Saya pada masa itu ditempatkan sementara di satu kelas jurusan sains di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan. Saya dan 4 kawan lagi menyewa sebuah rumah kayu dengan kadar sewa RM15 sebulan. Setiap pagi saya pada hari persekolahan, saya akan menaiki bas (tambangnya 15 sen) untuk ke sekolah. Kerapnya saya akan naik bersama dengan seorang makcik, berumur sekitar 50an, yang biasanya memakai baju kurung berwarna merah yang agak lusuh. Biasanya saya akan duduk di sisi dia atau berdekatannya. Perjalanan ke sekolah sekitar 15 minit sahaja. Dia kerap juga tolong membayarkan tambang bas untuk saya. Selepas saling mengenali, dia kerap menasihati saya, antaranya, "Rajin-rajin la belajar...","Belajar ni kena banyak sabar...", "Kita dok jauh dari keluarga, kena pandai berdikari...", "Sembahyang tu jangan tinggal...", "Kena buat baik kepada orang...", "Penting sangat mengingat jasa ibubapa, jangan lupa mereka...", dan macam-macam lagi. Nasihatnya seperti nasihat seorang ibu kepada anaknya. Saya cuma menganggukkan kepala. Dia bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah yang terletak berhampiran dengan sekolah saya. Namanya yang diberitahu saya, "Makcik Moh". Saya pernah juga bertanya, "Makcik tak ada anak ko?". Dia cuma berdiam diri....dan wajahnya berubah dan nampak diselubungi rasa hiba. Jadi, selepas itu, saya tidak pernah lagi bertanya hal keluarganya...
Pada satu pagi bulan ketiga saya bersekolah di situ, saya seperti biasa menaiki bas, tetapi kali ini bukan untuk ke sekolah, tetapi untuk pulang ke Kuala Krai, sebab saya telah mendapat tawaran belajar di Sekolah Menengah Teknik, di Kuantan, Pahang. Saya masih lagi memakai pakaian sekolah, kerana pakaian sekolah yang sepasang itulah sahaja pakaian yang "agak baru" yang saya ada (seluar pendek berwarna biru gelap dan baju putih lengan pendek dan kasut putih (yang dah pun bertukar warna menjadi kekuningan sedikit). Pagi itu saya memeluk satu bungkusan kain sarung yang di dalamnya berisi sedikit buku, alat tulis dan pakaian, sebiji periuk kecil dan sebiji kuali kecil (yang ibu saya bekalkan kepada saya untuk digunakan semasa saya di rumah sewa tersebut). Seperti biasa, saya sempat duduk di sisinya, walaupun saya tadi hampir-hampir terlepas bas tersebut. Makcik tadi, dengan wajah sedikit kehairanan, bertanya saya, "Awe (bahasa orang dewasa loghat Kelantan yang ditujukan kepada seseorang budak lelaki) nok gi mano?". Saya menjawab. "Saya nak balik Kuala Krai, sebab nak pindah belajar di Kuantan..". Dia segera membuka bucu kain penutup kepalanya (seperti mini telekong), dan saya nampak terdapat 4 keping wang 1 ringgit di dalamnya. Dia berikan saya 2 ringgit, dan seraya berkata, "Ni makcik bui sedekoh ko awe... Belajar rajin-rajin deh...". Matanya sedikit tergenang air... Saya pun macam tu juga.... Kami cuma sama-sama terdiam. Entah kenapa... Sampai dekat sekolah tempat dia bekerja, dia membunyikan loceng bas, dan sebelum turun, saya sempat menghulurkankan tangan kepadanya dan mencium tangannya. Itulah pertama kali saya menyentuh tangannya...tapak tangannya kasar ...mungkin kerana menjalankan kerja berat..."Terima kasih makcik...", itu sahaja kata-kata saya yang terakhir yang sempat saya ungkapkan kepadanya sebelum dia turun... dan dia cuma mengangguk-anggukkan kepala sambil sedikit tersenyum dan merenung wajah saya...
Lima belas tahun telah berlalu. ... Pada suatu hari, saya memandu bersendirian untuk ke Kota Bharu, dan saya sengaja lalu mengikut jalan tersebut, dan saya singah di kawasan rumah makcik tersebut. Saya bertanya seorang lelaki yang agak lanjut usia yang kebetulan sedang duduk di pondok menunggu bas, sama ada dia kenal Makcik Moh yang dulu kerja tukang sapu di sekolah..... Lelaki tadi memberitahu saya, "Oooo...Mokcik Moh tu dah lebih 10 tahun meninggal....Dia tu dok sebatang karo jah di sini". Sebelum berlalu, saya sempat bertanya lelaki tersebut, "Mokcik Moh ni tak ada anak ko?". Dia menjawab, "Ada.. seorang anak lelaki, kijo kerajaan, orang besar.. dengar koba dok di Amerika, dah lama sangat tak balik, selepas tamat belajar di Amerika.. Mak dia mati pun dia tak balik.. kami pun tak tau caro nak hubungi dia... Dia orang besar....."
Apapun, saya sedekahkan alFatihah dan selawat kepadanya, UNTUK MAKCIK MOH YANG BAIK HATI, BANYAK MEMBERIKAN NASIHAT, DAN GIGIH MENYARA DIRI...Semoga Makcik Moh berada dalam keramaian ria, dan sejahtera yang Allah SWT berikan kepadanya.
Assalamualaikum Prof.
ReplyDeleteSekarang saya faham sedikit sedikit asas yang membentuk jiwa Prof yang suka tersenyum mengikut pemerhatian saya sepanjang belajar di USM dulu. Insya Allah jiwa murni.
Al Fatihah untuk Makcik Moh.
Alaikummussalam..
ReplyDeleteBegitulah sebahagian perit jerih yang saya (dan orang yang pernah saya kenali) yang pernah dilalui... Yang penting jangan kita mudah berputus asa...dan banyakkan memohon pertolongan daripadaNya.
I guess, Allah is giving you a message.. what comes around goes around.
ReplyDelete