Feb 20, 2011

PENGAMAL PERUBATAN DAN UBAT-UBATAN & DOKTOR SEBAGAI SAKSI DI MAHKAMAH

KAEDAH DAN PERATURAN PRESKRIPSI

“Preskripsi” di sini bermaksud preskripsi yang dibuat oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar yang mengarahkan pemberian dadah atau sediaannya bagi maksud-maksud rawatan.14 Peraturan dan kaedah preskripsi yang mesti dipatuhi oleh seseorang pengamal perubatan semasa membuat preskripsi dadah atau sediaan yang dibenarkan ialah seperti yang berikut:15
(a)       Preskripsi perlulah secara bertulis dan hendaklah ditandatangani16 oleh pengamal perubatan itu serta dicatatkan tarikhnya;
(b)      Alamat pengamal perubatan berdaftar itu perlulah juga dicatatkan;
(c)       Nama dan alamat pesakit yang diberi preskripsi itu hendaklah dinyatakan juga;
(d)      Jika preskripsi yang dibuat itu mengandungi atau disebatikan dengan semua yang termaktub dalam “British Pharmocapocia” atau “British Pharmaceutical Codex”, maka jumlah amaun sediaan atau setiap sediaan hendaklah dinyatakan. Dalam hal lain, jumlah amaun dadah yang dibekalkan hendaklah dinyatakan juga.

Jika pengamal perubatan berdaftar itu sendiri, selepas membuat preskripsi telah membekalkan dadah dan sediaan kepada pesakitnya (yakni pengamal perubatan itu sendiri memiliki dan menyimpan stok dadah dan sediaannya sendiri)17 maka rekod pemberian (membekalkan) dadah atau sediaan itu perlulah disediakan dengan mematuhi peruntukan-peruntukan yang dikenakan oleh Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Dadah Merbahaya, 1952; iaitu seperti berikut :

g     Dia hendaklah menyimpan rekod kuantiti setiap jenis dadah dan sediaan (atau persediaan) yang diterima daripada pembekal dan yang diberi kepada pesakit. Rekod itu hendaklah dalam urutan masa sebenar terimaan dan pemberian dadah atau sediaan itu, Rekod18 itu hendaklah ditulis sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dalam borang seperti yang berikut:

·         Perolehan/Penerimaan
                       Jenis dadah atau sediaan (dicatat di setiap kepala halaman Daftar, dan butiran-butiran berikut):

Tarikh Bekalan
Diterima
Nama Dan Alamat
Firma Diperolehi
Amaun Diperolehi
Bentuk Dalaman Diperolehi
























·       Bekalan/Pemberian
Jenis dadah atau sediaan (dicatat di setiap kepala halaman Daftar), dan butiran-butiran berikut:


Tarikh Tranksaksi Dibuat
Nama Dan Alamat Orang atau Firma Dibekalkan
Kebenaran Orang Atau Firma Untuk Memiliki
Amaun Dibekalkan
Bentuk Dalam Mana Dibekalkan



























Rekod seperti di atas hendaklah dibuat pada hari dadah atau sediaan itu diterima atau diberi19 (atau setidak-tidaknya pada keesokan harinya).

Pembatalan, pemindaan atau pengubahan rekod tidak dibenarkan dilakukan. Jika ada pembetulan dalam daftar atau rekod maka ia hendaklah dibuat secara nota sisi dan hendaklah dinyatakan tarikh pembetulan itu dibuat.20

Segala catatan ada dalam Buku Rekod atau Buku Harian hendaklah dibuat dengan dakwat atau bahan lain yang tidak boleh dipadamkan.21 Buku Rekod atau Buku Harian itu juga hendaklah disimpan di premis tempat preskripsi yang dicatat dalamnya dibuat dan hendaklah setiap masa sedia untuk diperiksa22 oleh Pemeriksa Dadah Merbahaya dan Racun atau lain pegawai awam berkaitan yang diberi kuasa. Mengikut Peraturan 16, Peraturan-peraturan Dadah Merbahaya, 1952, rekod-rekod tersebut hendaklah disimpan selamat dan dijaga selama tempoh dua tahun dari tarikh catatan terakhir dibuat dalamnya.23

Keistimewaan-keistimewaan membuat preskripsi dan penyimpanan dadah yang dinyatakan di atas diperuntukkan di bawah seksyen 26 Akta Perubatan 1971. Malah caj perkhidmatan yang terakru juga boleh dituntut melalui mahkamah, dengan syarat pada masa perkhidmatan itu diberikan pengamal perubatan mempunyai perakuan pengamalan yang sah kuat kuasanya.

