Jan 27, 2012

Mak Ngah Wo

"Mak Ngah Wo". Itu adalah panggilan saya dan beberapa orang kepada seorang wanita yang amat baik hati, peramah, pemurah dan pengasih, serta suka gelak tawa. Seingatan saya, dia tak pernah marah atau meninggikan suara terhadap saya. Nama sebenar beliau adalah HAWA BINTI AWANG. Dia adalah ibu saudara saya (iaitu kakak kepada ibu saya), yang tinggal di Kampung Banggol Chik Wan, Meranti, Pasir Mas, Kelantan. Beliau telah dijemput mengadap Ilahi pada bulan November 2000. Satu-satunya gambar beliau yang ada dalam simpanan saya adalah yang di bawah ini:


Semasa saya menumpang tinggal di rumah seorang saudara terdekat (semasa saya menyambung pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, di Sekolah Menengah Rendah (dikenali pada masa itu sebagai "sekolah aneka jurusan")(Meranti, Pasir Mas), saya kerap bertandang ke rumah Mak Ngah Wo, yang jaraknya sekitar 1 kilometer dari rumah yang saya menumpang tinggal.

Saya masih ingat, pada suatu petang hari minggu, saya bertandang ke rumahnya. Dia sedang mengupas sebiji nangka masak yang kecil sahaja saiznya. Selain mengambil semua isi (ulas) dan biji-bijinya (yang dikupas kulit biji tersebut), beliau juga mengambil semua jerami isi nangka tersebut yang berwarna kekuningan. Selepas dipotong kecil dan dicampurkan santan, air, gula dan sagu, dan dimasukkan ke dalam satu periuk yang agak besar juga saiznya, beliau meletakkannya di atas dapur kayu yang terletak di satu ruang dapur rumahnya. Selepas itu dia mengajak beberapa budak, termasuk saya untuk bersama-sama makan bubur tersebut. Sedap...!!!!

Pada beberapa kali yang lain, dia menjemput saya makan di dapurnya. "Ddajih (itulah nama yang dia panggil saya, bagi kependekan nama saya, Abdul Aziz) makan nasi di rumoh Mak Ngah deh... Mak Ngah rebus telor itik". Saya cuma menganggukkan kepala (kerana memang pun saya lapar...). Biasanya dia akan merebus sebiji telor itik khas untuk saya dan saya makan nasi berlaukkan telor itik tersebut dan pencicahnya tak lain tak bukan adalah budu. Itulah sahaja yang saya makan, tapi kenyang....

Ada juga kadangkala dia memberikan saya kueh, terutama yang kerap dibuatnya, iatu kueh tepung bungkus.

Pendek kata, kalau saya berkunjung ke rumahnya (yang kerap saya berkunjung, dan sebab utamanya kerana lapar), maka saya akan pulang kekenyangan...

Apa yang saya perasan, Mak Ngah Wo ni, kalau dia memasak, dia akan memasak banyak, sebab dia akan ajak juga orang lain, terutama budak-budak, untuk makan, atau diminta anak cucunya menghantarkannya kepada jiran dan saudara-mara.

Sebenarnya, dia sendiri bukanlah orang kaya, dan hanya cukup makan sahaja.

Setelah saya pulang daripada perantauan, dan bekerja, kerap juga saya singgah di rumahnya. Ada juga kadangkala saya tidor di rumah dia (walaupun kurang selesa kerana banyak nyamuk dan tandas pula terletak di luar rumah...he he...), walaupun saya memang boleh tidor di hotel (secara percuma). Biasanya saya akan membawa buah tangan untuk Mak Ngah Wo apabila berkunjung ke rumah dia. Setiap kali sebelum berpisah, saya akan bersalaman (sambil memberikan sedikit wang sebagai tanda kasih). Kerap saya cium tangan dan dahinya, dan peluk dia.... Dia kerap berpesan, "Ddajih, bawo kereto jange laju..."

Semasa saya diperantauan, saya mendapat berita pemergiannya dipanggil Ilahi... Saya tak dapat pulang menziarahi jenazahnya... Apapun. kerap juga selepas solat, saya mendoakan kepada beberapa orang yang baik dengan saya, dimana Mak Ngah Wo adalah salah seorang daripadanya. SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMATNYA KEPADA MAK NGAH WO, DAN SEMOGA DIA DICINTA KASIH OLEH ALLAH DAN RASUL, SEPERTI DIA CINTA KASIH KEPADA SANAK SAUDARANYA, TERMASUK SAYA.

