Mar 5, 2011

Bunuh Diri...(1)

Takrif “Bunuh Diri”

William Benton dalam The New Encyclopedia Britannica,1 mentakrif bunuh diri sebagai:

Perbuatan seseorang yang sedemikian rupa yang mengambil nyawanya sendiri secara sengaja dan atas kerelaannya sendiri.  Kenyataan ini juga boleh digunakan terhadap seseorang yang cuba atau yang ada kecenderungan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Mahkamah dalam kes Cliff lwn Schwabe,2 mentakrif bunuh diri seperti yang berikut:

Melakukan ‘bunuh diri’ iaitu seseorang yang secara sukarela melakukan sesuatu (atau misalnya enggan makan) bagi tujuan memusnahkan nyawanya, dalam keadaan sedar akan akibat dan kesannya, dan pada masa itu berfikiran yang mencukupi untuk sengaja memusnahkan nyawanya sendiri.  Membunuh diri ialah memusnahkan dirinya sendiri.

Takrif lain tentang bunuh diri ialah:

Perbuatan membunuh diri adalah sebarang perbuatan yang dengan sengaja memusnahkan dirinya sendiri iaitu orang yang melakukan perbuatan itu tidak pasti dia akan hidup.

Pengelasan

Menurut Emile Durkheim, pakar sosiologi Perancis dalam bukunya Le Suicide,3 terdapat tiga kelas bunuh diri.

(a)         Bunuh diri keegoan (egoistic suicide) yang terjadi apabila individualism ganjil atau luar biasa dapat melemahkan kawalan masyarakat dan mengurangkan daya tahan seseorang terhadap “kecenderungan membunuh diri secara kolektif”.  Contohnya seseorang individu yang tidak menghiraukan masyarakat di sekelilingnya dan tidak bergaul secukupnya dengan masyarakat.

(b)         Bunuh diri kerana kepentingan orang lain (atau disebut bunuh diri altruistic), yang terjadi apabila seseorang itu terlalu mengambil berat akan tugasnya secara berlebihan terhadap masyarakat.

(c)          Bunuh diri anomik iaitu bunuh diri yang ganjil.  Bunuh diri ini terjadi apabila masyarakat gagal mengawal dan membuat peraturan berhubung dengan tabiat individu dalam masyarakat tertentu.

Egoisme dan anomi mungkin menguatkan antara satu sama lain.

Teori pengelasan di atas adalah teori kuno yang mungkin tidak sesuai lagi dengan masyarakat zaman ini.  Mungkin teori pengelasan bunuh diri itu berguna untuk kajian ilmiah sahaja.

Mengapa Bunuh Diri?

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terlanjur bunuh diri.  Antaranya ialah:

(a)               Sakit jiwa dan akal tidak sempurna.

(b)               Jiwa rasa tertekan, misalnya kerana banyak hutang, kalah judi.

(c)                Adat, misalnya adat lama di India yang berkehendakan isteri yang kematian suami membunuh diri pada hari kematian suaminya.

(d)               Membalas dendam.

(e)               Kerana malu, misalnya orang kenamaan dan dihormati tiba-tiba mendapati dirinya sedang disiasat kerana kes rasuah.

(f)                 Tidak sanggup menahan derita (kesakitan, penyakit) atau penyeksaan.

(g)               Kecewa, misalnya putus cinta, tidak dapat melanjutkan pelajaran, lama menganggur.



Bunuh Diri Daripada Pandangan Islam

Nas-nas dalam al-Qur’an dan hadis banyak memperkatakan hukum membunuh diri.  Banyak cara yang disebut dalam al-Qur’an tentang hukum membunuh diri seperti dengan nasihat, ancaman dan hukuman bagi seseorang yang membunuh diri.  Bagi umat Islam yang sudah semestinya mempercayai akan hari akhirat, maka nas-nas telah dengan jelas menyebut tentang hukuman, pada hari akhirat terhadap sesiapa (umat Islam) yang membunuh diri.

Melalui al-Qur’an, surah an-Nisa’ ayat 29, Allah S.W.T., menasihati umat-Nya supaya jangan membunuh diri.  Allah berfirman maksudnya:

…dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.

Nabi Muhammad S.A.W. pernah beberapa kali bersabda (berkata) tentang larangan dan hukuman terhadap umat Islam yang membunuh diri.  Antaranya ialah seperti yang berikut:

Menurut Abu Hurairah R.A. Nabi S.A.W. bersabda:

Sesiapa yang terjun dari gunung untuk membunuh diri, maka di neraka jahanam kelak dia akan terjun (ke dalamnya) untuk selama-lamanya. Dan sesiapa yang makan racun untuk membunuh dirinya, maka racun itu kelak, dalam neraka jahanam, akan berada di tangannya dan dia akan menjilatnya (racun itu) untuk selama-lamanya.  Dan sesiapa yang membunuh diri dengan senjata maka senjata itu, dalam neraka jahanam, kelak akan berada di tangannya untuk ditikamkan ke perutnya untuk selama-lamanya.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Thabit bin Adh-dhahhah R.A., sahabat yang mengikuti Nabi S.A.W. di bawah pohon baiaturridhwan, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Sesiapa yang bersumpah dengan agama selain Islam maka dia adalah sebagaimana yang disumpahkan itu. Dan tidak dianggap nazar seseorang terhadap sesuatu yang tidak dimilikinya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu alat di dunia, akan diseksa pada hari kiamat dengan alat itu juga.  Dan sesiapa yang mengutuk seorang Mukmin yang lain maka samalah dengan membunuhnya. Dan sesiapa yang menuduh berzina terhadap seseorang Mukmin yang lain maka samalah dengan membunuhnya.

Terdapat beberapa kes (cerita) pada zaman Rasulullah S.A.W., tentang orang-orang yang membunuh diri yang diriwayatkan dalam beberapa hadis: Antaranya ialah seperti yang berikut:

Abu Hurairah R.A. berkata: kami hadir bersama-sama Nabi S.A.W. dalam perang Khaibar.  Tiba-tiba Nabi S.A.W. bersabda kepada seorang yang mengaku Muslim:

            “Orang itu ahli neraka”

Kemudian ketika terjadi perang Khaibar, orang itu ikut serta berjuang dengan gigih dan telah mendapat luka parah, maka orang-orang berkata kepada Nabi S.A.W.,…

                                   
1  Chicago, edisi ke-15, 1978.
2  (1846) 3 CB 437.
3  Emile Durkheim, 1987.  Le Suicide.

Di atas adalah cabutan daripada Abdul Aziz Hussin. 2001. Edisi ke-2. Undang-undang Kesalahan Terhadap Diri—Aspek-aspek Yang Terpilih. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 52-54, dan hlm. 67-68. Harga RM18.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.