Feb 22, 2011

Memorandum Persefahaman dan Surat Hasrat (bahagian 2)

KESAN UNDANG-UNDANG


Secara ringkas, disisi undang-undang, Surat Hasrat dan Memorandum Persefahaman tidaklah merupakan suatu instrumen yang mengikat pihak-pihak.  Ini bererti pihak-pihak tidak mewujudkan dan menanggung hak serta obligasi akibat dari kewujudan Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman yang ditandatanganinya.9  Jadi, Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman hanyalah suatu pernyataan awalan oleh pihak berkenaan akan hasratnya untuk membuat perjanjian yang sebenar dan mengikatnya disisi undang-undang.  Secara mudah, Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman hanyalah suatu "persetujuan untuk berjanji".10 Ini kerana menurut Anson, kontrak belum sempurna kerana terma-terma yang material kepada perjanjian masih belum ditentukan lagi dan akan hanya ditetapkan di dalam suatu perjanjian yang akan dibuat kelak.11

Dalam kes May & Butcher lwn. The King,12 pihak pembekal dan kerajaan telah bersetuju secara bertulis untuk pembekal membeli dari kerajaan semua lebihan khemah-khemah 'pada harga yang akan dipersetujui kelak di antara mereka apabila khemah-khemah itu telah ada untuk dilupuskan dan ditawarkan untuk dibeli'. 

Mahkamah House of Lords memutuskan bahawa persetujuan itu bukan kontrak yang disimpulkan dan terikat  kerana persetujuan mengenai harga belum diputuskan lagi.

Dalam kes British Steel Corporation lwn. Cleveland Bridge and Engineering Co. Ltd.,13 pihak defendan telah mengeluarkan satu Surat Hasrat kepada plaintif.  Surat itu dikeluarkan dengan defendan mengharap mendapat kontrak pembinaan sebuah bangunan. Surat itu, antara lain, menyatakan niatnya untuk membuat kontrak dengan plaintif.  Dinyatakan juga bahawa defendan menghendaki plaintif membekalkan penuang besi kepadanya.  Selain daripada itu defendan juga menghendaki plaintif melaksanakan kerja-kerja awalan dengan serta merta sementara menunggu perjanjian kontrak rasmi mereka tandatangani. Plaintif kemudiannya melaksanakan kerja-kerja yang diminta oleh defendan laksanakan itu, tetapi defendan enggan membayarnya.  Mahkamah memutuskan bahawa terdapat beberapa perkara penting yang didapati masih dalam peringkat perundingan dan belum dimuktamadkan oleh pihak-pihak iaitu mengenai:

-               harga barang-barang yang dibekal dan kerja yang dilaksankan;

-               tarikh penyerahan tapakbina; dan

-        hak-hak dan obligasi-obligasi pihak-pihak tersebut.

Dengan itu mahkamah memutuskan bahawa belum wujud suatu kontrak yang sah dan mengikat pihak-pihak (yakni di antara plaintif dengan defendan).  Surat itu hanyalah Surat Hasrat.

Dalam kes Kokomewah Sdn. Bhd. lwn. Desa Hatchery Sdn. Bhd.,14 defendan melantik  plaintif  untuk membina  sebuah ladang    ternak    ayam    dengan   fee  15% daripada jumlah kos projek.  Kedua-dua pihak telah menandatangani satu perjanjian kontrak pada tahun 1983 tetapi perundingan masih berterusan antara kedua-dua pihak.  Pada Mei 1984 mereka mengikat satu perjanjian kontrak lain. Selepas itu berbangkit pertikaian mengenai perjalanan kerja-kerja pembinaan yang tidak memuaskan.  Seorang Jurukur Bahan bebas telah dilantik bagi menyelesaikan pertikaian itu. Kemudiannya plaintif, defendan dan Jurukur Bahan itu telah mengadakan tiga mesyuarat.  Pada akhir mesyuarat kedua, suatu dokumen yang dipanggil "Ringkasan Akhir"  telah ditandatangan ringkas (diparapi) oleh wakil plaintif dan Jurukur Bahan. 

Ringkasan akhir itu mengandungi suatu jumlah kontrak yang dinaikkan.  Plaintif menyatakan jumlah baru itu adalah merupakan jumlah yang dipersetujui.  Namun defendan menafikannya.  Kemudiannya suatu Surat Hasrat telah dihantar oleh defendan kepada plaintif untuk mengesahkan keputusan yang telah dicapai pada mesyuarat-mesyuarat itu.  Pada pertengahan tahun 1985, defendan menghantar notis-notis kepada plaintif untuk plaintif mempercepatkan kerja dan untuk memindahkan serta memperbaiki pelbagai kerja yang tidak memuaskan.  Selanjutnya, sebulan selepas itu defendan menamatkan kontrak. Mahkamah memutuskan bahawa:

Pertama,      pada masa Surat Hasrat itu dikeluarkan, rundingan masih berjalan dan masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipersetujui (tapi masih belum lagi dipersetujui) (seperti bil kuantiti dan lain-lain).

Kedua,          Surat Hasrat itu bukanlah suatu kontrak yang terikat (yakni yang mengikat pihak-pihak).


TUJUAN


Jika begitulah kesannya sesuatu Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman di sisi undang-undang, persoalannya ialah:

Kenapa ia diwujudkan dan masih di-gunakan dengan meluasnya pada masa kini?

Kita perlu maklum bahawa perbincangan lisan15 sahaja tentunya kurang berkesan - malah bagi maksud tindakan susulan, ia banyak pula menimbulkan masalah atas beberapa faktor:

Pertama   -   daya ingatan seseorang;

Kedua      -   sistem komunikasi maklumat yang kurang efektif;

Ketiga      -   pengaruh persepsi atau gaya, nada suara dan sepertinya.

Dengan itu rumusan perbincangan-perbincangan itu akan dikumpulkan dan dirumus (dicerakin) serta ditulis.

Namun nampaknya hasil perbincangan itu tidak pula mahu dijadikan ikatan undang-undang kepada pihak (atau pihak-pihak) berkenaan.

Walaupun begitu, bagi membuktikan bahawa persetujuan itu dibuat dengan suci hati, berniat baik dan jujur serta saling percaya mempercayai di antara pihak-pihak tersebut maka Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman diwujudkan.  Di sini, Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman menjadi suatu "Pernyataan Prinsip" pihak-pihak berkenaan.

Kita  juga akur bahawa dalam apa-apa peluang  dan juga di dalam transaksi komersil, maxim "peluang datang hanya sekali", dan "pantas bererti merebut peluang", maka di sini Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman diperlukan bagi memenuhi maxim ini.

Dengan yang demikian nampaknya tujuan atau hasrat atau niat (atau objektif?)  Surat Hasrat atau Memorandum Persefahaman adalah langkah atau tindakan yang dicatatkan, yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan, bagi membawa seterusnya kepada realiti atas apa-apa yang dibincang itu.  Ini pula dengan tujuan akhir membuat ikatan janji (kontrak) yang mengikat disisi undang-undang yang akan mengandungi terma-terma dan syarat-syarat yang terperinci, operatif dan memandu-arah pihak-pihak itu.


Di atas adalah sedutan daripada Abdul Aziz Hussin (1999) Memorandum Persefahaman & Surat Hasrat, Journal of Housing, Building & Planning (6): 41-45.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.