Pendahuluan
”Malang”, menurut kamus Dewan[1], ertinya "sarau, celaka, sial". Perkataan ”malang” juga bersinonim dengan "tidak bernasib baik, tidak beruntung, bernasib buruk, ditimpa malang, celaka, sial, langkah kiri, lacur, geruh, sueh, sebal, sarau, udi"[2]. Misalnya,
- Seorang wanita sedang berjalan di laluan penjalan kaki di bawah satu bangunan rumah pangsa, dimana tiba-tiba satu objek (batu-bata, pasu bunga, sebatang kayu, seketul batu dan sebagainya) jatuh dari atas (mana-mana tingkat rumah pangsa tersebut), dan terkena wanita malang itu, dan dia cedera parah dan meninggal dunia;
- Seorang lelaki sedang memandu di satu lebuhraya berbukit, dimana tiba-tiba seketul besar batu menggelunsur turun dengan lajunya dan menghempap kenderaannya. Kenderaannya remuk dan lelaki itu cedera parah;
- Semasa sedang lena tidur, satu keluarga tiba-tiba mendapati rumah mereka terbenam (ditelan bumi) akibat tanah jerlus), dan beberapa ahli keluarga itu gagal diselamatkan;
- Semasa di awal pagi, tiba-tiba rumah seorang warga tua dijilat api yang merebak dari rumah sebelah yang terbakar. Dia rentung dalam kebakaran itu kerana tidak mampu untuk melarikan diri; dan
- Semasa memasuki satu kawasan hutan di tepi ladangnya, seorang lelaki telah tertembak dan cedera parah. Tembakan dilepaskan oleh seorang pemburu ayam hutan berhampiran.
Pembelaan “Malang ” Dalam Tort
Ia bermaksud kejadian itu yang tidak mungkin dapat dihalang dari berlaku walaupun telah diambil langkah-langkah berjaga-jaga, berwaspada, dan telah menggunakan kemahiran sewajarnya.
Dalam hal ini hakim Lord Dunedin, dalam Fardon lwn. Harcourt- Rivington[3] ada menyebut,
“Orang hendaklah menjaga terhadap sebarang kemungkinan (yang mungkin berlaku), tetapi mereka tidaklah terikat (dikehendaki) menjaga terhadap sebarang kemungkinan yang fantastik”.
Contohnya di dalam kes Stanley lwn. Powell[4], defendan telah menembak burung (setelah mengambil semua langkah-langkah berhati-hati sewajarnya), tetapi sebiji peluru telah terkena pokok dan kemudiannya melantun dan terkena mata plaintif. Mahkamah memutuskan bahawa ini merupakan kejadian yang tidak dapat dielakkan. Contoh lain, katakan sebatang paku terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan yang sedang dibina, dan terkena dawai ampaian kain pekerja-pekerja, dan melantun keluar dari tapakbina mengenai cermin sebuah kereta dijalan berdekatan, maka tentunya kejadian itu (pecah cermin kereta) merupakan kejadian yang tidak dapat dielakkan.
Pembelaan “Malang ” Dalam Pertuduhan Jenayah
Seksyen yang berkaitan ialah seksyen 80 Kanun Keseksaan. Seksyen 80 menyebut:
80. Melakukan dengan tidak sengaja perbuatan yang sah di sisi undang-undang
Tidaklah menjadi kesalahan perkara-perkara yang dilakukan dengan tidak sengaja atau malang , dan dengan tiada sebarang niat atau pengetahuan jenayah, pada masa menjalankan suatu perbuatan yang sah disisi undang-undang, dan dengan hemat dan cermat yang sepatutnya.
Contoh yang diberi di bawah seksyen 80 Kanun Keseksaan adalah seperti berikut:
A bekerja dengan sebilah kapak, mata kapak itu terpelanting dan memyebabkan seorang yang berdiri berdekatan dengannya terbunuh. Di sini, jika tiada sebarang kekurangan tentang kecermatan yang sepatutnya di pihak A, maka perbuatan itu bolehlah dimaafkan dan tidaklah menjadi suatu kesalahan.
