarut. Orang seperti itulah yang menjadi duri dalam daging penduduk setempat. Oleh kerana terlau mengejar pangkat mereka sanggup membunuh, membakar rumah dan memusnahkan harta benda bangsa sendiri. Penduduk kampung yang takut menyertai perjuangan komunis secara aktif dipaksa pula membayar yuran sebagai ahli PKM. Kehidupan keluarga Banjar di Sungai Manik semakin terhimpit. Ramai yang terpaksa berpindah ke penempatan Banjar di seberang Sungai Kinta – ke Kampung Balun Bidai dan Kampung Gajah.
Waktu Zohor baru saja masuk. Alun air bendang dihembus bayu membuat hati terasa rawan. Sambil memikul guni berisi ubi, Utoh Putih melangkah cermat menuju titi untuk kembali ke rumah di Pekan Rabu. Sebaik sampai di pangkal titi…
“Dari mana gerangan ni ‘Toh, akhirnya bertemu juga kita di sini ye?” entah dari mana munculnya si Mail Rudo, tiba-tiba saja tercegat di tengah titi berpakaian seragam komunis, pistol dan bayonet terselit di pinggang. Di wajahnya terpancar rasa kepuasan kerana dapat bertemu dengan Utoh Putih yang sudah sekian lama dipujuknya supaya menyertai PKM.
“Baru balik dari Cikus mencari ubi, maafkan saya tuan, tumpang lalu” Utoh Putih menyahut penuh hormat.
“Kalau ia pun letaklah dulu guni ubi tu, tak usah bergegas, apa yang nak dikejar, tak ke mana perginya rumah tu” garau bunyi suara Mail Rudo. Antara rela dan terpaksa, Utoh Putih mematuhi perintah ‘tuan besar’ dan meletakkan guni ubi di atas titi. Begitu gah susuk tubuh dua orang anak Banjar yang berdiri di atas titi menghadap satu sama lain, cumanya seorang berkulit cerah manakala seorang lagi kelihatan gelap.
“Mungkin petang ini pertemuan kita yang terakhir, agaknya” si Mail Rudo menyambung bicara.
“Apa hajat, kenapa lain benar kata-kata tuan besar?” si Utoh Putih yang menyambut bicara merasakan ada sesuatu yang tak kena.
“Tak usah pura-pura tak tau, bagaimana dengan janji kau dulu? Sampai hari ini aku masih menunggu kata putus” rungut orang kuat PKM menempelak.
“Taklah Mail, aku tak nak ikut perjuangan yang membinasakan bangsa, sedangkan perjuangan untuk mengisi perut sendiri dan anak bini rasa dah tak tertanggung. Tidak…tidak sekali-kali” si Utoh Putih menjawab tegas.
“Mak oi, keras benar hati kau ni ‘Toh…apa nak buat…kalau itulah pendirian kau, bersiap sedialah” merah padam muka Mail Rudo kerana marah. Spontan tangan kanannya mencapai pistol di pinggang dan mengacukan ke dada si Utoh Putih.
“Jangan, senjata jangan dibuat main Mail ai…kita kan serumpun, tak kanlah kau tak ada belas kasihan. Ditakdirkan aku tak ada, siapa yang nak menyara anak isteriku nanti…ampun tuan besar” si Utoh Putih merayu minta simpati.
“Dam…” bunyi pistol memuntahkan peluru sulung. Berasap baju buruk si Utoh Putih dihinggapi peluru, namun dia masih tak berganjak, masih tegak berdiri. Keluarga Banjar berhampiran yang terkejut melihat kejadian tak berani mendekati, masing-masing masuk ke rumah.
“Dam…dammmm…” sudah tiga das tembakan dilepaskan oleh Mail Rudo namun peluru masih tak mampu menembusi kulit si Utoh Putih.
“Bangsat betul, kebal rupanya kau ye…tahani lagi nah” tengking orang kuat PKM. Tanpa disedari sudah enam das tembakan dilepaskan dan pistolnya sudah kehabisan peluru. Sedang dia terkial-kial…
“Labukkk…” ayunan parang bungkol yang bergelar si Kandal Larap hinggap dipergelangan tangan kanan Mail Rudo yang membuatkan tangan itu putus serta merta.
“Labukkk…” giliran tangan kiri si Mail Rudo untuk jatuh ke tanah. Utoh Putih meneruskan ayunan. Kali ini lutut kanan Mail Rudo pula jadi mangsa parang bungkol Kandal Larap. Setelah putus kaki kanan, maka terdamparlah Mail Rudo di atas titi. Si Utoh Putih semakin geram. Tetakan terakhirnya membuat kaki kiri Mail Rudo bercerai dengan badan. Guni yang berisi ubi diletakkan semula ke bahu, dan Utoh Putih terus balik ke rumah meninggalkan Mail Rudo mengerang kesakitan.
Markas PKM di Sungai Tungko gempar mendapat berita tentang pembunuhan Mail Rudo. Dengan bersenjatakan raifel MK5, berduyun-duyun gerombolan komunis yang diketuai orang kanan mereka si Ah Pau bergegas menghala ke Bendang DO, Parit 6, Sungai Manik. “Ai yaa…kaki tangan semua kasi potong habit ka…manyak cilaka itu olang.” bebel si Ah Pau apabila terpandang mayat Mail Rudo yang masih terkangkang di atas titi. Tak seorang pun keluarga Banjar di Bendang DO yang berani tampil menunjukkan muka. Mereka hanya menyaksikan dari jendela rumah masing-masing.
Hari semakin larut petang, gerombolan komunis masih riuh berbincang sesama sendiri. Entah apa yang mereka bincangkan tak seorang pun penduduk kampung yang mengerti. Sejurus kemudian, kumpulan komunis itu pergi dari rumah ke rumah mengetuk kuat dinding mengarahkan orang kampung, tua dan muda, berkumpul di hadapan Pekan Rabu. Seorang demi seorang di soal siasat termasuklah Utoh Putih. Namun, keluarga Banjar sepakat berpura-pura tak kenal siapa yang membunuh Mail Rudo. Akhirnya kepala komunis, si Ah Pau memberi kata dua: Kalau pembunuh Mail Rudo tidak ditangkap, Bendang DO akan jadi padang jarak padang tekukur. Mayat Mail Rudo diikat dengan tali dan digalas dengan kayu panjang untuk dibawa pergi. Rasa kesian pun ada melihat cara mayat diperlakukan – tak ubah seperti mengandar hasil buruan babi hutan. Tak siapa yang tau ke mana mayat itu dibawa, ditanam atau dibuang ke Sungai Perak. Kalau dibuang ke sungai pastinya ternganga luas mulut sang buaya mendapat habuan petang. Warga Banjar sepakat meminta Utoh Putih membawa isteri dan anak-anak meninggalkan Bendang DO dengan segera. Maklum sajalah, mulut tempayan boleh ditutup rapat, mulut manusia siapalah tau. Tapi apa pula kata empunya diri…! “tidak saudaraku. Untuk apa kalau aku seorang saja yang menjaga anak dan isteri sedangkan kalian semua terpaksa menanggung derita…aku tak akan meninggalkan kampung ini. Tidak, tidak sekali-kali, apa nak jadi, jadilah.” jenuh penduduk kampung memujuk namun Utoh Putih tetap dengan pendiriannya.
