Feb 21, 2011

Keldai

Pengenalan

Keldai, himar, baghal (kacukan kuda dengan keldai) yang dalam Latinnya adalah equus africanus asinus. Keldai adalah dalam famili kuda. Ia adalah mamalia dari keluarga equidoe. Ia juga dalam klasifikasi haiwan mansutae naturae (yakni kelompok haiwan jinak dan sifat semulajadinya tidak ganas) (lihat buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 1990. Tanggungjawab Manusia Terhadap Haiwan Di Sisi Undang-undang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 32).


Kini keldai masih digunakan sebagai kenderaan (dan sumber makanan) di China, Pakistan, Ethiopia, Mexico (dengan anggaran terdapat sebanyak 44 juta ekor diseluruh dunia). Ia pernah digunakan sebagai kenderaan pengangkutan, terutama semasa peperangan (terutama semasa Perang Dunia 1).

Sifat keladai pula, walaupun ia bersaiz kecil berbanding kuda dan unta, namun kuat dan dapat membawa muatan lebih 2 kali berat tubuhnya sendiri. Ia juga binatang yang cergas dan kuat daya ingatannya.


Namun disebaliknya pula, apabila disebut “keldai” dalam perumpamaan, ia merujuk orang yang dungu, dan keldai itu dikelompokkan sebagai haiwan dungu.

قال ابن القيم رحمه الله : من هداية الحمار -الذي هو ابلد الحيوانات – أن الرجل يسير به ويأتي به الى منزله من البعد في ليلة مظلمة فيعرف المنزل فإذا خلى جاء اليه ، ويفرق بين الصوت الذي يستوقف به والصوت الذي يحث به على السير فمن لم يعرف الطريق الى منزله – وهو الجنـــة – فهو أبلد من الحمار

Ibnul Qayyim rahimahullah ada menyebut, “Salah satu kelebihan keldai – padahal ia adalah haiwan paling dungu -  bahwasanya seseorang berjalan membawanya ke rumahnya dari tempat yang jauh dalam kegelapan malam, maka keldai itu dapat mengenal rumah tersebut. Apabila dilepaskan (dalam kegelapan) dia mampu kembali ke rumah tersebut, serta mampu membezakan antara suara yang memerintahkannya berhenti dan yang memerintahkan berjalan. Maka barangsiapa yang tidak mengenal jalan ke rumahnya –yaitu surga– dia lebih dungur daripada keldai.
(Syifaul ‘Aliil: 1/74)

Cerita Keldai Yang Dihidupkan Semula

Atau (apakah kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri  yang (temboknya) telah roboh  menutupi atap-atapnya. Dia berkata “Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah roboh?” Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali.  Allah bertanya, “Berapakah lamanya kamu tinggal di sini?” Ia menjawab, “Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari”. Allah berfirman, “Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah, dan lihatlah kepada keldai kamu (yang telah menjadi tulang belulang), Kami akan menjadikaan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia;  dan lihatlah kepada tulang belulang keldai itu , bagaimana Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami menutupnya dengan daging”. Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) diapun berkata: “Daku yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
(Surat Al-Baqarah, 2: 259)

Perumpamaan Sifat Keldai

Maka mengapa mereka (orang-orang kafir)  berpaling daripada peringatan (Allah)? Seakan-akan mereka itu keldai liar  yang lari terkejut . Lari daripada singa.
(Surat al-Muddatstsir, 49-51)

Bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar di atas belakangnya (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
(Surat al-Jumu’ah : 5)

Terdapat juga ayat al-Qur’an yang memberikan tamsilan (contoh) dengan keldai, iaitu,

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
(Surat Luqman : 19)
Dalam kiasan harian yang terkini, telah wujud pula ungkapan, "Keldai dadah", yang mungkin merujuk kepada orang yang diperbodohkan yang digunakan untuk mengedar atau membawa dadah (yang biasanya dalam kuanttiti yang "banyak").

Cerita Kiasan Manusia Yang Suka Menyalahkan/Mengumpati Orang

Pada suatu masa, seorang bapa (iaitu Luqmannul Haqeem) beserta anak kecilnya menuntun seekor keldai (membawa dengan cara menarik tali yang mengikat leher keldai) ke pasar. Di pertengahan jalan orang-orang lain melihat lelaki dan anaknya dan menyindir, “Lihatlah kedua lelaki dungu itu. Mengapa mereka tidak menunggangi keldai itu?” Si bapa itu terdengar ungkatan tadi itu, dan meminta anaknya naik ke atas punggung keldai. Seorang perempuan tua melihat mereka dan berkata, “Kenapakah dunia ini sudah songsang! Si anak tak sedar diri! Dia bersenang diri di atas keldai sedangkan bapanya yang tua dibiarkan berjalan.” Lantas si anak itu turun dari punggung keledai dan meminta bapanyanya pula menunggang keldai. Seorang pemuda melihat hal itu, dan sambil memandang si bapa, dia berkata, ”Orang tua tidak tahu diri, masakan anak kecil dibiarkan berjalan, sedangkan dia senang diri di atas punggung keldai”. Mendengar kata-kata pemuda tersebut, si bapa memutuskan untuk turun daripada keldai, dan mereka memutuskan untuk berjalan kaki sahaja sambil menuntun keldai. Beberapa ketika kemudian mereka melintasi tempat seorang gadis. Si gadis berkata, kamu berdua tidak menaiki keldai itu bersama-sama?” Mereka lantas menuruti nasihat gadis tersebut. Tidak lama kemudian sekelompok anak muda melintasi mereka sambil berkata, “Keldai yang malang, kadang-kadang manusia ini amat zalim. Keldai sekecil ini dinaiki oleh dua orang!” Bapa dan anaknya kemudiannya memutuskan untuk mengusung keldai itu. Melihat kejadian itu, maka ramailah orang yang tertawa terbahak-bahak riuh-rendah sambil berkata, “Lihatlah kelakuan manusia, ada manusia keldai mengusung keldai!”  

