Feb 23, 2011

KONSEP TIMBANG TARA DAN HUBUNGKAIT DENGAN PENYELESAIAN PERTIKAIAN INDUSTRI PEMBINAAN

Apabila timbul pertikaian, maka pertikaian perlu diselesaikan atau dikawal (Zack[1]). Pertikaian ini perlu diselesaikan atau dikawal demi menjamin pelaksanaan projek pembinaan tersebut dan juga kebaikan pihak-pihak yang terlibat (Zack[2]).  Terdapat dua cara atau kaedah penyelesaian pertikaian iaitu sama ada melalui kaedah tradisonal, yakni mahkamah, atau melalui kaedah alternatif penyelesaian pertikaian (Berman[3]; Fader[4]; ICLR[5]; Kram dan Taylor[6]; Palmer dan Roberts[7]; Sundra Rajoo[8]; dan Vitiello[9]).
     Namun begitu, bagi kaedah penyelesaian pertikaian secara tradisional, iaitu mahkamah, menurut Berman[10], sejak sekian lama tindakan undang-undang di mahkamah telah diserang dan reputasinya terhakis terutama disebabkan kelemahan-kelemahannya, antaranya disebabkan perbelanjaan dan masa prosiding berjalan. Ini ditambah pula dengan kekurangan kepakaran dan kadangkala minat para hakim dalam memutuskan kes tersebut[11]. Untuk mengatasi kekurangan ini maka sistem atau kaedah penyelesaian alternatif pertikaian telah menjadi berkembang pesat[12].
     Kajian-kajian oleh Andrew[13]; Berman[14];ICLR[15]; Kram dan Taylor[16]; Palmer dan Roberts[17]; dan Vitiello[18] mendapati terdapat beberapa jenis penyelesaian alternatif pertikaian, iaitu seperti perdamaian (konsiliasi), pakar bebas, bicara mini, perantara dan timbang tara. Namun Bowden[19]. yang bersandarkan kajian-kajian awal oleh Hartwell[20], Loew dan Ramirez[21], dan Paris[22], mendapati timbang tara adalah konsep atau jenis penyelesaian alternatif pertikaian yang sudah sangat lama digunakan, iaitu sebelum sistem perundangan diwujudkan. Hal yang sama turut dibincang oleh Phillips[23] dan Bernstein dan Wood[24], di mana dikemukakan bahawa perlu wujud tiga ciri (elemen) untuk menyatakan wujudnya timbang tara, iaitu,
Pertama, wujud pertikaian di antara dua atau lebih pihak-pihak;
Kedua, wujud perjanjian di antara mereka (yang dinyatakan di dalam kontrak asal atau pada masa pertikaian itu berbangkit) untuk merujuk pertikaian tersebut kepada timbang tara untuk mendapatkan keputusan; dan
Ketiga, fakta bahawa pihak-pihak akan terikat di sisi undang-undang dengan keputusan tersebut.
     Powell[25] menyatakan timbangt ara adalah kaedah alternatif penyelesaian pertikaian yang paling formal kerana ia mempunyai undang-undang yang mengawalnya, termasuk dalam pengemukaan dokumen dan penilaiannya bagi tujuan pencarian fakta.
      Institusi antarabangsa, misalnya African Forum and Network on Debt and Development (AFRODAD)[26] memberikan takrif dan konsep timbangt ara, iaitu  seperti berikut:
Timbangt ara adalah suatu prosedur dalam mana pihak-pihak dalam sesuatu pertikaian akan merujuk kepada satu pihak ketiga untuk suatu keputusan muktamad.”…“Ianya adalah suatu cara penyelesaian pertikaian ‘alternatif’, dan ianya suatu alternatif lain, terutama disisi undang-undang, kepada lain-lain penyelesaian pertikaian”[27].
Walau apa pun, seperti dinyatakan oleh Palmer dan Roberts[28], terma konseptual bagi timbang tara ialah,
“berasaskan ide ‘pihak ketiga yang tidak memihak’, yang berdiri dan bersedia untuk memutuskan sesuatu persoalan yang dibawa oleh pihak-pihak kepadanya”…“Timbang tara tradisional yang sejati adalah semestinya berbentuk persendirian dan sukarela, dan bergantung kepada perjanjian pihak-pihak untuk mengikat dengan keputusan panel penimbang tara—ia suatu jelmaan hasil perjanjian kontraktual diantara pihak-pihak”.[29]
