Pertama, kita tiba di pejabat (swasta atau kerajaan ) agak awal. Seronok, kan? Selepas "memberitahu" pejabat tentang kehadiran kita (dengan cara menulis nama dan tandatangan di Buku Kedatangan, mencucuk kad di mesyin perakam, atau dengan klik di komputer yang disediakan, atau dengan menenyeh kad pengenalan/atau kad rasmi pejabat di tempat tertentu, atau dengan melekapkan mata pada mesyin imbasan mata, atau apa-apa cara lain, termasuk rakaman "cctv"), kita pun dengan senang hati kemudiannya pergi makan (dengan bersedia untuk memberikan alasan "tadi tak sempat makan");
Kedua, ada "kaki minum" yang secara sembunyi-sembunyi pergi membeli arak (dalam botol atau tin), dan membungkusnya dengan surat khabar lama untuk dibawa pulang;
Ketiga, dalam bulan ramadhan (bagi orang Islam), ada orang yang pergi membeli nasi bungkus pada jam seawal 11 pagi, dan bersedia dengan jawapan, "untuk anak" (walhal belum ada anak lagi pun!), dan memberitahu si penjual nasi, "Jangan taruk sambal yer" (iaitu memberikan indikasi olok-olok bahawa nasi itu untuk budak). Kalau kita tanya si penjual (yang juga orang Islam), "macam mana perniagaan di bulan Ramadan?", dia dengan selamba menjawab, "Hampir dua kali ganda meningkat. Rezeki meningkat", Mungkin dia tidak dapat membezakan diantara "pendapatan yang meningkat" dan "rezeki yang meningkat";
Keempat, ada penjawat (kecil dan besar) yang cuma nampak batang hidungnya semasa mesyuarat (dan terbelahak semasa minum kopi percuma semasa mesyuarat). Pada waktu lain, dia tiada, hilang entah ke mana (alasan, "melaksanakan kerja luar");
Kelima, ada orang yang cuma akan bersolat apabila bertandang ke rumah orang lain (terutama rumah mertua..., ops!). Kalau di rumah sendiri, amat liat untuk solat;
Keenam, bersedia dengan "Sijil Cuti Sakit", jika "keadaan memerlukan", misalnya cuti tahunan yang sudah habis, banyak hari perlu digunakan untuk bisnes sendiri, dan seumpamanya.
Contoh-contoh di atas tentunya boleh dikembangkan lagi. Realiti jawapan sebenarnaya berada di tangan kita. Tidak perlu menipu atau membohongi diri. Sama-samalah kita ikhlas kepada diri, setia kepada organisasi/majikan/ugama, dan berniat baik untuk kebaikan.
Cuba kita ambil iktibar daripada cerita benar yang saya perturunkan di bawah:
Ada seorang Pembantu Tadbir Kanan di sebuah jabatan Kerajaan yang menjalankan bisnes broker tanah dan beberapa bisnes lain secara aktif, sehinggakan amat kerap mencuri waktu pejabat (ponteng). Apabila ketuanya bertanya, dia sudah bersedia dengan "Sijil Cuti Sakit", atau awal-awal lagi dia sudah menyerahkannya kepada pejabatnya. Amat kerap dia melakukan tektik itu (tetapi atas dasar apa yang penulis tidak tahu, ketuanya tidaklah pula mengambil inisiatif merujuk kepada Panel Doktor atas alasan "pegawai mempunyai masaalah kesihatan"). Beberapa tahun kemudian, dia betul-betul jatuh sakit yang serius, dan terpaksa masuk wad. Kawan-kawan dan Ketua Pejabat yang datang melawat, ada yang bercakap sinis, termasuk, "Engkau ni sakit betul ker?". Dia tiba-tiba menangis, dan berkata begini, "Aku dah insaf, mungkin kerana aku banyak membohongi diri aku, dan serah banyak Sijil Cuti Sakit, walhal aku tak sakit. Jadi tuhan benar-benar menjadikan aku sakit, sebab aku seperti seolah-olah memohon untuk sakit...". Kawan-kawan yang berada di sisinya terdiam... Beberapa hari kemudian, Pembantu Tadbir Kanan tadi meninggal dunia di hospital...
YA ALLAH, KAMI MEMOHON KEPADA MU, SEMOGA KAMI TIDAK TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG YANG MEMBOHONGI ATAU MENIPU DIRI KAMI SENDIRI...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.