Feb 21, 2011

Sungai...oooo... Sungai

FUNGSI DAN MANFAAT SUNGAI

Apabila disebut sungai, komponen paling utama adalah airnya. Air sungai, mengikut kegunaannya semenjak turun temurun, adalah sebagai air minum, bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga haiwan dan tumbuhan (Al-Qur’an 8 :11, 50 : 9)(Abdul Aziz, 2000). Sebagai contoh, bekalan air untuk kegunaan air domestik dan industri di Malaysia adalah sebanyak 7.66 bilion liter sehari dalam tahun 1995, 11.6 bilion liter sehari pada tahun 2002, dan dijangka menjadi 20 bilion liter sehari pada tahun 2020 (JAS 1999). Selain daripada itu, air sungai juga digunakan untuk pertanian, seperti saliran air daripada sungai ke tali air (Akta Kawasan Pengairan 1953). Air sungai juga akan diguna sebagai sumber mengawal kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (Akta Perkhidmatan Bomba 1988).
Kita juga sudah maklum bahawa sungai, sejak sekian lama menjadi daya tarikan untuk manusia menghuni ditebingnya kerana ia digunakan sebagai laluan perjalanan, sumber makanan (ikan, siput, tumbuhan air dan lain-lain), hidroelektrik, dan lain-lain tujuan (Mertes, 2003).
Sungai juga dijadikan sebagai salah satu aktiviti pelancongan alam semulajadi (Serakaya & Sisidharan, 1999) seperti berkayak, berakit, memancing, mandi manda dan menyelam. Ia sebahagian daripada eko-pelancongan (Ashton & Ashton, 1993; Higgins, 1996). Sungai boleh dikatakan termasuk aset semulajadi pelancongan, seperti air dan hidupan airnya (Gunn, 1988). Sungai diletakkan dibawah kategori “pelancongan sungai” oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (Md. Salleh, 1998) dan juga di peringkat sejagat (Opperman & Chan, 1999). Malah dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RM8) dinyatakan sungai akan dijadikan sebagai salah satu tarikan untuk pelancong.
Di bawah seksyen-seksyen 46, 49 dan 353(2) Kanun Tanah Negara 1965, sungai adalah sempadan semulajadi tanah-tanah berimilik (dan jika sungai berubah, maka sempadan tanah turut berubah, yakni mengecilkan tanah berimilik tersebut).
Dengan demikian sungai menyumbang kepada banyak kegunaan. Namun dalam hal ini perlulah kita ingat bahawa ‘sic utere tuo ut alienum non laedas’, yakni jika pun kita menikmati (misalnya harta kita), janganlah pula sampai mendatangkan bahaya kepada orang lain. Daripada perspektif kerakusan penggunaan sungai hari ini, ungkapan ini ada kebenarannya. Kita akan ujinya dalam kajian kes Sungai Pinang selepas ini.

