Mar 21, 2011

"Perkara Kecil", maafkan dia

Pembelaan "perkara kecil" terdapat dalam undang-undang tort dan juga jenayah.

1. DI BAWAH UNDANG-UNDANG TORT
Perkara Kecil Dan Remeh Temeh
Di dalam undang-undang terdapat rangkaikata berbunyi ‘de minimus non curat lex’, yang bermaksud undang-undang tidak mengambil tahu perkara-perkara yang remeh temeh.
            Di dalam hidup di dunia ini, telah menjadi asam garam dan perlu diterima hakikat bahawa kadangkala berlaku sedikit rimas, sekali sekala bising, kadangkala berdebu, berbau busuk seketika, dan seumpamanya. Ia telah menjadi lumrah ketidakselesaan hidup duniawi. Sifat bertimbang rasa dan toleransi perlulah ada. Begitu juga di dalam perkara-perkara undang-undang - contohnya sekali sekala dikejutkan hentakan pemantak tiang, atau bau asap pembakaran di tapakbina, dan seumpamanya adalah perkara biasa.
            Di dalam kes Fima Construction Pte. Ltd. lwn. Neo & Neo Brothers Pte. Ltd. dan beberapa orang lagi20 , faktanya yang releven dengan perbincangan di bawah tajuk kecil ini ialah seperti berikut :
Plaintif dan defendan sama-sama memajukan tanah masing-masing, yang berjiran di antara satu sama lain. Defendan membina bangunan yang termasuk seluas 3 kaki persegi darinya (dari keseluruhan 25 meter) berada di dalam tanah plaintif. Plaintif mendakwa defendan atas pencerobohan. Dari fakta didapati keluasan itu terletak di antara dua dinding (yakni sempadan dinding bangunan palintif dengan sempadan dinding bangunan defendan) sahaja.

Mahkamah menyatakan bahawa keluasan itu terlalu kecil, di mana kalaupun dibuang bahagian bangunan defendan berkenaan, iannya tidak pun pula dapat dimanfaatkan oleh plaintif.
---------------------------
20 (1948) 2 M.L.J. 209
2. DI BAWAH UNDANG-UNDANG JENAYAH
Menyebabkan kerosakan kecil
Jika perbuatan yang dilakukan cuma menyebabkan kerosakan yang kecil sahaja, maka orang berkenaan mungkin dimaafkan oleh undang-undang. Seksyen 95 Kanun Keseksaan berkaitan dengan perkara ini. Seksyen 95 ini menyebut:
95. Perbuatan yang menyebabkan kerosakan kecil
Tiadalah menjadi kesalahan oleh sebab yang menyebabkan atau yang dimaksudkan menyebabkan atau yang mengetahui mungkin menyebabkan sesuatu kerosakan, jika sekiranya kerosakan itu terlalu kecil hingga seseorang yang berakal dan berperangai   biasa, tindakan akan mengadu tentang kerosakkan yang seperti itu.
Prinsip umum undang-undang ialah de minimis non curat lex, yang bermaksud undang-undang tidak mengambil kira perkara yang kecil-kecil.
Persoalannya apakah fakta setiap kes dapat menentukan sebarang kerosakan, kerugian, kecederaan dan seumpamanya yang termasuk di bawah kategori “kerosakan yang terlalu kecil[1]. Dapatkah dikatakan, perbuatan dan seumpamanya yang dilakukan oleh seseorang itu terlalu kecil sifatnya, yang mana perbuatan atau perkataan seumpama itu kepada orang-orang yang mempunyai akal yang biasa, munasabah, waras dan tenang tidak akan mengagnggapnya sebagai satu kesalahan atau sebagai suatu jenayah.
            Dalam kes Ibrahim[2] apabila A dituduh mengambil kacang dari sebatang pokok yang berada di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran. Mahkamah menyatakan bahawa benda yang diambil itu terlalu kecil nilainya dan dengan itu A boleh di lepaskan (dengan memberinya peluang membela diri dengan menggunakan seksyen 95 Kanun Keseksaan (India)[3].
            Contoh-contoh berikut diharap dapat membantu para pembaca memahami dan membuat perbandingan tentang perbuatan yang dianggap terlalu kecil (contoh di bawah (a)) dan perbuatan yang dianggap tidak kecil (contoh di bawah (b)).
1.         (a)       Seorang pengemis lalu di bawah pohon jambu yang dipunyai     oleh A dan mengambil sebiji atau dua biji buahnya.
            (b)       B telah memanjat pokok jambu kepunyaan A dan mengambil semua buahnya tanpa izin A, untuk dijual.
2.         (a)       Lelaki C menepuk bahu lelaki D dari belakang.
            (b)       Lelaki C dengan tiba-tiba memeluk perempuan E dari belakang.
3.         (a)       A mengatakan kepada B bahawa B orang yang tidak suka menderma.
            (b)       A mengatakan kepada B, dan juga memberitahu orang-orang lain bahawa B selalu menerima rasuah.
4.         (a)       X mencelup pennya ke dalam botol dakwat kepunyaan Y.
            (b)       X menyeluk saku seluar Y dengan tujuan mencuri.
5.         (a)       R meramas  hingga hancur biskut kepunyaan S.
            (b)       R menghancurkan tabung ukiran emas kepunyaan S.


[1] Perkataan ini yang ditekankan dan difokuskan di dalam seksyen 95 Kanun Keseksaan.
[2] (1940) A.T.R. Mada 760.
[3] Iaitu sama peruntukannya dengan seksyen 95, Kanun Keseksaan, Malaysia

Di atas adalah sedutan daripada, Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Abdul Aziz. 2000. Aspek Undang-undang Tort Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 54-55; dan Abdul Aziz Hussin. 2010. Panduan Umum Undang-undang Jenayah Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 84-86.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.