Feb 21, 2011

Modus Operandi Penguatkuasaan Bon Wang Pendahuluan


Konsep Liabiliti Tanpa Syarat
Tidak seperti bon perlaksanaan, bagi bon wang pendahuluan (sama ada yang dikeluarkan oleh bank atau syarikat insuran) adalah berbentuk bon tanpa syarat dan atas permintaan.
            Liabiliti penjamin (yakni bank atau syarikat insuran) akan dikurangkan secara sebahagian-sebahagian berdasarkan baki amaun yang telah diperolehi kembali oleh klien (kerajaan atau tuanpunya projek berkenaan). Seperti yang diperuntukkan didalam format seragam bon wang pendahuluan, liabiliti pihak bank atau syarikat insuran terbabit akan tamat pada akhir satu tahun kalender selepas kerja kontrak itu tamat (atau pada tarikh lanjut masanya) atau satu tahun kalender dari tarikh penamatnya, mengikutt mana yang berkenaan.
            Pada kebiasaanya, bagi kes-kes dimana klien adalah kerajaan atau badan berkanun, pihak bank atau syarikat insuran akan diberitahu mengenai jumlah wang yang telah dikutip kembali oleh kerajaan atau badan berkanun, dan juga pelepasan liabilitinya.

Hak Penjamin Akibat Perubahan Terma Kontrak.
Prinsip-prinsip  asas mengenai penjamin serta pemakaian seksyen 86 Akta Kontrak 1950 seperti yang dibincangkan dibawah tajuk yang serupa bagi bon perlaksanaan adalah juga terpakai bagi hak-hak penjamin bagi jaminan wang pendahuluan. Namun begitu dari perspektif jaminan wang pendahuluan, dimana jaminannya adalah bagi wang pendahuluan yang telah dibayar (dan bukan perlaksanaan kerja bagi jaminan perlaksanaan) maka bolehlah dikatakan penjamin tidak akan dilepaskan dari liabiliti jaminannya kecuali kontraktor membayar balik wang pendahuluan yang diberi. Ada kemungkinan penjamin akan dilepaskan daripada liabiliti jaminannya jika klien sendiri membuat perkiraan dengan kontraktor untuk menepikan apa-apa amaun wang pendahuluan yang telah dibayar. Namun pada realitinya perkiraan sedemikian hampir tidak mungkin berlaku.
            Apabila tamatnya liabiliti jaminan, samaada kerana tamat tempoh atau kerana pembayarannya telah diselesaikan oleh kontraktor, maka kadangkala pihak bank atau syarikat insuran akan meminta balik dokument asal (bon asal) jaminan. Namun sebahagian klien tidak mahu atau enggan memulangkannya atas alasan antaranya, dokumen tersebut telah diikat di dalam Ikatan Perjanjian Kontrak. Sebahagian gantinya maka klien projek akan mengeluarkan Surat Pelepasan bon kepada pihak bank atau syarikat insuran, yang menyebut liabiliti mereka dibawah kontrak itu adalah dilepaskan.

