Feb 20, 2011

Peraturan Tentang Etiket Berpakaian dan Dadah Penjawat Awam/Badan Berkanun




PENDAHULUAN

Antara aspek yang ditekankan oleh kerajaan terhadap penjawat awam dan penjawat badan-badan berkanun adalah mengenai pakaian dan juga aspek penyalahgunaan atau penagihan dadah. Kertas ini membincangkan dua perkara berkenaan. Ia dibincangkan disini kerana ia merupakan perkara baru yang diperuntukkan secara nyata didalan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (selepas ini akan disebut juga “PPA 1993”)(bagi pegawai awam) dan juga didalam Peraturan-peraturan Tatatertib Badan-badan Berkanun 2000 (yakni Jadual Kedua kepada Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 (selepas ini akan disebut juga “PTB 2000”(bagi pegawai-pegawai badan-badan berkanun).

PAKAIAN TERTIB/ ETIKET PAKAIAN


Salah satu peraturan baru yang diperkenalkan dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan Tatatertib Badan-badan Berkanun 2000 ialah masing-masing Peraturan 6 dan Peraturan 5, iaitu mengenai etiket pakaian  semasa bertugas dan untuk urusan rasmi.

            Peraturan 6 PPA 1993 dan Peraturan 5 PTB 2000, iaitu mengenai peraturan/etiket berpakaian terbahagi kepada dua, iaitu :
           
            Pertama, peraturan mengenai pakaian harian semasa bertugas. Dibawah Peraturan 6(1) PPA 1993 dan Peraturan 5 (1) PTB 2000, pakaian penjawat awam/badan berkanun adalah sebagaimana mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/ Lembaga badan berkanun dari semasa ke semasa, mengikut mana yang berkenaan, dan
            Kedua,    peraturan mengenai pakaian semasa menghadiri upacara rasmi. Dibawah Peraturan 6(2) PPA 1993 dan 5(2) PTB 2000, penjawat awam atau badan berkanun, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah berpakaian sebagaimana ditentukan bagi upacara tersebut dan jika tiada arahan sedemikian, maka dia hendaklah berpakaian yang sesuai dengan  upacara tersebut.

            Mengenai Peraturan 6(1), PPA 1993 dan Peraturan 5(1) PTB 2000, ianya  sendiri bukanlah membuat apa-apa arahan mengenai pakaian apa yang boleh dan tidak boleh dipakai oleh penjawat awam semasa bertugas harian mereka. Peraturan 6(1) PPA 1993 dan Peraturan 5(1) PTB 2000 ini perlu dibaca bersama-sama dengan apa-apa arahan berkaitan berpakaian, yang akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Lembaga badan berkanun berkenaan, mengikut mana yang berkenaan, dari semasa ke semasa. Dengan itu Peraturan 6(1) PPA 1993 dan Peraturan 5(1) PTB 2000 juga mengesahkan “kehadiran” apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/Lembaga badan berkanun (berkaitan berpakaian harian) ke dalam peraturan-peraturan tatatertib.

            Namun jika Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Lembaga badan berkanun (mengikut mana yang berkenaan) mengeluarkan arahan sedemikian (dalam bentuk Pekeliling atau Surat Pekeliling misalnya), adakah penjawat awam atau penjawat badan berkanun berkenaan dengan sendirinya tahu, atau diandaikan tahu, dan dengan itu terus berkuatkuasa terhadap penjawat awam atau badan berkanun berkenaan? Jawapannya “Tidak”, penjawat awam atau penjawat badan berkanun berkenaan  setiap daripada mereka perlu diberitahu secara khusus "kehadiran” arahan sedemikian, misalnya mengedarkan  arahan itu untuk dibaca dan difahami oleh setiap mereka (dan mereka mengesahkan membaca dan memahaminya dengan menurunkan tandatangan pada edaran itu). Penulis menekankan hal ini kerana nampaknya cara inilah yang telah diiktiraf dan disahkan oleh mahkamah didalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan seorang lagi.1

            Bagi maksud Peraturan 6, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sememangnya sebelum peraturan itu berkuatkuasa telahpun mengeluarkan Pekeliling berkaitan berpakaian ini. Pekeliling yang dimaksudkan ialah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1985. Pekeliling ini juga telah dipanjangkan pemakaiannya kepada penjawat badan berkanun. Dibawah ini diperturunkan sebahagian kandungan Pekeliling berkenaan yang relevan dengan perbincangan disini:

            “2      PAKAIAN-PAKAIAN YANG DITETAPKAN PADA MASA BEKERJA

2.1         Pakaian Lelaki
2.1.1  Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan A2 dan B3,“lounge suit” atau “bush-jacket” dengan bahan kain yang sesuai; atau seluar panjang dengan baju kemeja dan bertali leher; dan jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.
2.1.2  Bagi pegawai-pegawai dalam Kumpulan C dan D4, seluar panjang beserta baju kemeja dengan warna yang sesuai; baju hendaklah dimasukkan ke dalam; jika baju tersebut berlengan panjang, tangan baju hendaklah jangan dilipatkan.