Sudah tiga hari berlalu, Emoh sahabat karib Utoh Putih yang baru dapat berita segera menonong meninggalkan Balun Bidai menyeberang Sungai Kinta menuju ke Bendang DO untuk menemui sahabat karibnya, kawan sehati, seperguruan dan sama jaguh. Persahabatan mereka lebih akrab dari hubungan adik-beradik, dan tentunya Emoh tak akan membiarkan sahabatnya keseorangan dalam keadaan sedemikian.
“Andainya aku berhijrah meninggalkan Bendang DO, mati juga akhirnya, ajal maut sudah ditentukan, tak siapa boleh menghalang” Utoh Putih memulakan perbualan setelah selesai makan malam itu.
“Ai, jangan begitu, apa resa kau ‘Toh?” tanya Emoh yang mula rasa tak sedap hati.
“Tak lah, manalah tau,” jawabnya ringkas.
Walau bagaimana pun, Emoh masih rasa gelisah kerana lain benar kelakuan sahabatnya yang semakin pendiam , lebih bersikap mengiakan dari merancakkan perbualan. Selalunya kalau lama tak berjumpa, tak kering gusi mereka berbual.
Malam semakin larut namun dua orang sahabat karib itu masih lagi belum tidur, masih rancak berbual.
“Moh, andainya ajalku sampai, jangan bersusah payah membawa mayatku ke Balun Bidai, kebumikan saja di sini. Tapi, jangan kau lupa membawa anak isteriku dan serahkan kepada keluarganya di sana. Sepanjang kita bersahabat, kalau ada terlebih terkurang, aku minta halal dunia akhirat. Engkau pula Moh, biarlah disederhanakan menunjukkan kejaguhan. Berhati-hatilah memilih kawan. Satu lagi…tapi jangan pula kau anggap aku menghalau…esok sebelum Zohor, aku minta kau segera beredar dari rumahku, ke mana yang kau nak tuju, aku tak melarang. Tak ada apa-apalah, cuma aku rasa lebih selesa kalau bersendirian!” rasa berderau darah si Emoh mendengar kata-kata sahabatnya, lantas bangun mendakap Utoh Putih. Mulut terkunci – tak sepatah kata pun yang terucap antara mereka kecuali deraian air mata mengenangkan nasib yang bakal menimpa. “Mungkin sudah sampai ajal saudaraku ini,” bisik hati kecil Emoh.
Mereka terus berbual sampai ke subuh.
Dalam remang subuh, kedua sahabat sudah tercegat di tepi telaga mandi.
“Ayuh, duduklah ‘Toh…..Bismillahirahmanirahim… ..” Emoh membaca ayat mandi suci sambil menyiram air memandikan sahabatnya si Utoh Putih hingga selesai.
Api di dapur marak dengan isteri Utoh Putih sibuk menyediakan sarapan pagi. Kesian si isteri kerana tak tau kisah dan hujung pangkal cerita. Pada pengamatannya, bermandi-mandian di subuh hari sudah jadi kelaziman dua orang pendekar tersebut.
Panas semakin terik di Bendang DO sebagai tanda pagi sudah beralih ke tengahari. Maka tibalah saatnya untuk kedua sahabat itu berpisah. Salah seorang terpaksa memegang janji.
“Jangan lupa pesan guru kita wahai saudaraku, walau nyawa sudah berada di hujung, jangan sekali-kali kau lupa….” pesan Emoh kepada Utoh Putih. Kedua sahabat berpelukan untuk kali terakhir.
“Bersaudara kita dunia akhirat.” dengan kata-kata itu, Emoh terus menonong meninggalkan sahabatnya si Utoh Putih tanpa menoleh lagi ke belakang. Ke mana gerangan tujuannya, tak siapa pun tahu.
Selepas solat Zohor tengahari itu, kelopak mata Utoh Putih terasa berat kerana tak tidur semalaman. Anak bungsunya sudah merengkok terlena di tepi jendela anjung rumah. Hembusan bayu Bendang DO terasa dingin. Tak lama setelah Utoh Putih merebahkan badan di sebelah anaknya, dia pun turut terlena.
Hari semakin menghampiri petang. Entah kenapa gerangan hari ini Bendang DO sunyi sepi. Tak seorang pun yang kelihatan mundar mandir di luar rumah seperti hari-hari biasa. Agaknya mereka sengaja mendiamkan diri dalam rumah, masih terkejut dengan kematian Mail Rudo dan kata-dua komunis, atau sedang menghitung hari kerana tempoh seminggu yang diberikan PKM semakin hampir.
Tanpa disedari enam orang komunis sedang merayap menghampiri rumah Utoh Putih. Kebetulan pula, isteri dan anak sulungnya tidak ada di rumah kerana pergi mengail ikan puyu bersama kawan-kawan. Dengan menatang raifel MK5, gerombolan komunis terjingkit-jingkit menjenguk setiap jendela rumah. Sebaik terpandang Utoh Putih yang sedang lena, tanpa membuang masa muncung MK5 diacukan ke kepala dari luar jendela.
“Dahui…dahui…dahui…” tiga kali muncung raifel memuntahkan peluru. Kerana sudah sampai waktunya – sampai ajal – kekebalan Utoh Putih berakhir. Tak sedikit pun yang tinggal. Menggelegak darah dalam jantung keluar menerusi ruang-ruang terbuka di kepala. Mujur juga anak kecilnya tidak diapa-apakan. Menjerit sakan si anak yang terkejut, merangkak mendakap bapanya yang sudah tidak bernyawa lagi.
Berdekah-dekah ketawa gerombolan komunis kerana puas dapat membalas kematian Mail Rudo. Selepas itu mereka terus balik meninggalkan Pekan Rabu, Bendang DO menghala ke Sungai Tungko.
