Saya perlu akui bahawa salah satu jenis “ketagihan” (dan “ketagihan” seperti orang tua-tua kata adalah sejenis “gila”, dan terdapat 99 jenis “gila”(untuk hiburan sahaja….) ialah menulis . Walaupun begitu, saya tidak pernah dan tidak akan menulis di batu, di dinding-dinding (termasuk dinding tandas) di dalam lif dan lain-lain.
Maksud saya “menulis” di sini adalah menulis buku dan artikel. Mungkin saya menulis kerana minat. Saya masih ingat, dalam tahun 1982, semasa saya di Universiti Malaya, saya ada bertanya seorang Profesor (yang rajin menulis), sambil berjalan beriringan dengan beliau, “Bagaimana saya boleh menulis?” Dia berhenti sejenak, merenung saya sambil sedikit tersenyum, “Dapatkan pengalaman kerja dahulu, dan kemudian menulislah”.
Apabila tamat belajar, saya terus menjalani latihan guaman. Dalam tempoh ini, saya perlu banyak membuat penyelidikan – misinya, untuk memenangi kes di mahkamah! Kebaikan kepada saya adalah saya ada banyak penyelidikan. Habis latihan, dan dianugerahkan Sijil Peguambela dan Peguamcara, saya menerima jawatan Penasihat Undang-undang sebuah badan berkanun Persekutuan (dan untuk 3 anak syarikatnya). Sekali lagi penyelidikan perlu saya buat bagi tujuan pelaksanan kerja-kerja harian saya. Saya mendapat tawaran sebagai Pensyarah Sambilan dalam bidang Undang-undang disebuah Universiti, dan saya terima tawaran itu. Saya gunakan hasil penyelidikan semasa latihan guaman dan penyelidikan semasa kerja saya untuk membuat modul mengajar. Kemudiannya modul itu saya susun dan menjadi buku pertama saya. Saya juga dijemput memberi ceramah jabatan/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Dengan itu ada penulisan yang perlu saya buat. Ada juga saya menerima jemputan menulis untuk majalah. Semuanya saya tidak tolak. Seronok rasa hati bila saya dapat menulis dan menyampaikan ilmu kepada orang lain.
Tiba-tiba saya sedar bahawa terlalu banyak ilmu yang perlu saya belajar yang berkait dengan profesion saya. Terasa insaf betapa kerdilnya saya dalam keilmuan, dan betapa ramai lagi yang memerlukan ilmu sedemikian. Maka saya sedar bahawa saya perlu senantiasa berada didalam “majlis ilmu” – yakni belajar dan mengajar. Saya tidak menoleh kebelakang lagi – menulis dan menulis; belajar dan mengajar.
Suatu hari, sekitar tahun 1988, seorang guru agama yang saya hormati (kembali mengadap Allah pada 22 Disember 2010) (bersamaan 16 Muharam 1432), memberi ilmu berikut kepada saya, yang lebih kurang begini bunyinya,
“Aziz, apabila kita mahu menulis, ada petuanya. Pertama, betulkan
niat kita, dan lakukan yang terbaik dalam memberi ilmu. Akhirnya,
tawakkalah kepadaNya. Ada tertib menulis – mulakan pada hari
Isnin, selepas solat zohor, solatlah hajat memohon restuNya untuk menulis. Selepas solat asar hari yang sama, sebelum menulis, bacalah Al-Fatihah sekali, Al-Ikhlas 3 kali, 7 kali atau 11 kali, dan selawatlah 11 kali, … InsyaAllah ia akan membantu Aziz menulis….”.
Terima kasih guruku. Selepas itu, setiap kali saya akan menulis, maka saya akan amalkan nasihat itu.
Selain daripada itu, saya insaf dan selalu ingat bahawa saya berada dalam satu pekerjaan yang baik (yakni menulis) dan dengan itu perlulah saya mematuhi prinsip-prinsip berikut:
Pertama NIAT. Niat saya (semoga tidak terpesong) ialah saya ingin mencari ilmu dan memberi ilmu yang berguna. InsyaAllah (seperti yang Tuhan janjikan), ia mengiringi saya di alam selepas alam ini.
Kedua TERTIB. Menulis perlulah ada tertibnya. Ini termasuklah “meraikan” yakni menghargai ilmu. Saya menulis demi kebaikan - belajar dan mengajar kebaikan dan ilmu yang berguna. Bidang yang ditulis adalah untuk mencari kebaikan. Jadi input menulis juga perlu melalui proses pentatatertibannya, termasuk tidak mencuri (menciplak dan lain-lain), bukan untuk berbangga, dan tahu (dapat mengagak) pembaca sasarnya siapa. Aliran dan gaya menulis juga perlu ditekankan agar ilmu yang hendak disampaikan (dan dalam masa yang sama, turut belajar) mencapai tujuannya. “Kekaburan” tentunya mengundang salah faham, kekeliruan dan lain-lain.
Ketiga TAWAKKAL. Selesai menulis, saya cuma dapat bertawakkal semoga ilmu saya ini mencapai dua perkara yang saya nyatakan sebelum ini.
Akhirnya, saya berdoa bahawa saya berada di dalam arena ilmu yang berguna dan bertambah mendapat pahala dan sumber rezeki yang halal (daripada upah menulis, mengajar ilmu - dalam bentuk royalti, gaji dan lain-lain).
Apabila saya berada di Universiti Sains Malaysia (USM), maka satu lagi kebaikan kepada saya yang saya amat bersyukur kepadaNya adalah: Saya “dicampakkan” ke gedung ilmu! Serta, pensyarah digalakkan menulis (Seperti tikus yang jatuh ke dalam gedung beras, dan diarahkan memakan beras!). Saya dikelilingi oleh sumber ilmu - antaranya, buku, pustaka maya dan para cendiakawan yang ilmu mereka saya amat kagumi - dan ditambah pula beberapa orang di antaranya adalah guru saya. Tambahan lagi, USM sendiri menggalakkan pensyarah menulis. Doa saya adalah semoga para cendiakawan itu membantu (dan InsyaAllah saya juga akan membantu) dalam “pencarian dan majlis ilmu” ini. Saya juga memohon bantuan saudara semua membantu saya dalam membantu memertabatkan “Majlis Ilmu” kita.
Saya juga ada mengendalikan kursus/bengkel MEMBANGUNKAN BUKU, iaitu seperti butiran berikut:
Saya juga ada mengendalikan kursus/bengkel MEMBANGUNKAN BUKU, iaitu seperti butiran berikut:
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.