Feb 23, 2011

Aktiviti Pelancongan Tepi Pantai

Tidak ada definisi undang-undang mengenai “aktiviti pelancongan”.  Namun di bawah seksyen 2 Akta Industri Pelancongan 1992, ada disebut secara sepintas lalu, iaitu
“……aktiviti yang biasanya dilakukan oleh seseorang pelancong, termasuk bersiar-siar, melawat”
Namun jika kita merujuk, antaranya, apa yang dibincangkan oleh Carter (1993) dan Kimmel (1999), maka aktiviti pelancongan tepi pantai tentunya yang berkaitan dengan aktiviti 3S yang dinyatakan pada awal kertas ini.  Dengan demikian, ianya merangkumi, antara lain,
a)                              Melihat matahari naik atau jatuh;
b)                              Melihat ombak dan panorama;
c)                              Berjemur;
d)                              Berlari, berjoging, dan sukan pasir di tepi pantai (bola tampar, bola sepak, berkuda,  berbasikal dan lain-lain) termasuk mendaki batu atau menyusur gua tepi pantai);
e)                              Melihat penyu mendarat, bertelor dan lain-lain;
f)                                Barbeque;
g)                              Bersiaran dengan perahuan menyusur pantai;
h)                              Mandi-manda
i)                                Bermain ombak, termasuk dengan papan luncur;
j)                                Menyelam, snokel
k)                              Mengumpul bahan-bahan (seperti kulit cengkerang, haiwan/ikan, batu karang, tumbuhan dan lain-lain).
Senarai ini tentunya panjang lagi jika mengambil kira apa yang boleh ditawarkan khusus di sesuatu destinasi pelancongan tepi pantai – sama ada yang halal atau yang haram di sisi undang-undang.  Ini tentunya banyak bergantung kepada undang-undang sedia ada dalam mengurus pelancong (dan sikap pelancong sendiri dalam menjalankan aktiviti pelancongan).  Isu berbangkit mengenai hubungkait di antara aktiviti pelancong dengan undang-undang yang ada dan penguatkuasaannya.  Contohnya, pernah dilaporkan (Barber & Pratt, 1998), di banyak tempat di dunia pelancong (terutama penyelam) menggunakan racun sinida untuk menangkap hidupan laut.  Perbuatan ini tentunya membahayakan penyelam, pelancong yang mandi manda dan juga produk pelancongan (seperti spesis karang, invertebrata dan ikan)(Barber & Pratt, 1998). Munurut seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985, orang yang menangkap ikan menggunakan racun atau pencemar, bahan letupan, arus letrik dan lain-lain adalah melakukan kesalahan.  Seterusnya menurut seksyen 25 Akta yang sama, orang berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya.  Persoalannya ialah daripada aspek sikap tanggungjawab pelancong berkenaan dan aspek penguatkuasaannya.  Ini kerana amat sukar mengesan pelaku yang melakukannya semasa di dalam air (contohnya), yakni daripada aspek menangkap dan mendakwa (membuktikan kesalahan).
Contoh lain ialah aktiviti perahuan oleh pelancong, sama ada dalam bentuk bersiaran, bermain ombak dan lain-lain perkataaan “perahuan” ada didefinisikan di bawah seksyen 3, Akta Tafsiran 1967 iaitu,
“termasuklah kenderaan terapung dan kenderaan selam, walau apa jenis pun”.
Di Malaysia, hanya perahuan yang bukan kegunaan persendirian sahaja yang perlu didaftarkan di bawah Kaedah-kaedah Perahuan 1953 ( iaitu Kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Ordinan Kapal Dagang 1952)(Jabatan Laut, 2004).  Kita biasa mendengar berita kemalangan (maut atau parah) melibatkan perahuan pelancong, misalnya dilaggar perahuan, seperti jet-ski atau skuter air, atau perahuan yang tenggelam semasa dinaiki pelancong.  Bilangan bot persendirian makin bertambah – begitu juga perahuan berbentuk skuter air.  Isunya tiada undang-undang yang mengawalnya (daripada aspek pelesenan, spesifikasi, jenis dan had kawasan kegunaan, kapasiti dan lain-lain).   Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 pula hanya mengawal kenderaan pelancongan di darat – dan ini pula terhad hanya kepada dua jenis kenderaan sahaja iaitu bas persiaran dan kereta sewa dan pandu sahaja (seksyen 2 Akta).  Akta Industri Pelancongan 1992 juga hanya bagi pelesenan pengusaha pelancongan (yakni pengendali pelancong, agensi pelancongan, premis, restoran dan institusi latihan pelancongan) dan pemandu pelancong sahaja.  Walau bagaimana pun seseorang yang menjalankan perahuan dengan gopoh adalah satu kesalahan di bawah seksyen 280 Kanun Kesiksaan.  Begitu juga orang yang membawa orang dengan jalan air untuk mendapat sewa dalam perahuan yang berlebihan muatan atau yang tidak selamat adalah juga melakukan kesalahan di bawah seksyen 282 Kanun Kesiksaan.  Isunya, kedua-dua peruntukan itu adalah untuk menghukum  pesalah dan bukan berbentuk menghalang perbuatan berkenaan daripada berlaku (yakni dalam bentuk mengelak secara proaktif).