Si Emoh yang sedang dalam perjalanan menghala ke Bendang DO hampir terserempak dengan kumpulan PKM yang masih terbahak-bahak kegembiraan. Mujur juga dia ternampak mereka lebih dahulu, lantas melompat menyembunyikan diri ke dalam semak. Parang bungkol yang bergelar “si Buruk” sedia tergenggam di tangan. Andai ketemuan, tak taulah apa yang akan terjadi. Mujur juga dia masih lagi dilindungi Allah, dan tak seorang pun ahli komunis tersebut dapat melihatnya.
Bercucuran air mata Emoh terkenang sahabatnya si Utoh Putih. “Mungkin dah tak ada lagi saudaraku ini” bisik hati kecilnya. Belum pun jauh kumpulan komunis itu berlalu, Emoh bingkas dan pantas berlari meredah pinggir bendang menghala ke rumah Utoh Putih yang sudah mula ramai orang.
“Ayuh, pergilah dulu wahai saudaraku kerana bila sudah sampai masanya, tidak siapa dapat menghalang” bisik Emoh ketika terpandang jenazah si Utoh Putih. Semua warga Banjar di Bendang DO sepakat untuk menyempurnakan jenazah petang itu juga. Dalam keadaan serba kekurangan kerana darurat, pengkebumian berlarutan sampai ke malam.
Betapa benarnya kata-kata “kalau mulut tempayan pekasam boleh disumbat ketat, mulut manusia siapa yang dapat menduga”. Tentu ada yang celupar kalau tidak masakan PKM tahu Utoh Putih yang empunya angkara.
Mengerlit kilauan parang bungkol si Kandal Larap yang sudah tidak bertuan tersangkut di dinding. Sambil mengusap mata parang bungkol peninggalan sahabat karibnya, hati Emoh berkata “Satu ketika nanti akan ku mandikan si Kandal Larap dengan darah seteru haram jadah…”
Sudah seminggu berlalu, mujurlah tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku di Bendang DO. Pun begitu, keluarga Banjar yang berada di situ masih curiga kerana maklum sajalah janji komunis tak boleh dipercaya. Dalam diam, kerabat PKM sudah membina sebuah markas kecil kira-kira satu kilometer dari Bendang DO dengan tujuan mengawasi dan berkempen kononnya tak siapa pun yang boleh memerdekakan Tanah Melayu selain dari PKM.
Ramai jugalah orang Melayu dan Banjar yang mula terpengaruh diresapi dakyah komunis hingga ada yang sanggup menyertai kumpulan bersenjata, manakala yang penakut atau berani-berani lalat pula memadailah sekadar menjadi mata dan telinga mereka.
Markas PKM di Bendang DO tak mendapat sambutan langsung. Perjuangan apa gerangan kalau caranya lebih teruk dari pemerintahan Jepun. Begitulah agaknya tanggapan warga Banjar seluruh Bendang DO – geram benar gamaknya.
Ketua komunis di markas besar Sungai Tungko mula gelisah kerana kempen dipandang sepi oleh warga Banjar di Bendang DO yang masih keras hati. Akhirnya gerombolan PKM terpaksa membuat percaturan lain…menimbulkan masalah saban hari; tak cukup dengan makanan, harta benda orang kampung dirampas, tanaman musnah diinjak dilenyek. Namun tidak juga membawa hasil yang diharapkan malah semakin menambah marak api kemarahan warga Banjar.
Ah Pau, Ah Boon dan Ah Jang orang kuat komunis mengeluarkan perintah dan amaran terakhir; kalau tak sanggup melihat Bendang DO menjadi padang halilintar, dalam masa seminggu warga Banjar diarah mengumpulkan kaum perempuan yang masih muda, tak kiralah anak dara atau isteri orang. Sudah lama benar gerangan si kulup ini menagih kaum perempuan, dan kalau itulah caranya, bagaimana gerangan dapat menentang British kelak!
Begitulah, satu perintah, satu tagihan, yang menyusahkan warga Banjar Bendang DO. Ke mana hendak mengadu kerana dalam keadaan darurat begini, Penghulu tak ada, Ketua Kampung pun tak ada. Bagaimana ye!
Haji Bakri, Banjar dari suku kaum Rantau berhijrah dari Kalimantan ke Sapat, Sumatera. Dari Sapat berhijrah pula ke Batu Pahat, Johor, dan bertemu jodoh di sana.
Isteri tua bernama Patmah binti Hj Hassan dan dikurniakan dua orang anak – Zainab dan Abdul Majid. Isteri muda bernama Samiah binti Hj Abdul Jalil dan dikurniakan tiga orang anak – Abdul Kadir, Abdul Hamid dan Siti Sarah.
Haji Bakri lemah lembut orangnya, sentiasa merendah diri hinggakan tak ramai yang tahu tentang ketinggian ilmunya – dunia dan akhirat. Setelah mendengar khabar tentang warga Banjar ramai menetap di Sungai Manik, beliau berhijrah ke sini sebelum Jepun memerintah Malaya. Dialah yang banyak mengajar agama dan membetulkan akidah warga Banjar di Sungai Manik. Lantaran itu dia diberi gelaran Patuan Guru (Tuan Guru).
“Kalau sampai menagih perempuan, itu sudah benar-benar melampau” ujar Tuan Guru yang sudah mula rasa geram.
“Tak ada lain melainkan parang bungkol lawannya si haram jadah ni,” bebel Tuan Guru yang sudah merah padam muka kerana marah.
Tuan Guru Haji Bakri membuat pakatan sulit dengan warga Banjar Bendang DO yang bersetuju untuk menentang komunis.
Sebagai permulaan, lapan orang perempuan berjaya dikumpulkan, tapi kemudiannya hanya lima orang yang setuju, itu pun setelah jenuh memujuk. Memang benar pun, siapa yang sudi dijadikan hamba sex kepada pengganas komunis yang tak tau bahasa tu.
“Bukan kami bodoh menghulur bulat-bulat warga yang masih sunti melainkan ada helah, untuk dibuat umpan sementara” Tuan Guru memberi kepastian.
Tempoh yang diberikan PKM hanya tinggal tiga hari saja lagi. Warga Banjar masing-masing) sibuk mengasah parang bungkol yang beranika gelaran. Tajamnya si Kandal Larap boleh dijadikan pisau cukur untuk membotakkan kepala. Ketika itulah dapat dilihat pelbagai ilmu dan amalan orang Banjar. Ada yang berendam semalaman dalam perigi buruk, ada yang berwirid siang malam tanpa henti, mandi buluh dan bermacam lagi petua. Betapa tidak, perjuangan antara hidup dan mati bukan boleh diambil mudah.
