Banyak tahun dahulu, semasa bersekolah di Kuantan, Pahang, terdapat seorang guru dari Indonesia, namanya Cikgu Amir. Dia mengajar kimia. Cikgu Amir seorang cikgu yang gigih mengajar, rajin kerjanya dan baik hati. Tak pernah saya melihat dia "melenting" semasa menagajar. Malah ada juga beberapa kali dia menumpangkan saya untuk ke solat jumaat (dia memandu volkswagen)(dulu, kami memanggilnya "kereta kura-kura", kerana bentuknya sebiji macam kurang-kura, cuma bezanya, kura-kura jalannya amat perlahan...).
Pada suatu hari, semasa mengajar kimia, dia berhenti sekejap, dan memberitahu kami tentang penawar kembung perut. Katanya,
"Kalau kamu perut kembung, kamu goreng beras pulut sehingga warnanya betul-betul hitam. Kemudian kamu tumbuk sehingga amat halus. Kamu campurkan dengan air dan minum. InsyaAllah kembung kamu akan hilang"
Kemudian kami gelak, dan saya berkata, "Cikgu, pahit la cikgu"
Cikgu Amir menjawab, "Masakan obat maunya sedap!!"
Saya pun sudah lama meninggalkan bangku sekolah. Saya pun sudah terputus hubungan dengan cikgu Amir setelah dia pulang ke Indonesia (Pulau Jawa). Apapun, setelah dia tiada, dan semasa saya atau ahli keluarga sakit perut, kembung perut, rasa tak enak perut, maka saya akan amalkan petua Cikgu Amir. Saya juga berikan petua itu kepada sahabat-sahabat. Alhamdulillah, ianya berkesan (mujarab). Saya bertanya seorang profesor kimia, dia menyatakan beras pulut mengandungi karbon yang tinggi dan amat baik kadar penyerapan gas.
Apapun, saya catatkan di atas, untuk kita sama-sama manfaatkan "petua" Cikgu Amir. Sama-sama juga kita berdoa semoga Cikgu Amir sihat sejahtera, damaijiwa, dan jika dia telah dipanggil mengadap tuhanNya, semoga dia ditempatkan bersama orang-orang yang dimuliakanNya. Terima kasih cikgu...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.