Mar 9, 2011

Sejarah Perkembangan (Pindaan) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan


Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (pada masa itu), setelah menerima cadangan Suruhanjaya Reid, telah memasukkan perkara perkhidmatan awam dalam Perlembagaan Negara. Hal-ehwal perkhidmatan awam ini terkandung antara lain, dalam Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan.
Pada mulanya peruntukan Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan ialah seperti berikut:

132.          Perkhidmatan Awam
(1)           Bagi maksud-maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan awam ialah:
            (a)   angkatan tentera;
            (b)   perkhidmatan kehakiman dan undang-undang;
            (c)   perkhidmatan awam am Pesekutuan;
            (d)   pasukan polis;
            (e)   perkhidmatan kereta api;
            (f)    perkhidmatan awam bersama yang tersebut dalam Perkara 133; dan
            (g)   perkhidmatan awam tiap-tiap satu Negeri.

(2)           Kecuali sebagaimana selainnya diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, kelayakan untuk pelantikan bagi orang-orang dalam perkhidmatan awam dan syarat-syarat perkhidmatan mereka, lain daripada orang-orang dalam perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (g) Fasal (1) boleh dibuat peraturan oleh undang-undang Persekutuan dan juga, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan itu, oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kelayakan untuk pelantikan bagi orang-orang dalam perkhidmatan awam mana-mana Negeri dan syarat-syarat perkhidmatan mereka boleh dibuat peraturan oleh undang-undang Negeri dan juga, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Negeri itu, oleh Raja atau Gabenor Negeri itu.

(2A)    Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tiap-tiap orang anggota bagi mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (a), (b), (c), (d), (e), dan (f) Fasal (1) adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh

            Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan Negeri, tiap-tiap orang anggota bagi perkhidmatan awam Negeri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Gabenor Negeri itu.

(3)       Tertakluk kepada Fasal (4), sebutan dalam bahagian ini tentang orang dalam perkhidmatan awam atau kepada anggota mana-mana perkhidmatan tidaklah terpakai kepada sebutan yang berikut, iaitu:
(a)    Mana-mana menteri Persekutuan dan Ketua Menteri atau lain-lain ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan bagi sesuatu negeri.
(b)    Ahli- ahli sama ada ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri.
(c)    Setiausaha mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana kakitangan Perlimen.
(d)    Penasihat undang-undang mana-mana negeri, kecuali jika beliau dilantik antara orang-orang daripada perkhidmatan kehakiman dan undang-undang atau daripada perkhidmatan awam negerinya.
(e)    Seseorang kakitangan peribadi Yang di-Pertuan Agong atau bagi seseorang Raja atau Gabenor dan tidak terpakai juga kepada mana-mana ahli sesuatu Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan ini, kecualilah dia ahli yang menyandang jawatan lain bagi mana-mana perkhidmatan awam, maka sebutan tersebut termasuklah sebutan kepada jawatannya itu.
(4)       Fasal (3) tidaklah menyekat pemakaian bagi Perkara 136 dan 147.


Perkara 132 itu kemudian mengalami beberapa proses pindaan seperti yang berikut:

1.      Dalam Fasal (1)(d) perkataan “perkhidmatan polis” telah dipinda menjadi “pasukan polis” oleh Seksyen 17(a). Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960 (Akta A10/1960), berkuatkuasa mulai 31 Mei 1960.

2.      Perkataan “dan” dalam Fasal (1)(f) telah dihapuskan oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) 1973 (Akta A193/1973) dan Pemberitahuan Undang-undang P.U.(B) 566/1973 berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974, dan serentak itu telah memasukkan perenggan baru (g) kepada Fasal (1) yang berbunyi:

      (g)     “perkhidmatan pelajaran” (kini “pindidikan” – Seksyen 1(2) dan Seksyen 2(1), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1973.

3.      Perkataan “Gabenor” dalam Fasal (2) telah digantikan dengan perkataan “Yang Dipertua Negeri” oleh Seksyen 42, Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976 (Akta A354/1976) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 1976.