Rumah Tuan Guru Hj Bakri bersebelahan surau Parit 8, boleh tahan juga besarnya. Diperbuat dari kayu baik zaman British – kukuh dan padu. Dalam rumah itulah warga Banjar mengatur strategi untuk berdepan dengan pengganas komunis. Berkilau-kilauan mata parang bungkol pesaka moyang yang dibawa dari kampung halaman di negeri Banjar, dan kebanyakannya sudah pernah dibasahi darah tentera Belanda. Memang sudah terbukti kehebatan parang-parang tersebut ketika digunakan memerangi penjajah di Kalimantan dulu. Pada masa itulah terkeluar nama atau gelaran yang tak pernah didengar sebelumnya.
Ketika itu, Tuan Guru Haji Bakri tak ada anak lelaki dewasa di Sungai Manik, yang ada hanya seorang cucu lelaki yang masih remaja berusia awal 20an. Acil, nama cucu kesayangannya. Nakalnya boleh tahan juga, tak jauh bezanya dengan anak-anak hari ini. Disebabkan kenakalan itulah, Tuan Guru Haji Bakri segera menurunkan ilmu kepada cucunya. Maka semakin bertambahlah kejaguhan si teruna ini.
“Nah, buat genggaman mu,” Tuan Guru Haji Bakri menghulur parang bungkol si “Mandam Layu” kepada cucunya. Fuh, cantik sungguh; hulunya diukir dari akar buluh betung, rumbai perca kain merah di hujung menambah keampuhan bila dipandang. Apa lagi, senyum meleret si Utoh Acil menerimanya.
Sunyi sepi seluruh Bendang DO kerana setiap buah rumah telah dikosongkan, penghuninya berpindah ke rumah Tuan Guru – markas warga Banjar di Parit 8.
“Mudah-mudahan kita semua dilindungi Allah…Allahuakbar” ujar Tuan Guru Haji Bakri ketika melepaskan warga Banjar memulakan gerak menghampiri markas PKM di muara Bendang DO tengah malam itu.
Pagi Isnin, dengan terbitnya matahari di ufuk timur, maka sampailah sudah saat dan ketikanya warga Banjar di Bendang DO membuat perhitungan dengan gerombolan haram jadah - tentera PKM.
Semakin bercahaya wajah 8 orang perempuan Banjar yang sudah disolek dan didandan. Fuh rasa tak dapat lagi menceritakan, rambang mata sekiranya disuruh memilih satu persatu.
Wajah perempuan yang mulanya kecut ketakutan mula nampak merah, dan juga garang! Membara sungguh nampaknya kerana baru saja diminumkan air jampi Tuan Guru. Mudahlah nanti kalau tak ada yang lemah semangat atau gementar bila berdepan musuh. Atau kalau ada yang tak tahan melihat darah membuak-buak di medan pertempuran.
Mak ooii, cantik sungguh tiga orang anak dara ni…milik siapalah gerangan!
Emoh, Acil dan Sabran baru saja didandan menyamar jadi perempuan. Hebat juga hasil solekan warga perempuan Banjar di Bendang DO, mungkin juga boleh mengalahkan ‘mak nyah’ yang terkedek-kedek. Tapi mereka perlu berhati-hati jangan sampai terselak betis, nanti kelihatan pula bulu kaki hitam lebat…pecahlah tembelang.
Kira-kira jam 9.00 pagi, berduyun-duyun ‘perempuan’ Banjar tersebut berjalan sebaris meghala ke markas PKM di muara Bendang DO, didahului oleh Ali dan Amat Tuban sebagai wakil penyerahan. Mereka berdua dilarang membawa sebarang senjata. Tapi, orang Banjar tak kan sanggup meninggalkan senjata apatah lagi bila menghala ke medan juang. Pisau belati setajam pisau cukur sudah lama tersisip di pinggang masing-masing. Cuma baju saja yang membuatnya tak dapat dilihat dengan mata kasar.
Gerombolan komunis di markas Bendang DO terbahak-bahak ketawa, macam tak sabar lagi menanti lebih-lebih lagi tiga orang kepala komunis bernama Ah Boon, Ah Pau dan Ah Jang “Syok mau mali hooo….”
Rasa gelihati pun ada melihat tiga orang “anak dara” yang berjalan paling belakang kerana masing-masing berselubung dengan kain. Mak oi pemalunya…malu apa gerangan kalau tangan menggenggam erat hulu parang bungkol si “Kandal Larap”, si “Mandam Layu” dan si “Tungkih Kiwang”. Rasa kekok melangkah kerana tak biasa berjalan memakai kain meleret labuh begitu. Kesiannya…
Tuan Guru Hj Bakri yang tinggal seorang diri tidak bersuara lagi, tasbih di tangan langsung tak dilepaskan, berwirid tanpa henti di dalam surau. Kanak-kanak yang masih kecil pun tak berani menghampiri.
Jam 10, deretan “perempuan” tiba di hadapan markas PKM di muara Bendang DO. Lantas si Amat Tuban dan Ali menyerahkan mereka kepada ketua komunis.
Semakin kuat gelak ketawa mereka, gembira tak terperi ibarat bulan jatuh ke riba. Tak disangka warga Banjar seluruh Bendang DO yang kononnya berani menentang Bintang Tiga hanya omong kosong. Riuh rendah markas dengan dialog Cina, mengumpat agaknya. Benar-benar celaka 13!
“Hei tepilah…lu sana” salah seorang kepala komunis menengking sambil menolak kasar si Ali dan Amat Tuban. Tiga orang kepala komunis terus memeriksa dari depan ke belakang, menyelak selubung satu persatu. Rambang mata. Yang lainnya turut sama berkerumun tak ubah seperti harimau yang laparkan daging manusia. Akhirnya gian hingga tak terjaga lagi markas taktikal.
Sampai kegiliran diyang (gelaran anak dara Banjar) cantik yang kelima, si Ah Boon kepala komunis…
“Ai yaaa, manyak cantik lo ha…” jari mula hendak merayap kerana teringin benar menyentuh. Baru hendak memeluk untuk mencium…
“Bangsat, seteru babi haram jadahhh…Allahuakbarrr!!!” tengking si Emoh dengan kuat.
“Nah ambil habuan engkau sangkala.”
Labukkk….si Kandal Larap hinggap ke sasaran tanda patuh kepada tuannya. Mandabuk kepala si haram jadah jatuh ke tanah bercerai dengan badan, membuak darah dalam jantung membasahi bumi Sungai Manik. Acil menerkam si Ah Jang yang sedang tergamam.
