Dalam membincangkan perkara-perkara berkaitan ahli-ahli profesional projek dan jiplak, dan oleh kerana ianya ada kaitan dengan “karya grafik”, “karya sastera” dan “karya seni”, maka takrif ketiga-tiga jenis karya berkenaan perlu dibincangkan terlebih dahulu. Seksyen 2 Akta Hakcipta 1987 mentakrifkan “karya grafik”, “karya sastera” dan “karya seni”, seperti berikut:
“karya grafik” termasuklah –
(a) apa-apa lukisan-cat, lukisan, rajah, peta, carta atau pelan; dan
(b) apa-apa ukir-pahat, ecing, litograf, ukir-kayu atau karya seumpamanya.
“karya sastera” termasuklah –
(a) novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lain;
(b) lakonan, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, karya koreografi dan pantomim;
(c) treatis, sejarah, biografi, karangan dan artikel;
(d) ensiklopedia, kamus dan karya rujukan lain;
(e) surat , laporan dan memorandum;
(f) syarahan, ucapan, khutbah dan karya-karya lain yang sama sifatnya;
(g) jadual atau penyusunan, sama ada atau tidak dinyatakan dalam perkataan, angka atau simbol dan sama ada atau tidak dalam bentuk yang tampak; dan
(h) program-program komputer,
tetapi tidak termasuk teks rasmi Kerajaan atau badan-badan berkanun, yang bersifat perundangan atau peraturan, atau keputusan-keputusan kehakiman;
“karya seni” ertinya –
(a) karya grafik, fotograf, seniukir atau kolaj, tanpa mengira kualiti seni;
(b) karya seni bina dalam bentuk bangunan atau model bagi bangunan; atau
(c) karya pertukangan seni,
tetapi tidak termasuk rekabentuk susun atur mengikut pengertian Akta Rekabentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000.
Mengambilkira ketiga-tiga takrif di atas, adalah jelas bahawa banyak juga jenis dokumen-dokumen dan karya berkenaan yang dibuat dan/atau dirujuk oleh ahli-ahli profesional projek pembinaan.
Seterusnya kita lihat dahulu peraturan 23, Peraturan-peraturan Pendaftaran Jurutera 1990, dimana dinyatakan bahawa setiap jurutera berdaftar hendaklah sentiasa mempertahankan kemuliaan, kedudukan tinggi dan nama baik profesionnya. Begitu juga peraturan 26(1), Peraturan-peraturan Juruukur Bahan 1973 yang menyatakan bahawa setiap juruukur bahan berdaftar hendaklah pada setiap masa mempertahankan maruah, pendirian dan reputasi profesion ukur bahan. Kedua-dua peruntukan berkenaan menggambarkan, antara lain, jurutera dan juruukur bahan dikehendaki tidak melakukan apa-apa perbuatan yang menjejaskan kemuliaan atau maruah, kedudukan dan nama baik atau reputasi mereka. Pada pendangan penulis, salah satu perbuatan yang boleh menjejas kemuliaan atau maruah, kedudukan dan nama baik atau reputasi mereka tentunya penjiplakan. Walaupun tidak ada peruntukan yang setara di dalam Kaedah-kaedah Arkitek 1996, namun kerana kewujudan Akta Hakcipta 1987 meliputi juga karya-karya dimana arkitek terlibat (membuat atau mengguna) maka undang-undang berkaitan penjiplakan juga mengikat arkitek.
Kita akan lihat beberapa contoh mengenai hak terhadap dokumen dan juga kaitannya dengan penjiplakan seperti yang dibincangkan seterusnya selepas ini.
Menurut syarat 19, Syarat-syarat Pertugasan Untuk Arkitek (Jadual Ketiga, Kaedah-kaedah Arkitek 1996), hakcipta dalam semua dokumen dan lukisan yang disediakan oleh arkitek, dan termasuk apa-apa kerja yang dilaksanakan berdasarkan kegunaan dokumen dan lukisan tersebut hendaklah tetap menjadi milik arkitek berkenaan, kecualilah ianya telah dipindahkan kepada klien mengikut apa-apa syarat dan persetujuan yang dicapai di antara arkitek tersebut dengan kliennya. Seterusnya menurut syarat 20, Syarat-syarat Pertugasan Untuk Arkitek, jika arkitek telah memberi perkhidmatan sehingga dan termasuk Fasa Dokumentasi Kontrak dan dia telah menerima fee yang sepatutnya dibayar kepadanya, maka klien dikira berhak untuk mengulangi kegunaan rekabentuk tersebut dengan melaksanakan projek pembinaan berkenaan, dengan syarat ianya adalah di atas tapak yang rekabentuk itu telah disediakan pada asalnya. Menurut syarat 20 itu lagi, hak untuk menggunakan rekabentuk asal itu hendaklah juga dikenakan kepada kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembaharuan, pengembalian kepada kedudukan asal ataupun dalam membuat ubahsuai kerja-kerja berkenaan.
Dalam kes Hamzah, T.R. and Yeang Sdn. Bhd. lwn. Lazar Sdn. Bhd. ([1985] 2 MLJ 45), pelan yang disediakan arkitek (dimana arkitek itu kemudianya meninggalkan kerja itu) adalah menjadi hak klien projek (dan arkitek lain boleh mengambilalih kerja-kerja seterusnya berkaitan pelan tersebut).
Dalam kes High Mark (M) Sdn. Bhd. lwn. Pacto Malaysia Sdn. Bhd. ([1987] 2 MLJ 85) diputuskan semua lukisan dan rekabentuk yang disediakan oleh konsultan di dalam projek putar-kunci (dimana konsultan itu diambil kerja oleh kontraktor putar-kunci itu) adalah menjadi milik kontraktor. Adalah jelas di sini bahawa dengan itu klien projek dan kontraktor masing-masing boleh menggunakannya tanpa dikatakan berlakunya penjiplakan (tertakluk kepada skop yang telah dinyatakan di dalam kes-kes berkenaan).
Menurut Uff, J. (1985) pemunyaan rekabentuk yang dihasilkan oleh jurutera atau arkitek adalah dikenali sebagai hakcipta, dimana ia kekal terletakhak kepada perekanya (yakni jurutera atau arkitek itu) dan ia boleh dipindahmilik atau dijual seperti harta-harta yang lain. Seperti diputuskan di dalam kes Meikle lwn. Maufe (1941) rekabentuk asal adalah kekal menjadi hak perekanya (arkitek, dalam kes ini) dan orang lain tiada hak untuk menghasil-semula rekabentuk itu untuk tujuan membuat sambungan kepada rekabentuk asal.
Di atas adalah cabutan daripada kangungan artikel Abdul Aziz Hussin (2002) Jiplak Oleh Ahli-ahli Profesional Projek. The Journal of Malaysian Surveyor. 38.2: 10-13.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.