Mar 7, 2011

PERUNDANGAN KECIL (Subsidiary Legislations)

                                                 
Badan atau agensi itu sendiri pula kadangkala melaksanakan kuasanya bukan sahaja berpandukan kepada Akta atau Enakmen utama, tetapi juga melalui undang-undang bertulis yang lain di mana undang-undang bertulis itu adalah diwujudkan mengikut kuasa di bawah Akta atau Enakmen itu sendiri. Undang-undang bertulis jenis yang kedua itu dinamakan “perundangaan kecil (subsidiary legislations)”. Perundangan kecil ini boleh dalam bentuk,

                             Peraturan-Peraturan (Regulations);
                             Kaedah-Kaedah (Rules);
                             Perintah-Perintah (Orders); atau lain-lain
bentuk yang seumpamanya. Menurut seksyen 3, Akta Tafsiran 1967, “perundangan kecil” bermaksud sebarang perisytiharan, kaedah, peraturan, perintah, pemberitahuan, undang-undang kecil (by-laws) atau lain-lain instrumen yang dibuat dibawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau lain autoriti yang sah disisi undang-undang dan mempunyai kesan perundangan.

Perundangan kecil ini sekurang-kurangnya mempunyai dua tujuan:

Pertama,    statut induk (Akta, Enakmen) itu sendiri tidak memberi secara terperinci mengenai bidang, takat, prosedur dan perincian mengenai pelaksanaan sesuatu statut induk. Dengan itu perundangan kecil adalah pelengkap dan memperincikan mengenai hal-hal tersebut;

Kedua,        perundangan kecil merupakan sejenis penurunan kuasa secara bertulis dari badan perundangan (Parlimen atau Dewan Negeri) melalui statut induk kepada mana-mana orang atau badan (seperti Lembaga, Majlis, Menteri, dan seumpamanya) bagi membuat perundangan kecil ini – yang diharapkan dapat melicinkan, mempercepatkan dan mencapai kehendak kewujudan statut induk itu sendiri, berdasarkan masa situasi dan keperluan tertentu.

Bagi tujuan yang pertama, tidak timbul isu atau masaalahnya. Namun bagi tujuan yang kedua itu, timbul pula isu atau persoalan seperti,

                  Adakah pihak itu melakukan dengan baik sangka (niat baik) (good faith) ?
                  Adakah perundangan kecil itu dibuat didalam skop kuasanya? Atau telah lampau kuasa?
                  Adakah boleh perundangan kecil sedemikian diwujudkan (dibuat) ?
                  Adakah perundangan kecil itu perlu diwujudkan?
                  Adakah prosedur penwujudan perundangan kecil itu telah dipatuhi?
                  Adakah sifat perundangan kecil itu nampaknya mengambilalih atau melampaui kuasa statut induk itu sendiri.
                  Bagaimana mentafsir dan menggunakan perundangan kecil sedemikian?

Dan soalan-soalan lain boleh lagi dipanjangkan apabila timbul isu pelaksanaan perundangan kecil tersebut.

Sebahagian daripada jawapan kepada isu-isu atau persoalan-persoalan di atas ada dijawab atau diterangkan di dalam seksyen-seksyen 20, 21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28 dan 40 (2) (a) Akta Tafsiran 1967
 
NOTA:
Perbincangan yang sama boleh juga diperolehi di www.hbp.usm.my/aziz
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.