Labukkk…mata parang si Mandam Layu hinggap, layu dan longlai leher si Ah Jang terkena libasan parang bungkol si Mandam Layu. Sebiji lagi kepala ketua komunis gugur ke bumi.
Bukkk...tetakan diayun oleh Sabran. Ternyata benar si Tungkih Kiwang tak pernah ingkar kepada tuannya – putus dua badan si Ah Pau. Tungkih Kiwang masih belum puas – memenggal puluhan leher musuh. Putus serta merta, bergelimpangan kepala komunis di halaman markas PKM Bintang Tiga.
Warga Banjar Bendang DO yang sudah setengah malam bersembunyi dalam parit tak berair bingkas bak cendawan busut, mengejar anak buah Bintang Tiga yang sedang dalam kebingungan.
“Allahuakbarrr!!!” sebaik saja menghampiri musuh yang sedang lintang pukang, mereka terus melibaskan parang. Belum sempat mengangkat senapang, tubuh mereka sudah dihinggapi parang bungkol. Fuh, macam menebang batang pisang.
34 orang orang anggota PKM terdampar di tangan Banjar Bendang DO. Darah merah membasahi bumi, mayat bergelimpangan, senjata musuh bertaburan. Mujurlah tak seorang pun warga Banjar yang terkorban atau tercedera, cuma baju dan seluar mereka saja yang merah terkena percikan darah musuh.
Bangsal komunis diselongkar. Ceh, yang ada cuma seguni beras dan perkakas memasak. Tanpa banyak bicara, Acil memikul guni beras untuk dibawa balik.
Namun, tak sepucuk pun senjata raifel MK5 yang hambur bertaburan diambil. Tak teringin langsung, tak berkenan atau tak tau menggunakan makanya dibiarkan begitu saja. Merah menyala terbakar markas kecil PKM di muara Bendang DO dibakar. Dengan itu berbalaslah sudah kematian arwah si Utoh Putih.
Berkubang sakan warga Banjar membersihkan badan dalam parit besar di hadapan rumah Tuan Guru Hj Bakri. “Sudahlah” terpekik terlolong pakcik Sukri – yang tak turut serta dalam pertarungan – memanggil mereka naik.
Azan di surau menandakan masuknya waktu Zohor. Selepas menunaikan solat dan makan tengahari, para pejuang Banjar merebahkan badan kepenatan, memenuhi anjung, pelantar, serambi dan surau kecuali Acil, Emoh dan Sabran. Mereka bertiga menceritakan perlaksanaan rancangan yang serba serbinya berjalan lancar.
Meleret senyuman Tuan Guru Haji Bakri mendengarnya.
Markas besar PKM di Sungai Tungko gempar seperti anak ayam kehilangan ibu. Kekalahan yang tidak diduga – tiga orang pegawai mereka terkorban – bak tikaman duri berbisa dalam sejarah perjuangan PKM di Hilir Perak. Sementara menanti ketibaan pegawai lain, tak seorang pun anggota komunis yang berani menunjukkan muka di Bendang DO.
Lain pula kisahnya dengan warga Banjar yang berhimpun di rumah Tuan Guru. Lelaki dan perempuan sibuk menggunting kain bakal dibuat wafak Selendang Merah.
Tuan Guru Hj Bakri sudah mendapat firasat: pertumpahan darah di muara Bendang DO tak kan berakhir begitu saja.
Warga Banjar seluruh Sungai Manik harus membuat persediaan awal untuk menghadapai peperangan terbuka, dan mungkin berpanjangan. Peperangan seterusnya bukan saja tertumpu kepada penentangan terhadap PKM, tapi melibatkan sengketa kaum dan agama. Kalau sudah begitu kehendaknya, terpaksalah diteruskan juga. Alang-alang bermandi darah biarlah sampai ketitisan terakhir.
Mentang-mentang sudah dapat ketua baru yang datang dari pangkalan PKM di Sungai Galah, Tanjung Tualang, pengganas komunis di Sungai Tungko makin mengganas membalas dendam gamaknya. Setiap kampung berhampiran Sungai Tungko habis diganggu, harta benda di ambil, anak dara dan isteri orang sudah tak berkira lagi. Siapa yang berani melawan alamat tersungkur jadi sasaran peluru raifel MK5. Anak kecil yang masih dalam buaian pun turut jadi korban, tanpa rasa belas kasihan. Tak cukup dengan perlakuan begitu, surau pula hangus dibakar.
Pejuang kemerdekaan tahi palat lah kalau begini!
“Sampailah sudah saat dan ketikanya wahai wargaku semua, demi Allah dan Rasulnya, aku isytiharkan Fisabilullah…Allahuakbar!” suara Tuan Guru Haji Bakri bertakbir dengan lantang.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” warga Banjar menyahut seruan.
Setelah mendengar berita tentang tertewasnya gerombolan komunis di muara Bendang DO, keluarga Melayu yang menghuni perkampungan di pinggir Sungai Perak pula yang dijadikan mangsa PKM. Puluhan warga Melayu datang menemui Tuan Guru Hj Bakri meminta ilmu peperangan. Walaupun hanya diberi minum air jampi, itupun sudah cukup untuk meyakinkan orang Melayu yang berjanji untuk sama-sama menyerang PKM di Sungai Tungko.
Sementara itu, warga Banjar pula sebulat suara melantik Acil, cucu Tuan Guru sebagai Khalifah Fisabilullah – walaupun masih muda tapi ilmu sudah penuh di dada.
“Dengar, dengar semuanya, esok selepas Subuh kita bergerak menyerang markas si haram jadah di Sungai Tungko…Allahuakbar!!!” ujar si Acil memberi taklimat.
Hari masih lagi kelam, selepas solat Subuh dan bersarapan seadanya, warga Banjar yang bakal pergi menyerang markas PKM masing-masing menyarung pakaian serba putih, selendang merah melilit badan, tanjak di kepala juga berwarna merah, parang bungkol bergemerlapan. Waduh, melihat pakaian begitu pun sudah boleh menimbulkan kegerunan, itu belum lagi berhadapan – meremang bulu roma. Sebaik saja selesai bacaan doa oleh Tuan Guru, mereka terus menuju Sungai Tungko.
Tak siapa dapat menduga, rupanya gerombolan PKM sudah sedia menanti ketibaan warga Banjar – seperti sudah dijanjikan. Laras raifel MK5 sedia tertatang, jari melekat di pemetik senapang, dan sebentar lagi bakal berterbanganlah peluru.
