Mar 17, 2011

Apa dia "konflik"

Ini soalan pertama dan asas yang perlu ditanya sebelum perbincangan lanjut mengenainya boleh dibuat. Gardiner, P.D. dan Simmons, J.E.L.,1 mendefinisikan “konflik” dalam konteks pengurusan konflik ialah,

                       “Sebarang perlencongan kepentingan-kepentingan, objektif atau keutamaan diantara individu-individu, kelompok, atau organisasi, atau ketidakserupaan kepada kehendak-kehendak sesuatu tugas, aktiviti atau proses”.

Nampaknya definisi ini sama dengan definisi “perselisihan” seperti yang diberikan oleh pihak mahkamah dan kamus undang-undang.  Di dalam kes Kon Fatt Kiew lwn. Pendakwa Raya,2 Hakim Cussen menyatakan bahawa jika sesuatu perkataan itu bukan perkataan  teknikal atau saintifik, maka perkataan itu perlu ditafsirkan mengikut tafsiran yang lazim, dan tafsiran kamus boleh digunakan.  Di dalam kamus The Random House Dictionary,3 perkataan “perselisihan” ialah “suatu tahap yang mana seseorang berbeza atau tidak bersetuju dengan orang lain”.  Contohnya di dalam kes Kien Tan Sdn. Bhd lwn. Klokner Industrie - anlagen GmbH,4 Mahkamah menyatakan bahawa telah terdapat perselisihan diantara pehak-pehak dalam kontrak apabila telah berbangkit persoalan sama ada sejumlah RM3 juta perlu dipindah kepada defendan dalam bentuk sekuriti bagi tujuan pelaksanaan obligasi di bawah kontrak oleh plaintif atau ia adalah sebagai penyaman oleh defendan. 

Di dalam kes KSM Insurans Bhd. lwn. Ong Ah Ba & seorang lagi,5 Mahkamah menyatakan tidaklah wujud perselisihan apabila cuma satu pihak enggan membayar tuntutan yang tidak pula dipertikaikan.  Sememangnya, dan biasanya, mahkamah akan mentafsir sedemikian kerana ia telah dirujuk kepada pihak luar (pihak ketiga) iaitu mahkamah, yakni suatu situasi konflik yang telah mencapai tahap “parah” yang terpaksa dirujuk kepada pihak luar untuk penyelesaian.  Namun di dalam konteks pengurusan konflik, konflik yang timbul adalah masih diperingkat dalaman lagi, dan apa yang diperlukan ialah menguruskan sewajarnya konflik itu (jika timbul) atau mengelak wujudnya konflik.  Sebahagian besar dari konflik pula adalah bukan isu undang-undang.


1       Gardiner, P.D. dan Simmons, J.E.L. 1992. The analysis of conflict and change in construction projects. Construction Management and Economics, 10(4), m.s. 459 - 478.
2     (1930) M.L.J.239
3     The Random House Dictionary. 1980. New York: Ballantine Books.
4      (1989) M.L.J. 498
5     (1986) 1 M.L.J. 237

Di atas adalah cabutan daripada, Abdul Aziz Hussin. 2004. Aspek Undang-undang Dalam Pengurusan Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 63-63. Harga RM36 (sebelum diskaun)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.