Mar 17, 2011

HUKUMAN DAN KAITANNYA DENGAN HAK KEADILAN ASASI MANUSIA

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ada memberi panduan dan prinsip berkaitan dengan hukuman.  Menurut Perkara 11.2 Perisytiharan berkenaan, jika hukuman akan dikenakan maka hukuman itu hendaklah tidak lebih berat daripada peruntukan undang-undang sedia ada yang terpakai ketika kesalahan jenayah itu dilakukan.  Malah jika pada masa perbuatan itu dilakukan ia bukan kesalahan maka orang berkenaan tidak boleh dihukum atas perbuatannya itu. Hal yang sama turut diperuntukkan dibawah Perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 5 Perisytiharan berkenaan pula menetapkan bahawa jika sesuatu hukuman atau seksaan perlu dijalankan maka ia tidak boleh dalam bentuk atau cara yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.  Dengan demikian hukuman terhadap pesalah atau penjenayah perlulah menurut lunas-lunas yang ditetapkan undang-undang.  Dengan itu tidak ada hukuman terhadap perogol ialah dengan dicabut kemaluannya, pencuri dicabut jari jemarinya satu demi satu, penfitnah dijahit mulutnya, dan pelacur dihukum diseret di khalayak dalam keadaan dibogelkan[1].  Ini kerana hukuman sedemikian adalah zalim, tidak berperikemanusiaan dan menghinakan[2].  Lagipun Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia ada memperuntukkan, bahawa setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri. Perkara yang sama diperuntukkan dibawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.


[1] Lihat Abdul Aziz Hussin. 2003. Hukuman: Prinsip dan Tujuannya. Majalah MATRA. Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Polis Malaysia, Oktober- Disember (15): 5-10.
             
[2] Ibid.


Di atas adalah cabutan daripada buku, Abdul Aziz Hussin. 2010. Panduan Umum Undang-undang Jenayah Di Malaysia. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 102-103. Harga RM15 (sebelum diskaun).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.