2.1.3  Pakaian baju Melayu lengkap dengan bersamping; atau pakaian baju yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai dengan seluar panjang; pakaian Melayu dengan kain sarung tidak dibenarkan.

2.1.4  Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh hari5, pegawai-pegawai awam yang tidak dikehendaki memakai pakaian seragam boleh memakai baju batik berlengan panjang atau pendek, dengan syarat baju batik yang dipakai itu adalah buatan Malaysia.

2.1.5  “Jeans” atau seluar pendek tidak boleh dipakai semasa bekerja.

2.1.6  Kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya. Capal boleh dipakai dengan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan bersamping.

2.1.7  Selipar, kasut getah dan kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja.

2.2         Pakaian Wanita
2.2.1. Pakaian Kebangsaan atau pakaian kaum masing-masing yang sesuai dipakai semasa bekerja. “Jeans”, “slacks” seluar pendek dan apa-apa pakaian yang menutup muka6 tidak boleh dipakai semasa bekerja.
2.2.2  Selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan; kasut sukan tidak boleh dipakai semasa bekerja.

2.3         Pakaian Seragam (Lelaki dan Wanita)
2.3.1  Pakaian seragam hendaklah sentiasa dipakai semasa bekerja bagi mereka yang dibekalkan dengannya.

2.4         Pakaian batik (Lelaki dan Wanita)
2.4.1  Pegawai-pegawai awam yang menyertai rombongan ke luar negara atas urusan rasmi ataupun dengan anjuran jabatan masing-masing hendaklah pada masa, tempat dan upacara yang sesuai, dan jika dibenarkan, memakai batik buatan Malaysia. Pegawai-pegawai awam adalah juga digalakkan memakai batik buatan Malaysia jika keadaan membenarkan apabila menyertai rombongan ke luar negara dengan anjuran persatuan, pertubuhan atau koperasi masing-masing.

2.4.2  Pegawai-pegawai awam yang menghadiri sesuatu upacara, perjumpaan atau mana-mana jemputan, jika ditetapkan memakai batik, hendaklah memakai batik buatan Malaysia.

2.5         Pakaian Lain (Lelaki dan Wanita)
2.5.1 Pakaian-pakaian jenis lain termasuk jenis kasut, boleh dipakai oleh pegawai-pegawai awam semasa bekerja jika tugas-tugasnya memerlukan pakaian demikian dan dibenarkan oleh Ketua Jabatan masing-masing.

2.6         Pakaian Yang Menjolok Mata (Lelaki dan Wanita)
2.6.1 Pegawai-pegawai awam tidak dibenarkan memakai pakaian yang menjolok mata.
3.             PAKAIAN-PAKAIAN SEMASA MENGHADIRI UPACARA-UPACARA RASMI

3.1      Pakaian Rasmi (Formal) Untuk Lelaki
3.1.1.  Seseorang pegawai awam, yang berhak memakai uniform ataupun dikehendaki memakai uniform yang khas hendaklah memakai uniform tersebut apabila menghadiri upacara-upacara rasmi. Peraturan-peraturan pakaian seperti yang telah ditetapkan melalui surat edaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA. SULIT, 2578/Pt.1 35 bertarikh 8hb. Jun 1970 di Lampiran “A” mengenai Pakaian Seragam Pegawai-Pegawai Tadbir dan Professional dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas seperti dipinda oleh Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 1975, hendaklah dipatuhi pada masa menghadiri istiadat-istiadat rasmi yang menetapkan dif-dif jemputan memakai pakaian seragam atau pakaian rasmi kebangsaan. Sekiranya pegawai itu tidak mempunyai uniform, maka “lounge suit” bolehlah dipakai kecuali jika peraturan pakaian khas ditetapkan.

