Mar 4, 2011

Tanah lesen Pendudukan Sementara (TOL)

Apakah yang Dikatakan Lesen Pendudukan Sementara?

Dalam kes Papoo lwn Veeriah,[1] Hakim Good ada menyebut, antara lain: [2]

“Suatu Lesen Pendudukan Sementara adalah tepat tersirat seperti namanya. Ia suatu lesen untuk menduduki dan tidak lebih daripada itu.”

            Nampaknya apa yang ditekankan oleh Hakim Good itu adalah mengenai taraf pendudukan orang atau badan atas sesuatu tanah yang diberikan lesen pendudukannya yang bersifat sementara, dan disebabkan itulah lesen itu digelar Lesen Pendudukan Sementara. Penulis David Wong[3] pula menyebut bahawa disebabkan tempoh sahnya yang singkat dan tidak boleh serahhak itulah mungkin menyebabkan ia dipanggil lesen. Walau apa pun, kedua-dua pemahaman iaitu mengenai ‘lesen’ dan ‘sementara’ adalah betul dan menggambarkan atau menberi takrif ‘Lesen Pendudukan Sementara’.
            Nik Abdul Rashid[4] mentakrif Lesen Pendudukan Sementara (beliau menggunakan istilah ‘Lesen Tumpangan Sementara’) sebagai suatu kebenaran yang diberi oleh pihak berkuasa negeri kepada mana-mana orang atau badan untuk melakukan sesuatu aktiviti di atas tanah; tanpa kebenaran sedemikian itu, pelaku itu akan dianggap sebagai penceroboh.
            Kedua-dua perkataan iaitu ‘lesen’ dan ‘sementara’ adalah penting dalam memberikan takrif ‘Lesen Pendudukan Sementara’. Dalam the Random House Dictionary,[5] perkataan ‘lesen’ bermaksud, antara lain, suatu kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa yang sah untuk melakukan sesuatu perkataan yang khusus; dan perkataan ‘sementara’ pula bermaksud menyediakan atau terpakai atau berkuat kuasa untuk sesuatu tempoh masa sahaja. Jadi, bolehlah disampulkan bahawa Lesen Pendudukan Sementara adalah suatu kebenaran daripada pihak berkuasa negeri yang diberi kepada orang atau melakukan sesuatu perkara khususbagi suatu tempoh masa yang tertentu.
            Hakim Suffian dalam kes Fatimah lwn Moideen Kutty[6] menyebut mengenai status tanah itu dan status orang yang diberi Lesen Pendudukan Sementara. Beliau menekankan, antara lain,

“Sebelum sahaja tanah itu diberi Lesen Pendudukan Sementara …, tanah berkenaan adalah tanah negeri. Selepas diberi Lesen Pendudukan Sementara, tanah itu masih tanah negeri tetapi… (orang itu) … ada suatu lessen untuk mendudukinya secara sementara.”[7]  


Prasyarat Pemberian Lesen Pendudukan Sementara

Prasyarat ialah takat atau had yang perlu diperhatikan sebelum pihak berkuasa negeri boleh member Lesen Pendudukan Sementara. Peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan hal ini ialah seksyen 65 Kanun Tanah Negara yang perlu dibaca bersama-sama syarat-syarat yang diperuntukan oleh subseksyen (2) kepada seksyen 42 Kanun Tanah Negara. Peruntukan seksyen 42 Kanun Tanah Negara 1965 adalah seperti berikut:

Seksyen 42. Kuasa Untuk Melupuskan
(2) Tiada apa yang terkandung di dalam Akta ini yang membolehkan Pihak Berkuasa Negeri-
(a) melupuskan mana-mana tanah bagi maksud perlombongan (dalam ertikata takrif di bawah Enakmen Perlombongan);
(b) membenarkan pengambilan atau mengalih batu batan dari mana-mana tanah bagi maksud mendapatkan logam atau mineral daripadanya;
(c) untuk melupuskan mana-mana tanah bagi maksud mengalih hasil hutan daripadanya; atau
(d) memberimilik mana-mana tanah yang menjadikan kesannya tanah itu menjadi kurang daripada dua-perlima hektar bagi tanah kategori “pertanian” atau mana-mana syarat yang menghendaki ia digunakan untuk pertanian dimiliki oleh mana-mana orang atau badan, dengan syarat Pihak Berkuasa Negeri, dalam keadaan terkecuali, memberikan milik tanah tersebut kepada lebih daripada seorang atau badan tanpa mengira sama ada ianya kurang daripada dua-perlima ekar.
Menurut seksyen 42(2) Kanun,[8] pihak berkuasa negeri dilarang menberi Lesen Pendudukan sementara untuk tujuan perlombongan dan untuk tujuan mengambil hasil hutan.
            Seksyen 3(2) Akta (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960,[9] melarang Pihak Berkuasa Negeri menberi Lesen Pendudukan Sementara tanah negeri yang telah ditandakan dalam Warta sebagai kawasan penempatan berkelompok. Lesen Pendudukan Sementara[10] juga tidak boleh lagi dikeluarkan bagi tanah yang dirizabkan untuk Orang Asli. Walau bagaimanapun, tanah dalam rizab Melayu boleh diberi Lesen Pendudukan Sementara[11].


[1] [1965] M.L.J. 127 (Mahkamah Tinggi).

[2] Ibid., hlm. 12. Telah dirujuk juga penghakiman oleh hakim Seah dalam kes Cheo Lean  lwn Fock Fong Looi [1985]2 M.L.J.440.

[3] David Wong Tenure and Land Dealings in Malay State, 1975. Siangapura: Singapore  University Press.

[4] [1978] J.M.C.L.85.

[5] Jess Stein, 1980. New York: Ballataine Books.

[6] [1969] 1 M.L.J. 72.

[7] Ibid ., hlm. 72.

[8] Op .cit., n. 4.

[9] Akta No. 13.

[10] Seksyen 7(2) (v) Akta Orang Asli, 1974 (Akta 134).

[11] Tetapi tidak lebih daripada satu tahun - seksyen 6, Enekmen Rizab Melayu 1930.


Di atas adalah cabutan daripada Bab 2 buku, Abdul Aziz Hussin. 1996. Undang-undang Tanah: Lesen Pendudukan Sementara dan Permit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 10-12. Harga RM10.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.