Di surau Parit 8, Tuan Guru Haji Bakri terus berzikir tanpa henti. Hanya Pakcik Sukri yang ulang alik ke rumah mengawasi anak isteri warga Banjar yang ditinggalkan demi Fisabilullah.
“Fisabilullah…Lailahaillallah… Allahuakbar!!!” jerit si Acil sebagai Khalifah perang memberi isyarat bermulanya peperangan.
“Lailahaillallah…” bergema suara warga Banjar berkalimah tanpa henti.
Selepas itu, bunyi peluru berterbangan, macam air hujan rancaknya peluru meninggalkan muncung senapang. Gerombolan PKM tercengang kehairanan kerana tak seorang pun warga Banjar yang dihinggapi peluru. Tanpa disedari, pejuang Banjar hanya sedepa di depan mata. Ekspresi bunyi mata parang bungkol menetak pantas, menghayun sekehendak hati. Senjata api yang dimegahkan oleh komunis nyata tidak bermakna lagi. Akhirnya dibuat penangkis tetakan pejuang Banjar.
Si Kandal Larap dan adik beradik parang bungkol lainnya ketawa riang bermandikan darah. Cair markas besar PKM Sungai Tungko dihancurkan warga Banjar Bendang DO. Baju dan seluar masing-masing basah kuyup, hinggakan boleh diperah kerana dibasahi darah pengganas komunis.
“Allahuakbarrrr…” takbir si Acil khalifah parang bungkol meminta warga Banjar berhenti. Bergelimpangan mayat, merah bumi Sungai Tungko dibasahi darah. Namun, lima orang ketua PKM terlepas lari meninggalkan medan peperangan.
Lari bukan sebarang lari. PKM yang pendendam dan kental dalam perjuangan tak akan membiarkan begitu saja.
Belum sampai seminggu selepas pertempuran di Sungai Tungko, berduyun-duyun ahli PKM datang dari setiap penjuru pos PKM di daerah Hilir Perak menghala ke Sungai Manik.
Pertemuan kali kedua lebih hebat lagi. Bukan setakat raifel MK5 saja yang mereka gunakan, bertimbun Bren Gun dan berpeti-peti banyaknya bom tangan yang seperti buah jambu batu. Namun, tak sedikit pun dapat melunturkan semangat juang warga Banjar Sungai Manik. Selain parang bungkol, kalimah “Lailahaillallah…Allahuakbar” itulah yang dipegang sebagai senjata utama warga kita.
Peperangan seterusnya tak dapat ditamatkan dalam sehari seperti sebelumnya. Sudah jadi syarat ilmu Tuan Guru Haji Bakri, walau musuh sedang mengamuk sekalipun, bila sampai masanya untuk berhenti, maka terpaksalah dihentikan…siapa yang berani melanggar syarat akan menerima padah.
Acil, khalifah parang bungkol Sungai Manik baru saja melaungkan kalimah “Allahuakbar” sebagai isyarat menghentikan peperangan untuk hari itu. Seperti biasa, para pejuang Sabilullah berkumpul untuk mengira dan mengenal pasti setiap orang, manalah tahu kalau-kalau ada yang gugur, atau ada lagi yang masih meneruskan pertempuran.
Pernah terjadi seorang warga Banjar tak ada dalam perhimpunan. Melihat ketiadaan adiknya, si abang melanggar pantang larang dengan berpatah balik mengejar musuh dengan geram. Akhirnya abang dan adik hilang dan tak muncul lagi.
Sudah genap sebulan perang Sabil di Sungai Manik, tapi masih belum menampakkan tanda akan berakhir. Bertimbun, bergelimpangan mayat komunis namun mereka masih belum serik, malah semakin cekal. Kekuatan mereka bertambah saban hari, entah dari mana datangnya tak pula diketahui.
Dalam pada itu, gerombolan komunis di Seberang Sungai Perak makin mengganas, menyiksa dan membunuh orang Banjar dan Melayu di Kampung Gajah dan Balun Bidai. Orang Cina tidak pula diapa-apakan malah dijaga dengan baik. Begitu agaknya taktik kotor komunis untuk melemahkan semangat pejuang Sabilullah di Sungai Manik.
Sepanjang senja, di tepi rumah Tuan Guru Haji Bakri, riuh rendah murai berkicau tanpa henti.
“Kalau berita baik, bawalah kemari, kalau buruk jauhkanlah” begitulah selalunya kata-kata orang tua Banjar bila mendengar kicau murai diwaktu senja. Betapa ada kebenarannya. Selepas solat Isyak malam itu…
“Assalamualaikum!!!” kedengaran suara memberi salam di depan surau. Serentak jemaah menyambut salam. Setelah diamati …bergegas Tuan Guru turun ke tanah lalu memeluk sambil menepuk belakang orang yang memberi salam.
“Selamat datang adikku” kata-kata aluan Tuan Guru membuat warga Banjar lainnya terpinga-pinga kerana tak seorang pun yang kenal.
Masmuda, adik Tuan Guru Hj Bakri baru saja tiba dari Batu Pahat. Si Acil terus menerkam datuk saudara yang tidak kurang hebatnya. Ialah, kalau sudah sedarah sedaging, ke mana lagi tumpahnya ilmu.
Perang Sungai Manik sedang rancak, keadaan di Balun Bidai dan Kampung Gajah semakin genting. Saban hari gerombolan komunis mencari pasal.
“Tak boleh dibiarkan, semakin menjadi-jadi benar keganasan mereka” rungut Tuan Guru Hj Bakri bercampur marah.
Para pejuang Sabilullah sepakat melantik Masmuda sebagai Khalifah perang mengganti Acil di Sungai Manik. Tuan Guru Hj Bakri dan Acil pula akan turun ke Balun Bidai secepat mungkin.
Wafak Selendang Merah dibuat khusus untuk warga di seberang Sungai Perak. Salah seorang tukang tulis kalimah Allahuakbar Selindang Merah bernama Asmuni.
Pertama kali Masmuda memimpin pejuang Sabilullah di Sungai Manik, ketara benar kehebatannya. Musuh melepaskan tembakan ke atas, peluru berterbangan seperti air hujan menerjah angin kosong. Pada pandangan mereka, para pejuang Sabilullah semuanya tinggi, setinggi pohon getah maka itulah mereka asyik menghalakan tembakan ke atas. Ketika itulah para pejuang Sabilullah menyerbu, menebas, menetak dan memancung musuh. Baru sekejap, bersih medan pertempuran.
