PENDAHULUAN
Apabila kita mengembara, salah satu yang biasa “mengiringi” kita adalah azan. Ia bermula daripada kita sendiri azan sebelum mengembara, atau apabila berhenti di sesuatu tempat, biasanya kita juga tertunggu-tunggu azan (yakni azan masuk waktu). Namun nyaring atau tidak, kerap atau tidak, atau ada atau tidak suara azan itu bergantung kepada sesuatu tempat. Jika berada di negara Islam, tentunya senang kita mendengar azan – dan ia semakin kurang kedengaran atau tidak kedengaran lagi jika kita berada di tempat yang jarang atau tiada penghuni Islam. Namun yang pasti, jika wujud penduduk Islam maka akan kedengaran azan. Yang pasti juga, rangkap azan dan bahasa azan adalah sama. Yang mungkin berbeza ialah dialek dan alunannya. Azan juga bukan sahaja tertumpu untuk menandakan masuk waktu solat, tetapi juga untuk tujuan lain. Persoalannya: Kenapa azan dilakukan? Apakah tujuan dan manfaat azan? Apakah muslihat ammah azan disisi Islam? Kearah mana dan halatuju azan ini akan digerakkan? Pelbagai persoalan perlu di kemukakan bagi melihat niat baik azan itu sendiri. Artikel ini akan membincangkan perkara-perkara berkenaannya daripada perspektif bona fide azan. Bagi mencapai maksudnya, perbincangan dimulakan dengan melihat takrif azan, sejarah permulaan, ketertiban berkaitan azan dan kegunaan-kegunaan azan. Kemudiannya perbincangan akan mengupas azan daripada perspektif peranan, manfaat dan halatujunya dalam memperkasakan ummah.
TAKRIF “AZAN”
Beberapa penulis dan cendiakawan Islam ada memberikan takrif “azan”. Diantara mereka yang memberikan takrif bagi “azan” termasuklah Syeikh Muhamad Arsyad Al Banjari[1] dan Sayyidatul Imam Muhammad Ismai’l Al Kahlaniy[2], yang menyatakan:
“Azan menurut pengertian bahasa adalah pemberitahuan (ilam), baik pemberitahuan masuknya waktu sembahyang atau lainnya.”
Mereka mengambil surah At-Taubah:3 sebagai sokongan kepada takrif yang diberikan itu, iaitu:
“Dan inilah suatu pemberitahu daripada Allah dan Rasul-Nya”
Amran Kasimin[3] menyatakan bahawa azan bererti pemberitahuan masuknya waktu sembahayang dengan lafaz tertentu yang disyariatkan. Syeikh Abdullah Al-Malawiy[4] pula telah menyandarkan satu ayat Al-Qur’an iaitu Al-Jumuah: 9, dalam memberikan takrif azan, iaitu:
“Azan adalah pemberitahuan untuk menunaikan sembahyang,
menyeru dan memanggil manusia dengan kata-kata (lafaz)
tertentu, untuk menunaikan fardu dan kewajipan yang sudah
tiba masa mengerjakannya”.
Nampaknya fokus takrif bagi azan ini dihubungkaitkan dengan sembahyang – walaupun dalam perbincangan selepas ini didapati skopnya lebih luas daripada itu. Takrifan yang dinyatakan di atas juga lebih disekutukan dengan sejarah permulaan kewujudan azan.