      Vitiello[30] juga memberikan konsep timbang tara, di mana menurutnya, timbang tara adalah benar-benar suatu kaedah alternatif (menyelesaikan pertikaian) dalam memperolehi keputusan yang muktamad dan mengikat pihak-pihak berdasarkan merit kes, dan tanpa litigasi.
Daripada perspektif industri pembinaan, Commission on International Arbitrations, International Chamber of Commerce (ICC)[31] memberikan takrifan “timbang tara pembinaan” secara ringkas iaitu, semua jenis timbang tara untuk menyelesai pertikaian yang timbul daripada projek bagi kerja-kerja pembinaan – terutama semasa kerja implementasi sesuatu projek pembinaan.  Dengan lebih terperinci, Talal Abi-Karam[32] membincang timbang tara pembinaan sebagai teknik yang dibangunkan bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul semasa kerja pembinaan fizikal sesuatu projek. Dalam hal ini Powell[33] menyatakan bahawa faktor-faktor yang diambilkira dalam penyelesaian pertikaian adalah kos, masa dan kewangan. Beliau menyatakan selanjutnya bahawa timbang tara adalah kaedah penyelesaian pertikaian alternatif yang paling diformalkan. Ini kerana ia mempunyai undang-undang yang mengawalnya termasuk dalam pengemukaan dokumen dan menilainya untuk tujuan pencarian fakta[34].
      Oleh kerana artikel ini membincangkan timbangtara daripada perspektif projek pembinaan, maka satu elemen utama yang perlu dilihat ialah isu berkaitan kebaikan atau manfaat dan kelemahan atau keburukan timbang tara itu sendiri (terutama dalam penyelesaikan pertikaian dalam kerja-kerja pembinaan).  Lord Denning dalam kes Modern Engineering (Bristol) Ltd. lwn. C.Miskin & Son[35] ada menyebut seperti berikut:
“Timbang tara kini menjadi salah satu bentuk aktiviti amat penting dalam  sistem pentadbiran keadilan di dunia”[36].
Ungkapan yang digunakan oleh beliau menggambarkan betapa pentingnya kaedah alternatif penyelesaian pertikaian melalui timbang tara, dan oleh kerana ia dianggap penting, maka tentunya kaedah ini dilihat daripada perspektif positifnya (iaitu kebaikan atau kelebihan atau manfaatnya). Daripada penulisan dan penyelidikan yang ditemui, kebaikan atau kelebihan atau manfaat timbang tara terutama dalam industri pembinaan difokuskan kepada perkara-perkara berkait isu penjimatan masa, kepakaran penimbang tara dan wakil-wakil pihak-pihak bertikai, isu penjimatan kos, gangguan yang minimum, dan lebih fokus.
      Disebalik manfaat-manfaat yang dikemukakan itu pula, banyak juga kajian dan penulisan yang menyenaraikan keburukan atau kelemahan timbang tara.  Dalam kebanyakan perbincangan mengenai keburukan atau kelemahan timbang tara, ianya merupakan hujah-hujah balas kepada kebaikan atau manfaat timbang tara, iaitu termasuklah mahal, lambat, ketidaksudahan dan tiada hak merayu. Seperti  dibangkitkan oleh Stockenberg[37] proses timbang tara telah menjadi mangsa kepada kejayaannya sendiri, di mana
“Apabila prosesnya berkembang popular, hasilnya juga memberikan masaalah. Ia telah digunakan membuta-tuli secara berlebihan dan disalahgunakan”
      Pihak Construction Industry Federation (CIF), Amerika Syarikat[38], contohnya, mengeluarkan kenyataan bahawa timbang tara diperkenalkan dengan tujuan untuk menyediakan cara penyelesaian yang lebih cepat dan lebih murah. Namun, menurut mereka lagi, situasi kini semakin berubah beransur-ansur di mana kedua-dua pihak mula melantik peguam, ahli-ahli profesional dilantik sebagai saksi, dan kedua-dua pihak makin kurang bertoleransi (yakni tegar) semasa prosiding timbang tara.
      Kenyataan di atas ada benarnya dan tidaknya jika kita melihat bukti-bukti dan alasan-alasan yang membincangkan kebaikan/kelebihan/manfaat dan keburukan/kelemahan timbang tara yang akan diberikan selepas ini. ...


