Mar 7, 2011

Tugas Menjaga Rahsia Rasmi Secara Berpatutan

Apakah pula yang dimaksudkan “tidak menjaga dengan cara yang berpatutan (munasabah)”. 119 Perkara ini telah ditimbulkan dalam kes Lim Kit Siang lwn Pendakwa Raya120 apabila Raja Azlan Shah HB ada menyebut121 bahawa jika seseorang gagal mengambil langkah atau cara yang munasabah atau berpatutan yang membahayakan keselamatan atau rahsia tersebut, maka orang itu melakukan kesalahan di bawah seksyen 8(1)(iv) Akta Rahsia Rasmi 1972.  Dalam kes Pendakwa Raya lwn Lim Kit Siang,122 salah satu pertuduhannya adalah seperti yang berikut:

Bahawa tertuduh telah tidak menjaga dengan cara yang berpatutan atas keselamtan maklumat rahsia yang rasmi tertentu berkaitan pembelian empat kapal ronda laju yang ada dalam miliknya yang merupakan maklumat yang diperoleh secara bersalahan dengan akta dengan cara tidak mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menghalang penerbitannya di dalam sebuah akhbar bertarikh 3 November 1976, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 8(1)(iv) akta.

Fakta lanjut yang berkait dengan pertuduhan di bawah seksyen 8(1)(iv) Akta Rahsia Rasmi 1972, dalam kes Lim Kit Siang ini adalah seperti berikut:

Selepas artikel di dalam majalah berkenaan tentang butir-butir terperinci pembelian empat kapal berkenaan terbit,123 sebuah akhbar tabloid parti tempat tertuduh menjadi Setiausaha Agungnya, telah menerbitkan pula satu artikel yang memberi butir-butir terperinci pembelian berkenaan, kaedah pemilihan kontraktor dan juga menerbitkan semula ucapan-ucapan tertuduh dan soalan-soalan tertuduh di Parlimen tentang pembelian kapal-kapal berkenaan.124

            Bagi maksud mentafsirkan “tidak menjaga denga cara yang berpatutan” dalam kes Lim Kit Siang ini, diperturunkan apa yang dikatakan oleh Abdul Hamid H:125

Saya seterusnya mendapati bahawa tertuduh telah tidak menjaga dengan cara yang berpatutan maklumat berkenaan dengan mana dia tidak mengambil langkah-langkah untuk menghalang (menyekat) penerbitan maklumat tersebut dalam akhbar…di mana tertuduh adalah Setiausaha Agung.  Adalah benar tertuduh bukannya pengarang (akhbar itu), tetapi ada bukti bahawa penyiaran itu berasaskan perlakuan tertuduh dalam keadaan dalam kes ini yang dibuat dengan kebenaran dan izin tertuduh yang telah dengan jelas ternyata bahawa dia ingin menggunakan segala ruang untuk menarik perhatian pihak berkuasa kepada perkara itu.
                                   
119  Yakni kesalahan di bawah seksyen 8(1)(iv) Akta Rahsia Rasmi 1972.
120  (1980) 1 MLJ 293.
121  Ibid., hlm. 296.  Perbincangan tersebut berbangkit semasa memutuskan kes rayuan Lim Kit Siang yang antara pertuduhan (yang disabitkan) adalah di bawah seksyen 8(1)(iv) akta.
122  Op. cit., n. 116.
123  Op. cit., lihat n.116.
124  Lihat fakta ini dalam Lim Kit Siang lwn Pendakwa Raya (1980) l MLJ 293, hlm. 296.
125  Op. cit., n.116, hlm. 47

Di atas adalah cabutan daripada Abdul Aziz Hussin. 1997. Undang-undang Berkaitan Rahsia Rasmi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 64-65. Harga RM15.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.