SEJARAH PERMULAAN KEWUJUDAN AZAN
Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Aliasy Syarbaji[5] yang berpegang kepada dalil Al-Quran surah Al-Jumuah: 9 dan sabda Rasulullah (s.a.w)(riwayat Al-Bukhari dan Muslim), menyatakan bahawa azan disyariatkan berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Seterusnya, jika kita merujuk penulisan-penulisan oleh beberapa cendiakawan termasuklah Sayyidul Imam Muhammad Ismail Al-Kahlaniy[6], Mustafa Al-Khin, et. al.[7] dan Amran Kasimin[8], mereka merujuk kepada sebuah hadis yang agak panjang yang diriwayatkan oleh Ahmad Abu Daud (yang dinyatakan sohih oleh At Tarmidzi dan Ibnu Khuziamah) bagi membincangkan asal kewujudan syariat azan. Ringkasan hadis ini, yang berlaku pada tahun pertama Hijrah, yang relevan dengan perbincangan di sini ialah seperti berikut:
Ketika Abdullah bin Zaid[9] sedang tidur, dia telah bermimpi bahawa seorang lelaki mengelilinginya dengan memegang loceng ditangannya. Abdullah bertanya orang itu sama ada dia ingin menjual loceng itu. Orang itu bertanya pula Abdulah apakah yang Abdullah akan lakukan dengan loceng tersebut. Abdullah menyatakan bahawa dia akan menggunakan loceng itu untuk memanggil orang berkumpul untuk sembahyang. Namun orang berkenaan mencadangkan kepada Abdullah cara yang lebih baik untuk memanggil orang untuk bersembahyang. Dia kemudiannya mengajarkan ungkapan-ungkapan seperti ungkapan azan (seperti yang ada pada masa kini). Setelah pagi, Abdullah menemui Rasulullah dan Baginda menyatakan, “Sesungguhnya mimpi itu, mimpi yang benar”, dan meminta Abdullah menemui Bilal dan mengajarkannya ungkapan-ungkapan azan tersebut.
Dikisahkan selanjutnya bahawa setelah Bilal mengalunkan azan, suaranya didengari oleh Syaidina Umar Al-Khattab yang sedang berada dirumahnya. Umar berlari keluar dari rumah sambil berkata, “Demi Allah yang mengutuskan dengan kebenaran. Sesungguhnya aku telah bermimpi seperti yang dimimpikan olehnya” (yakni oleh Abdullah). Dengan itu, sekurang-kurangnya dua orang sahabat Rasulullah (s.a.w) yang mendapat ungkapan azan melalui mimpi. Asbabul wurud[10], kepada peristiwa ini adalah hasil rentetan pengemukaan pelbagai ide untuk memaklumkan umat Islam bahawa telah masuknya waktu sembahyang dan mengumpulkan mereka untuk mengerjakan sembahyang. Keresahan mengenai perkara ini semakin ketara apabila bilangan umat Islam semakin ramai. Sebuah hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Al-Tarmizi ada menceritakan perkara ini, dimana diriwayatkan bahawa pada peringkat awal sembahnyang lima waktu disyariatkan, apabila tiba masuk waktu dan sembahyang berjemaah akan diadakan, ia terus diadakan tanpa terlebih dahulu azan (dan iqamah) (kerana ia belum diperkenalkan lagi). Para umat Islam mula berbincang mencari cara bagaimana memaklumkan masuknya waktu sembahyang (dan seterusnya berkumpul mengerjakan sembahyang). Ada diantara mereka mencadangkan membunyikan loceng (namun Rasulullah (s.a.w) tidak menyukainya kerana ia menyerupai praktis agama Nasrani (Kristian). Ada pula yang mencadangkan digunakan shofar atau ceropong (tentuang atau trompet) daripada tanduk (Rasulullah (s.a.w.) juga tidak setuju kerana ia menyerupai praktis agama Yahudi). Yang lain mencadangkan dinyalakan unggun api (namun sekali lagi Rasulullah (s.a.w) tidak bersetuju kerana ini menyerupai praktis agama Majusi). Setelah itu orang-orang tadi pun bersurai[11].
Selain daripada riwayat diatas, ada juga hadis riwayat Birazi[12] bahawa Rasulullah (s.a.w.) mendengar sendiri lafaz azan di malam Isra’ dan Mikraj apabila beliau tiba di langit ke tujuh[13].