4.      Fasal baru (2A) telah diwujudkan oleh Seksyen 17(b), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960 (Akta A10/1960) berkuatkuasa mulai 31 Mei 1960. Fasal (2A) membuat peruntukan seperti yang berikut:

         2A.      Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan yang tersebut dalam perenggan (a), (b), (c), (d), (e), dan (f) Fasal (1) adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan Negeri, tiap-tiap orang anggota bagi perkhidmatan awam Negeri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Gabenor Negeri itu.

Fasal (2A) ini juga dipinda kemudian seperti yang berikut:
         (i)      Perkataan “dan (f)” telah dipinda menjadi “(f) dan (h)” oleh Seksyen 2(1), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1973, (Akta A193/1973) berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974.
        (ii)      Perkataan “Gabenor” telah digantikan dengan perkataan “Yang Dipertua Negeri” oleh Seksyen 42, Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976 (Akta A354/1976) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 1976.

5.      Fasal (3)(a) telah dipinda dengan memasukkan perkataan “penolong menteri” selepas perkataan “mana-mana menteri” oleh Seksyen 17(c), Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960 (Akta A10/1960) berkuatkuasa mulai 31 Mei 1960. Begitu juga perenggan baru (f) bagi Fasal (3) telah diwujudkan oleh Seksyen 17(d), “Akta Perlembagaan (Pindaan) 1960, berkuatkuasa mulai 31 Mei 1960, Fasal (3)(f) berbunyi:
        
            (f)        Orang yang memegang jawatan diplomat dalam perkhidmatan awam am Persekutuan seperti yang ditetapkan dengan perintah oleh Yang di-Pertuan Agong.

6.      Fasal 3 ini dan Fasal (4) kemudian dipinda dengan cara diganti dengan Fasal (4) yang baru oleh Seksyen 58. Akta Malaysia 1963 (Akta 26/1963). Fasal (3) dan Fasal (4) yang baru ialah seperti yang berikut:


            (3)       Perkhidmatan awam tidak dikira sebagai mengandungi:
                (a)   Jawatan mana-mana anggota pentadbiran dalam Persekutuan atau dalam sesuatu Negeri; atau
                (b)   Jawatan Yang Dipertua Dewan Negeri, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat atau ahli mana-mana Majlis Perlimen, atau ahli sesuatu Dewan Negeri; atau
                (c)   Jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan Hakim Mahkamah Tinggi; atau
                (d)   Jawatan ahli mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; atau
                (e)   Apa-apa jawatan diplomat sebagaimana yang ditetapkan dengan perintah Yang di-Pertuan Agong iaitu jawatan yang, jika tidak kerana perintah itu, akan menjadi jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.

    4.         Sebutan-sebutan dalam bahagian ini, kecuali dalam Perkara 136 dan 147, mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam tidaklah dipakai yang mengenai:
               
                (a)   Setiausaha mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana kakitangan Parlimen.
                (b)   Peguam Negara ataupun penasihat undang-undang mana-mana Negeri, jika peruntukan bagi cara lantikan dan pemecatan penasihat undang-undang Negeri itu daripada jawatan dimasukkan dengan tertentu dalam Perlembagaan Negeri itu, atau jika dia dilantik antara orang lain daripada anggota perkhidmatan  kehakiman dan undang-undang atau perkhidmatan awam Negeri itu; atau
                (c)   Seseorang kakitangan peribadi Yang di-Pertuan Agong atau seorang Raja atau Gabenor; atau
                (d)   mengenai Melaka dan Pulau Pinang, jika peruntukan dibuat oleh undang-undang Negeri bagi perlantikan mereka:
               
                        (i)    Yang Dipertua Jabatan Hal-Ehwal Agama;
                       (ii)    Setiausaha Jabatan Hal-Ehwal Agama;
                      (iii)    Mufti;
                      (iv)    Kadi Besar; atau
                       (v)    Kadi

