Feb 21, 2011

SAKSI PAKAR


(a) Siapakah Pakar?

Penulis Cross dan Wilkins (1975) menyatakan peraturan amnya ialah saksi hendaklah memberitahu fakta yang dia lihat dan bukan menyatakan pendapat mereka, misalnya menyimpulkan apa yang mereka peroleh daripada fakta. Walau bagaimana pun, seksyen 45 Akta Keterangan 1950 membuat pengecualian bagi peraturan am ini. Antara lain seksyen 45 memperuntukkan bahawa pendapat mengenai “sains atau seni” oleh orang yang khasnya mahir dalam sains atau seni itu adalah fakta relevan (iaitu yang berkaitan). Dengan itu pendapat berkenaan boleh diterima oleh mahkamah. Orang yang memberi keterangan atau pendapat itu dipanggil pakar (Seksyen 45(2) Akta Keterangan 1950).

Penulis H.M. Zafrullah [(1980) J.M.C.L. 244] menyatakan bahawa penerimaan testimoni pakar di bawah seksyen 45 Akta Keterangan merupakan satu daripada pengecualian kepada doktrin kuno bahawa seorang saksi tidak boleh memberi pendapatnya. Persoalan selanjutnya ialah, apakah yang dikatakan “sains dan seni”?  Penulis Ratanlal dan Takore (1970) menyatakan bahawa ia termasuk semua perkara yang memerlukan suatu kursus kajian khas atau pengalaman khusus untuk membentuk suatu pendapat.  

Chin Tek Yung (1988) menyatakan adalah perlu membuktikan saksi itu adalah seorang pakar, iaitu seorang yang ada kemahiran khusus dalam bidang itu.  Oleh yang demikian, pengalaman praktikal dalam berurusan dengan perkara berkenaan adalah seperti juga pembelajaran formal.  Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Muhamed bin Sulaiman [(1982) 2 M.L.J. 320] Ketua Hakim Negara, Suffian, ada menyebut,

“Ini disebabkan dalam pada pakar itu mestilah ‘mahir’, dia tidaklah dikehendaki sedemikian dengan cara pembelajaran khas (sahaja), dia juga boleh melalui pengalaman; dan fakta bahawa dia tidak memperoleh pengetahuannya secara profesionnya hanyalah merupakan suatu yang dipertimbang dan bukannya kebolehterimaan”.


(b) Keterangan Dan Pendapat Pakar

Menurut kes Ramsdale lwn. Ramsdale [173 L.T. 393], apabila pendapat pakar adalah berdasarkan laporan fakta, maka fakta  itu mestilah dibuktikan secara bebas – kecualilah bagi kes di mana fakta itu adalah dalam pengetahuan pakar itu sendiri. Menurut penulis Buzzard, J.H., May, R. dan Howard, M.N.(1976), seorang pakar mungkin memberi pendapat atas fakta-fakta yang samada diterima atau dibuktikan olehnya sendiri, atau saksi-saksi lain dalam pendengarannya, semasa perbicaraan, atau mengenai perkara-perkara berbentuk pengetahuan umum; termasuklah juga berkenaan hipotesisnya yang didasarkan daripada fakta itu.

Menurut Kemelfield, R.J. (1983), keterangan saksi pakar bolehlah dibahagikan dua iaitu keterangan asal dan keterangan pendapat.  Apa yang dia kata dan dengar terus, misalnya pengukuran yang dia buat mengenai bilangan batu-bata disesuatu dinding adalah keterangan asal; namun, jika dia beri keterangan apa yang dia fikir yang menyebabkan keretakan kepada sesuatu dinding, walaupun dia mampu mempastikannya, pendapatnya mengenai sebab musabab (keretakan dinding) diterima sebagai keterangan pendapat seorang pakar, dengan syarat dia memuaskan hati mahkamah bahawa dia mempunyai kelayakan yang relevan untuk membolehkannya memberi pendapatnya.