3.2      Pakaian Untuk Upacara Separuh Rasmi (Lelaki)

3.2.1  Untuk upacara-upacara separuh rasmi yang lain, seperti menghadiri upcara-upacara pembukaan seminar, adalah diputuskan bahawa bagi peringkat kebangsaan (national), di mana tidak ada perwakilan daripada luar negara, maka pakaian waktu bertugas di pejabat seperti yang ditetapkan di dalam pekeliling ini hendaklah dipakai. Untuk upacara-upacara peringkat antarabangsa (International), maka pakaian “lounge suit” hendaklah dipakai.”

            Jika kita perhatikan peruntukan di dalam Pekeliling berkenaan, nampaknya ia mengandungi tiga bentuk arahan:
           
            Pertama, arahan mengenai jenis pakaian dan cara berpakaian yang mesti dipakai pada masa atau tempat tertentu;

            Kedua,  arahan yang berbentuk memberi budibicara untuk penjawat awam memakainya atau tidak (misalnya baju batik dibawah perenggan 2.1.4 Pekeliling); dan

            Ketiga,   larangan memakai jenis-jenis pakaian tertentu, ataupun jenis pakaian pada tempat-tempat atau upacara tertentu (misalnya larangan memakai pakaian menutup muka dibawah perenggan 2.2.1 Pekeliling dan pakaian yang menjolok mata dibawah perenggan 2.6.1 Pekeliling)

            Mengenai larangan berpakaian menutup muka pada masa bekerja, ia pernah berbangkit didalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan seorang lagi7. Didalam kes ini, seorang penjawat awam wanita senantiasa memakai purdah (iaitu penutup muka, selain daripada telekung labuh, yang menutup seluruh muka kecuali  sedikit diruang mata), semasa waktu beliau bekerja (yakni waktu kerja). Beliau telah ditunjukkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1985 itu, dan dinasihatkan oleh ketua jabatannya (dan juga oleh seorang pakar agama Islam) untuk menanggalkan purdah itu, tetapi beliau enggan. Kemudiannya beliau diberi Surat Tunjuk Sebab Dengan Tujuan Buang Kerja atas perbuatannya itu.8 Akhirnya beliau dibuang kerja berkaitan pelanggaran  larangan berpakaian menutup muka itu. Mahkamah memutuskan bahawa tidak salah bagi Kerajaan (yakni Perkhidmatan Awam) membuat apa-apa peraturan atau syarat mengenai cara berpakaian (yang harus, diarah atau dilarang dipakai) penjawat awam semasa bekerja demi tatatertib perkhidmatan asalkan arahan atau syarat itu tidak berlawanan dengan ketenteraman awam, akhlak atau kesihatan.9 Dengan itu Mahkamah memutuskan pembuangan kerja itu sah atas keengkaran penjawat awam berkenaan mematuhi peraturan atau syarat berpakaian semasa bekerja.

PENYALAHGUNAAN ATAU MENAGIH DADAH BERBAHAYA


Satu lagi peruntukan baru yang diwujudkan didalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ialah Peraturan 7 (dan Peraturan 6 PTB 2000) iaitu mengenai larangan mengguna atau mengambil dadah berbahaya (kecuali bagi maksud perubatan seperti preskripsi yang dibuat oleh pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan kerajaan). Ini termasuklah juga larangan menyalahgunakan atau menagih dadah berbahaya. Dengan itu adalah menjadi kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib dibawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  (atau dibawah Peraturan Tatatertib Badab Berkanun 2000, mengikut yang berkenaan) jika seseorang penjawat awam itu didapati:

            (i)      mengguna atau mengambil dadah berbahaya (kecuali bagi tujuan perubatan); atau

(ii)               menyalahguna atau menagih dadah berbahaya.

            Pada pandangan penulis, perkataan “menyalahguna” atau “menagih” adalah sama maksudnya (ejusdem generis). Begitu juga dengan “mengguna” atau “mengambil” dadah berbahaya.

            Persoalannya: Apakah yang digolongkan sebagai “dadah berbahaya”. Menurut Peraturan 7(4)PPA 1993 atau Peraturan 6(4) PTB 2000, “dadah berbahaya” ertinya apa-apa dadah atau bahan yang dinyatakan didalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952. Jadual Pertama Akta tersebut menyenaraikan dadah-dah dan bahan-bahan yang dikategori sebagai “dadah berbahaya”10