Aktiviti pelancongan tepi pantai itu juga kadangkala boleh menyebabkan aktiviti pelancong yang lain terganggu – contohnya, untuk mandi mana.  Menurut seksyen 15 (1)(c),  Akta Kesalahan Kecil 1955, seseorang yang menghalang atau menyukarkan seseorang mandi di mana tempat yang ditetapkan sebagai tempat mandi dengan mengganggu dengan sengaja, atau dengan memandikan apa-apa haiwan di situ atau dekat tempat itu, atau dengan apa-apa cara lain, hendaklah didenda tidak melebihi RM100.00.  Sekali lagi statut ini tidak bersifat mencegah perbuatan berkenaan daripada berlaku, tetapi cuma menghukum pesalah.
Walau apapun, segala perbuatan yang dinyatakan di atas adalah contoh perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan pelancong. Menurut Adams (2001) salah satu masalah kemerosotan jumlah pelancong (di sesuatu destinasi pelancongan) adalah mengenai aspek keselamatan pelancong (yakni apabila pelancong  merasakan sesuatu destinasi pelancongan tidak selamat maka mereka akan menjauhinya).

RUJUKAN
Adams, B. (2001).  “Tourism shift troubles Caribbean”.  Hotel and Motel Management, Duluth, 16 Julai 2001.  Vol. 216 Issue 13, m.s. 6.
Akta Industri Pelancongan 1992
Akta Kesalahan Kecil 1955.
Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan 1992.
Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.
Akta Perikanan 1985
Akta Tafsiran 1967.
Barber, C.V. & Pratt, V.R. (1998).  “Poison and Profit”.  Environment, Oktober 1998, 40(8): 4 – 16.
Carter, E. (1993).  “Ecotourism in the Third World:  Problems for sustainable tourism development”.  Tourism Management, 14(2): 85 – 90.
Environmental Law Institute. 1997.  “Enforceable State Mechanisms for the Control of Nonpoint Source Water Pollution”.  United States of America:  ELI Project No. #970300.
Jabatan Laut Malaysia (2004).  http://wwww.marine.gov.my.
Kaedah-kaedah Perahuan  1953.
Kanun Kesiksaan (N.M.B. Bab 45).
Kanun Tanah Negara 1965.
Kimmel, J.R. (1999).  “Ecotourism as Environmental Learning”.  Journal of Environmental Education, Winter 99, 30(2): 40 – 44.
Ordinan Kapal Dagang 1952.
Perlembagaan Persekutuan.


Nota:

                Di atas adalah cabutan kertas kerja Abdul Aziz Hussin & Badaruddin Mohamed. 2004. Coastal Tourism – Legal Issues Paper presented at Coastal Resources and Tourism: Issues and Challanges, Universiti Utara Malaysia ,  20-21 Disember 2004.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.