Kaedah Kutipan Kembali Dan Membuat Tuntutan
Pada umumnya telah menjadi praktis bahawa pembayaran kembali wang pendahuluan hendaklah dibuat dengan cara pemotongan dari wang yang akan kena dibayar kemudiannya kepada kontraktor (biasanya bayaran interim), atau mengikut jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan29 . Sebarang kegagalan atas program pembayaran balik yang telah dipersetujui akan terjamin dengan adanya bon wang pendahuluan.
            Bagi kontrak kerja yang menggunakan format FIDIC, perkara-perkara mengenai bayaran wang pendahuluan dan pengutipan baliknya ada diperuntukkan didalam fasal 60 (2) dan didalam Bahagian 11 (fasal 60). Didalam fasal-fasal tersebut ada diperuntukkan bahawa jika bayaran wang pendahuluan telah dibuat maka syarat-syarat pembayaran dan bayaran kembali adalah secara yang akan dipersetujui seperti dinyatakan didalam Bahagian 11 fasal 60 format FIDIC itu.
            Bagi kontrak yang menggunakan Borang seragam PAM, kuasa dan hak mengutip kembali wang pendahuluan ada diperuntukkan didalam fasal 30 (3) dan (4) Syarat-syarat Kontrak.
            Bagi kontrak yang menggunakan Borang Seragam JKR 203 atau JKR 203A (semakan 10/83), kuasa dan hak mengutip kembali wang pendahuluan ada diperuntukkan didalam fasal 50 Syarat-syarat Kontrak. Selain daripada itu cara kutipan juga diperuntukan dengan terperinci didalam fasal (b) Peruntukan Khas Syarat-syarat Kontrak. Kaedah kutipan balik wang pendahuluan adalah seperti berikut :
Pertama, kutipan balik bermula apabila nilai kerja yang disahkan telah dilaksanakan oleh kontraktor, dicampur nilai bahan-bahan binaan di Tapakbina telah mencapai 25% dari jumlah nilai semua kerja kontrak; kemudian
Kedua,   pemotongan balik dibuat didalam sijil Bayaran Interim; dan
Ketiga,  bayaran kembali perlu selesai sepenuhnya melalui bayaran interim apabila nilai kumulatif kerja pembinaan yang disahkan bagi bahan-bahan di Tapakbina) mencapai 75% dari jumlah nilai kontrak kerja30  kontraktor.  
Pemotongan-pemotongan adalah dibuat dengan menggunakan formula berikut:
D = 200 A peratus dari P
             B
dimana :
D = Potongan kumulatif yang perlu dibuat dalam setiap Sijil Interim
A =Jumlah amaun pendahuluan yang dibayar kepada kontraktor;
B = Jumlah nilai kontrak bagi nilai kerja kontraktor;
P = nilai kasar bagi kerja kontraktor yang disahkan yang dinilai (termasuk amaun disahkan bagi bahan-bahan ditapakbina yang melebihi 25% dari B.
(atau = G - 25% dari B, dimana G = nilai kasar kerja yang disahkan telah dilaksanakan sehingga tarikh nilaian kerja dibuat)
            Kaedah kutipan balik yang dibincangkan diatas boleh dibuat, dengan andaian bahawa kontraktor melaksanakan kerja dengan memuaskan dengan jayanya. Namun jika berlaku kegagalan dipihak kontraktor didalam perlaksanaan kerja (yang mengakibatkan tiadanya bayaran kemajuan) atau kontraktor tidak membayar kembali sepenuh atau sebahagian wang pendahuluan, maka timbullah pula tuntutan yang perlu dibuat terhadap penjamin (bank atau syarikat insuran).
            Seperti yang telah dibncangkan sebelum ini bahawa bon wang pendahuluan adalah berupa gerenti tanpa syarat dan atas permintaan. Dengan begitu keputusan hakim Shaik Daud didalam kes Teknik Cekap Sdn. Bhd lwn. Public Bank Bhd31 . adalah terpakai, dimana dikatakan bon sedemikian mesti dibayar balik (oleh bank atau syarikat insuran dengan cuma satu tuntutan dibuat. Didalam kes Esso Petroleum Malaysia Inc. lwn. Kago Petroleum sdn. Bhd32 , Mahkamah Agung memutuskan bahawa jika bon itu adalah bon tanpa syarat dan atas permintaan, maka apa yang perlu dibuat oleh klien (yakni pihak yang digerenti) ialah membuat suatu tuntutan bertulis (kepada bank atau syarikat insuran tersebut). Jika perkataan yang digunakan didalam surat tuntutan adalah jelas dan selaras dengan perkataan didalam bon, maka surat itu memadai sebagai suatu surat tuntutan gerenti33 .

Amaun Tuntutan.
Secara ekstrim, amaun tuntutan adalah dari RM 0 (yakni bon wang pendahuluan dikembalikan tanpa dituntut) hinggalah kepada amaun maksima yang dinyatakan di dalam bon berkenaan (yakni misalnya bersamaan 15% dari nilai kontrak, atau RM 5 juta, mengikut mana yang kurang) (bagi kontrak format JKR 203 atau 203A).
            Amaun tuntutan adalah berdasarkan baki bayaran pendahuluan yang belum sempat dikutip kembali oleh klien (pemberi wang pendahuluan tersebut).  Ini bererti amaun tuntutan bergantung kepada,
(a)  baki bayaran wang pendahuluan yang belum dikutip kembali, dan
(b)  semaksima yang dinyatakan di dalam bon (tertakluk kepada (a) di atas).