Dengan pindaan seperti di atas, maka peruntukan Perkra 132, Perlembagaan Persekutuan yang terkini ialah seperti yang berikut:

132.     Perkhidmatan Awam
(1)           Bagi maksud-maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan awam ialah:
            (a)   angkatan tentera;
            (b)   perkhidmatan kehakiman dan undang-undang;
            (c)   perkhidmatan awam am Pesekutuan;
            (d)   pasukan polis;
            (e)   (Dipotong oleh Akta A885).
            (f)    perkhidmatan awam bersama yang tersebut dalam Perkara 133;
            (g)   perkhidmatan awam tiap-tiap satu Negeri; dan
            (h)   perkhidmatan pendidikan.

(2)           Kecuali sebagaimana selainnya diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, kelayakan untuk pelantikan bagi orang-orang dalam perkhidmatan awam dan syarat-syarat perkhidmatan mereka, lain daripada orang-orang dalam perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (g) Fasal (1) boleh dibuat peraturan oleh undang-undang Persekutuan dan juga, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan itu, oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kelayakan untuk pelantikan bagi orang-orang dalam perkhidmatan awam mana-mana Negeri dan syarat-syarat perkhidmatan mereka boleh dibuat peraturan oleh undang-undang Negeri dan juga, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Negeri itu, oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi Negeri itu.

(2A)    Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan ini, tiap-tiap orang anggota bagi mana-mana perkhidmatan yang tersebut dalam perenggan (a), (b), (c), (d), (f), dan (h) Fasal (1) adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan Negeri, tiap-tiap orang anggota bagi perkhidmatan awam Negeri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi Negeri itu.
(3)       Perkhidmatan awam tidak dikira sebagai mengandungi:
                    (a)   jawatan mana-mana anggota pentadbiran dalam Persekutuan atau dalam sesuatu  Negeri; atau
                    (b)   jawatan Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat atau ahli mana-mana Majlis Perlimen, atau ahli sesuatu Dewan Negeri; atau
                    (c)   jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan atau Hakim Mahkamah Tinggi; atau
                    (d)   jawatan ahli mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; atau
                    (e)   apa-apa jawatan diplomat sebagaimana yang ditetapkan dengan perintah Yang di-Pertuan Agong iaitu jawatan yang, jika tidak kerana perintah itu, akan menjadi jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.
(4)       Sebutan-sebutan dalam Bahagian ini, kecuali dalam Perkara 136 dan 147, mengenai orang dalam perkhidmatan awam atau anggota mana-mana perkhidmatan awam tidaklah dipakai yang mengenai:
               
                    (a)   (Dipotong oleh Akta A837).
                    (b) Peguam Negara ataupun penasihat undang-undang mana-mana Negeri, jika peruntukan bagi cara lantikan dan pemecatan penasihat undang-undang Negeri itu daripada jawatan adalah dimasukkan dengan tertentu dalam Perlembagaan Negeri itu, atau jika dia dilantik dari antara orang-orang yang lain daripada anggota perkhidmatan  kehakiman dan undang-undang atau perkhidmatan awam Negeri itu; atau
                    (c)   seseorang kakitangan peribadi bagi Yang di-Pertuan Agong atau bagi seorang Raja  atau Dipertua Negeri; atau
                    (d)   mengenai Melaka dan Pulau Pinang, jika peruntukan dibuat oleh undang-undang Negeri bagi perlantikan mereka:
                       
                            (i)    Yang Dipertua Jabatan Hal-Ehwal Agama;
                           (ii)    Setiausaha Jabatan Hal-Ehwal Agama;
                          (iii)    Mufti;
                          (iv)    Kadi Besar; atau
(v)      Kadi
 
NOTA:
Di atas adalah sebahagian daripada LAMPIRAN 1 buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2011. Undang-undang Yang Mengenai Kelakuan dan Tatatertib Penjawat Awam: Hak dan Tanggungjawab. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.