KEMEROSOTAN DAN PERUBAHAN FUNGSI SUNGAI
Kemerosotan dan kehilangan fungsi sungai yang asal boleh berlaku kerana proses semulajadi atau kerana kerakusan manusia, atau oleh kedua-duanya sekali. Ia berlaku dalam bentuk pencemaran, tertimbus, aliran air terhalang, terubah aliran atau tebing terhakis, atau kerana kering, atau dalam bentuk-bentuk yang lain yang menyebabkan fungsi sungai itu telah merosot atau hilang. Masaalah kualiti air sungai yang tercemar atau kemerosotan kualiti air mula ketara semenjak tahun 1970an lagi, yang terjadi disebabkan oleh bahan organik, logam berat, bahan-bahan kimia seperti baja dan racun makhluk perosak (UNEP.Net, 2003)
Tanda aras bagi mengukur kemerosotan dan kehilangan fungsi itu adalah dengan melihat kegunaan asal sungai, tebing, dan yang paling penting, airnya. Jika ia tidak dapat digunakan seperti fungsi asalnya maka dikatakan fungsi sungai telah merosot atau hilang. Perkara-perkara ini pula diukur dengan melihat antaranya pencemaran air (Lickorish & Jenkins, 1997; OECD, 1980), mutu air yang merosot (M.J., 1988), kerosakan atau hakisan tebing (Allen 1992; Hierta,  1994; Norris, 1994), atau  bekalan air minum terjejas atau menjadi tidak cukup (loannides, 1994).
Contoh-contoh perbuatan rakus manusia yang memberi kesan negatif kepada sungai (terutama dalam bentuk “mudarat”) yang pernah diketengahkan kepada mahkamah, antaranya seperti berikut: Dalam kes Seong Fatt Sawmills Sdn. Bhd. lwn. Dunlop Malaysia Industries Sdn. Bhd. [(1984)1 MLJ 286], telah berlaku perbuatan memotong tepi bukit berhampiran sebuah alur dan menambun tebingnya termasuk sebuah kolam asli dan mengalih aliran alur sungai itu dengan cara membina parit. Dalam kes Pemberton & seorang lagi lwn. Bright dan yang lain [(1917)AC 556] sebuah Majlis Daerah telah membuat pembetung di suatu alur tanpa membuat grid penahan kelajuan air. Ini mengakibatkan pembetung tersumbat oleh sampah sarap dan lumpur. Dalam kes McGowan & seorang lagi lwn. Wong Shee Fun & seorang lagi [(1966)1 MLJ 1) sebuah syarikat pemaju perumahan telah membuang bunga tanah (tanah atas) tapak bagi projek perumahan. Ini menjadikan tanah itu berlumpur, dan lumpurnya masuk ke sungai dan mendap. Sisa-sisa pokok dan bahan-bahan binaan (papan-papan) yang dibuang juga telah menjadikan sungai itu tersumbat.
Jika sistem pelepasan pembetungan dibina untuk terus masuk ke sungai berhampiran dimana air buangan tidak dirawat sewajarnya, ini juga faktor merosot atau hilangnya fungsi sungai kerana telah berlaku pencemaran air (Smith, 1992; Boo, 1990; Mathieson & Wall, 1982; Warner, 1991). Jika air sungai mengandungi toksid (yakni berlaku kerosakan kualiti air) akibat pembuangan sampah (Mathieson & Wall, 1982) dan lain-lain sisa pepejal (Zaini Ujang, 1992) ini juga menggambarkan pencemaran air sungai.   
Pencemaran air juga merujuk kepada perubahan air yang menjadi tidak sesuai digunakan (The New Book of Knowledge, 1974). Menurut llustrated Dictionary of Essential Knowledge (1995) pencemaran air boleh berlaku kerana bahan-bahan beracun dan sisa yang membahayakan hidupan seperti pelepasan daripada longkang atau sisa toksid atau logam berat ke dalam sungai. Menurut Smith (1990) pula, sesuatu sungai dianggap tercemar apabila nilai kandungan oksigen yang terkandung di dalam air sungai (dalam bentuk oksigen terlarut) kurang daripada nilai oksigen yang digunakan oleh hidupan-hidupan air terutamanya oleh mikro-organisma dalam bentuk keperluan oksigen biokimia (biochemical oxygen demand)(BOD) bagi mengurai bahan-bahan organik di dalam air, dan air berbau busuk. Air sungai juga tercemar akibat pembuangan sisa-sisa, termasuk sisa dan najis haiwan dan sisa bahan-bahan kimia (Falconer & Lin, 2003)
Andrew (1972) mentakrif “pencemaran” sebagai “perubahan yang tidak diingini…, yang sebahagian besar atau semuanya akibat hasil sampingan perbuatan manusia, melalui kesan langsung atau tidak langsung kepada perubahan corak tenaga, tahap radiasi, kandungan kimia dan fizikal dan banyaknya organisma”. Klein (1962) membahagikan pencemaran air kepada tiga, iaitu:
             Pertama,   penambahan air keras kepada air lembut;
             Kedua,      kenaikan suhu air; dan
             Ketiga,      bahan yang akan bertindakbalas jika dimasukkan ke dalam air akan menyebabkan pencemaran.
Seperti dilaporkan dalam Berita Harian bertarikh 19.3.2000, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran menyatakan sungai yang terletak berhampiran penempatan penduduk dan premis kilang serta pusat ternakan menghadapi masaalah pencemaran yang meruncing dalam bentuk pencemaran pepejal seperti sampah sarap, tanah hakisan dan air kumbahan.
Menurut kajian lain pula (ASMA: 2000), daripada 116 batang sungai yang dikaji di Malaysia, 11 sungai (11%) adalah paling teruk tercemar, 73 (63%) tercemar, dan cuma 32 (27%) sahaja bersih. Dalam satu kajian yang agak menarik yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (1993) bagi kempen “Cintailah Sungai Kita”, didapati daripada 870 responden yang ditanya, 4.6% penduduk bandar dan 4% penduduk luar bandar menyatakan bahawa sungai sesuai dijadikan tempat membuang sisa dan kumbahan.
Contoh terbaru, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 8.2.2003, ialah bahawa pemugaran tanah secara besar-besaran di Cameron Highland menjejaskan tempat takungan air empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kehidupan masyarakat Orang Asli yang banyak bergantung kepada sungai. Ini kerana selain daripada kuantiti bekalan air semakin susut, air sungai itu turut tercemar kerana lumpur dan racun makhluk perosak yang digunakan dalam aktiviti pertanian. Ini menjejaskan bekalan air minum dan sumber makanan daripada sungai (ikan, siput dan lain-lain). Secara ringkas, air sungai berkenaan kini menjadi tidak berkualiti – yakni airnya  tidak lagi sesuai untuk pelbagai menfaat (Meybeck, et. al., 1996).
Adalah jelas daripada perbincangan-perbincangan di atas, dan juga menurut Kraemer, et.al. (2001), pencemaran air sungai adalah sebahagian besarnya akibat daripada proses perbandaran tanpa kawalan.
Secara amnya pencemaran sungai boleh diukur melalui tiga cara iaitu,
Pertama, dengan cara melihat, merasa dan menghidu air sungai tersebut. Jika warna, kandungan air, rasa dan baunya diperingkat ‘tidak disenangi’ maka ini menunjukkan pencemaran;
Kedua,      melalui cara kimia iaitu melalui ujian keupayaan kebolehlarutan air berasaskan piawaian Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO)(2001). Piawaian yang dibenarkan mestilah tidak lebih daripada yang ditunjukkan di dalam Jadual 1 berikut:

Jadual 1: Piawaian WHO Bagi Ujian Kebolehlarutan Air

Had
Piawaian WHO
Oksigen Terlarut (mg/l)
7.6
Kekeruhan (NTU)
5 – 2.5
pH
6.5 – 8.5
Pepejal Terampai (mg/l)
1500
Pepejal Larut (mg/l)
200
Warna (Pt)
75
Keliatan (mg/l CaCo3)
500 maks


Ketiga,      ujian pencemaran sungai juga dibuat secara biologikal, terutama apabila berlakunya sesuatu wabak. Ia diuji menggunakan organisma penunjuk iaitu organisma yang kehadirannya menunjukkan pencemaran telah berlaku misalnya kehadiran jangkitan penyakit akibat cryptosporidiosis  dan escherichia coli (Eisenberg, et.al.,2001; Kraemer, et.al., 2001) atau mikroskopik crustaceans (Meybeck, et.al.1996).


Di atas adalah sebahagian daripada kandungan artikel Abdul Aziz Hussin, Abdullah Mahmood & Abdul Rashid Abdul Aziz (2003) Ke Arah pengurusan Sungai yang Baik: kajian Kes Sungai Pinang. Journal of Humanities. 10: 101-120.

Sungai yang bersih tentunya memberikan rezeki yang lebih: Air minum, selamat dilalui tanpa ancaman virus dan bakteria merbahaya, dan ikan yang banyak (sihat dan gembira)...


Oh ya, ada satu lagi perkara berkaitan sungai, iaitu TITIAN (jambatan). Mungkin kita telah pernah MENITI TITIAN USANG?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.