Awal bulan Januari tahun 1970, saya terlewat 3 hari masuk sekolah. Bukannya saya sengaja untuk ponteng sekolah, tetapi banjir melanda kampung saya, dan jalan dari rumah keluarga saya untuk ke jalan besar telah terputus. Air juga masih dalam untuk saya menyeberang, yang jaraknya ke jalan besar adalah sekitar 3 kilometer. Ibu menghantar saya 3 hari kemudian setelah air surut, dan kami dua beranak menaiki bas yang jarak perjalanannya sekitar 120 kilometer (3 kali bertukar bas) dari jalan besar di kampung saya ke rumah saudara terdekat. Saya menumpang di rumah saudara terdekat pada masa (musim) persekolahan. Pada hari keempat, saya ke sekolah. Oleh kerana sudah 3 hari tidak bersekolah, Guru Besar memanggil saya ke biliknya, dan terus merotan saya 3 kali sambil bertanya dengan nada yang kuat dan geram, "Kenapa lewat?!". Setiap kali bertanya sambil sekali saya dipukul dengan rotan. Saya "terkencing sedikit" di dalam seluar kerana takut dan sakit. Airmata meleleh, dan selepas habis dirotan, barulah saya dapat memberitahu sebab saya tak dapat hadir ke sekolah. Dia tidak percaya, dan kata, "Awak bohong!". "Mana ada banjir!". Kebetulan di kawasan sekolah itu sudah tidak banjir. Hanya di kawasan kampung saya dan beberapa kampung di sekitarnya yang masih banjir. Kemudian saya diarahkan pula berlari satu pusingan mengelilingi padang sekolah, bersama beberapa orang lagi murid. Saya sudah berlari sekuat mungkin, tetapi kerana saya berbadan kecil (pendek dan kurus kering) dan kerap demam malaria, jadi tenaga saya juga tak seberapa, dan saya tak dapat berlari kuat dan laju seperti orang lain. Akibatnya saya diarahkan berlari satu pusingan lagi kerana, "Awak malas berlari". Saya hampir pitam (akibat sakit dirotan, dahaga, letih, dan malu kerana ramai sedang "menonton").
Masa sudah lama berlalu. Dalam tahun 1979, saya bertemu Guru Besar tersebut di sebuah universiti, dimana saya sedang belajar ijazah pertama (bidang undang-undang). Saya menyapanya, dan dia memberitahu saya dia menjadi guru bahasa Melayu di universiti yang sama. Saya hanya sempat berbual sekejap sahaja dengan beliau, dan cerita di atas masih segar kembali keingatan saya. Saya cuma saling membalas senyum sebelum memohon diri dan menghulurkan tangan bersalaman dengan beliau, dan terus ke kuliah. Dia sudah nampak tua, tapi masih kekal berwajah garang. Hanya sekali itu sahaja saya terserempak dengan beliau. Semasa beliau menjawat jawatan Guru Besar, dia tegas orangnya, dan rajin. Dia sempat mengajar ilmu sivik untuk kelas saya (kelas biasanya diadakan di bawah satu pokok besar dekat padang sekolah.
Tahun lepas (2010), saya sempat ke tapak sekolah saya itu, tetapi semuanya sudah tiada...Guru Besar itu pun sudah meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya. Tapak itu hanya kosong, namun di tepinya berdiri megah beberapa belok bangunan baru sekolah yang menggantikan sekolah tempat saya belajar dahulu (beratap zink, separuh berdinding papan, separuh terbuka).
"Cikgu, walau apapun yang cikgu lakukan kepada saya, walaupun saya masih mengatakan ianya tidak adil (dan menjadi iktibar kepada saya semasa menguruskan pelajar-pelajar saya), tetapi saya telah memaafkan cikgu, dunia dan akhirat.. Malah saya mendokan cikgu dilindungiNya. Segala ilmu yang cikgu berikan amatlah saya hargai...Cikgu, terima kasih atas segalanya..."
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.