TERTIB AZAN
Seperti dicatatkan oleh Imam As-Syafi’i[14] bahawa Ibrahim ibnu Muhamad telah menceritakan Abu Shaleh, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda, antara lain, bahawa para juru azan (muazzin) adalah orang-orang kepercayaan, dan Allah (s.w.t.) memberikan keampunan kepadanya. Pernah juga Rasulullah (s.aw.)[15] bersabda,
“Imam adalah orang yang menjamin, dan juru azan adalah orang yang dipercayai, ‘Ya Allah, berilah para imam petunjuk dan berilah ampunan bagi para juru azan’”.
Berasaskan betapa muazzin itu amat dihormati disisi Islam, yang berasaskan pelaksanaan azan yang disyariatkan itu, maka tentunya pelaksanaan azan (yakni mengungkapkan bagi tujuan pemakluman itu) ada mempunyai tertibnya. Berasaskan beberapa hadis, beberapa ulama seperti Sayyidul Imam Muhammad Ismail Al-Khahlaniy[16], Maulana Ashraf Ali Thanu[17], dan T.M Hasbi Ash Shiddieqy[18] telah membuat rumusan mengenai tertib azan, iaitu seperti berikut:
Pertama, azan perlu diucap lafaznya mengikut bahasa asalnya[19] (yakni Bahasa Arab), dan tidak boleh sama sekali dalam terjemahan dalam bahasa lain – walaupun alunannya sama, ia masih tidak boleh dilakukan;
Kedua, muazzin (juru azan) mestilah bersih daripada najis dan lain-lain, dan tidak dalam berhadas, beragama Islam, bukan mumayyiz, dan waras akal fikirannya[20]; dan
Ketiga, ianya dikumandangkan (dilaungkan) ditempat tinggi, dengan cara bersiri (susunan ungkapannya) dan dengan suara yang yang lantang dan kuat[21].
Malah, menurut sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (s.a.w) melarang orang-orang yang berada di dalam masjid keluar daripada masjid selepas azan (yakni sebelum tamat sembahyang), kecuali uzur.
KEGUNAAN DAN RELEVANNYA AZAN
Pentingnya azan dapat dilihat kepada manifestasinya berkaitan dengan kegunaannya. Sebenarnya terdapat pelbagai kegunaan azan – yang akan dibincangkan selepas ini.
Berasaskan asal mula dan tujuan awal kewujudannya, maka azan digunakan untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardu dan untuk menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul mengerjakannya[22]. Banyak hadis dan surah Al-Qur’an yang secara jelas menyatakan hal ini. Contohnya Surah Al-Jumuah, ayat 9, yang menyatakan bahawa apabila orang Islam diseru untuk mengerjakan sembahyang (yakni azan) pada hari Jumaat maka hendaklah bersegera mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim pula menyatakan bahawa apabila tiba waktu sembahyang maka salah seorang daripada mereka yang hadir hendaklah melaungkan azan[23]. Begitu juga beberapa hadis lain yang telah dinyatakan sebelum ini adalah juga berkaitan diantara azan dengan sembahyang.
“Aku pernah menyaksikan Rasulullah (s.a.w.) mengazankan telinga Hassan bin Ali ketika dilahirkan oleh Fatimah seperti azan untuk sembahyang”.
Selain daripada itu, menurut sebuah hadis riwayat Bukhari[26] bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda:
“Tiada suatu kota yang banyak di dalamnya orang azan, melainkan berkurang dinginnya (bencananya)”
Ini bermaksud, antara lain, azan digunakan untuk mengurangkan bencana yang mungkin menimpa sesuatu tempat itu. Pada pandangan penulis, hadis ini juga boleh bermaksud bahawa di tempat banyak azan dilaungkan, yang bererti ramai orang Islam di situ, maka tempat itu dilindungi Allah (s.w.t).