Perlulah ditekankan bahawa seorang saksi pakar  yang memberi keterangan di mahkamah bukanlah seorang saksi fakta (seperti yang telah dibincangkan sebelum ini) tetapi hanya memberi pendapatnya dalam persoalan-persoalan yang dikemukakan. Perkara ini telah disebutkan oleh hakim S.K. Das dan Sarkar dalam kes Abu Pramanik lwn E [(1942) C. 239],

            “Apabila seorang ahli perubatan dipanggil sebagai saksi pakar, dia bukanlah saksi fakta dan keterangannya bukanlah keterangan langsung mengenai bagaimana sesuatu kecederaan yang menjadi persoalan telah berlaku. Dia cuma memberikan pendapatnya mengenai bagaimana kecederaan itu besar kemungkinan berlaku”.

Keterangan pakar bukanlah dengan sendirinya membuktikan kes pihak pendakwa atau plaintif. Keterangan sedemikian hanya untuk menyokong kes pendakwa atau plaintif dan tidak lebih daripada itu. Contohnya mahkamah dalam kes Sunil Chandra Roy lwn State [(1954) C. 305] memutuskan bahawa keterangan perubatan boleh membuktikan bahawa kecederaan itu mungkin boleh atau mungkin tidak boleh menyebabkan kematian.

(c) Kekompetenan Dan Kebolehpercayaan


Kekompetenan seorang saksi pakar adalah suatu persoalan pokok untuk mahkamah tentukan, yang pada praktiskan ada diberi kelonggaran.  Walaupun pakar mesti “mahir” dengan pengkajian khas atau pengalaman, namun menurut kes R lwn. Silverlock [(1894) 2 Q.B. 766] dan R lwn. Somers [(1894) 3 All E. R. 808] faktor bahawa dia tidak memperolehi pengetahuan profesionalnya adalah suatu berkaitan pertimbangan keterangan (oleh mahkamah) dan bukan suatu berkaitan kebolehterimaan (oleh mahkamah).

(d) Nilai Dan Tugas Saksi Pakar


Lord President Cooper dalam kes Davie lwn. Edinburgh Magistrates [(1953) S.C. 34] menyebut, tugas pakar itu adalah “untuk menyediakan hakim (atau juri) dengan criteria saintifik yang perlu untuk pengujian ketepatan kesimpulan mereka, bagi membolehkan hakim (atau juri) membentuk (yakni membuat) keputusan mereka yang bebas dengan memakai criteria-kriteria ini kepada fakta yang dibuktikan dalam keterangan”.  Contohnya seorang juruukur bahan telah dipanggil sebagai saksi pakar bagi memaklumkan kaedah pengiraan bayaran interim sesuatu projek pembinaan.  Dengan itu, kaedah yang juruukur bahan berikan itu akan menjadi kriteria saintifik yang akan diguna oleh hakim untuk menguji ketepatan kesimpulan yang hakim itu buat, dan kaedah pengiraan itu akan diguna oleh hakim dalam membentuk keputusan olehnya bagi kes itu; dengan cara menggunakan kaedah pengiraan tersebut dengan memakainya (seperti membandingkan, menguji dan lain-lain) kepada fakta kes yang hakim itu sedang kendalikan (yang fakta itu sendiri telahpun dibuktikan).

(e) Prosedur Ringkas Saksi Pakar Memberi Keterangan


Prosedur ringkas saksi pakar memberi keterangan di mahkamah ada dinyatakan oleh mahkamah di dalam kes Wong Chop Saow lwn. Pendakwa Raya [(1965) M.L.J. 247] , iaitu seperti berikut:

Sebelum seseorang pakar meneruskan memberi keterangan, dia hendaklah mula-mula menyatakan kelayakannya [seperti akademik, professional, pengalaman, penyelidikan--- penulis] sebagai seorang pakar.  Dia kemudiannya akan menyatakan bahawa dia telah memberi keterangan dalam kes-kes yang lain dan telah diterima oleh mahkamah-mahkamah.  Dia kemudiannya meneruskan memberi keterangan dan pendapatnya.


