Sebelum membincangkan dengan lanjut tentang keperluan mendaftar, perlulah dinyatakan bahawa maksud "mendaftar" di sini ialah ahli profesional berkenaan mendaftar kepada badan, iaitu Lembaga yang ditetapkan oleh akta masing-masing berdasarkan prosedur-prosedur yang telah ditetapkan. Ini bererti, Arkitek akan mendaftar menurut Akta Arkitek 1967[i], Jurutera akan mendaftar menurut Akta Pendaftaran Jurutera 1967[ii] dan Juruukur Bahan akan mendaftar menurut Akta Juruukur Bahan 1967[iii].
Tujuan atau keperluan utama mendaftar adalah untuk membolehkan mereka menjalankan praktis sebagai seorang ahli profesional projek pembinaan. Ini kerana ketiga-tiga akta yang disebutkan cuma mengiktiraf mereka yang mendaftar sahaja. Contohnya, bagi Arkitek, Seksyen 2 Akta Arkitek 1967 cuma merujuk kepada sama ada Arkitek Berdaftar atau Arkitek Profesional. Malah Seksyen 7 Akta yang sama melarang arkitek tidak berdaftar melakukan perbuatan-perbuatan atau pekerjaan-pekerjaan berikut:
i. menjalankan amalan, perniagaan atau menyandang pekerjaan sebagai Arkitek Profesional;
ii. berbuat perkara-perkara di atas atas apa-apa nama, stail atau gelaran "Arkitek Profesional" (dalam apa bahasa atau tulisan atau perkataan sekalipun);
iii. mengguna atau mempamerkan apa-apa tanda, papan, kad atau alatan lain yang menggambarkan atau bermaksud dia seorang Arkitek Profesional. Ini termasuklah meletakkan gelaran "Ar." pada awal namanya dan perkataan "P.Arch." pada hujung namanya.
Selain itu, menurut Seksyen 7 (1) (c) Akta yang sama, orang berkenaan juga tidak berhak menuntut dalam mana-mana mahkamah apa-apa fee, caj atau saraan atas apa-apa nasihat atau perkhidmatan profesional yang diberikan oleh orang itu sebagai seorang Arkitek Profesional[iv]. Namun begitu, seorang Arkitek Berdaftar boleh menyandang pekerjaan sebagai seorang Arkitek jika mendapat kelulusan bertulis daripada LAM[v]. Isu ini pernah dibangkitkan dalam kes Gunung Bayu Sdn. Bhd. lwn. Syarikat Pembinaan Perlis Sdn. Bhd.[vi] Fakta kes yang relevan adalah seperti berikut:
Satu firma arkitek, iaitu Hijjas Kasturi Sdn., adalah arkitek yang dinamakan dalam perjanjian antara perayu (Gunung Bayu Sdn. Bhd.) (klien projek) dengan responden (Syarikat Pembinaan Perlis Sdn. Bhd.) (yang merupakan sebuah firma pembinaan bangunan) untuk pembinaan sebuah projek perumahan di Kulim, Kedah, untuk perayu. Kontrak pembinaan yang ditandatangani[vii] mengandungi fasal mengenai bayaran kemajuan projek yang dibuat berasaskan perakuan interim yang akan dikeluarkan oleh arkitek yang dinamakan[viii] (iaitu Hijjas Kasturi Sdn.). Seorang arkitek siswazah (En. Y) yang tidak berdaftar di bawah Akta Arkitek 1967 telah diambil bekerja oleh firma arkitek berkenaan dan beliaulah yang membuat Perakuan Interim (iaitu menandatanganinya). Perayu enggan membayar kepada responden bayaran interim yang diperakukan itu, yang kemudiannya telah menamatkan kontrak antara perayu dengan responden. Responden memfailkan tuntutan terhadap perayu.