PENJUALAN UBAT-UBATAN DADAH
DI BAWAH AKTA JUALAN DADAH, 1952

Jika pengamal perubatan membuka perkhidmatan amalan perubatannya bersama-sama ahli farmasi berdaftar24 maka firma berkenaan boleh menjual dadah,25 tertakluk pada peraturan-peraturan yang dikenakan di bawah Akta Jualan Dadah, 1952.26

Dalam menjual dadah yang dibenarkan,27 perkara-perkara yang berikut perlu dipatuhi:28
(a)       Jika dadah tersebut dilancungkan maka perlulah dimaklumkan kepada pembeli pada masa pembelian akan bentuk pelancungan29 berkenaan ;
(b)      Mengelakkan daripada menjual dadah yang dibungkus dengan bungkusan yang mengandungi kenyataan, perkataan, jenama, label, tanda (yang menggambarkan bentuk, kualiti, kekuatan, ketulenan, komposisi, berat, asalan, umur, kadar bahan) yang palsu atau yang boleh disalah tafsir;
(c)       Tidak menjual dadah yang mengandungi bahan yang tidak dibenarkan;
(d)      Tidak menjual dadah yang mengandungi kadar bahan  yang lebih besar daripada yang dibenarkan;
(e)       Mengelak daripada menjual dadah kegunaan dalam badan yang mengandungi alkohol metil, alkohol isopropil atau bukan semulajadi30;
(f)        Hanya menjual dadah seperti mana bentuk, bahan atau kualiti yang diminta oleh pembeli sahaja.

PEMILIKAN, PEMYIMPANAN DAN PENGGUNAAN
RACUN DI BAWAH AKTA RACUN, 1952

Telahpun dinyatakan pada awal Bab ini bahawa pengamal perubatan juga kadangkala membuat rawatan perubatan31  menggunakan racun. Apa yang dimaksudkan “racun” di sini ialah sebarang bahan yang dinyatakan dengan nama dalam ruang pertama Jadual Racun32 – (Jadual Pertama), Akta Racun, 1952,33 dan termasuklah sebarang sediaan, larutan, sebatian, campuran atau bahan asli yang mengandungi bahan berkenaan selain daripada sediaan yang dikecualikan atau sesuatu benda atau sediaan yang dimaksudkan dalam Jadual Kedua34, Akta Racun, 1952.

Seorang pengamal perubatan berdaftar atau seseorang yang sebenarnya di bawah seliaan atau membuat campuran racun bagi kegunaan pengamal perubatan berdaftar berkenaan, dibenarkan memberi, membuat sebatian atau membuat campuran racun bagi kegunaan pengamal perubatan berkenaan untuk diberikan kepada pesakitnya. Perkara ini diperuntukkan di bawah seksyen 12(1)(c), Akta Racun 1952. Walau bagaimanapun, pemberian kebenaran membuat sebatian atau membuat campuran racun ini hendaklah mengikut peraturan-peraturan, yang dibuat di bawah Akta Racun, 1952.35

Apabila pengamal perubatan berdaftar dibenarkan memberi, membuat sebatian atau membuat campuran racun maka tentulah beliau dibenarkan membelinya. Seorang penjual borong racun berdaftar dibenarkan menjual runcit racun berkenaan, antaranya, kepada pengamal perubatan berdaftar bagi maksud rawatan pesakit-pesakitnya.36 Walau bagaimanapun, jenis-jenis racun dalam Bahagian Satu, Jadual Racun (Jadual Pertama)37 Akta sahaja yang boleh dibekalkan atau dijual kepada pengamal perubatan berdaftar iaitu sebagai bahan untuk suatu ubat yang diberi atau sebagai rawatan pesakitnya sahaja,38 kecuali racun yang tergolong dalam racun Kumpulan A.39

Apabila sesuatu ubat yang mengandungi racun diberi oleh seseorang pengamal perubatan yang bukan merupakan suatu ubat yang mengandungi racun yang telah disediakan (dibancuh, adun dan seumpamanya) oleh pembuat atau pemborongnya, maka ubat yang mengandungi racun itu hendaklah disediakan oleh atau di bawah seliaan langsung pengamal perubatan berdaftar itu sendiri.40

Mengikut peruntukan seksyen 21(1)(b), Akta Racun, 1952, racun Kumpulan B41 pula tidak boleh dijual atau dibekalkan secara runcit kecuali antaranya, kepada seseorang pengamal perubatan berdaftar. Walau bagaimanapun, menurut peruntukan seksyen 21(2), racun Kumpulan B yang dibuat preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar perlulah mematuhi kaedah-kaedah berikut :
(a)       Preskripsi itu hendaklah secara bertulis dan dinyatakan tarikh preskripsi itu dibuat;
(b)      Alamat pengamal perubatan perlu diberi;
(c)       Nyatakan nama dan alamat pesakit berkenaan;
(d)      Nyatakan jumlah amaun ubat yang dibekalkan dan dosnya; dan
(e)       Nyatakan berapa kali (tetapi tidak lebih tiga kali) ubat itu boleh diberi dan jika diberi lebih tiga kali maka nyatakan lat-latnya.

Bagi racun Kumpulan C42 pengamal perubatan berdaftar hanya boleh membekalkannya kepada pesakitnya sebagai suatu ubat yang dibahagi (dispens) atau sebagai suatu bahan dalam sesuatu ubat yang dibahagi.43

Bagi racun Kumpulan D44 pula, mengikut peruntukan seksyen 23, Akta Racun, 1952, ia hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan kepada pesakitnya jika telah di masukkan kedalam racun Kumpulan C dan telahpun dibenarkan di bawah seksyen 22 (iaitu sebagai ubat yang dibahagi atau sebagai suatu bahan dalam ubat yang dibahagi).

