Kawasan pantai Pulau Pinang yang kini kerap dilanda ombak besar: Gambar hiasan
Peristiwa Pertama: Gegaran bumi
Tempat: Villa Seri Kenanga (VSK)
Jalan Batu Uban, Pulau Pinang
Masa: 9.05 Pagi
Saya sedang membaca akhbar sambil berbaring di sofa. Tiba-tiba rasa bergoyang. Antena TV bergegar. Lampu hiasan di siling bergoyang. Saya terus bangun, dan ke dapor. Bertanyakan isteri hal rasa gegaran. Dia kata “ya”, dan “Kuali atas dapor ni pun bergoyang”. Kami terus kejutkan 2 anak dan 3 anak saudara dan bergegas turun dari bangunan menggunakan lif (tak terdaya berlari ikut tangga dari tingkat 16 sambil mendokong anak kecil berumur 3 tahun walaupun tahu risiko menggunakan lif). Di dalam lif telah ada 5 orang.
Kami turun ke tempat letak kereta. Saya cuba hubungi talian 994, namun dinyatakan lebih kurang, “Maaf talian kami sibuk…” (berbelas kali saya cuba). Saya terus membawa semua ahli keluarga dengan kereta ke pejabat saya di kampus USM. Sekitar pukul 10.00 pagi setelah merasakan keadaan selamat, kami sama-sama membuat keputusan pulang semula ke VSK. Sebelum pulang, saya sempat bercakap dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pulau Pinang dimaklumkan mereka menerima laporan gegaran melibatkan seluruh Pulau Pinang. Sempat juga berhubung dengan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Putra Jaya dan dimaklumkan mereka juga menerima laporan gegaran dari seluruh tanah air.
Peristiwa Kedua: Gelombang tsunami
Tempat: Sebuah teluk kecil di Batu Feringhi, Pulau Pinang. Ada batu-batu besar di tepi pantai yang sebahagian tepi pantainya bertembok batu dan sebahagian lagi "berdinding" tanah tinggi curam
Kami (saya, isteri, 2 anak perempuan iaitu Nur Izzatul Asyiqem dan Nur Iqhma Asyiqem, dan seorang anak saudara iaitu Surya) tiba di situ sekitar jam 11.45 pagi).
Dua keping gambar ini diambil, oleh isteri saya pada sekitar jam 12.10 tengah hari tersebut
Masa: 12.30 tengahari
Cuaca cerah. Pengunjung cukup ramai dan banyak aktiviti dilakukan – menyusur pantai, menaiki bot pisang, jet ski, berenang, mandi (yang paling ramai), berkayak, memancing, menaiki payung terbang di tarik bot, dan lain-lain. Di sekitar saya, tidak kurang 100 orang yang dapat dilihat. Dua anak perempuan saya berumur 3 tahun dan 11 tahun dan seorang anak saudara perempuan 12 tahun, turut mandi di pinggir air. Laut tenang.
Tiba-tiba, sekitar jam 12.35 petang, saya terlihat satu jalur putih panjang di hujung laut di ufuk timur di arah kiri saya, dan kemudian berpecah (putus-putus) sedang menuju ke arah pelabuhan Pulau Pinang yang terletak di kanan saya. Dua minit kemudian, ia hilang. Saya beritahu isteri dan beberapa orang berdekatan. Kami semua kehairanan. Tiba-tiba air laut surut turun sekitar 2 meter, tetapi laut menjadi agak tinggi di tengah. Tiba-tiba terlintas difikiran – “Tadi gegaran, kini ombak putih, laut surut dan meninggi di tengah. Ini kesan gempa bumi dan laut akan bergelora!!”. Cepat-cepat saya beritahu isteri dan beberapa orang berdekatan. Isteri saya cepat-cepat memanggil anak-anak dan anak saudara sambil berkemas tempat dan bekalan, dan berkumpul. Salah seorang perempuan, berhampiran kami berkata antara lain, “Eleh…, ombak macam ni biasa jer di tempat saya!!”