Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pencerobohan yang berlaku di dalam projek -projek pembinaan kebanyakan adalah berkaitan dengan (atau dalam kategori) pencerobohan terhadap tanah .
Di dalam kes Hashim Bin Din lwn Sato Cogyo Co.Ltd ,9 defendan telah masuk ke tanah plaintif untuk membuang tanah merah , dan dalam melakukan kerja -kerja tersebut, telah pula mengakibatkan terjadinya kerosakan kepada tanah (iaitu terjadinya lubang-lubang bertompok-tompok). Plaintif mendakwa defendan atas pencerobohan. Mahkamah memutuskan bahawa ini adalah pencerobohan dan plaintif boleh menuntut gantirugi daripada defendan .Semasa memberikan penghakimannya, hakim Lim Beng Choon ada menyebut,
‘’Adalah menjadi undang-undang sejak lama dahulu bahawa pencorobohan keatas tanah ‘per se’ akan membolehkan tindakan tort diambil’ .
Begitu juga di dalam kes Toyo Textiles Industries Sdn. Bhd . dan seorang lagi lwn . Liam Foong Housing Development (M) Sdn. Bhd .10 Mahkamah memutuskan perbuatan terlepasnya air dari tanah defendan ke tanah plaintif adalah suatu pencerobohan ( dan juga mudarat ) dan plaintif boleh menuntut gantirugi akibat kerosakan hartanya itu .
Di dalam kes Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan lwn. Mariam dan beberapa orang lagi, 11 pihak defendan, dalam pembelaan untuk mengelakkan liabiliti akibat rumah kongsi yang runtuh yang membunuh seorang pekerja subkontraktor, telah menyatakan pekerja itu (si mati )adalah penceroboh. Alasan defendan ialah selepas defendan memberi kontrak kerja kapada satu kontraktor, kontraktor telah mensubkontrakkan kerja -kerja itu tanpa kebenaran defendan, dan oleh kerana si mati adalah pekerja subkontraktor yang tidak diluluskan (dibenarkan) oleh defendan maka pekerja itu yang tinggal dirumah kongsi itu adalah penceroboh .Mahkamah memutuskan bahawa pembinaan dan kewujudan rumah kongsi itu adalah untuk faedah defendan juga (selain daripada untuk faedah kontraktor dan pekerja itu sendiri), dan pekerja itu bukan penceroboh .
9 (1988) 1 M.L.J. 527
10 (1986) 1 M.L.J. 412.Fakta kes ini telah diberi didalam Bab Empat buku ini - lihat Notakaki 14 dan 64 , Bab Empat .
11 (11984) 1M.L.J. 283 Fakta penuh di Bab Tiga buku ini .
Di atas adalah cabutan daripada Bab 3, buku, ABDUL AZIZ HUSSIN & Abdul Rashid Abdul Aziz. 2000. Aspek Undang-undang Tort Dalam Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 43-44. Harga RM 16 (sebelum diskaun).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.