"Mak Ngah Wo, terima kasih atas segala kebaikan Mak Ngah kepada saya...saya maafkan dan halalkan segalanya kepada Mak Ngah...dari dunia sampai akhirat.. "

Managing Staff: For Industrial Harmony


It involves, inter alia,

A sound employment policy
Recruitment and selection policy
Adequate training
Initial instructions and guidelines for new staff

...the ultimate purpose is to maintain and upkeep industrial harmony.

 

Jan 19, 2012

Sotong Masak Serai

10 ekor sotong (bukan ekornya la wey..., tapi sotong tu sendiri)(seeloknya sotong yang ada telor). Sotong dibersihkan.
2 batang serai (dipecah-pecah sedikit hancur)
Sekeping asam gelugor
6 ulas bawang merah (potong/ditumbuk kecil)
4 ulas bawang putih (dipotong/ditumbuk kecil)
Garam secukup rasa
Sedikit lada hitam/putih (jika suka)(tak dimasukkan pun tak apa)
Beberapa biji cili (seloknya yang merah) yang dikisar halus (jika suka pedas.... yer la... pedas la... sebab namanya pun, cili...)
Segelas air

Caranya:
Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk, dan panaskan sehingga mendidih sepatutnya.
Dan, bolehlah dimakan dengan nasi.
(NOTA: Sedap jika dikombinasikan dengan ikan kering goreng, atau sambal mempelam+ikan kering, dan daging bakar. Lihat resepi-resepinya yang saya telah berikan sebelum ini)



Di bawah ini pula gambar-gambar sotong masak serai yang ditambah cili kering dan cili merah tumbuk lumat




Jan 18, 2012

Beware of "BULLYING"

Bully...

Who? what? where? when? how? and why?



The consequences...






PPP Dalam Kenangan...

PPP = "Persatuan Pemakan-pemakan Pagi"... he he he...

Ceritanya begini:

Sebelum saya berhijrah ke USM Pulau Pinang, saya sempat bertugas di sebuah badan berkanun di sebuah negeri, dimana antara jawatan yang saya sandang termasuklah Pengurus Pentadbiran merangkap Penasihat Undang-undang. Sebagai Pengurus Pentadbiran, antara tugas saya adalah berkaitan tatatertib penjawat, pertukaran, kenaikan pangkat dan seumpamanya (psst, bukannya saya ada kuasa, tetapi kebanyaknnya dalam bentuk syor kepada Pasukan Pembuat Keputusan).

Sudah menjadi kelaziman semenjak mula bekerja (swasta atau kerajaan/badan berkanun), saya biasanya sampai awal di pejabat: Sebab senang meletak kenderaan, senang untuk memilih makanan, masih banyak masa sebelum waktu rasmi bekerja bermula, dan lain-lain sebab/alasan. Apapun, apabila makan di kafeteria pejabat tersebut, saya dapati kebanyakan yang datang awal adalah pemandu (sebab nak ambil kenderaan dan menjemput pegawai, mempersiap kenderaan, dan lain-lain), buruh, pekerja pencuci pejabat, dan pengawal keselamatan. Saya dapati amat jarang penjawat berpangkat "pegawai" yang datang sebelum jam 7.30 pagi. Ops, ini bukan pun satu kesalahan, sebab pejabat bermula jam 8 pagi, kan?