Isu yang dibangkitkan di Mahkamah Agung[ix] ialah: Adakah perakuan interim yang ditandatangani oleh arkitek tidak berdaftar itu sah, iaitu sama ada arkitek siswazah yang belum didaftarkan boleh menandatangani perakuan? Mahkamah telah merujuk Seksyen 2 [takrif "arkitek" sebagai seorang yang mendaftar di bawah Seksyen 10 (2)], 7 (2) dan 10 (2) Akta Arkitek 1967, bagi maksud ini, dan bersetuju bahawa perakuan interim itu sah dan ia adalah layak untuk membuat perakuan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Arkitek 1967. Pada pandangan penulis, bagi maksud Borang Seragam yang digunakan pada masa kini, iaitu PAM 1998, keputusan berasaskan fakta yang sama itu nampaknya akan menjadi berbeza. Ini kerana PAM 1969 tidak memberi takrif "Arkitek" sebagai "Arkitek berdaftar", tetapi dalam PAM 1998, takrif "Arkitek" di bawah Artikel 7 bermaksud "Arkitek berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia".
Merujuk peruntukan Seksyen 7 Akta Pendaftaran Jurutera 1967, dan Seksyen 7 Akta Juruukur Bahan 1967, perkara yang serupa dengan peruntukan Seksyen 7 Akta Arkitek 1967 seperti yang dibincangkan sebelum ini juga terpakai, iaitu tentang sekatan-sekatan ke atas orang yang tidak berdaftar, sama ada sebagai Jurutera atau Juruukur Bahan. Selanjutnya, di bawah peruntukan Seksyen 8 Akta Arkitek 1967, Seksyen 8 Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Seksyen 8 Akta Juruukur Bahan 1967 hanya Arkitek Profesional, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan berdaftar sahaja yang boleh melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan profesional masing-masing (seperti mengemukakan pelan dan lukisan[x] atau menyediakan anggaran awalan dan kos[xi]).
Tujuan atau keperluan lain bagi pendaftaran Arkitek, Jurutera dan Juruukur Bahan adalah bagi mengelak daripada melakukan kesalahan[xii]. Contohnya di bawah Seksyen 34 Akta Arkitek 1967, adalah menjadi kesalahan seseorang arkitek yang tidak berdaftar memberi perkhidmatan profesional atau bekerja sebagai Arkitek. Begitu juga di bawah Seksyen 25 Akta Pendaftaran Jurutera 1967, adalah menjadi kesalahan seseorang jurutera yang tidak berdaftar memberi perkhidmatan profesional atau bekerja sebagai Jurutera. Seterusnya bagi Juruukur Bahan pula, menurut peruntukan Seksyen 25 Akta Juruukur Bahan 1967, adalah menjadi kesalahan seseorang juruukur bahan yang tidak berdaftar memberi perkhidmatan profesional atau bekerja sebagai Juruukur Bahan. Malah Peraturan 28, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Jurutera 1990 memperuntukan bahawa:
Seseorang Jurutera berdaftar dalam amalan jurutera perunding tidak boleh menjalankan amalan kejuruteraan dengan mana-mana orang yang pendaftarannya telah dibatalkan.
Seksyen 24A Akta Pendaftaran Jurutera 1967 melarang mengambil bekerja sebagai Jurutera mana-mana orang yang tidak didaftarkan. Seksyen 24A Akta Juruukur Bahan 1967 pula melarang mengambil bekerja sebagai Juruukur Bahan mana-mana orang yang tidak didaftarkan.