Azan juga digunakan untuk menghalau syaitan. Ada beberapa hadis yang menyebut kegunaan ini. Sebuah hadis riwayatkan Abu Hurairah[27] ada menceritakan bahawa apabila azan dilaungkan maka syaitan merengkok dan lari[28] sambil membuat bising agar dia tidak mendengar azan, dan apabila azan tamat maka dia datang kembali. Sebuah hadis riwayat Muslim ada menceritakan seperti berikut:
“Suhail bin Abi Sholih berkata, Aku pernah diutus ayahku
ke tempat Bani Harithh bersama seorang anakku, lalu di situ ada seseorang yang memanggil-manggil di sebalik dinding (dengan) menyebut namanya. Namun apabila didekati, tiada orang di situ. Apabila aku beritahu bapaku hal itu, maka bapaku berkata: Kalau engkau mendengar suara seperti itu, azanlah (seperti untuk solat) sebab aku pernah mendengar Abu Hurairah yang menceritakan dari Nabi, ia bersabda, ‘Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar azan, ia pergi (lari)’”.
Sebuah hadis riwayat Dailami dari Ali (r.a.) menyatakan bahawa disunatkan azan di telinga orang yang sangat cinta (merana cinta) kerana azan dapat menghilangkan rasa cinta yang seperti itu[29].
Ulama Syeikh Muhamad Arsyad Al Banjari[30] juga merujuk kepada beberapa hadis lain[31] mengenai lain-lain kegunaan azan, misalnya, barang siapa yang jahat perbuatannya baik kepada manusia maupun haiwan, hendaklah di azankan di telinganya. Dikatakan juga, disunatkan azan ditelinga orang murung dan orang yang sangat marah, dan juga disunatkan azan semasa kebakaran, semasa berperang (bertempur), dan semasa orang hendak musafir.
Dengan demikian, adalah jelas azan amat luas kegunaannya – asalkan demi kebaikan manusia, makhluk lain, harta dan demi mempertahankan syariat Islam itu sendiri.
KEWUJUDAN, MANFAAT DAN MUSLIHAT AZAN – PERSPEKTIF MEMPERKASA UMMAH
Jika kita menganalisis sejarah, kandungan dan kegunaan azan, maka perkara utama dan pertama yang dapat dikaitkan ialah azan merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam menzahirkan syiar-syiar Islam[32], dalam beberapa perspektif yang akan dikupas selepas ini.
Pertama, apabila dilihat kepada ungkapan azan, ianya menyentuh aqidah[33] (seperti ungkapan mengucap dua kalimah syahadah di dalam ungkapan azan mengaku kebesaran Allah s.w.t., dan lain-lain). Ia amat penting dalam menzahirkan syiar Islam[34]. Orang yang mengungkapkan azan (muazzin) dan yang mendengarnya (terutama yang menjawab azan) tentunya dalam majlis memartabatkan dan mengangkat akidah dirinya sendiri dan agama Islam. Muslihat daripada perspektif akidah ini juga ada hubungkaitnya dengan perspektif-perspektif azan yang dibincangkan selepas ini – Ini kerana ianya saling berhubungkait dan saling menyokong.
Kedua, azan perlu dilihat sebagai instrumen paling efektif dalam mendisplinkan umat Islam (dalam hal menjaga waktu, menunaikan kewajipan sembahyang, dan kepentingan mematuhi masa dan kepentingan masa itu sendiri, sejajar dengan intipati Al-Qur’an surah Al-Asr). Ini dapat dilihat daripada contoh-contoh berikut:
i) Apabila azan berkumandang umat Islam perlu segera mengingati Allah (s.w.t.) dan meninggalkan sementara aktiviti-aktiviti perniagaan – surah Al-Jumuah: 9.
ii) Malah sepatutnya umat Islam meletakannya sebagai perbuatan mengagungkan dan merealisaikan syariat Islam. Ini sejajar dengan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah dimana Rasulullah (s.a.w.) bersabda,
“Andainya manusia mengetahui keutamaan dan syaf (barisan dalam sembahyang jemaah) pertama kemudian tidak ada jalan untuk mendapatkannya kecuali dengan undian, niscaya mereka akan melakukan undian”[35]
Hadis ini membawa maksud bahawa jika umat Islam mengetahui kelebihan atau kebaikan azan maka mereka akan berebut-rebut (sehingga terpaksa diundi) untuk menjadi muazzin.