Biasanya saya dan mereka itu akan memenuhkan sesuatu meja, misalnya 6 orang, dan kami berborak macam-macam-macam hal. Persetujuan kami ialah:
1. Siapa yang sampai paling awal, dia yang akan mempengerusikan sesi "perborakan" pagi itu; dan
2. Tajuk borak, ialah "Hal-hal Lain", yang kalau boleh, yang tiada kaitan dengan kerja.
Kami bersetuju juga, ia dijadikan satu persatuan tak rasmi, dan dinamakan, "PERSATUAN PEMAKAN-PEMAKAN PAGI (PPP)"
Selain itu, saya beritau mereka, sesi pagi ini tidak ada ciri pegawai-staf, tidak ada carta organisasi, dan tidak ada pangkat tinggi pangkat rendah...
Jadi, kami makan dengan gembira, berseloroh, bercerita macam-macam hal (dengan syarat tidak mengumpat sesiapa). Biasanya juga, walaupun tiada elemen kekananan, saya la yang kerap kena belanja...he he he... Biasa la tuuuu...
Apapun, secara mereka tidak sedari, banyak juga saya mendapat maklumat berguna/berharga yang boleh digunakan untuk pelaksanaan kerja, terutama kerja rasmi saya. Ada juga rahsia "salah laku" pegawai yang dapat saya hidu....
Apapun, itulah salah satu cara dan ruang untuk bermesra dan merapatkan hubungan diantara kami.
Setelah saya tidak lagi memegang jawatan Pengurus Pentadbiran, bilangan ahli PPP menjadi berkurangan. Salah seorang pemandu memberitahu saya, "Yer la...Tuan Haji bukan lagi Pengurus Pentadbiran...". Adat la tu....kan?

Kini segalanya itu telah tiada. Saya pun telah berhijrah tempat kerja. Ada juga ahli PPP yang sudah meninggal dunia, dan ada yang berpencen...dan difahamkan ada juga diantara mereka yang dah "keluar ahli"...he he he..

Kini, walaupun saya masih kekal dengan tabiat datang awal, dan makan awal, tetapi pada kebanyakan hari, saya cuma makan bersendirian. ... Suasana sudah berubah..

Ini la makanan pagi saya untuk pagi ini, jam 7.15 pagi Rabu 18 Januari 2012 (24 Safar 1433)...

Jenis makanan yang saya makan kini pun dah tak sama seperti dahulu.... 

Jan 17, 2012

Gulai Ayam Sabung...

Sekitar tiga tahun lepas, semasa saya sedang memandu untuk berceramah di sebuah negeri di Pantai Timur, saya terpandang satu papan tanda pada kertas kotak berwarna kelabu, bertulisan merah berbunyi, "NASI GULAI AYAM SABUNG" yang terletak di hadapan sebuah warung di tepi jalan. Pada awalnya saya ingat, "Nasi gulai ayam kampung". Setelah memberhentikan kereta, barulah saya yakin, ianya, "Nasi gulai ayam sabung". Kebetulan perut saya pun dah lapar, dan kerana itulah pertama kali saya terjumpa lauk sedemikian, maka saya pun memberhentikan kereta, dan memesan, nasi putih, 2 ketul ayam sabung gulai (ayam sabung gulai?), kerabu nangka muda dan sambal ikan kering buah mempelam. Emmm, sedaaap...!!! Kebetulan pelanggan pun cuma 5 orang termasuk saya, maka saya pun memberanikan diri (menjadi peramah la tuuu..) bertanya "abang" taukeh warung tersebut,

"Abang, sedap gulai ayam pelik ni la...".
"Tu la, kami beli daripada pembekal ayam kampung ni. Dia yang jualkan kepada kami 3 ekor petang kelmarin. Penyabung-penyabung ayam tu yang jualkan kepada dia".
"Sebab apa mereka jual?"
"Sebab belaga tak menang la... ada yang dah tua...ada yang tercedera, ada yang jadi cacat...".
"Ooo..macam tuu..tapi sedaaap...".
"Tu la, mereka tu tak tau ker, belaga ayam tu haram, zalim. Berjudi pulak. .. Walhal kerap juga orang berceramah agama di sini menceritakan hal tu...ada khutbah jumaat pun di masjid ni sebut hal tu"
"Abang, mereka tak sempat pergi dengar ceramah-ceramah tu. Pergi dengar khutbat jumaat pun mereka tak sempat, sebab waktu-waktu macam tu la yang selamat bagi mereka berjudi sabung ayam, kan?"
"Aaa ah,.. yer tak yer jugak!!"
"Ha ha ha...", semua yang ada, termasuk isteri taukeh tu sama-sama tergelak besar..
"Kerap ker abang dapat ayam sabung untuk digulai ni?"
"Eh, tttak laaa..ssekali ssekala...", kata taukeh tu sedikit gugup...

Taukeh tu memandang "semacaam" jer kepada saya.... Saya cuma tersenyuuuum kepadanya..

"Berapa semua ni?"
"Tujuh ringgit, air suam tu free.."