Namun, antara musuh yang gugur di hujung parang bungkol pejuang Banjar, terdapat ramai yang menyebut kalimah Allah. Setelah diamati ternyata mereka adalah orang Melayu dan Banjar yang sudah terpedaya menyertai perjuangan komunis. Dalam pertempuran sukar untuk mengasingkan antara Banjar, Melayu dan Cina kerana mereka semuanya menyarung pakaian seragam Bintang Tiga.
Para pejuang PKM masih lagi berdegil, tak mengerti makna putus asa. Sambil menanti bantuan dari Sungai Karang seberang Teluk Anson, mereka meneruskan perjuangan.
Mujurlah Allah tidak mengizinkan. Tongkang yang sarat membawa gerombolan PKM karam di tengah Sungai Perak, tak jauh dari Pulau Galagak dekat pelabuhan Teluk Anson.
Melambak gerombolan Cina komunis yang tak pandai berenang tenggelam batu dan mati lemas. Manakala gerombolan komunis bangsa Melayu dan Banjar yang rata-ratanya pandai berenang terselamat dan sempat berenang ke Pulau Galagak. Kalau tidak, pastinya sesama Islam bakal bertempur di Sungai Manik. Sesungguhnya Allah lagi Maha Mengetahui.
Berita yang melemahkan perjuangan PKM – ranapnya pejuang mereka di Sungai Manik di tangan warga Banjar di bawah pimpinan Masmuda, panglima Selendang Merah Batu Pahat, Johor.
Dalam pada itu, ramai orang Melayu dan Banjar di Balun Bidai, Kampung Gajah dan kampung-kampung berhampiran memilih untuk lari ke dalam hutan meninggalkan rumah masing-masing kerana komunis semakin mengganas, menembak rumah membabi buta. Mengamuk kononnya. Untuk apa melepaskan geram terhadap mereka yang tak tahu menahu!
Lain pula ceritanya dengan kaum Cina yang menghuni kawasan sekitar. Hampir semuanya menyokong perjuangan PKM, dan kerana itulah mereka tidak di ganggu.
Tuan Guru Haji Bakri, Acil dan Emoh selamat menyeberang Sungai Kinta dan sampai di Kampung Changkat, Bayas, Balun Bidai. Sungguh tak disangka rupanya warga Banjar di situ tak juga kurang keberanian mereka.
Acil pula dilantik sebagai Khalifah surau Changkat Bayas, markas pejuang Sabilullah di Balun Bidai. Selendang dan tanjak merah yang dibawa dari Sungai Manik diagih-agihkan sehelai seorang. Pun begitu, sekiranya ada yang memiliki ‘wafak’ sendiri, mereka dibenarkan memakainya. Begitulah cara orang Banjar – walau setinggi mana pun ilmu sendiri, namun ilmu orang lain tetap dihormati. Mencerca menghina kebolehan orang lain bukan Banjar namanya.
Siang malam kedengaran bunyi tembakan di pinggir Balun Bidai, entah apa yang mereka tembak tidak pula diketahui. Membunuh dan menyiksa orang, itu sajalah kerja mereka. Setengahnya bertujuan menakutkan – konon komunis masih lagi kuat walaupun sudah tewas di Sungai Manik. Hii, geram betul.
Pada mulanya hampir tujuh puluh orang warga Banjar yang sanggup turut serta sebagai pejuang Sabilullah. Yang penakut dibenarkan tinggal mengawasi anak isteri mereka yang bakal pergi menyerang markas PKM di tebing Balun Bidai. Tuan Guru Haji Bakri tetap seperti biasa – bersendirian berzikir dan membaca ayat-ayat di surau. Sampai saat dan ketikanya, pergilah para pejuang menuju sarang komunis di tebing Balun Bidai.
Lailahaillallah…Allahuakbar!!! ” maka bermulalah perang sabil di daerah Kampung Gajah, Perak.
Khalifah Acil yang masih muda sudah berbulan menentang musuh di Sungai Manik. Boleh dikatakan setiap kali pergi berjuang, darah musuh sampai kering di badan. Medan pertempuran dibuatnya seperti padang permainan. Degil, menari menahan tembakan komunis membuat musuh semakin geram. Ditembak tak langsung memberi bekas.
Musuh semakin menghampiri para pejuang Sabilullah.
“Tetak!!!” ujar si Acil berteriak. Apa lagi, parang bungkol terus mandi darah.
Peperangan di Balun Bidai melahirkan seorang lagi wira Banjar bernama Mawi, pemilik parang bungkol bergelar si Kajang Rungkup. Kalau berhadapan musuh, dia tidak teragak-agak untuk menerkam dan menyembelih, seperti menyembelih leher lembu. Yang menghairankan, musuh yang sudah kena terkam langsung jadi lemah tak bermaya untuk melawan. Itulah keajaiban parang bungkol si Kajang Rungkup.
Setelah berakhir perang di Balun Bidai, Acil diberi gelaran “Acil Wani” (Acil Berani). Sebut saja nama Acil, seluruh warga Banjar kenal padanya.
Bela bukan sebarang bela, bela ada muslihat. Warga Cina yang ramai bermastautin disetiap pelosok Kampung Gajah sudah mula mencebik bila bertemu orang Melayu.
“Wahai kaumku, perang sabil saja diolah oleh orang Melayu yang banyak menjurus kepada perkauman. Mereka merancang untuk menghapuskan bangsa Cina seluruh Tanah Melayu, itulah tujuan sebenarnya. Tergamakkah tuan-tuan membiarkan bangsa sendiri hancur lebur dipijak-pijak orang Melayu? Tentunya kalian tak sanggup. Nah apa lagi yang ditunggu, jom kita bersatu, kita tentang sampai ketitisan darah terakhir!” begitulah bunyinya kempen PKM setiap kali bertemu orang Cina di Kampung Gajah. Mereka yang sudah rasa terhutang budi kerana selama ini dilindungi, dijaga sebaiknya oleh PKM akhirnya bersetuju berjuang demi bangsa dan agama mereka.
Orang Cina tak dapat melihat muslihat disebalik kemanisan kata-kata PKM – memperbodoh orang Cina untuk kepentingan sendiri dengan melagakan Cina dan Melayu. Betapa tidak, sudah banyak pengganas komunis kecundang di tangan pejuang Banjar.
Orang Cina mula menghimpunkan serba serbi keperluan – parang besar, parang bengkok, kayu pengandar tempinis seadanya dengan tujuan untuk berperang. Sekiranya terserempak dengan orang Melayu, tak kira kecil atau besar bakal habislah mereka kerjakan.
