Feb 17, 2011

PANDUAN UMUM UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MALAYSIA: Pembelaan

PEMBELAAN DALAM TUDUHAN JENAYAH

PENDAHULUAN
APABILA seseorang itu dituduh (didakwa) kerana melakukan jenayah atau kesalahan, maka tidaklah semestinya ia dihukum kerana perbuatannya itu. Mungkin orang berkenaan akan dilepaskan dan dibebaskan kerana mahkamah mendapati dia “tidak bersalah”. Bagaimanakah seseorang itu boleh dikatakan tidak bersalah? Jika seseorang itu termasuk didalam golongan orang-orang yang disebut di bawah, maka ia dianggap tidak bersalah ataupun dimaafkan oleh undang-undang, dan ia tidak akan dihukum, dan dengan itu melepaskan dirinya secara penuh daripada dihukum di atas apa-apa perbuatan yang telah dilakukannya itu.
            Di antara pembelaan-pembelaan yang boleh di kemukakan apabila seseorang itu di dakwa kerana melakukan sesuatu perbuatan yang dianggap jenayah, ialah[1]:
(a)               Tidak sempurna akal pada masa melakukan perbuatan itu;
(b)               Khilapfaham nyataan (fakta);
(c)               Perlu dilakukan;
(d)               Masih kanak-kanak;
(e)               Tidak sengaja dilakukan;
(f)                 Tindakan Kehakiman;
(g)               Dibenarkan oleh undang-undang;
(h)               Dengan kerelaan;
(i)                 Mabuk;
(j)                  Di paksa atau diugut;
(k)               Kesalahan kecil;
(l)                  Dengan suci hati untuk faedah seseorang (bona fide); dan
(m)             Kerana mempertahankan diri.
               Di bawah ini dihuraikan secara ringkas setiap satu daripada pembelaan-pembelaan yang di sebutkan di atas.

GILA ATAU TIDAK SEMPURNA AKAL
Orang gila yang melakukan sesuatu perbuatan jenayah tidaklah boleh dikatakan bersalah kerana melakukan perbuatan jenayah yang berkenaan. Ini kerana seorang yang gila ialah seorang yang tidak mempunyai niat jahat (mens rea) dalam melakukan sesuatu perbuatan dan dia juga tidak faham atau tidak tahu hal atau perkara yang dilakukannya ataupun jika ia mengetahui kesan daripada perbuatan yang dilakukan sama ada berlawanan dengan undang-undang ataupun tidak.
               Di dalam undang-undang jenayah Malaysia, perkataan yang digunakan ialah “tidak sempurna akal” Seksyen yang berkaitan ialah seksyen 84 Kanun Keseksaan. Seksyen 84 menyebut:

84. Perbuatan seseorang yang tidak sempurna akal
Tidaklah menjadi kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang ada pada masa melakukannya, akalnya tidak sempurna, tidak berupaya mengetahui keadaan perbuatan itu atau bahawa perkara yang dilakukannya itu sama ada salah atau berlawanan dengan undang-undang.

               Huraian untuk seksyen 84 ini telah pun diberikan sebelum ini. Walau bagaimanapun, beberapa perkara perlulah di sebutkan tentang pembelaan di bawah seksyen 84 Kanun Keseksaan ini:

Bagaimanakah caranya untuk menentukan bahawa “gila” atau “tidak sempurna akal” adalah suatu pembelaan?