Selepas membayar, saya pun berlalu...
Ayam sabung jadi "ayam gulai sabung"....pelik sungguh perangai sesetengah makhluk bergelar "manusia penjudi" ni!!!!.

Lihatlah "hasil kekejaman/kezaliman" mereka, hanya kerana berjudi dan keseronokan...

video

 Daripada perspektif hukum Islam,
Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membunuh burung untuk dipersia-sia, ia (burung) mengadu (dengan suara yang kuat) kepada Allah ‘azza wa jalla di hari akhirat, dengan katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguh si polan telah membunuhku untuk dipersia-sia dan dia tidak membunuhku untuk tujuan dimanfaatkan.” (Hadits riwayat an-Nasa’ie)
(Nota: Ayam juga adalah dalam kumpulan burung)

Di bawah seksyen 44(1)(g), Akta Haiwan 1953, sesiapa yang menyabung/melaga (ayam, lembu dan lain-lain), adalah melakukan satu kesalahan menzalimi haiwan, yang apabila disabitkan, boleh dihukum denda sehingga RM200 atau dipenjarakan sehingga 6 bulan, atau kedua-dua jenis hukuman.

Section 44. Penalty for cruelty to animals

 (1) Any person who—
(a) cruelly beats, kicks, ill-treats, overrides, overdrives, overloads, tortures, infuriates or terrifies any animal; or
(b) causes or procures or, being the owner, permits any animal to be so used; or
(c) being in charge of any animal in confinement or in course of transport from one place to another neglects to supply such animal with sufficient food or water; or
(d) by wantonly or unreasonably doing or omitting to do any act, causes any unnecessary pain or suffering, or, being the owner, permits any unnecessary pain or suffering to any animal; or
(e) causes, procures or, being the owner, permits to be confined, conveyed, lifted or carried any animal in such manner or position as to subject it to unnecessary pain or suffering; or
(f) employs or causes or procures or, being the owner, permits to be employed in any work or labour, any animal which in consequence of any disease, infirmity, wound or sore, or otherwise is unfit to be so employed; or
(g) causes, procures or assists at the fighting or baiting of any animal, or keeps, uses, manages, or acts or assists in the management of any premises or place for the purpose, or partly for the purpose, of fighting or baiting any animal, or permits any premises or place to be so kept, managed or used, or receives or causes or procures any person to receive, money for the admission of any person to such premises or place,
shall be guilty of an offence of cruelty and shall be liable to a fine of two hundred ringgit or to imprisonment for a term of six months or to both.

Orang yang melagakan ayam sebagai aktiviti berjudi juga boleh didakwa di bawah seksyen 7, Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Ini salah satu kes tersebut yang dilaporkan di dalam KOSMO on-line 20 Mac 2012
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

30 lelaki sabung ayam didenda








SHAH ALAM – Seramai 30 lelaki dan seorang wanita yang ditahan bermain judi sabung ayam, bola golek dan belangkas di belakang sebuah kuil pada 11 Mac lalu didenda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Kesemua kaki judi tersebut iaitu tujuh pemastautin tetap, 13 pendatang asing tanpa izin, empat rakyat tempatan dan enam warga asing yang mempunyai dokumen perjalanan sah dikenakan denda sebanyak RM2,500.
Selain itu, dua daripada mereka turut dikenakan penjara tiga bulan bermula tarikh mereka ditangkap kerana masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen.
Majistret Nurul Syahida Zainal menjatuhkan hukuman tersebut setelah semua tertuduh yang berusia antara 26 hingga 57 tahun mengaku melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 memperuntukkan hukuman denda sehingga enam bulan penjara atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Mereka didakwa berjudi ayam, bola golek dan belangkas di tempat awam iaitu kawasan semak di belakang kuil Hindu berhampiran landasan kereta api Seksyen 17 di sini pukul 11.15 pagi pada 11 Mac lalu.
SEBAHAGIAN daripada kaki judi yang dikenakan hukuman denda di Mahkamah Majistret, Shah Alam semalam.

Cuba pakat-pakat dengar lagu AYAM DEN LAPEH ni yer...

video


Jan 13, 2012

Dia sudah dipanggil pulang....