Seksyen 80 sebenarnya merujuk kepada sesuatu kejadian yang berlaku dengan tidak sengaja atau terjadi kerana malang . Hal tersebut juga bolehlah dianggap terjadi kerana suratan takdir semata-mata, dan tiada siapa yang patut di persalahkan (takdir ilahi). Mengikut seksyen 80, sesuatu yang malang, bukan sahaja terjadi bukan atas kehendak orang yang melakukannya, atau bolehlah disebut sebagai vis major[5], tetapi juga ia terjadi dengan tiada sebarang niat jahat ataupun pengetahuan jenayah.
Perbuatan yang dilakukan menyebabkan terjadinya sesuatu kemalangan itu juga hendaklah merupakan suatu perbuatan yang sah di sisi undang-undang, cara orang yang berkenaan melakukan perbuatan itu juga adalah dengan cara yang sah di sisi undang-undang. Selain itu orang berkenaan telah melakukannya dengan hemat dan cermat. Ini beerti tiada wujud kegopohan atau kecuaian di pihak orang yang melakukan perbuatan tersebut.
Contohnya, A menghisap rokok dan kemudian membuang puntung rokoknya ke dalam sebuah tong sampah yang berhampiran dengan deretan rumah. Tiba-tiba api puntung rokok itu menyambar sumbu bahan letupan yang tersembunyi di dalam tong sampah berkenaan dan letupan berlaku. Ini mengakibatkan deretan rumah berkenaan ranap. Di sini perbuatan A menghisap dan membuang puntung rokok adalah perbuatan yang sah di sisi undang-undang dan dia telah membuangnya di tempat yang sah di sisi undang-undang, dan dia telah melakukan dengan cermat dan hemat. Dalam kes ini, A tidak boleh dihukum kerana kemusnahan rumah-rumah itu kerana kejadian tersebut dianggap kemalangan dan tidak sengaja dan dia sendiri tidaklah ada niat untuk memusnahkan deretan rumah tersebut. Walau bagaimanapun jika A membuang puntung rokoknya ke dalam timbunan rumput kering di tepi rumah-rumah berkenaan, yang menyebabkan api merebak ke rumah-rumah itu, maka A mungkin boleh didakwa kerana kecuaiannya tidak menggunakan hemat dan cermat yang semestinya. Peruntukan seksyen 80 Kanun Keseksaan tidak dapat membela A.
Dalam kes Bond Kui lwn. King-Emperor[6], fakta ringkasnya seperti berikut: Seorang perempuan telah tinggal seorang diri di sebuah rumah. Ia merasa ketakutan dan cemas. Tiba-tiba suatu lembaga yang di sangkakannya hantu telah muncul. Ia memukul lembaga itu. Di dapati sebenarnya salah seorang ahli keluarganya datang ke rumah berkenaan. Mahkamah menyatakan bahawa perbuatan itu boleh dimaafkan kerana terjadi dengan tidak sengaja dan secara malang .
Apa Yang Perlu Dilakukan?
Apa yang penting adalah: Jangan putus asa, tertekan, rasa kecewa, dan akhirnya terkulai mengalah. Mungkin sebelum ini pun kita pernah ditimpa malang , besar atau kecil. Ianya suatu yang telah berlaku, dan ditakdirkan akan berlaku terhadap kita. Sama-samalah kita berdoa semoga terlepas daripada ditimpa malang :
اَللّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ الْبَلاَءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاء
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kengerian bala, ditimpai sengsara dan ketentuan yang buruk
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kengerian bala, ditimpai sengsara dan ketentuan yang buruk
[1] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Edisi Kedua. 1995
[2] Ibid.
[3] (1932) 146 L.T. 391, di m.s.392
[4] (1891) 1 Q.B.88
[5] Iaitu maksudnya, suatu kuasa yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.
[6] 43 Cr. L.J. 787.
Artikel di atas sebahagiannya adalah petikan 2 buku berikut:
1.Abdul Aziz Hussin. 2010. Panduan Umum Undang-undang Jenayah DiMalaysia . 2nd. Edition. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 59-60.; dan
2. Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Abdul Aziz. 2000. Aspek Undang-undang Tort Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti SainsMalaysia, hlm. 52-53 .
Artikel di atas sebahagiannya adalah petikan 2 buku berikut:
1.Abdul Aziz Hussin. 2010. Panduan Umum Undang-undang Jenayah Di
2. Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Abdul Aziz. 2000. Aspek Undang-undang Tort Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.