Setelah Rasulullah s.a.w. dan rombongan Baginda tiba di Madinah salah seorang kaum Ansar yang bernama Abu Ayyub Khalid Bin Zaid al-Khazraji al-Ansari1, telah menawarkan kepada Rasulullah s.a.w. untuk tinggal di rumahnya, sementara menunggu rumah baginda siap dibina.
Setelah Masjid Nabawi siap dibina, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat Baginda bergotong-royong pula membina rumah kediaman masing-masing di kawasan sekitar Masjid Nabawi. Terdapat sembilan buah rumah yang dibina ketika itu dan dua daripadanya untuk isteri-isteri Rasulullah s.a.w.. Antaranya ialah Siti Aishah yang mendiami rumah pertama yang siap dibina. Pintu rumah tersebut menghadap Masjid Nabawi.2
Berhampiran Babu Uthman pula, Rasulullah s.a.w. membina rumah kedua untuk kediaman seorang lagi isteri Baginda yang bernama Saudah binti Zam’ah. Kedua-dua rumah tersebut (iaitu rumah Siti Aishah dan Saudah) terletak di sebelah timur (di sisi hadapan kiri) Masjid Nabawi.
Seperti bahan-bahan binaan Masjid Nabawi, rumah-rumah tersebut juga dibina dengan menggunakan tiang daripada batang kurma, atap daripada pelepah, dan daunnya yang ditampal lumpur manakala dindingnya daripada susunan baru yang juga ditampal dengan lumpur.3
Semua pintu rumah tersebut ditutup dengan menggunakan kulit-kulit unta yang digantungkan pada bahagian atasnya.4
Tentang ukuran rumah-rumah tersebut pula, ia sebenarnya bolehlah dibandingkan sebagai sebuah rumah kotak kecil, yang menurut sumber berukuran sekitar lebih kurang 3 meter panjang dan 3 meter lebar.5
Terdapat sumber lain yang menghuraikan secara ringkas tentang bentuk rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w.. Sumber tersebut yang dipetik daripada Muhamad Ibn Umar dan Abdullah Ibn Yazid al-Hathli menyatakan bahawa seorang yang bernama Ibnu Sa’ad sempat melihat rumah-rumah itu pada tahun 88 Hijrah semasa pemerintahan Khalifah al-Walid Ibn Abdul Malik.
Menurut ulasan beliau:
“Aku melihat rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. apabila Umar Ibn Abdul Aziz melaksanakan kerja-kerja menyambungnya dengan masjid (Masjid Nabawi). Rumah-rumah tersebut ialah rumah batu yang mempunyai satu pelepah yang diikat (ditampal) dengan lumpur.”
Tegasnya rumah-rumah tersebut telah bersambung dan berada di dalam lingkungan Masjid Nabawi pada tahun 88 Hijrah, iaitu semasa pemerintahan – Khalifah al-Walid Ibn Abdul Malik. Pada masa pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz beliau juga telah membuat tembok pada makam yang terdapat di dalam Masjid Nabawi.
Untuk tahun-tahun selepas Rasulullah s.a.w. wafat dan sehinggalah selepas kematian Khalifah Umar al-Khattab r.a. Siti Aishah masih mendiami rumah yang dibina oleh Rasulullah s.a.w.
1 Mohamad Husain Haekal, Sejarah Hidup Mohamad, terjemahan ASli `Audah, 1986, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd. Hlm. 193; Muhamad Tariq Ghazi, Prophet’s Mosque Through the Ages, Saudi Gazette, Isnin, 15 Jun 1992, hlm. 7.
2 Abbas Abdullah Fida’, 1402H, The Comprehensive Islamic Book, Mekah: Al-Haramein Trade Centre, hlm. 129. Rumah inilah yang akhirnya menjadi makam Rasulullah s.a.w., berdasarkan tulisan Hasan Affandi Kasim.
3 Syeikh Fadhlalla Haeri, 1992, The Pilgrimage of Islam, Kuala Lumpur ; Crescent News (K.L.) Sdn. Bhd, hlm. 147; Abbas Abdullah Fida’, ibid, hlm. 130.
4 Prof. Mas’adul Hasan, May 1987, History of Islam, Vol. 1. Lahore ; Islamic Publications (prt) Ltd. Hlm. 65
5 Ada dikatakan ukurannya lebih kurang 7 x 6 hasta, ada pula yang mengatakan ukurannya lebih kurang 7 x 10 hasta.
Di atas adalah sedutan daripada, ABDUL AZIZ HUSSIN. 1997. Nostalgia Masjid Nabawi. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hlm. 50-52.
Berikut video yang berkaitan (kredit kepada sumber asalnya):
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.