Tempoh Membuat Tuntutan Dan Had Masa
Tuntutan bagi maksud perbincangan di sini ialah tuntutan yang dibuat oleh pihak yang dijamin (yakni klien projek) terhadap bank atau syarikat insuran, yan dibuat olehnya kerana wang pendahuluan telah tidak dapat dikutip kembali (sama ada  debahagian atau sepenuhnya) dari kontraktor.
            Peruntukan-peruntukan seksyen 6 Akta Had Masa, 1953 dan seksyen 54 Akta Tafsiran, 1967 telah pun penulis bincangkan di dalam Bab Dua buku ini semasa perbincangan mengenai tempoh membuat tuntutan dan had masa tuntutan bagi bon perlaksanaan.  Hal yang serupa juga terpakai bagi bon wang pendahuluan.
            Dengan demikian terdapat dua tempoh yang relevan iaitu,
Pertama, tempoh yang dibenarkan seperti yang dinyatakan di dalam terma bon, untuk pihak yang dujamin menuntut kepada pihak penjamin; dan
Kedua,    tempoh yang dibenarkan seperti di dalam terma bon untuk pihak yang dijamin menuntut penjamin di mahkamah
            Bagi tempoh jenis yang pertama, menurut format seragam bon wang pendahuluan bagi jaminan bank (yang serupa juga digunakan oleh syarikat insuran) iaitu mengikut format borong JKR Q4/81 (W)34 , tuntutan perlulah dibuat dalam tempoh satu tahun kalendar35  selepas siapnya kerja-kerja kontrak seperti tarikh dinyatakan di dalam penjanjian (atau dari lanjut masa baginya) atau dari tarikh kontrak itu ditamatkan, mengikut mana yang terdahulu.  Tuntutan yang dimaksudkan di sini ialah tuntutan oleh pihak yang digerenti terhadap penggerenti.  Jika pihak itu (misalnya sebuah badan berkanun) tidak membuat tuntutan pembayaran bon terhadap penggerenti dalam tempoh satu tahun maka penggerenti tidak lagi terikat dengan jaminan pembayaran bonnya dan ia dilepaskan36 .  Dengan itu keputusan kes Pembinaan Maluri Sdn. Bhd. lwn. Prudential Assurance Sdn. Bhd.37  adalah juga terpakai bagi kos-kos melibatkan bon wang pendahuluan. 
            Bagi perjanjian kontrak lain yang menggunakan format seragam (dan juga format bon wang pendahuluan) yang lain, maka terma-terma bon berkenaan perlulah dilihat dan dipatuhi.
            Bagi tempoh jenis yang kedua itu pula, tidak ada terma atau syarat sedemikian yang dinyatakan di dalam format seragam bon wang pendahuluan bagi kegunaan bersama format JKR 203 atau 203A.  Dengan itu had masa seperti mana yang ditetapkan dibawah seksyen 6(1)(a) Akta Had Masa,1953 adalah terpakai.  Ini bermakna pihak yang digerenti boleh membuat tuntutan di mahkamah bagi menuntut dan menguatkuasakan pembayaran bon wang pendahuluan pada bila-bila masa asalnya tidak lewat dari enam tahun dari tarikh kontraktor itu gagal (atau sepatutnya) membayar kembali wang pendahuluan seperti yang disyaratkan didalam perjanjian.


29 Lihat Robinson, N. M., dan Lavers, A.P., op. cit. Notakaki 4, di m.s. 149 dan Bunni, N. G., op. cit., Notakaki 8, di m.s. 225
30 Lihat op. cit. Notakaki 26.
31 (1995) 3 M.L. J. 449, di m.s. 445
32 (1995) 1 M.L.J. 149
33 Ibid., oleh hakim Peh Swee Chin, di m.s. 157. Beliau membincangkan bon perlaksanaan jenu tanpa syarat dan atas permintaan.
34 Lihat LAMPIRAN LAPAN buku.
35 Lihat peruntukan seksyen 54 Akta Pentafsiran 1967 yang telah dibincangkan di dalam Bab Dua buku.
36 Kecialu di dalam kes-kes khas dimana mahkamah akan menggunakan budibicaranya untuk melanjutkan tempoh untuk membuat tuntutan.
37 (1991) 2 M.L.J. 350.  Lihat perbincangan mengenai kes ini di dalam Bab Dua buku.


Di atas adalah cabutan (dengan penyesuaian) buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2001. Undang-undang Pembinaan: Bon-bin Gerenti Dalam Kontrak Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 37-41. Harga RM14 (sebelum diskaun).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.