Feb 23, 2011

HAK PELANGGAN DAN PIHAK KETIGA SERTA TANGGUNGJAWAB BANK

Cek yang dikeluarkan oleh penyuruh bayar adalah berasaskan baki wang yang ada dalam bank (terutama dalam akaun semasa) atau melalui kemudahan overdraf.16  Dengan demikian pihak yang paling utama dalam transaksi cek ialah penyuruh bayar.  Ini kerana dialah pihak yang akan menanggung risiko atau liabiliti atas apa-apa pembayaran daripada cek yang dikeluarkannya, ataupun cek yang dikeluarkan atas mandatnya atau atas kecuaiannya.  Ada kalanya selepas cek itu jatuh atau berada di tangan penerima atau pembawa (atau secara amnya, pemegang) maka penyuruh bayar memikirkan perlu bayaran tidak dibuat.17 Antara faktor penyuruh bayar mengambil langkah sedemikian ialah:
1.                  Dia menyedari baki wangnya di dalam bank tidak mencukupi.
2.                  Didapati telah ada pindaan material yang dibuat tanpa kebenaran atau mandatnya.
3.                  Urus niaga yang terlibat dengan bayaran melalui cek berkenaan adalah sedemikian rupa di mana pembayaran melalui cek menjadi tidak perlu dan tidak sesuai dibuat.
Walau apa pun faktor, sebab atau alasannya pihak penyuruh bayar berhak menahan pembayaran cek yang dikeluarkan dan bank boleh dikenakan tanggungjawab melanggar tugas kepada pelanggan jika ia masih juga membayar cek sedemikian selepas notis penahanan bayaran disampaikan kepada bank.  Dalam kes Chua Neoh Kow lwn Malayan Banking Bhd.,18  sekeping cek telah dikeluarkan oleh plaintif pada 12 April 1978.  Pada 14 April 1978, dia datang ke bank dan menyerahkan surat yang mengandungi arahan menahan pembayaran cek tersebut.  Dia juga memberitahu secara lisan akan hal tersebut.  Walau bagaimanapun, bank (defendan) menunaikannya juga.  Mahkamah yang berpuas hati dengan cara tahanan bayaran itu telah memutuskan bank telah melangggari tugasnya kepada pelanggan.
Perlu disebutkan bahawa mengikut peruntukan seksyen 75, Akta Bil Pertukaran, 1949, tugas dan autoriti sesuatu jurubank untuk membayar sesuatu cek yang dikeluarkan kepadanya oleh pelanggannya ditamatkan sama ada:
(a)             dengan cara pelanggan itu menahan pembayaran; atau
(b)             jurubank itu tahu akan kematian pelanggannya.19
Walaupun ditahan bayaran, ia melepaskan tugas dan autoriti jurubank itu sahaja tetapi penyuruh bayar masih bertanggungjawab atas cek yang dikeluarkan itu kepada pemegang cek pada masa berkenaan.
Dengan demikian hak pemegang cek itu, misalnya sebagai pemegang apabila tiba masanya,20  masih lagi terpakai.  Dalam Liang Tai Trading Company Ltd. Lwn Toh Thye Guan,21  seorang pemegang cek apabila tiba masanya telah mendakwa penyuruh bayar sekeping cek yang dikeluarkannya tetapi kemudian telah ditidaklayan oleh jurubank kerana penyuruh bayar telah menahan pembayaran.
                                               

16Walaupun kemudahan overdraf diberi oleh bank tetapi pelanggan masih bertanggungjawab untuk membayarnya semula.
17Biasanya atas berbagai-bagai alasan urus niaga, cek yang dikeluarkan tidak dapat diteruskan untuk pembayaran.
18(1986) 2 MLJ 369.
19Walaupun perkataan “mati” digunakan, tetapi oleh sebab ia dirujuk dalam konteks pelanggan bank, yang kadangkala bukannya orang biasa, maka perkataan “mati” itu juga termasuk “bubar”, “mansuh”, “tamat”, “berhenti” dan seumpamanya.
20Contohnya di bawah seksyen 38(a), Akta Bil Pertukaran, 1949, pemegang mempunyai hak dan kuasa, antara lain, untuk menguatkuasakan pembayaran terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas cek itu.
21(1970) 2 MLJ 269.

Di atas adalah cabutan daripada buku, Abdul Aziz Hussin. 1996. Undang-Undang Berkaitan Cek. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 67-68. Harga RM13.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.