Feb 22, 2011

Tata Etika Ahli Profesional Projek Pembinaan

TAKRIF “TATA ETIKA”
Secara am, banyak takrif yang diberikan kepada “etika”.  Antaranya, DeGeorge, R.T.[i] mentakrifkannya sebagai suatu usaha bersistematik untuk membina suatu yang kohesif berasional seluruhnya bagi kegiatan individu-individu dan moral sosial.  Perkataan “tata” atau “kod” ialah garis panduan bertulis bagi sesuatu perkara atau bidang.  Secara mudah, tata etika adalah suatu dokumen yang mengandungi aturan yang mengawal perlakuan seseorang.  Dengan itu “tata etika ahli-ahli profesional projek pembinaan” adalah garispanduan bertulis yang bersistematik yang kohensif berasional yang ada moral sosial yang digunakan oleh ahli-ahli profesional projek dalam profesionnya berkenaan projek-projek pembinaan.

SKOP DAN KEPERLUAN
Pada amnya, banyak organisasi profesional yang mewujudkan tata etika di mana ahli-ahli profesion berkenaan diharap mematuhinya.  Ini kerana tata etika ini menjadi suatu fungsi penting yang mengandungi aturan yang mengawal perilaku ahli-ahli profesion berkenaan[ii].  Seperti dinyatakan oleh Fleckenstein, M.P. dan Huebash, M., bahawa tata etika profesional berfungsi untuk menjelaskan apa yang diharapkan bagi perangai beretika kerana tata etika itu mengandungi piawai pelaksanaan itu[iii].  Tata etika berfungsi memandu arah ahli-ahli profesion berkenaan dalam membuat keputusan mengenai bagaimana bertindak, lebih daripada hanya memaklumkan apa-apa perlakuan khusus (yang boleh atau tidak boleh dilakukan).
            Menurut Males, A.R.[iv], adalah menjadi persetujuan umum, bahawa orang-orang profesional menawarkan perkhidmatannya yang kompetensi dan berwibawa (berintegriti) berdasarkan teknik kemahiran keintelektualan.  Hubungan seorang orang profesional dengan kliennya adalah berasaskan saling percaya mempercayai.  Dengan demikian tata kelakuan sesuatu badan profesional adalah diwujudkan untuk dijadikan alat melindungi kepentingan klien profesion itu dan juga mempertahankan status profesion itu dari kacamata masyarakat.
             Selanjutnya kita dapati bahawa keperluan tata etika berkembang sejajar dengan perubahan keadaan dan keperluan masyarakat.  Tata etika itu sendiri, dengan itu, menggambarkan sikap keahlian profesion itu dan juga keperluan statut serta pendapat umum[v].
            Secara ringkas, tujuan penwujudan tata etika adalah untuk merumuskan aturan bagi membezakan kelakuan yang mana buruk dan yang mana baik untuk kelakuan ahli-ahli sesuatu profesion tertentu.
            Tata etika juga menyediakan perlindungan kepada sesuatu profesion itu sendiri.  Tata etika bertujuan mengawas dan membantu profesion dengan mengenakan suatu piawaian yang akan memberi status (darjat) dan prestij kepadanya[vi].  Dikatakan oleh Fleckenstein, M.P. dan Huebsch, P., lagi bahawa tata etika juga berfungsi untuk menjaga keharmonian di dalam kumpulan-kumpulan profesional itu sendiri dan menyelesai pertikaian antara ahli-ahlinya.  Dengan demikian, untuk menjadikan inya berkesan, ianya perlulah dihuraikan (dinyatakan atau dimaklumkan) dan dikuatkuasakan.  Ahli-ahli profesional yang terlibat (yang diliputi oleh sesuatu tata etika) juga perlulah memahami apa yang tata etika itu mahukan.  Malah mereka juga mesti maklum kesan daripada pelanggaran sesuatu peruntukan yang dinyatakan di dalam tata etika.  Tata etika yang tidak dipeduli dan tidak dikuatkuasakan tentunya mempunyai nilai yang rendah[vii].
            Walaupun namanya “Tata Etika”, namun bagi maksud ahli-ahli profesional projek pembinaan, ianya merupakan undang-undang kecil (subsidiari) kepada akta masing-masing.  Perkara-perkara ini akan dibincangkan selepas ini.  Namun apa yang ingin ditekankan di sini  ialah penekanan dan penerapan  kandungan  tata etika kepada ahli-ahli profesional projek pembinaan menjadi lebih berat dan lebih diberi keutamaan dalam menguruskan disiplin ahli-ahli profesional berkenaan.



[i]       DeGeorge, R.T., 1992, Business Ethics, New York: Prentice-Hall Publishers.

[ii]       Lihat Fleckenstein, M.P. & Huebasch, P., “Ethics in tourism-reality or hallucination”, Journal of Business Ethics, Dordrecht, March 1999.

[iii]      Ibid.

[iv]      Males, A.R., “Professional Conduct in England”, dlm. Speaight, A. & Stone, G., 1990, Architect’s Legal Handbook – The Law for Architects, Edisi kelima.  Cambridge:  Butterworth-Architecture. Di m.s. 303.

[v]       Ibid., di m.s. 304.

[vi]      Fleckenstein, M.P. & Huebsch, P., op. cit. Nota kaki 2.

[vii]     Ibid.


Di atas adalah cabutan daripada Bab 6, buku Abdul Aziz Hussin. 2006. Ahli-ahli Profesional Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 93-95. Harga RM80 (sebelum diskaun).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.