            Walaupun Peraturan 7, PPA1993 atau Peraturan 6, PTB 2000 membolehkan seseorang yang menagih dadah dikenakan tindakan tatatertib, namun pada pandangan penulis, Peraturan 7 PPA 1993 dan Peraturan 6 PTB 2000 tersebut perlu dibaca bersekali dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 iaitu mengenai “Peraturan Dan Tindakan Ke Atas Pegawai Dan Kakitangan Yang terlibat Dengan Penagihan Dadah”. Pekeliling ini menekankan mengenai langkah-langkah yang perlu Ketua Jabatan ambil apabila didapati ada penjawat awam dibawahnya menagih dadah.  Menurut Pekeliling ini, langkah-langkah pemulihan dan rawatan kepada penjawat awam terbabit perlulah diambil terlebih dahulu dengan seberapa segera yang boleh, dan jika semua langkah rawatan dan pemulihan itu gagal maka barulah tindakan tatatertib boleh diambil terhadap penjawat awam tersebut, termasuk dibuang kerja.

            Bagi memudahkan pemahaman mengenai langkah-langkah awalan ini, diperturunkan peruntukan-peruntukan yang relevan yang terdapat didalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 :

     “2   Rawatan dan Pemulihan kepada Penagih-penagih Dadah


2.1   Di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), penagih-penagih dadah boleh dimasukkan ke pusat pemulihan dengan ;

(i)       perintah Mahkamah

(ii)     cara sukarela iaitu penagih dadah sendiri memohon untuk menjalani rawatan dan pemulihan.

2.2   Ketua-ketua Jabatan juga boleh melaporkan kepada mana-mana Pegawai Pemulihan atau mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Sarjana atau mana-mana pegawai penjaga balai polis, mengenai pegawai dan kakitangan mereka yang disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

3.       Dasar dan Peraturan Baru mengenai Masalah Dadah

3.1         Kerajaan telah memutuskan bahawa dasar dan peraturan-peraturan berikut hendaklah dikuatkuasakan :

(i) Calon-calon yang akan dilantik
                                    Tiap-tiap seorang calon yang akan dilantik ke perkhidmatan awam hendaklah mengangkat sumpah di bawah Akta akuan Berkanun 1960 bahawa “ianya bukan penagih dadah”.

(ii)     Pegawai dan Kakitangan dalam percubaan
                                    Pegawai dan kakitangan dalam percubaan bagi lantikan pertama akan ditamatkan perkhidmatan mereka di bawah Perintah Am 58, Perintah-perintah Am Bab A (Lantikan dan Kenaikan Pangkat 1973) sekiranya mereka didapati terlibat dengan penagihan dadah.

(iii)       Pegawai dan kakitangan yang telah disahkan dalam jawatan

(a)        Pegawai dan kakitangan Kerajaan yang memohon cara sukarela untuk menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan boleh diberi cuti separuh gaji selama mereka  berada di pusat pemulihan dengan syarat bahawa rawatan dan pemulihan itu adalah buat kali yang pertama:

(b)       Pegawai dan kakitangan Kerajaan yang dihantar ke pusat pemulihan dengan perintah Mahkamah

(i)             akan diberi cuti tanpa gaji selama tempoh menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan;
(ii)           tidak akan diberi kenaikan gaji selama tempoh menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan.
(iii)          Akan dibayar gaji atas kadar yang diterima sebelum masuk ke pusat pemulihan sekembalinya mereka berlepas semula selepas menjalani rawatan dan pemulihan:

(c)        Pegawai dan kakitangan  yang didapati menagih dadah semula selepas menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan atau dengan cara pengawasan, termasuk mereka yang pernah menjalani rawatan dan pemulihan dipusat pemulihan atau secara pengawasan sebelum Pekeliling ini dikeluarkan, boleh diambil tindakan tatatertib di bawah Perintah Am 36, Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 198011 dengan tujuan dibuang kerja.

(d)        Pegawai dan kakitangan yang meninggalkan pusat pemulihan tanpa kebenaran sebelum tamat tempoh rawatan dan pemulihan atau gagal mematuhi perintah pengawasan, boleh diambil tindakan tatatertib seperti dinyatakan di perenggan kecil (c) di atas.

(iv)    Pegawai dan kakitangan yang telah pulih penagihan dadah

Pegawai dan kakitangan yang telah pulih dari penagihan dadah hendaklah diberi tugas dan tanggungjawab yang sama seperti sebelum mereka terlibat dengan penagihan dadah. Sekiranya prestasi mereka didapati menurun, pegawai dan kakitangan yang berkenaan hendaklah di laporkan kepada pegawai perubatan untuk menentukan sama ada mereka boleh diberi tugas dan tanggungjawab yang sama seperti sebelum mereka menagih dadah”


Oleh kerana peruntukan didalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1984 ini adalah jelas, maka penulis tidak bercadang menghuraikannya lagi disini.