Pagi ini, pagi jumaat, 13 Januari 2012, bersamaan 14 Safar 1433. Semasa saya membuka pintu pejabat jam 7.30 tadi, selepas singgah makan pagi di sebuah kafe dalam kampus USM, tiba-tiba fikiran saya mengimbau mengundur kepada satu peristiwa yang berlaku pada awal tahun 1972.

Saya pada masa itu ditempatkan sementara di satu kelas jurusan sains di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan. Saya dan 4 kawan lagi menyewa sebuah rumah kayu dengan kadar sewa RM15 sebulan. Setiap pagi saya pada hari persekolahan, saya akan menaiki bas (tambangnya 15 sen) untuk ke sekolah. Kerapnya saya akan naik bersama dengan seorang makcik, berumur sekitar 50an, yang biasanya memakai baju kurung berwarna merah yang agak lusuh. Biasanya saya akan duduk di sisi dia atau berdekatannya. Perjalanan ke sekolah sekitar 15 minit sahaja. Dia kerap juga tolong membayarkan tambang bas untuk saya. Selepas saling mengenali, dia kerap menasihati saya, antaranya, "Rajin-rajin la belajar...","Belajar ni kena banyak sabar...", "Kita dok jauh dari keluarga, kena pandai berdikari...", "Sembahyang tu jangan tinggal...", "Kena buat baik kepada orang...", "Penting sangat mengingat jasa ibubapa, jangan lupa mereka...", dan macam-macam lagi. Nasihatnya seperti nasihat seorang ibu kepada anaknya. Saya cuma menganggukkan kepala. Dia bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah yang terletak berhampiran dengan sekolah saya. Namanya yang diberitahu saya, "Makcik Moh". Saya pernah juga bertanya, "Makcik tak ada anak ko?". Dia cuma berdiam diri....dan wajahnya berubah dan nampak diselubungi rasa hiba. Jadi, selepas itu, saya tidak pernah lagi bertanya hal keluarganya...

Pada satu pagi bulan ketiga saya bersekolah di situ, saya seperti biasa menaiki bas, tetapi kali ini bukan untuk ke sekolah, tetapi untuk pulang ke Kuala Krai, sebab saya telah mendapat tawaran belajar di Sekolah Menengah Teknik, di Kuantan, Pahang. Saya masih lagi memakai pakaian sekolah, kerana pakaian sekolah yang sepasang itulah sahaja pakaian yang "agak baru" yang saya ada (seluar pendek berwarna biru gelap dan baju putih lengan pendek dan kasut putih (yang dah pun bertukar warna menjadi kekuningan sedikit). Pagi itu saya memeluk satu bungkusan kain sarung yang di dalamnya berisi sedikit buku, alat tulis dan pakaian, sebiji periuk kecil dan sebiji kuali kecil (yang ibu saya bekalkan kepada saya untuk digunakan semasa saya di rumah sewa tersebut). Seperti biasa, saya sempat duduk di sisinya, walaupun saya tadi hampir-hampir terlepas bas tersebut. Makcik tadi, dengan wajah sedikit kehairanan, bertanya saya, "Awe (bahasa orang dewasa loghat Kelantan yang ditujukan kepada seseorang budak lelaki) nok gi mano?". Saya menjawab. "Saya nak balik Kuala Krai, sebab nak pindah belajar di Kuantan..". Dia segera membuka bucu kain penutup kepalanya (seperti mini telekong), dan saya nampak terdapat 4 keping wang 1 ringgit di dalamnya. Dia berikan saya 2 ringgit, dan seraya berkata, "Ni makcik bui sedekoh ko awe... Belajar rajin-rajin deh...". Matanya sedikit tergenang air... Saya pun macam tu juga.... Kami cuma sama-sama terdiam. Entah kenapa... Sampai dekat sekolah tempat dia bekerja, dia membunyikan loceng bas, dan sebelum turun, saya sempat menghulurkankan tangan kepadanya dan mencium tangannya. Itulah pertama kali saya menyentuh tangannya...tapak tangannya kasar ...mungkin kerana menjalankan kerja berat..."Terima kasih makcik...", itu sahaja kata-kata saya yang terakhir yang sempat saya ungkapkan kepadanya sebelum dia turun... dan dia cuma mengangguk-anggukkan kepala sambil sedikit tersenyum dan merenung wajah saya...