[1] J.G. Zack,  “Practical dispute management”, m.s. 55-60.

[2] Ibid.

[3] H.W. Berman,  Primer on alternative dispute resolution, m.s. 1.

[4] P.T. Fader, “Alternative dispute resolution:  A new trend for the 90s?”, m.s. 1 .

[5] International Construction Law Review, The (ICLR), “Report on the AAA arbitration survey to the forum committee on the construction industry”, Vol.5, Januari-Oktober 1988, m.s. 130-141.

[6] E.J. Kram & Taylor, M.P., The pros & cons of arbitration:  Is it the best way to resolve a construction dispute?,  Ohioconstructionlaw.com, Oktober 2000, Vol. I, Issue 9, m.s. 2.

[7] M. Palmer & Roberts, S., Dispute Processes—ADR and the Primary Forms of Decision Making., Butterworths Pte Ltd, London, 1998, m.s. 63-222C.

[8] Sundra Rajoo, Law, Practice and Procedure of Arbitration, m.s. 2.

[9] G.M. Vitiello,  “Resolving disputes without litigation:  An introduction to alternative dispute resolution”, m.s. 1-2.

[10] H.W. Berman,  Primer on alternative dispute resolution, m.s. 1.

[11] Ibid.

 [12] Ibid

[13] W. Andrew, “Legal cost too high?”. Chemical Week. 0009272X. 4 November 1998. Vol. 160, Issue 41, m.s. 14-19.

[14]  H.W. Berman,  Primer on alternative dispute resolution, m.s. 1.

[15] International Construction Law Review, The, (ICLR), “Report on the AAA arbitration survey to the forum committee on the construction industry”, m.s. 130-141.

[16] E.J. Kram & Taylor M.P., The pros & cons of arbitration:  Is it the best way to resolve a construction dispute? , m.s. 2.

[17] M. Palmer & Roberts, S., Dispute Processes—ADR and the Primary Forms of Decision Making, m.s. 25-222C.

[18] G.M. Vitiello, “Resolving disputes without litigation: An introduction to alternative dispute resolution”, m.s. 1-2.

[19] D. Bowden, “The appointed surveyor as arbitrator”, Structural Survey, 2000, Vol. 18, No. 5, m.s. 199-204.

[20]G.M.B. Hartwell, “Who shall be the arbitrators?”, 1998, via http://www.hartwell.demon.co.uk/whoshall.htm (25 Mei 2004), m.s. 1.

[21] W.R. Loew & Ramirez, A.M, “Resolving environmental disputes with ADR” The Practical Real Estate Lawyer. Philadelphia, May 1992, Vol. 8, Issue 3, m.s. 15.

[22] J. Paris,  Law and Practice of Arbitration,  George Godwin Publishers, London,1974 , m.s. 23.

[23] J.F. Phillips, Arbitration Law: Practice and Precedents, ICSA Publishing, Cambridge, 1988, m.s. 7.

[24] R. Bernstein & Wood, W., Handbook of Arbitration Practice,  Edisi Kedua,  Sweet & Maxwell Ltd., London, 1993, m.s. 10-11.

[25] K. Powell, “Arbitrate, mediate or litigate?”. Heavy Construction News, Toronto, Mei 2001, Vol. 45, Issue 5, m.s. 46.

[26] African Forum and Network on Debt and Development (AFRODAD), “Fair and transparent arbitration on debt”, Issue Paper No. 1/2002, Harare, Zimbabwe, m.s.5.

[27] Ibid.

[28] M. Palmer & Roberts, S., Dispute Processes—ADR and the Primary Forms of Decision Making.,Butterworths Pte Ltd, London, 1998, m.s. 212.

[29] Ibid

[30] G.M. Vitiello,  “Resolving disputes without litigation:  An introduction to alternative dispute resolution”,  ConstructAtlanta.com.,1999, via http://www.construct-net.com/indevlop/legal/adr.html (15 Mei 2004), m.s.1-2.

[31] International Chamber of Commerce,  Forum on arbitration issues & new fields, m.s. 2.

[32] Talal Abi-Karam, “Arbitration of disputes in international construction”, AACE International Transaction CDR. 12, 2001, m.s. 121.

[33] K. Powell, “Arbitrate, mediate or litigate?”, m.s. 46.

[34] Dalam konteks Malaysia, tentunya undang-undang yang dimaksudkan itu terutamanya adalah Akta Timbangtara 1952 dan Akta Kontrak 1950.

[35] [1981] 1 Lloyd’s Rep. 135

[36] Ibid, m.s. 138.

[37] R.A.Stockenberg, “Arbitration takes on trapping of litigation”, Building Design and Construction. December 2004, Vol. 45, Issue 12, m.s. 21.

[38] Construction Industry Federation (CIF), Securing payment and bonding for projects, 2004, via http://www.cif.ie/CONTRACT/payment.htm (12 Mei 2004), m.s. 3-4.


Di atas adalah sedutan daripada artikel, Abdul Aziz Hussin (2006) Dilema Antara Kelebihan Dan  Kelemahan Timbang Tara  Industri Pembinaan.KANUN (Journal of Malaysian Law), 18 KANUN (4):12-39.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.