PENUTUP


Adalah jelas bahawa kerajaan begitu perihatin dan amat menekankan soal etiket pakaian penjawat awam atau penjawat badan berkanun. Selain daripada itu, masaalah penyalahgunaan dadah yang turut juga “menyerang” penjawat awam atau penjawat badan berkanun turut dipandang serius oleh kerajaan. Ini menjadikan dua perkara tersebut didokumenkan didalam Peraturan Tatatertib. Amat jelas tujuan ianya diwujudkan, iaitu kearah menjadikan perkhidmatan awam/badan berkanun disegani, berwibawa dan melaksanakan tugas dengan baik. Kita semua, samaada dikalangan penjawat awam sendiri atau penjawat badan berkanun, dan juga orang awam, perlu sama-sama menyokong pemakaian peraturan-peraturan berkenaan dan menghayati maksud atau tujuannya.       



1 (1992) 1 MLJ 513. Lihat penghakiman hakim Eusoff Chin, di m.s. 517 berkaitan hal tersebut.
2 Yakni Kumpulan Pengurusan dan Profesional dibawah Sistem Saraan baru (SSB) atau Sistem Saraan Malaysia (SSM).
3 Yakni Kumpulan Sokongan I dibawah SSB atau yang setara dengannya dibawah SSM.
4 Yakni Kumpulan Sokongan II dibawah SSB atau yang setara dengannya dibawah SSM.
5 Perkataan “Pada hari Sabtu atau hari bekerja separuh hari” disini perlulah ditafsirkan sebagai mana-mana hari kerja separuh hari, tanpa mengira mana-mana hari Sabtu atau Khamis (iaitu mengikut Negeri), dan lain-lain – Mengenai Waktu Bekerja, lihat contohnya Perintah-Perintah Am Bab G, 1978 (dan pindaan-pindaannya).
6 Perenggan 2.2.1, walaupun ditujukan (yakni dibawah tajuk kecil “Pakaian wanita”), larangan kepada penjawat awam wanita, tetapi pada pandangan penulis ia juga ditujukan kepada penjawat awam lelaki. Ini kerana apa yang ditekankan ialah semua penjawat awam perlu mendedahkan muka supaya tidak ada unsur-unsur negatif seperti penyamaran, salah atau silap identiti, dan lain-lain – lihat pendapat hakim Eusoff Chin dalam kes Halimatussaadiah lwn. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia dan seorang lagi (1992) 1 MLJ 513 di m.s. 526-527.
7 Ibid
8 Oleh kerana kes ini dibawah Perintah-Perintah Am Bab D, 1980 (yakni sebelum kewujudan Peraturan 6) maka penjawat awam itu diambil tindakan tatatertib atas alasan melakukan kesalahan yang tidak bertanggungjawab dan engkar perintah dibawah Perintah Am 4(2)(g) & (i) Perintah-Perintah Am Bab D, 1980.
9 Mengenai pandangan ini, lihat keputusan hakim Eusoff Chin, di m.s. 526-527 kes berkenaan. Diputuskan selanjutnya arahan atau syarat itu juga tidak melanggari Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan (yakni mengenai kebebasan menganuti dan mengamalkan agamanya) kerana pakaian purdah, mengikut Islam, bukan wajib sebagai sebahagian pakaian bagi menutup aurat (yang tidak perlu ditutupi – iaitu muka)
10Lihat LAMPIRAN 9b buku Abdul Aziz Hussin. 2002. Undang-undang Mengenai Kalakuan dan Tatatertib Penjawat Awam – Hak dan Tanggungjawab. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, mengenai senarai dadah-dadah dan bahan-bahan yang dikategorikan sebagai “dadah berbahaya”
11 Ayat “boleh diambil tindakan tatatertib dibawah Perintah Am 36, Perintah-perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1980 dengan tujuan dibuang kerja ,” kini perlu dibaca, “boleh diambil tindakan tatatertib dibawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan tujuan dibuang kerja”.



Artikel di atas adalah sebahagian daripada perbincangan di dalam buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2002. Edisi Ke-2. Undang-undang Yang Mengenai Kelakuan dan Tatatertib Penjawat Awam: Hak dan Tanggungjawab. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Edisi Ke-3 akan terbit tahun 2011. Penulis juga memberikan ceramah dan bengkel tentang tatatertib kepada pelbagai pihak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.