 Lima belas tahun telah berlalu. ... Pada suatu hari, saya memandu bersendirian untuk ke Kota Bharu, dan saya sengaja lalu mengikut jalan tersebut, dan saya singah di kawasan rumah makcik tersebut. Saya bertanya seorang lelaki yang agak lanjut usia yang kebetulan sedang duduk di pondok menunggu bas, sama ada dia kenal Makcik Moh yang dulu kerja tukang sapu di sekolah..... Lelaki tadi memberitahu saya, "Oooo...Mokcik Moh tu dah lebih 10 tahun meninggal....Dia tu dok sebatang karo jah di sini". Sebelum berlalu, saya sempat bertanya lelaki tersebut, "Mokcik Moh ni tak ada anak ko?". Dia menjawab, "Ada.. seorang anak lelaki, kijo kerajaan, orang besar.. dengar koba dok di Amerika, dah lama sangat tak balik, selepas tamat belajar di Amerika.. Mak dia mati pun dia tak balik.. kami pun tak tau caro nak hubungi dia... Dia orang besar....."

Apapun, saya sedekahkan alFatihah dan selawat kepadanya, UNTUK MAKCIK MOH YANG BAIK HATI, BANYAK MEMBERIKAN NASIHAT, DAN GIGIH MENYARA DIRI...Semoga Makcik Moh berada dalam keramaian ria, dan sejahtera yang Allah SWT berikan kepadanya.

video

Jan 11, 2012

Berkongsi Ilmu 33: Bengkel Retreat MPOB Akta 605 Kali Ke-3

Pada 4-5 Januari 2012, saya bersama pegawai-pegawai kanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengadakan bengkel retreat (muhasabah) Akta 605, bertempat di Dewan Sawit, Ibupejabat MPOB, Bangi Selangor. Seramai 40 pegawai kanan MPOB telah mengambil bahagian. Perbincangan dalam majlis ilmu ini berjalan rancak, lancar dan kerjasama amatlah baik. Mereka ini pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Alhamdulillah bengkel dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur.





Di bawah ini pula adalah "tulang belakang" iaitu pasukan Urusetia bengkel yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad Nor Abd Rahman, Pengarah Bahagian Kewangan, Pengurusan dan Pembangunan MPOB


Siapa "Bos"?

Beberapa tahun lepas, saya bertemu seseorang, yang memperkenalkan dirinya bernama, BOSSAMAM MAHADI... Dia ni jenis kelakaukarakatau sikit. Suka buat kelakar, gelak dan sedikit merapu. Kami menjadi kawan baik, kerana saya sukakan wataknya yang lucu, dan kejujurannya. Yang paling saya hormati beliau ialah sifatnya yang menepati masa jika berjanji.

Pada suatu hari, semasa saya berjalan dengan Bossamam, kami terserempak dengan salah seorang Ketua Jabatan (yang di jabatannya dia dipanggil "Bos"). Lalu saya perkenalkan bos ini dengan Bossamam, dan selepas bersalaman, dengan selamba sahaja Bossamam berkata, "Tuan boleh panggil jer saya ni, 'Boss"". Maka bos tadi pun senyumasamanis berkerut jer....

Jan 10, 2012

Sungai Pertang, Kuala Krai, Kelantan: Satu Kisah Tragik

Ini gambar-gambar Sungai Pertang, yang merupakan salah satu cabang sungai kepada Sungai Kelantan. Gambar ini diambil dari tebing di Kampung Chenulang, Kuala Krai, selepas berlaku banjir pada akhir tahun 2011. Pada musim banjir sungai ini makin melebar, dan airnya amat keruh dan deras.




Jika diperhatikan, kita dapat lihat banyak perdu buluh di kiri dan kanan tebingnya... Bak kata pepatah, "Ibarat aur (buluh) dengan tebing".

Gambar di bawah dirakamkan oleh seseorang (yang memperkenalkan dirinya sebagai Raja Shamri) pada 9 Januari 2015, dimana kelihatan Masjid Chenulang dinaiki air bah (air Sungai Pertang melimpahi tebingnya) untuk kali kedua pada banjir hujung tahun 2014 (kali pertama pada 22-27 Disember 2014):


Saya ada kisah tragik berkaitan tempat (lokasi) ini di sungai ini...