Selanjutnya, tujuan pendaftaran sebagai Arkitek, Jurutera atau Juruukur Bahan juga penting bagi maksud memperoleh fee, caj dan saraan atas khidmat nasihat atau perkhidmatan profesional lain yang diberi. Perkara ini ditegaskan bagi Arkitek, Jurutera dan Juruukur Bahan di bawah peruntukan Seksyen 7 (1) (c) Akta Arkitek 1967, Seksyen 7 (1) (c) Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Seksyen 7 (1) (c) Akta Juruukur Bahan 1967. Perkara ini pernah berbangkit dalam kes Raymond Banham dan seorang lagi lwn. Consolidated Hotels Ltd.[xiii] Fakta yang relevan dalam kes ini adalah seperti berikut:
Plaintif-plaintif merupakan sebuah firma jurutera perunding mekanikal dan elektrikal yang menjalankan praktis di Hong Kong. Mereka mendapat kontrak sebagai jurutera perunding dengan defendan, iaitu klien projek sebuah hotel di Singapura. Pelan-pelan kejuruteraan bagi hotel itu disediakan di Hong Kong dan wakil bagi firma plaintif sentiasa berulang-alik ke Singapura bagi maksud urusan profesional sebagai perunding projek tersebut. Dengan fakta-fakta itu, menurut hakim Winslow, tugas sebagai perunding profesional kerja-kerja kejuruteraan adalah di Singapura[xiv]. Plaintif kemudian menuntut sejumlah bayaran bagi perkhidmatan profesional yang telah diberikan kepada defendan, tetapi defendan enggan membayarnya. Plaintif membawa kesnya ke mahkamah. Defendan membangkitkan bahawa perjanjian plaintif dengan defendan itu adalah menyalahi undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana plaintif tidak mendaftar sebagai jurutera profesional mengikut undang-undang Singapura.
Semasa memberi penghakimannya, hakim Winslow ada menyebut,
… mereka adalah dikehendaki mendaftar sebagai jurutera-jurutera profesional[xv]. Perkhidmatan yang dilaksanakan di bawah kontrak ini adalah menyalahi undang-undang dalam mana jurutera-jurutera mereka tidak pernah mengambil langkah-langkah untuk terlebih dahulu mendaftar diri mereka, mahupun memberi perkhidmatan-perkhidmatan tersebut di bawah arahan atau seliaan seorang jurutera profesional berdaftar.
Winslow menambah,
Saya sedar bahawa untuk memutuskan kontrak itu menyalahi undang-undang secara ab initio[xvi] nampak seperti kasar namun itulah kedudukannya yang menyentuh kontrak-kontrak yang menyalahi undang-undang di mana kedua-dua pihak melanggar undang-undang dan plaintif, yang saya amat simpati dengan mereka, dibiarkan tanpa remedi. Tidak tahu undang-undang atau turut terlibat secara tidak tahu apa-apa dalam kontrak sedemikian tidak dapat membantu plaintif-plaintif… Defendan-defendan dengan itu menang, tanpa mengambil kira penglibatan mereka dalam kontrak yang menyalahi undang-undang ini.
Ungkapan dan perkara-perkara yang dibincangkan jelas menggambarkan kesan negatif kerana perbuatan "tidak mendaftar" sebelum melaksanakan apa-apa urusan profesional mereka. Cara betul dan mudah untuk mengelak kesan-kesan negatif di atas adalah dengan mendaftar. Persoalan selanjutnya ialah: Bagaimana untuk mendaftar? Di bawah ini dibincangkan syarat-syarat dan prosedur mendaftar.
[i]. Kecuali Arkitek Landskap dan Arkitek Tentera Laut – Seksyen 36.
[ii]. Iaitu bagi Jurutera Awam, Jurutera Elektrik, Jurutera Jentera, Jurutera Struktur dan seseorang lain yang layak (atas pertimbangan Lembaga Pendaftran Jurutera) untuk didaftarkan – Seksyen 2.
[iii]. Kecuali Juruukur Tanah, Juruukur Bangunan, Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Juruukur Perlombongan – Seksyen 27. Lihat Seksyen 3 Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah 1981.
[iv]. Sebagai kajian perbandingan lihat kes Raymond Banham & seorang lagi lwn. Consolidated Hotel Ltd. [1976] 1 MLJ 5. Loc. cit., nota 46.
[v]. Seksyen 7 (2) Akta.
[vi]. [1987] 2 M.L.J 332. Keputusan kes Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan).
[ix]. Kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan.
[x]. Untuk Arkitek dan Jurutera berdaftar, lihat bab 4 buku ini.
[xi]. Untuk Juruukur Bahan berdaftar, lihat bab 4 buku ini.
Di atas adalah cabutan daripada, Abdul Aziz Hussin. 2006. Ahli-ahli Profesional Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 17-21. Harga RM80 (sebelum diskaun).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.