Dalam hal atau perkara yang sama, S.Abul A’la Maududi[36] ada mencatatkan seperti berikut (berkaitan azan):
“Lihatlah betapa tegas bersemangatnya panggilan ini. Bagaimana mungkin bagi seseorang yang ada pegangan agama dijiwanya yang mendengar testimoni yang agong ini (azan) dan betapa berkuasanya panggilan ini, namun masih duduk dan tidak memperdulikan dan tidak bergegas untuk menundukkan kepalanya kepada tuhannya (yakni sembahyang)?”
Malah penulis Sheikh Muhamad Arsyad Al Banjari[37] mengatakan bahawa pemberitahuan azan ini adalah pemberitahuan daripada Allah (s.w.t.) dan Rasul-Nya kepada orang Islam, iaitu seperti dinyatakan di dalam surah At-Taubah: 3.
Penekanan yang serupa, yakni azan sebagai elemen syiar Islam, ada juga dibincangkan oleh T.M. Hasbi Ash Shiddieqy[38], dimana beliau mencatatkan,
“Azan itu adalah sebesar-besar syiar Islam, senyata-nyata
tanda Agama Islam terus menerus dikekalkan oleh Rasulullah”
Beliau seterusnya menambah[39] bahawa hikmat azan adalah untuk mengingatkan penduduk bahawa telah masuknya waktu upacara bermunajat kepada Allah.
Ketiga, azan juga adalah manifestasi kewujudan Islam. Secara mudah, jika kita mendengar azan di mana-mana sekalipun, hatta di negara-negara atau tempat-tempat yang kita tidak mengetahui pada mulanya akan wujudnya orang Islam disitu, maka serta merta kita tahu bahawa di situ wujud umat Islam. Jika kita panjangkan lagi mengenai hal ini, maka kita secara otomatis akan sedar bahawa umat Islam di situ masih menyokong kuat Rukun Islam Yang Kedua (yakni mendirikan sembahyang lima waktu)[40].
Akhirnya, sebagai pelengkap perbincangan mengenai kewujudan, manfaat dan muslihat azan daripada perspektif memperkasa umat Islam, penulis perturunkan catatan yang dibuat oleh T.M. Hasbi Ash Shiddieqy, iaitu[41]:
“Azan itu adalah perkataan-perkataan yang mengumpulkan ‘kesimpulan iman’; baik yang masuk urusan akal, mahupun yang masuk urusan naqal yang terdapat dari penetapan Al- Quran dan As Sunnah.”
Ungkapan itu amat jelas, tepat dan mantap, dan tidak memerlukan huraian lanjut.
KESIMPULAN
Adalah jelas azan bukan ciptaan manusia. Ianya adalah daripada kurniaan Allah (s.w.t.) yang disyariatkan melalui al-Quran dan Sunnah. Jadi, sebagai umat Islam, kita perlulah menghormati dan meraikan azan, termasuk menghayati falsafah disebalik kewujudannya, terutama dalam memperkasakan umat Islam.
Azan juga amat penting sebagai manifestasi kewujudan syariat Islam. Lebih daripada itu, azan juga dilihat sebagai instrumen yang dapat menyatukan ummah (misalnya melalui sembahyang berjemaah dan saling menperingatkan waktu untuk bersama-sama sembahyang, dan lain-lain). Jika dilunjurkan lagi perspektif azan ini, azan sebenarnya satu peringatan – yakni peringatan untuk berdisplin terhadap pentingnya masa.
Dari sudut lain, azan turut menjadi peringatan (dan amaran) kepada bukan Islam bahawa Islam masih wujud dengan kukuh (jika azannya masih dapat berkumandang sewajarnya).