Kisah berlaku sekitar bulan Disember tahun 1967. Kejadian berlaku sekitar awal pagi. Saya dan allahyarham bapa saya sedang menyusur berjalan kaki di tebing (sekitar 100 meter dari tempat saya berdiri mengambil gambar-gambar di atas)(di tebing di sebelah Kampung Chenulang) untuk mencari perahu bagi menyeberangi sungai tersebut. Tujuan bapa dan saya menyeberang sungai adalah untuk mengambil wang hasil jualan getah kepada seorang peraih di kampung Pasir Jering (kerana kami sudah hampir kehabisan wang). Bapa saya mengambil sebuah perahu kecil (untuk kegunaan sesiapa sahaja menyeberangi sungai tersebut jika air dalam).
Inilah gambaran perahu yang serupa yang kami gunakan pada hari tersebut, tetapi saiz perahu yang kami gunakan itu lebih kecil

Kami berdua menaiki perahu tersebut. Arus air masa itu agak deras sebab musim banjir masih belum reda, dan air sungai itu agak dalam dan sangat keruh, serta sungai tersebut menjadi lebih lebar. Saya berada di hadapan perahu dan bapa saya berada di bahagian belakang sambil mengayuh untuk menyeberangi sungai ke pengkalan kecil di sebelah sana. Sampai di bahagian tengah sungai, tiba-tiba perahu tersebut terlanggar serumpun pokok mengkuang liar yang separuh ditenggelami air banjir. Perahu tersebut tiba-tiba tersadai dan terbalik. Saya cuba menggapai perahu, tetapi terlepas, dan saya tenggelam... Saya tak pandai berenang dan menyelam...!!! Saya hanyut di dalam air... Terasa berdengung telinga... kelam sekeliling... tertelan beberapa teguk air... dan tiba-tiba seperti sesuatu menolak saya ke permukaan air dan saya timbul betul-betul di perahu yang juga sedang hanyut. Saya cepat-cepat menggapai hujung perahu, dan sempat bergantung di situ. Saya lihat bapa saya juga sempat berpaut pada satu lagi hujung perahu.... Sekitar 10 minit kemudian kami dibawa arus ke arah bawah satu perdu besar buluh yang terjuntai di dalam sungai... dan saya terkena beberapa pokok buluh... dan sekali lagi saya terlepas daripada perahu... dan sekali lagi saya hanyut di dalam air... dan sekali lagi terasa berdengung telinga... kelam sekeliling... dan sekali lagi tertelan beberapa teguk air... dan sekali lagi saya rasa tiba-tiba seperti sesuatu menolak saya ke permukaan air... dan sekali lagi saya timbul betul-betul di perahu yang juga sedang hanyut bersama bapa... Saya sudah amat takut... sedih...hampir putus asa... terpinga-pinga..., kerana kami masih hanyut dibawa arus yang agak deras, dan saya nampak banyak lagi perdu buluh sedang "menunggu" kami, dan nun di hujung selekoh sungai, sekitar 300 meter di hadapan kami, saya tahu ada sebuah jeram sedang menunggu..!!! Tiba-tiba kaki saya terasa terkena bumi di dasar sungai dan perahu itu menjadi perlahan... dan menuju ke arah lengkuk seperti sebuah pengkalan..., dan saya serta bapa saya menguis dasar sungai dan menujah perahu ke arah tebing sungai... Alhamdulillah.... kami selamat singgah di situ....
Kami dua beranak berehat sekejap di pengkalan tersebut, dan selepas menambat perahu di situ, kami pun pulang. Bapa saya sempat berpesan kepada saya, "Jangan beritau sesiapa kejadian tadi". Saya berdiam diri, dan cerita/kejadian tersebut juga saya simpan kemas tanpa memberitahu sesiapa, sehinggalah selepas bapa saya meninggal dunia pada awal tahun 2011...
Begitulah, jika Allah SWT masih belum mahu mengambil nyawa kami (yakni belum tiba ajal kami), kami masih selamat. Namun rasa hairan tentang "keajaiban" yang menimpa saya dalam kejadian tersebut masih terpahat di jiwa saya. 
YA ALLAH.. KAMI MEMANJAT SYUKUR ATAS SIFAT PEMURAH DAN PENYAYANGMU KEPADA KAMI...