Berkata Luqmanul Haqeem kepada anakya selepas kisah keldai di atas:

”Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah (s.w.t) sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu ”

Menternak Keldai Sebagai Industri Ternakan (Kegiatan ekonomi berskala sederhana/besar)

Patut juga difikirkan, dibuat kajian terperinci untuk menternak keldai untuk susu (minuman, perubatan dan kesihatan), daging (makan)(yang juga setanding makanan arnab, rusa, yang sudah menjadi eksklusif dan mahal), kulit (makanan seperti keropok kulit keldai (seperti keropok kulit lembu yang popular di Indonesia)(atau barangan perhiasan, beg tangan, aksesori, barang perhiasan termasuk bulu ekornya, dan lain-lain). Keldai juag merupakan kenderaan tunggangan mesra alam ( yang boleh menjadi alternatif kenderaan berenjin 4x4) dalam hutan, lereng bukit.

Perkara dan cadangan yang dikemukakan di atas bukanlah omongan  kosong, kerana banyak dalil yang nyata tentang hal tersebut, yang datangnya daripada Allah (s.w.t) sendiri. Berani kita menafikannya?

Dan Dia telah mencipta binatang ternakan untuk kamu: padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan
(Surat an-Nahl, 5)

Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu  benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum dari pada apa  yang berada di dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah , yang mudah ditelan bagi orang orang yang hendak meminumnya.  
(Surat an-Nahl, 66)

Dan (Dia telah menciptakan) kuda, baghal, dan keldai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang tidak kamu mengetahuinya.
(Surat an-Nahl, 8)

Malah Rasulullah (saw) ada bersabda,

Dari Abu Qatadah (r.a), bahawasanya mereka bersama-sama Rasulullah (s.a.w) pada (waktu)sebahagian Umrah. Abu Qatadah memburu keldai liar, lalu Rasulullah (s.a.w) menyuruh mereka memakannya(daging keldai buruan itu), sedangkan mereka sedang melakukan Ihram. Abu Qatadah sendiri tidak turut melakukan Ihram”.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)(Asy-Syaikhan)

Dari Jabir bin Abdillah (r.a), ia berkata; “Pada waktu Perang Khaibar, kami memakan daging kuda dan (daging) keldai liar (yang bukan dari peliharaan)”.
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Namun, keldai yang diternak untuk dimakan dagingnya (oleh orang muslim) perlulah mendapat pandangan/nasihat pihak berkuasa agama/jemaah ulama Negeri/Malaysia. Ini kerana penulis terbaca hadith-hadith berikut:

Diriwayatkan daripada Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa (r.a) mengenai daging keldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah (s.a.w.). Kami mendapatkan beberapa ekor keldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah (s.a.w) menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging keldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincang sesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima.
(Hadis Muslim daripada Abdullah bin Abu Aufa)

      Sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) mengharamkan daging keldai peliharaan.
(Hadis Muslim daripada  Abu Tha'labah )

Aku turut bersama-sama Rasulullah (s.a.w) ke Khaibar. Kemudian Allah memperkenankan penaklukan tersebut bagi kaum Muslimin. Pada petang hari penaklukan tersebut, orang-orang Muslimin menyalakan api yang besar. Rasulullah (s.a.w) bertanya: Api apakah itu dan untuk apa mereka menyalakannya? Mereka menjawab: Untuk memasak daging. Rasulullah s.a.w bertanya: Daging apa? Mereka menjawab: Daging keldai peliharaan. Rasulullah (s.a.w) bersabda: Buanglah masakan itu dan pecahkan periuknya. Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Kami akan membuang dan membersihkannya. Rasulullah (s.a.w) bersabda: Begitu juga boleh.
(Hadis Muslim daripada Salamah bin Al-Akwa')

Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging keldai peliharaan.
(Hadis Muslim daripada Ibnu Umar)

Ketika Rasulullah (s.a.w) telah berjaya menakluki Khaibar kami mendapatkan beberapa ekor keldai di luar kampung lalu kami memasaknya. Rasulullah (s.a.w) menyeru: Tidakkah Allah dan Rasul-Nya telah melarang kamu dari memakan binatang tersebut? Ianya adalah kotor dan termasuk dari perbuatan syaitan, lalu periuk-periuk berisi masakan yang telah mendidih tersebut pun diterbalikkan.
(Hadis Muslim daripada Anas)

Aku tidak tahu samada Rasulullah (s.a.w) melarangnya kerana binatang tersebut merupakan binatang pengangkut barang bagi manusia dan mereka tidak suka jika binatang seperti itu hilang atau mungkin juga diriwayatkan baginda mengharamkan daging keldai pada hari Khaibar hanya bagi keldai peliharaan.
(Hadis Muslim daripada Ibnu Abbas)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.