. Saya tidak nampak mana-mana keluarga atau kumpulan orang di situ yang bergegas, berkemas dan lain-lain. Malah semasa saya dan seorang wanita memanggil seorang lelaki yang mandi di pinggir air (mungkin suami wanita itu) dan beberapa kanak-kanak mandi supaya naik ke darat, dia (lelaki itu) cuma berdiri memandang laut, dan kanak-kanak lain dibiarkan terus mandi. Sekitar lima minit kemudian, datang pula satu lagi jalur putih dari arah yang sama. Kali ini semakin besar dan panjang dan bersambung menjadi seperti tali besar putih. Tiba-tiba di sebelah kiri saya, di hujung tanjung, sekitar kawasan Muka Head, ombak tadi berpecah besar-besar, bergulung-gulung menghentam pantai di situ. Saya menyuruh anak-anak dan isteri cepat-cepat memanjat tebing, menuju ke kereta, membuka kunci stering kereta. Saya beritahu beberapa orang supaya lari, sambil menjerit ombak besar gempa bumi!. Semua mereka nampak tercengang memerhati arah ombak - tiada yang lari memanjat tebing!! Saya berlari memanjat tebing melalui satu lorong, terus ke kereta – menghidupkan enjin. Tiba-tiba terdengar ombak memukul pantai di tepi kami (tempat kami berkelah tadi) dan diikuti jeritan-jeritan kanak-kanak, wanita, lelaki. Saya terus memecut kereta menyelamatkan keluarga. Jam menunjukkan pukul 12.50 petang. Saya terlihat lorong di kanan menuju arah bukit, dan saya terus memasuki lorong itu dan hampir berlaku kemalangan dilanggar kereta dari belakang yang mengekori kami. Saya sempat melihat di kiri saya, di tepi pantai – ombak mengganas, bot-bot berlanggaran, ramai orang lari dari hotel, pantai dan lain-lain. Berhenti kereta di hujung satu jalan mati berhampiran tangki air JBA. Sebuah kereta juga turut bertenti. Keluar 5 lelaki dan terus membantu saya dan keluarga. Seorang mendokong anak kecil saya, seorang memimpin anak perempuan saya dan mereka membawa kami memanjat bukit. Berhenti di tepi pos pengawal di pejabat loji JBA di atas bukit itu. Mereka memperkenalkan mereka adalah anggota tentera dan sedang berpecah melarikan diri akibat ombak menyerang jalan tempat mereka berkumpul.
Sekitar setengah jam berada di situ, kami turun ke kereta dan pulang ke VSK, Batu Uban melalui jalan tepi pantai sekitar 1 kilometer sebelum mencari jalan pintas melalui tengah pulau. Semasa melalui pantai, saya lihat banyak kemusnahan (bot, pondok, gerai dan lain-lain), ramai menjerit, memanggil-manggil, berlari sana sini. Jalan mulai sesak dengan kenderaan dan orang.
Nota:
- Terkilan di hati kerana pemakluman saya kepada beberapa orang di pantai tidak diendahkan. Saya percayai di situlah salah satu tempat yang banyak memakan korban kerana terperangkap di antara ombak dan tembok di pantai.
- Terkilan juga kerana tiada pemakluman mana-mana pihak berkuasa supaya menjauhi pantai (tentu ramai pakar atau kakitangan pihak berkuasa berkenaan yang sedar iaitu apabila berlaku gempa bumi di laut, akan diikuti ombak – walaupun kita tidak tahu sebesar mana).
- Berterima kasih tidak terhingga kepada 5 orang anggota tentera yang membantu kami sekeluarga. Ketangkasan mereka amat kami hargai dan kagumi. Semoga Allah membalas kebaikan saudara semua.
- Akhirnya, tetapi terpenting, saya bersujud syukur ke hadrat Allah (swt) kerana masih mengizinkan kami berada di dunia – walaupun masa itu kami “berada di tempat yang salah di masa yang salah”. Selepas saya mengimami solat zohor di VSK, dengan isteri dan anak perempuan 11 tahun di belakang, kami saling berpandangan, sedikit senyum sesama sendiri, menarik nafas dengan kelopak mata saya mengenangi sedikit air mata….
Saya bertanya isteri, “Apa terjadi kepada teman-teman yang kita baru kenali di pantai tadi?” Tiada jawapan.
Catatan pada jam 9.30 malam 26 Disember 2004.
Banyak video tentang perinstiwa ini. Berikut 2 daripadanya:
(Penghargaan kepada empunya asal video tersebut)
NOTA:
Selepas lebih 6 tahun berlalu, saya rakamkan kembali situasi tempat tersebut pada suatu hari minggu...
1. Inilah tempat kami bersantai pada hari tersebut
3. Laluan yang kami gunakan pada hari tersebut untuk melarikan diri menuju ke kereta kami
4. Aktiviti pelancong amat berkurangan...
6. Pulau kecil berhampiran teluk kecil berkenaan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.