Pertemuan secara berdepan antara pejuang Sabilullah dengan orang Cina dan pengganas komunis di pinggir Kampung Sungai Galah tak kurang jua sengitnya dibandingkan dengan yang sebelumnya. Lenguh tangan warga Banjar kerana terlalu pantas mengayun parang bungkol. Baju dan seluar basah kuyup dengan darah. Mayat musuh bergelimpangan di sana sini, namun jumlah mereka masih belum berkurangan, malah semakin ramai.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!!” jerit si Acil tiga kali sebagai isyarat supaya berundur seketika untuk menghilangkan penat dan membuat strategi lain. Melihat pejuang Sabilullah mula berundur, warga Cina riuh mangajuk zikir Lailahailallah.
“Lailahailalit…Malayu kasi habit!!!” mereka merasakan sudah beroleh kemenangan.
Mendengar zikir dipermainkan, Mawi si Kajang Rungkup hilang sabar. Serta merta dia berpatah balik mengejar musuh. Sayang, hajatnya untuk menerkam tak kesampaian. Bertalu-talu peluru Bren Gun komunis hinggap ke badan. Huyung hayang Mawi lalu rebah.
“Habislah Mawi!!!” semua warga Banjar yang melihat terasa sedih.
Tak sampai 10 minit berselang, Mawi yang bergolek kesakitan di atas tanah bingkas bangun.
“Mati aku, mati aku, mati aku!” ujar Mawi yang berlari anak balik ke kumpulan, sambil mengibas membuang peluru yang sudah leper yang melekat penuh seluruh badan. Mawi yang disangka sudah mati rupanya masih hidup.
“Bah rasa berbahang Cil ai…hampir terbakar aku abang Emoh ai!” ujar Mawi mengadu. Khalifah Acil ketawa terbahak-bahak, tak dapat menahan kelucuan teringat karenah Mawi.
Senyum meleret si Emoh sambil mengipas Mawi yang sedang kepanasan, tapi masih lagi boleh bergurau. Begitulah karenah orang Banjar.
Mawi, kalau belum sampai ajal sememangnya kebal. Bukan sekali dua dia begini.
Masa bertugas sebagai Home Guard mengiringi tuan lombong orang Inggeris Changkat Tin, dia pernah diserang hendap oleh Bintang Tiga ketika sedang menaiki Loko (keretapi kecil pengangkut bijih timah). Terpandang tuan orang Inggeris yang sudah mati terkena tembakan, Mawi melepaskan raifel di tangan lalu mengejar komunis dengan parang bungkol. 5 orang pengganas maut ditetak dengan Kajang Rungkup. Entahlah, adakah anak-anaknya yang mewarisi ilmu si bapa!
Hari semakin lewat, para pejuang Sabilullah terpaksa meninggalkan medan perjuangan kerana masa dan ketika untuk berhenti sudah pun tiba. Musuh masih riuh berteriak mengajak berlawan tanda tak puas hati, tapi setelah tak dilayan, mereka pun senyap. Mawi yang masih sakit seluruh badan ditandu balik.
Sementara itu, orang Melayu dari Kampung Gajah berduyun-duyun datang menemui Tuan Guru Haji Bakri di surau Changkat Bayas. Tak sampai sepuluh orang yang sempat memperoleh selendang merah kerana itu sajalah baki yang ada. Walau bagaimana pun, semuanya diberi minum air perangsang dan diberi amanat – kalau boleh, hapuskan saki baki dan zuriat komunis di Kampung Gajah.
Memang menjadi, tak sia-sia pemberian Tuan Guru. Tak sempat menunggu esok sudah riuh dan gempar orang Melayu menyerang orang Cina di Kampung Gajah. Di mana saja terdapat kediaman mereka, habis dimusnahkan.
Orang Melayu di Kampung Gajah sudah jadi berani setelah menuntut ilmu orang Banjar – angkara Ali Amin yang memperdagangkan ilmu kepada orang Melayu.
Ali Amin…..kerana tak mahu bekerja seperti orang lain, bila tak berduit, ilmu dijualnya. Hampir tercetus pergaduhan dimarahi Acil dan Emoh. Oleh kerana malu, akhirnya dia meninggalkan Balun Bidai, dan terus hilang tanpa berita.
Sudah tiga hari para pejuang Sabilullah merehatkan badan. Esok pagi bakal bermula perjuangan baru – menyerang musuh di pinggir Kampung Sungai Galah. Menurut firasat Tuan Guru Hj Bakri, peperangan esok mungkin yang terakhir. Para pejuang memujuk Mawi supaya jangan turut serta kerana masih belum sihat sepenuhnya. Tapi orang yang keras hati sepertinya tak makan pujuk.
“Kenapa gerangan, penakut benarkah aku ni?” ujarnya dengan nada marah.
Sepetang suntuk Mawi bersilat memantapkan langkah 12 (seni silat orang Banjar), dengan tujuan untuk menerkam bersungguh-sungguh agaknya. Serba salah, kalau ditinggal, mau saja menonong mengikuti dari belakang seorang diri. Selepas dibenarkan barulah dia senyap.
Zikir Lailahaillallah tak berhenti-henti, musuh yang sudah bersedia menanti begitu ramai.
“Fisabilullah Allahuakbar!!!” laung Khalifah Acil sambil berlari di hadapan menghampiri musuh. Kelentungan senjata berlaga. Orang Cina pun apa kurangnya – bermacam kebolehan dan kemahiran dipamer dalam perjuangan penentuan antara hidup dan mati.
Sedang rancak bertarung, orang Cina terpinga-pinga kerana dengan tiba-tiba kelibat orang Banjar sudah tidak kelihatan. Pengganas komunis yang bijak bersembunyi di merata penjuru mula keluar dari tempat persembunyian untuk mengejar dan mencari pejuang-pejuang Banjar. Hilai ketawa mereka membayangkan seperti sudah mencapai kemenangan.
Namun, kegembiraan mereka cuma sementara. Sungguh tak disangka, tiba-tiba parang bungkol berterbangan sendirian macam air hujan menetak, melibas dan menikam hingga tak dapat dielak. Banjir Kampung Sungai Galah dengan darah. Lintang pukang pengganas komunis lari menghala ke hutan Tambun. Tak boleh ditunggu lagi kerana lailahailait Cina sudah potong habit.
Bagaimana parang boleh terbang sendiri kalau tak ada kudrat dan iradat yang mengarahkan. Sebenarnya orang Banjar jua yang bersungguh-sungguh menetak, cumanya mereka tidak kelihatan kerana sudah berada di alimul ghaib.
ReplyForward |
Subscribe to:
Posts (Atom)