MASALAH-MASALAH DALAM MEMBERI KETERANGAN


Apabila seseorang saksi memberi keterangan, terutamanya sebagai saksi pakar, terdapat beberapa masalah yang wujud, iaitu seperti di bawah:

(a)      Konflik Antara Saksi

Terdapat ketidaksamaan pendapat yang diberi antara saksi-saksi yang dipanggil oleh pihak masing-masing (plaintif dan defendan).  Biasa berlaku pendapat saksi yang dipanggil sebagai saksi  pakar oleh pihak plaintif dan defendan berselisih pendapat mengenai sesuatu isu atau fakta. Mahkamah perlu mengambil sikap lebih berhati-hati dan mengambil daya usaha sendiri dalam menilai dan menerima pendapat berkenaan.

Dalam kes R lwn Jennion [(1962) All E.R. 689] J telah dituduh membunuh ibu saudaranya dengan cara memukul kepalanya dengan bekas habuk rokok dan kemudiannya mencekik perempuan itu dengan seutas tali hingga mati. Pada masa itu J sedang panas baran. J dibicarakan di hadapan seorang hakim dan para juri. J membela diri dengan pembelaan “tanggungjawab menyusut” dan telah memanggil dua orang doktor sebagai saksi. Mereka berdua berpendapat bahawa pada masa J membunuh ibu saudaranya dia mengalami ketidakstabilan fikiran yang menjejaskan daya fikirannya atas apa yang telah dilakukannya. Pihak pendakwa pula telah memanggil seorang saksi perubatan (pakar) yang memberikan pendapat sebaliknya pula. Di Mahkamah Rayuan, Hakim Edmund menyebut bahawa apabila wujud pendapat yang berbeza antara pakar perubatan, maka terpulanglah kepada juri untuk menentukannya.

(b)     Saksi-saksi Cenderung Untuk Berat Sebelah

Apabila seseorang saksi dipanggil, terutamanya sebagai saksi pakar, terdapat kejadian apabila mereka itu memihak kepada pihak yang memanggil mereka.  Perkara ini dibangkitkan oleh mahkamah dalam kes Tracy lwn. Peerage [(1943) 10 Cl.& Fin.19] dan Plimpton lwn. Spiller[(1877) 6 Chanc. Div. 412].  Mahkamah memutuskan keterangan pakar hendaklah diberi pendekatan penuh berhati-hati dan berwaspada dalam menerimanya [Daero lwn. E (1946) N. 321]

Berpandukan keputusan kes Diwan Singh lwn. E [(1933) L. 561] penulis M. Monir (1977) menyebut bahawa saksi-saksi pakar secara semulajadinya berat sebelah dengan memihak kepada pihak yang memanggilnya; walau bagaimana dia cuba untuk tidak berat sebelah.  Dia mungkin secara tidak sedar memihak kepada pihak yang memanggilnya.  Di samping itu seorang pakar biasanya dipanggil oleh sesuatu pihak kerana alasannya adalah mudah iaitu telahpun dapat ditentukan bahawa pakar itu mempunyai pendapat yang memihak kepada kepentingannya

(c) Etika Mengenai Kerahsiaan

Kita ambil contoh mengenai saksi pakar yang melibatkan seorang doktor. Majlis Perubatan Malaysia telah menerima pakai Perisytiharan Geneva, 1948, yang antara lain menyebut,

            “SAYA AKAN HORMATI rahsia-rahsia yang diberitahu kepada saya, walaupun pesakit itu telah meninggal dunia”.

Daripada perisytiharaan ini, nampaknya suatu etika sejagat yang diterima pakai dan diterapkan oleh para doktor ialah menghormati dan menghargai pesakit dari segi nama baik, kewibawaan dan kehormatan serta hak terhadap tubuh badannya.

Sebenarnya, sebelum Perisytiharaan Geneva, 1948 itu lagi telahpun ditekankan mengenai betapa perlunya doktor menyimpan dan menjaga rahsia pesakitnya. Hakim Lord Ridell pada 23 Jun 1927, antara lain ada menyebut bahawa seorang doktor berada dalam kedudukan hubungan fidusiari yang menghendaki beliau menyimpan dan menjaga rahsia pesakitnya. Namun begitu , beliau menambah bahawa perkara itu ada kekecualiannya iaitu,

(i)           Doktor dibebaskan daripada obligasi itu oleh suatu alasan yang sah di sisi undang-undang misalnya pemaksaan dari segi undang-undang atau dengan persetujuan pesakitnya.
(ii)         Apabila doktor dipanggil ke mahkamah dan diminta menjadi saksi, dia perlu menjawab soalan-soalan yang mungkin ditanya kepadanya oleh mahkamah.
(iii)       Seseorang doktor berkongsi tugas dengan warga lain untuk membantu mengesan dan menangkap orang yang telah melakukan sesuatu jenayah yang serius.