Jadi, kepada kita umat Islam pula, kemana sahaja kita pergi, janganlah lupa dengan azan (mengazankan dan berhimpun di tempat azan dilaungkan) atau sekurang-kurangnya menyahut seruan azan itu sendiri.
Persoalan yang mungkin menerjah benak kita, dalam hal azan memperkasakan ummah ialah: Tugas siapakah untuk mempastikan syariah Islam ini terus dipertahankan dan diperkukuhkan? Jawapannya : Setiap orang daripada kita! InsyaAllah.
RUJUKAN
Abullaits Assamarqandi. Tanbihul Ghafilin. Diterjemah oleh H. Salim Bahreisy. 1985. Peringatan Bagi Yang Lupa. Kuala Lumpur: Victory Agencie.
Amran Kasimin, “Azan Mesti Dilakukan Dengan Suara Kuat”. Mingguan Malaysia 12 Oktober 2003. M.s.9
H. Sulaiman Rasjid. 1954. Fiqh Islam. Jakarta: Penerbit Attahiriyah
Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syarif An-Nawawi (Imam Nawawi). Al-Adzkar. Terjemahan oleh Zaid Husein Alhamid. 1990. Kuala Lumpur: Alharamain Sdn. Bhd.
Khalid Shamsi. 2005. “Adhan: An Amazing Phenomenan” , melalui laman sesawang http:///www.Contactpakistan.com/news/news47.htm (Diakses pada 4 Jun 2005)
Maulana Ashraf Ali Thanu. Bashihti Zewar (Virtue to Earn Allah’s Pleasure). Terjemahan Bahasa Inggeris oleh Muhammad Masnor Khan Saroha. 1982. Lahore : Islamic Publication Ltd.
Mu’amat Hamidy. 1983. Doa dan Zikir Ibnu Taimiyah. Surabaya : PT Bina Ilmu
Musnad Syafi’i, Juz 1& 2. Disusun asalnya oleh Syeikh Muhammad Abid As-Sindi. Diterjemah oleh Baharun Abu Bakar. 1996. Musnad Syafi’i. Bandung : Penerbit Sina Baru Algensindo
Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Aliasy-Syarbaji. Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam As-Syafie’. Diterjemah oleh Ridzuan Hashim. 1998. Fiqhul Manhaji: Kitab Fikah Mazhab Syafie’. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Sahih Bukhari, Jilid 1, Buku 11, No. 583
Sayyidatul Imam Muhammad Ismail Al Kahlaniy. Subutus Salam. Diterjemah oleh Abu Bakar Muhamad (tahun tidak dinyatakan). Surabaya : Al Ikhlas Press
S. Abul A’la Maududi. Fundamentals of Islam. Islamic Publication Ltd. (tidak dicatatkan diterbitkan dimana dan tahun terbitannya).
Sheikh Muhamad Arsyad Al Banjori. Kitab Sabilal Mutadin 1. Diterjemah oleh H.M. Asywadie Syukur 1985. Surabaya : P.T Bina Ilmu.
Sunan Abu Daud. Kitab Kedua No. 0507
Syeikh Abdullah Al-Malawiy. Fadilatul Amal Fil Islam. Diterjemah oleh Walid Mohd Afif. 1996. Kuala Lumpur : Pustaka Ilmi.
T.M. Hasbi Ash Shiddieqy. 1995. Tuntutan Solat Jumaah. Batu Caves , Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd.
Nota hujung
[1] Sheikh Muhamad Arsyad Al Banjari. Kitab Sabilal Mutadin 1. Diterjemah oleh H.M. Asywadie Syukur 1985.Surabaya : P.T Bina Ilmu. M.s. 300.
[1] Sheikh Muhamad Arsyad Al Banjari. Kitab Sabilal Mutadin 1. Diterjemah oleh H.M. Asywadie Syukur 1985.