Jan 9, 2012

TERATAK MAHSURI...di mana?

Ini adalah gambar "TERATAK MAHSURI". Agaknya, ia terletak di mana? Dekat Makam Mahsuri, Langkawi? Tak. Bukan. Nehi. Boo. No. Dok eih...!!! Ia terletak di Hentian Rehat & Rawat, Gurun, Kedah (hentian di sebelah menghala ke Utara Semenanjung)



Makan Seorang Diri...

Dari 3-6 Januari 2012, saya menginap di sebuah hotel 3 bintang yang terletak di pinggiran Putrajaya. Pada masa makan malam bagi 2 malam berturut-turut, HANYA SAYA SEORANG sahaja yang makan malam di restoran utama hotel tersebut. Walaupun di kaunternya terdapat 3 penyambut tamu, tetapi tiada tetamu yang datang makan malam. Apabila saya bertanya, "Apa dah jadi?", mereka berkata, "Awal tahun, encik...". Namun ada juga peramusaji yang dapat bertanya saya nak makan apa, dan mereka menyediakan "ala carte". Maka makan lah saya seorang diri... dan begitu juga untuk malam kedua. Ketika makan, suasana amat sunyi, sehinggakan bunyi sudu yang saya guna sedang "bertempur" semasa saya makan pun jelas berdenting keseluruh ruang dewan makan, he he he... Cuma malam ketiga, pelayan memberitahu, "Malam ini kami sediakan "buffet" sebab ada ramai pelanggan"...tapi saya lihat, cuma 8 orang sahaja termasuk saya...hi hi hi... Makanan agak banyak...

Aneh, kan? Tapi benar!!!




Maka, ini sahaja la yang saya pilih untuk makan pada malam pertama saya menginap.....


Terdetik dihati saya, "Sampai bilakah saya dapat menikmati lagi makanan dan kelazatannya ini...? Bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh menarik balik nikmat ini daripada saya...."
Apapun, doa saya kepada diri sendiri dan semua para pembaca Muslim (disamping berusaha dan berikhtiar), "Semoga kita senantiasa diberikanNya dengan limpahan rezeki yang halal dan bersih, dan dihindari daripada haram sifat dan sumbernya".

Pada 7-8 Mac 2012, saya menginap di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pagi tu, saya adalah orang yang pertama turun makan di kafenya. Sekali lagi, saya makan bersendirian.... Cuma apabila saya hampir selesai makan, barulah kafe tersebut "diserbu" pengunjung....



Ronda-ronda dan Ziarah di Langkawi

Pada 16-18 November 2011, kami sekeluarga (tapi 3 anak lagi tak dapat turut serta kerana komitmen pelajaran) dan 2 anak angkat sempat ronda-ronda dan ziarah ke rumah sanak saudara di Langkawi









Jan 2, 2012

Tiga SOALAN, satu JAWAPAN

Sekarang ni, kebanyakan pelajar IPTA sedang memerah otak menghadapi peperiksaan. Apabila menyebut "peperiksaan", maka ia berkait dengan menjawab "soalan". Asas yang perlu diingat (dan kerap dipesan oleh guru) adalah: JAWAB APA YANG DITANYA, dan bukannya JAWAB APA YANG KITA TAHU. Biasanya, apabila seseorang merangka soalan (soalan peperiksaan, temuduga, kuiz, temubual dan seumpamanya), orang itu akan menjangka pihak yang menjawabnya akan menjawab sekurang-kurangnya dengan satu jawapan. 

Namun ada juga wujud:
SATU JAWAPAN BAGI TIGA SOALAN.... Aneh, kan?

Soalan-soalannya...
1. Kenapa gigi sakit dan menjadi busuk dan buruk?
2. Kenapa ubi kayu menjadi buruk dan tak dapat dimakan?
3. Kenapa pencuri sempat ditangkap segera selepas mencuri?
Satu jer jawapannya...
SEBAB LAMBAT "CABUT" !!!


Ops, jangan marah....sajer nak kurangkan tekanan perasaan...

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN, MURID-MURID DAN ANAK-ANAKKU...
SEMOGA ALLAH SWT MEMBERIKAN YANG TERBAIK. Aamiiin...

Pakat-pakat menghayati alunan muzik KITARO-Matsuri ni yer...