Prinsip-prinsip tentang hal ini dinyatakan dalam kes Mc Naghten[2]. Prinsip-prinsip yang diberi ialah:
i.                    Setiap orang diandaikan berakal sempurna kecuali dapat dibuktikan sebaliknya. Beban untuk membuktikan bahawa orang berkenaan adalah tidak sempurna akal adalah dengan cara menimbulkan “keseimbangan kemungkinan” di pihak pembela.
ii.                  Untuk mengemukakan pembelaan tidak sempurna akal, pembela hendaklah dengan jelas dibuktikan bahawa pada masa melakukan perbuatan berkenaan, orang yang di tuduh itu mengalami gangguan akal daripada penyakit akalnya, yang mana dia tidak tahu bentuk dan keadaan perbuatan yang dilakukan, dia tidak tahu bahawa dia melakukan sesuatu yang salah atau berlawanan dengan undang-undang.
Dalam kes R lwn. Paddison[3] disebutkan bahawa mestilah wujud ketidakfungsian disebabkan oleh penyakit. Ketidakfungsian disebabkan oleh faktor-faktor luar seperti minuman atau kecederaan tidak termasuk dalam ketidakfungsian akal.
Nota: Kes ini cuma sebagai tambahan sahaja. Kes ini tidak ada kaitannya dengan mahkamah di Malaysia. Walaupun pendapat mahkamah tentang kes ketidakfungsian akal yang di sebabkan oleh faktor minuman dan seumpamanya, tidak termasuk di dalam ketidakfungsian akal (bagi maksud seksyen 84) mungkin benar kerana pembelaan disebabkan oleh ketidakfungsian akal oleh sebab minuman atau dadah telahpun dinyatakan di bawah seksyen-seksyen 85 dan 86 Kanun Keseksaan[4].
Perkataan “akal tidak sempurna” lebih luas maksudnya daripada perkataan “gila”. Perkataan tersebut bukan sahaja merangkumi kes-kes yang melibatkan orang gila, tetapi juga perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh seseorang yang bukan daripada hasil akal fikirannya atau akal fikirannya yang tidak berfungsi semasa melakukan perbuatan itu. Misalnya, keadaan tidak sempurna akal itu akibat penyakit kencing manis dan kemurungan[5], kerosakan atau kelemahan akal secara kekal atau sekali sekala, asalkan bukan kerana faktor luaran yang diadakan (misalnya mencucuk dadah ke badan)[6], atau penyakit sawan yang mengakibatkan daya akal fikirannya hilang sementara[7].  Dengan perkataan lain, orang yang berkenaan tidak ada niat jahat (mens rea) semasa melakukan jenayah berkenaan. Jadi perkataan “akal tidak sempurna” yang di sebut di seksyen 84 termasuklah seseorang yang mengalami penyakit berjalan malam (sejenis mengigau)[8]. Misalnya A tiba-tiba bangun dari tidurnya dan kemudian menetak isterinya yang sedang tidur di sisinya kerana sebenarnya dia sedang bermimpi dibelit seekor ular dan berusaha menghapuskan ular yang membelitnya itu.
Perkataan “akal tidak sempurna” juga mungkin boleh digunakan untuk kes-kes yang serupa dengan contoh di atas, misalnya kes-kes seperti “otomatisma”.
Dalam kes Jusoh lwn. Pendakwa Raya[9], fakta kesnya adalah seperti berikut: J yang telah sekian lama hilang, telah pulang ke tempat adiknya, A dan tinggal di rumah itu untuk beberapa waktu. Sebelum ini A dan J tidak pernah berjumpa. J telah dilayan dengan baik oleh keluarga A. Pada suatu hari, dengan tiba-tiba J telah mengamuk dan menetak adik iparnya dan dua orang anak saudaranya (iaitu isteri dan anak-anak A). J kemudiannya telah membunuh seorang yang tidak dikenalinya yang kebetulan berada di tempat itu. Doktor yang merawat J kemudiannya, mendapati J berada dalam kebingungan dan diselubungi dukacita. Pendapat perubatan menyatakan bahawa J mengalami penyakit gila yang keterlaluan (acute mania) di mana terdapat keadaan apabila ia melakukan sesuatu, walaupun ia tahu apa yang dilakukannya itu adalah salah. Dengan itu mahkamah Rayuan Jenayah telah membebaskan J daripada tuduhan membunuh dan mencederakan dengan alasan bahawa semasa J melakukan jenayah, ia telah tidak waras fikirannya.
Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Tai Chow Yick[10], T telah di dakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (iaitu tuduhan membunuh) kerana telah menyebabkan kematian seorang siak masjid. Walau bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati T pada masa melakukan perbuatan itu telah tidak siuman (iaitu gila) dan dengan itu mahkamah mendapatiT tidak bersalah dan seterusnya  memerintahkan T dihantar dan ditahan di hospital sakit otak untuk mendapat rawatan.
Dalam kes Ashiruddin Ahmad lwn. The King[11], fakta kesnya adalah seperti berikut: Pada suatu malam A telah bermimpi bahawa dia berada di syurga dan telah diarahkan oleh seseorang supaya mengorbankan anak lelakinya. Keesokan harinya dia telah memandikan anak lelakinya yang berumur lima tahun dan kemudiannya membawa anaknya itu dan sebilah pisau ke sebuah masjid. Dia menyuruh anaknya membongkok dan menutup mata. Apabila anaknya berbuat seperti yang di suruh, A menutup matanya sendiri dan kemudian memotong leher anaknya dan meninggalkannya di dalam masjid itu, kemudian ia pulang ke rumahnya. Dia kemudiannya memberitahu hal itu kepada bapa saudaranya. Mahkamah Tinggi Calcutta memberi pendapatnya seperti berikut:

“Mengikut cerita Yang Kena Tuduh, ia percaya bahawa ia diarahkan oleh seseorang di syurga untuk mengorbankan anaknya. Jadi ia (A) tahu akan perbuatannya itu iaitu mengorbankan anaknya bermakna membunuh anaknya. Persoalan yang perlu ditentukan ialah sama ada pada masa itu ia tidak waras mengakibatkan ia tidak tahu bahawa perbuatan itu salah atau berlawanan dengan undang-undang…pada pendapat kami Yang Kena Tuduh jelas tidak waras fikirannya, akibat pengaruh mimpinya itulah yang menyebabkan ia mengorbankan anaknya dengan mempercayai bahawa itu adalah benar atau betul”

Adakah berikut ini juga sejenis "GILA"?


[1] Untuk bacaan lebih lanjut, lihat Samaha, J. 2005. Criminal Justice. Edisi ke-7. New York: Thomson Wadsworth; Molan, M.T., Mike, M., Bloy, D. & Lanser, D. 2003. Modern Criminal Law. London: Routledge Cavendish; Cross, R. & Jones, P.A. 1968.  An Introduction to Criminal Law. Edisi ke-6.   London: Butterworth Co. Ltd.; Smith, J.C. & Hogan B. 1984. Criminal Law. Edisi ke-5.. London: Butterworth & Co.(Publishers) Ltd.




[2] (1843) 10 CI & Fin. 200.
[3] (1973) 3 All ER. 347.

[4] Sila lihat perbincangan seterusnya di dalam bab ini.

[5] R lwn. Clarke [1972] 1 All ER 219; R lwn. Hennessy [1989] 2 All ER 9.

[6] R lwn. Sullivan [1984] AC 156.

[7] R lwn. Kemp [1957] 1 QB 399- dimana akibat sawan dan daya akalnya hilang, seorang lelaki menyerang isterinya dengan tukul.

[8] R lwn. Burgess [1991] 2 All ER 769, dimana perbuatan semasa jalu (mengigau, atau berjalan semasa tidor) juga dianggap sama seperti “tidak siuman”.

[9] (1963) M. L. J. 84.

[10] (1984) (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur).

[11] (1949) 50 Cr. L.J 255.


Di atas adalah sebahagian daripada Bab 4 buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2010. Panduan Umum Undang-undang jenayah Di Malaysia (Edisi Ke-2). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 47-52. Harga RM15.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.