[2]Sayyidatul Imam Muhammad Ismai’l Al Kahlaniy. Subutus Salam. Diterjemah oleh Abu Bakar Muhamad (tahun tidak dinyatakan). Surabaya : Al Ikhlas Press. M.s. 346
[3] Amran Kasimin, “Azan Mesti Dilakukan Dengan Suara Kuat”. Mingguan Malaysia , 12 Oktober 2003. M.s. 9.
[4] Syeikh Abdullah Al-Malawiy. Fadilatul Amal Fil Islam. Diterjemah oleh Walid Mohd. Afif. 1996. Kuala Lumpur: Pustaka Ilmi. M.s. 38.
[5] Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Aliasy-Syarbaji. Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhabil Imam As-Syafie’. Diterjemah oleh Ridzuan Hashim 1998. Fiqhul Manhaji: Kitab Fikah Mazhab Syafie’. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. M.s. 119.
[6] Op. cit. Nota kaki 2. M.s. 347
[7] Op. cit. Nota kaki 5.
[8] Op. cit. Nota kaki 3.
[9] Nama penuhnya adalah Abu Huhammad, Abdullah bin Zaid Al Anshari Al Hajrari.
[10] Iaitu sebab musabab berlakuny perkara atau peristiwa tersebut. Untuk cerita yang sama, lihat artikel Khalid Shamsi. 2005. “Adhan: An Amazing Phenomenan” http:///www. Contactpakistan.com/news/news47.htm (diakses pada 4 Jun 2005)
[11] Lihat juga Sunan Abu Daud. Kitab Kedua No. 0507 (yang merujuk hadis riwayat Muaz Ibn Jabal.
[12] Lihat Sheikh Muhamad Arsyad Al Banjari. Op. cit. Nota kaki 1. M.s. 302
[13] Dimana diceritakan selanjutnya bahawa selepas azan tamat, Malaikat Jibrail menarik tangan Rasulullah (s.a.w) agar baginda mengimamkan sembahyang.
[14] Musnad Syafi’i, Juz 1& 2. Disusun asalnya oleh Syeikh Muhammad Abid As-Sindi. Diterjemah oleh Baharun Abu Bakar. 1996. Musnad Syafi’i. Bandung: Penerbit Sina Baru Algensindo. M.s. 118
[15] Hadis riwayat Sufyan dari Al-A’masy, dari Abu Shaleh, dari Abu Hurairah – lihat Musnad Syafi’i. Ibid.
[16] Op. cit. Nota kaki 2. M.s. 377
[17] Maulana Ashraf Ali Thanu. Bashihti Zewar (Virtue to Earn Allah’s Pleasure.) Terjemahan Bahasa Inggeris oleh Muhammad Masnor Khan Saroha. 1982. Lahore : Islamic Publication Ltd. M.s. 150.
[18] T.M. Hasbi Ash Shiddieqy. 1995. Tuntutan Solat Jumaah. Batu Caves , Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd. M.s. 37
[19] Maulana Ashraf Ali Thanu. Op cit. Nota kaki 16. M.s. 150
[20] Ibid. M.s 150 dan 154. Lihat juga Sayyidul Imam Muhammad Ismail Al Kahlaniy. Op. cit Nota kaki 2. M.s. 337-378. Beliau mengasaskan tulisan dalam hal ini kepada hadis Riwayat At Tarmizi dan Abu Hurairah (r.a) serta Az Zuhri. Orang buta sah azannya, dimana menurut riwayat, salah seorang daripadanya ialah Ibnu Um Maktum. (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Umar dan Aisyah (r.a). Lihat juga Mustofa Al-Khin, et.al. Op. cit. Nota kaki 5. M.s. 120-121 (Mereka meletakkan perkara-perkara ini sebagai “syarat-syarat sah azan”).