Berhubung perkara (i), dalam beberapa undang-undang bertulis di Malaysia, doktor atau pengamal perubatan dikehendaki mendedahkan rahsia pesakitnya kepada Pihak Berkuasa tertentu. Contohnya di bawah peruntukan seksyen 10(2), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988, pengamal perubatan yang merawat pesakit yang mengidap penyakit berjangkit hendaklah segera memberitahu perkara itu kepada Pegawai Kesihatan Kerajaan yan berhampiran. Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen 10(2) bermakna doktor atau pengamal perubatan itu melakukan suatu kesalahan (Seksyen 10(5)).

Berkaitan perkara (ii), sememangnya di Malaysia tidak ada perlindungan rahsia bagi hubungan pesakit dengan doktor yang merawatnya. Perkara ini telah pernah ditimbulkan dan diputuskan dalam kes Pendakwa Raya lwn. Haji Kassim [(1971) 2 M.L.J. 115] dimana Hakim Besar Ong menegaskan bahawa  jika mahkamah memerlukan sesuatu maklumat daripada saksi dan dia enggan menjawabnya maka dia mungkin boleh diambil tindakan undang-undang kerana menghina mahkamah.


(d) Kekurangan Persediaan, Kemahiran Dan Dokumen Sokongan

Seseorang yang memberi keterangan dimahkamah perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi setiap persoalan yang mungkin dibangkitkan. Ketidaksediaannya boleh menjejas fakta dan seterusnya boleh, sedikit sebanyak merosakkan reputasi saksi itu sendiri. Penulis H.M. Zafrullah [(1980) J.M.C.L. 244] ada juga menyebut bahawa mereka (saksi pakar perubatan) tidak boleh memberi keterangan tanpa persediaan yang teliti dan mencukupi.

Jika saksi hadir ke mahkamah sebagai saksi pakar maka beliau perlu mempunyai kemahiran khas. Perkara ini ditekankan oleh peruntukan seksyen 45(1) Akta Keterangan, 1950.

Apa yang perlu ditekankan adalah persediaan yang cukup sebelum memberikan keterangan, sama ada sebagai saksi fakta atau saksi pakar . Ini kerana saksi diharap dan dijangka akan bersedia dengan dokumen-dokumen sokongan yang mencukupi. Misalnya bagi saksi pakar perubatan, nota-nota klinikal memainkan peranan yang penting. Ketiadaannya mungkin menjejaskan proses keadilan. Dalam kes Jayaraman dan yang lain lwn Pendakwa Raya [(1982) 2 M.L.J 373] seorang doktor telah dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan berkaitan dengan jenis senjata yang digunakan untuk mengakibatkan beberapa kecederaan pada tubuh X. Hakim Mahkamah Sesyen tidak berpuas hati dengan keterangan doktor berkenaan kerana pendapatnya diberi tanpa berpandukan nota-nota klinikal yang sepatutnya dibawa bersama (tetapi tidak dibawa) semasa dipanggil memberi keterangan. Dengan itu, doktor berkenaan tidak dapat memberi kesimpulan yang betul daripada keterangannya. Dalam kes Wong Choon Mei dan seorang lagi lwn Dr. Kuldeep Singh dan seorang lagi [(1985) 2 M.L.J. 373] salah satu dokumen penting yang diperlukan ialah filem-filem x-ray tetapi filem-filem itu telah hilang daripada simpanan hospital.

Di atas adalah cabutan artikel Abdul Aziz Hussin (2003) Hubungan Saksi Dengan Keterangan Mahkamah. Majalah MATRA Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Polis Malaysia, Januari-Mac (14): 9-14.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.