Setiap pagi, pada setiap ahad hingga khamis, bermulalah persekolahan kami. Kelas bermula sekitar jam 8 pagi, dan tamat sekitar jam 12 tengah hari. Jumlah semua murid di "sekolah" itu hanyalah sekitar 30 orang. Tiada meja dan tiada kerusi yang disediakan. Kami semua belajar secara duduk bersila. Kelas darjah 1 dan 2 dicantumkan. Begitu juga kelas darjah 3 dan 4, serta kelas darjah 5 dan 6. Hanya ada 3 papan hitam dalam "sekolah". Tiada dinding pemisah di antara kelas/kelompok kelas. Murid-murid dikelompokkkan berasingan di tiga penjuru "sekolah". Tiada kantin yang disediakan.
Semua pelajar pergi ke "sekolah" berjalan kaki, kecuali saya. Saya pergi "sekolah" menaiki "kenderaan". "Kenderaannya" adalah ibu saya. Ibu akan mendokong saya dari rumah hingga ke tepi sekolah, dan pada tengah hari, dia datang mengambil saya. Saya adalah diantara pelajar paling kecil, paling "laih", dan kerap tak sihat. Jarak daripada "sekolah" ke rumah saya sekitar 1 kilometer, tetapi kebanyakkan perlu melalui denai menyusur hutan.
Gurunya hanya seorang. Seorang guru lelaki bernama Osman. Dia berasal daripada Pasir Putih, Kelantan. Umurnya sekitar 30an. Dia tinggal bersendirian di sebuah rumah kayu berhampiran "sekolah" kami, yang dijadikan "rumah guru". Dia akan mengajar secara bergilir: dimulakan dengan darjah 1+2, kemudian darjah 3+4, dan kemudian darjah 5+6. Semasa dia mengajar di darjah 1+2 misalnya, murid-murid kelas lain akan buat kerja sendiri, ada yang bermain sendirian atau kumpulan, ada yang tidur terlentang, dan ada yang tumpang masuk kelas yang sedang diajari. Ada juga yang makan bekalan yang dibawa. Sekitar jam 10, cikgu Osman akan berhenti rehat sekejap, sekitar setengah jam. Biasanya dia akan tidur/berbaring di penjuru kanan hadapan di dalam "sekolah". Letih, agaknya. Jika kami agak bising, dia meminta kami bermain di luar "sekolah" dan kemudiannya memanggil kami semua untuk menyambung kelas. Cikgu Osman amat rajin orangnya, baik hati, peramah, dan boleh dikatakan tidak pernah memarahi kami. Dia amat gigih dan sabar mengajar, walaupun kebanyakan kami, walaupun yang diletakkan dalam darjah 6, masih amat kurang tahap kepandaian menulis, membaca atau mengira. Cikgu Osman jarang pulang ke kampungnya. Selain kesukaran untuk ke jalan besar (mesti berjalan kaki sekitar 5 kilometer), dia juga lebih seronok tinggal di kampung kami. Jika cikgu Osman sakit, orang kampung akan datang menziarahinya, termasuk membawa anak muridnya bersama menziarahi cikgu Osman, dan biasanya orang kampung akan membawakan makanan untuk cikgu Osman. Saya dan keluarga juga pernah menziarahi cikgu Osman semasa dia sakit. Begitulah hormat dan sayangnya orang kampung saya kepada cikgu Osman. Lagipun cikgu Osman tidak sombong orangnya dan mudah mesra dengan semua penduduk.
Matapelajaran yang diajarkan adalah menulis, membaca dan mengira. Itu sahaja. Kadangkala cikgu Osman memberikan ilmu dengan bercerita. Buku-buku amat kurang. Papan "slate" masih digunakan.
Pada tengah hari khamis, sebelum pulang, cikgu Osman akan meminta kami semua membersihkan dan menyimpan semua barangan "sekolah" di satu sudut "sekolah", kerana "sekolah" ini sebenarnya adalah sebuah masjid.
"Sekolah" itu adalah sekolah pertama kepada "Sekolah Kebangsaan Chenulang, Kuala Krai, Kelantan", dan, masjid tadi adalah masjid sementara (mesjid pertama) Rancangan Kemajuan Tanah Kg. Chenulang. Kini Sekolah Kebangsaan Chenulang "amat gah" dan agak besar. Muridnya difahamkan sekitar 1000 orang. Masjidnya juga sudah cantik dan agak besar. Cerita di atas adalah cerita yang berlaku pada pertengan tahun 1960an.
Semoga jasa dan ilmu yang cikgu Osman berikan tidak disia-siakan. Semoga Allah (s.w.t.) memberikan yang terbaik kepada cikgu Osman (di dunia dan akhirat). TERIMA KASIH YANG TAK TERHINGGA, ATAS SEGALANYA, CIKGU OSMAN...
Nota:
Saya percaya, masih ramai "cikgu Osman" (sama ada lelaki ataupun wanita) di mana-mana sekolah di Malaysia kita ini. Sama-samalah kita menyokong dan mendokong cikgu seperti ini, dan sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kegigihan, kemesraan dan dan semangat berusaha menyubur ilmu oleh cikgu Osman.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.