[21] Maulana Ashraf Ali Thanu. Op.cit. Nota kaki 16. M.s. 154; Sayyidul Imam Muhamad Ismail Al Kahlaniy. Op.cit. Nota Kaki 2. M.s. 350; Mustofa Al-Khin, et. al. Op. cit. Nota kaki 5. M.s. 121. Ia berasaskan, antara lain, satu hadis riwayat Al Bukhari yang meriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w) telah berkata kepada Abi Said Al-Khudri (r.a) bahawa Rasulullah menasihatkan melaungkan azan (untuk sembahyang dengan laungan yang kuat (kerana di padang pasir yang luas supaya dapat didengari dari jauh oleh jin, manusia dan segala makhluk yang menjadi saksinya diakhirat) – Sahih Bukhari Jilid 1 Buku 11 No. 583 (http://www.usc.edu/dept./msa/fundamentals/hadithsunnah/bukhari. (diakses pada 4 Jun 2005)
[22] Lihat Mustofa Al-Khin, et.al. Op.cit. Nota kaki 5. M.s. 119; Sayyidatul Imam Muhammad Ismail Al-Kahlaniy. Op. cit. Nota kaki 2. M.s. 346
[23] Hadis yang serupa ada diriwayatkan oleh As Sab’ah dari Malik bin Al Huwairis
[24] Hadis yang sama, ada juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan At-Tarmizi.
[25] Yakni bayi lelaki diazankan, dan bayi perempuan diiqamatkan.
[26] Abullaits Assamarqandi. Tanbihul Ghafilin. Diterjemah oleh H.Salim Bahreisy. 1985. Peringatan Bagi Yang Lupa. Kuala Lumpur: Victory Agencie. M.s. 415
[27] Sahih Bukhari Jilid 1, Buku 11, No. 582.
[28] Ada diceritakan juga bahawa syaitan itu lari lintang pukang hingga ke satu tempat bernama Ar-Rauha (sekitar 60 kilometer dari Kota Madinah) semasa azan dilaungkan di Madinah – lihat Amran Kasimin. Op. cit. Nota kaki 3. Sumber lain menceritakan bahawa syaitan lari sambil terkentut sehingga tidak mendengar azan (hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, diceritakan oleh Abu Hurairah) – Rujuk Mu’amat Hamidy. 1983. Doa dan Zikir Ibnu Taimiyah. Surabaya: PT Bina Ilmu. M.s. 104.
[29] Lihat Syeikh Muhamad Arsyad Al Banjari. Op.cit. Nota kaki 1. M.s. 302.
[30] Ibid.
[31] Namun sumber tidak dinyatakan.
[32] Lihat Mustofa Al-Khin, et. al. Op.cit.Nota kaki 5. M.s. 119.
[33] Perbincangan mengenai hubungkait aqidah dengan azan, ada juga dibuat oleh H. Sulaiman Rasjid. 1954. Fiqh Islam. Jakarta: Penerbit Attahiriyah. M.s. 64
[34] Mustofa Al-Khin, et. al. Op. cit. Nota kaki 5. M.s. 119.
[35] Lihat Imam Muhyiddin Abi Zakaria Yahya bin Syarif An-Nawawi (Imam Nawawi. Al-Adzkar. Terjemahan oleh Zaid Husein Alhamid. 1990. Kuala Lumpur: Alharamain Sdn. Bhd. M.s. 96.
[36] S. Abul A’la Maududi. Faundamentals of Islam. Islamic Publication Ltd. (tidak dicatatkan diterbitkan dimana dan tahun terbitannya). M.s 110.
[37] Op. cit Nota kaki 1. M.s. 110.
[38]T.M. Hasbi Ash Shiddieqy. 1995. Tuntutan Solat Jumaah. Batu Caves, Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd. M.s. 20.
[39] Ibid. M.s. 26
[40] Rujuk Al-Qur’an, Surah An-Nisa:103, dan hadis (sepakat para ahli hadis) yang bermaksud, “Telah difardukan Allah atas umatkan pada malam Isra’ lima puluh sembahyang, maka sentiasa saya kembali ke hadrat Ilahi, dan saya minta keringanan sehingga dijadikan Allah lima puluh itu menjadi lima sembahyang sahaja sehari semalam”
[41] Op. cit. Nota kaki 38. M.s. 25.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.