Jika racun Kumpulan C atau Kumpulan D seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dibekalkan oleh pengamal perubatan kepada pesakitnya maka suatu buku yang dikenali sebagai Buku Preskripsi perlulah disediakan dan dicatatkan butir berikut pada hari preskripsi45 itu dibuat46;
(a)          Tarikh ubat itu dibekalkan dan nombor siri buku preskripsi berkenaan (jika ada);
(b)         Nama racun dan bahan ubat; dan
(c)          Nama pesakit;


Pemilikan Dan Penggunaan Bahan-Bahan Psikotropik

Mengikut Peraturan 3(2), Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik), 1989,47 pengamal perubatan berdaftar adalah antara beberapa pihak yang dibenarkan oleh undang-undang untuk memiliki bahan psikotropik48 bagi maksud perubatan atau rawatan perubatan kepada pesakitnya sahaja.49

Apabila seseorang pengamal perubatan berdaftar membuat preskripsi bahan psikotropik kepada pesakitnya maka kaedah-kaedah mencatat butiran mengenai hal itu seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik), 1989, perlulah dipatuhi iaitu seperti yang berikut:

(a)          Preskripsi perlulah secara bertulis, ditandatangani oleh pengamal perubatan itu dan dicatatkan tarikhnya;
(b)         Nama, alamat dan nombor telefon pengamal perubatan berkenaan hendaklah dinyatakan;
(c)          Nyatakan umur, nama penuh dan alamat pesakit berkenaan;
(d)         Nyatakan jumlah amaun bahan saikotropik yang dibekalkan dan dosnya; dan
(e)          Nyatakan berapa kali (tidak lebih tiga kali) bahan psikotropik itu boleh dibekalkan dan jika dibekalkan lebih daripada sekali maka nyatakan latnya.

Pengamal perubatan itu sendiri dibenarkan terus memberikan bahan psikotropik kepada pesakitnya bagi tujuan perubatan pesakit berkenaan.50

Apabila sesuatu klinik pengamal perubatan berdaftar ada menyimpan bahan psikotropik maka peraturan-peraturan pengawalan penyimpanan bahan itu seperti mana yang ditetapkan di bawah Peraturan 24, Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik), 1989 perlulah dipatuhi, seperti yang berikut:
(1)         Bahan psikotropik itu hendaklah disimpan di dalam bilik, kabinet, peti atau bekas yang berkunci sepanjang masa, dan hanya dibuka bagi maksud-maksud yang berikut:
(a)          memberikannya kepada pesakit;
(b)         memasukkan bahan lain psikotropik di dalamnya; dan
(c)          Menjalankan semakan stok;

(2)         Bilik, kabinet, peti atau bekas itu hanya boleh dibuka dan dikunci oleh orang-orang yang dibenarkan memiliki bahan psikotropik itu sahaja (yakni pengamal perubatan itu sahaja);
(3)         Bilik, kabinet, peti atau bekas itu hendaklah dibina sedemikian rupa untuk menghalang kecurian atau pelarian bahan berkenaan. Pelabelan bahan psikotropik juga dipatuhi oleh pengamal perubatan berdaftar yang melangkumi.51

(a)       Pelabelan penyimpanan : Di mana nama bahan (dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil) yang hendaklah dicetak merah atau berlatar belakang merah (kecuali ia di dalam bekas tahan pecah yang dibekal oleh pembuatnya); dan

(b)      Bekas bahan psikotropik yang diberi atau dibekal kepada pesakit juga perlu mencatatkan nama penuh pesakit, cara penggunaannya yang tepat, tarikh bahan itu diberi, nama dan kekuatan bahan psikotropik itu, dan juga nama, dan alamat pengamal perubatan berkenaan.



14         Ataupun yang diberi oleh doktor gigi bagi maksud rawatan gigi atau preskripsi yang diberi oleh doktor verterinar bagi maksud rawatan – Peraturan 11 (1), Peratura-peraturan Dadah Merbahaya, 1952.
15         Peraturan 11(2), Ibid.
16         Orang yang mengagih (dispens) dadah atau sediaan yang telah dibuat preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar hendaklah mempastikan preskripsi itu, yang bertandatangan adalah tulen (ertinya dia yakin preskripsi bertandatangan itu adalah yang sebenarnya dan tidak diada-adakan oleh pihak ketiga atau pun dia berpuashati preskripsi itu tulen) – Peraturan-peraturan Dadah Merbahaya, 1952.
17         Lihat Nota kaki 11, op.cit, kecuali bagi sediaan yang dinyatakan di dalam Jadual Ketiga Peraturan-peraturan berkenaan, di mana peraturan-peraturan 11 dan 12 mengenai preskripsi tidak diperlukan untuk jenis dadah dan persediaan ini, lihat LAMPIRAN 1.
18         Namun begitu, pengamal perubatan berdaftar yang memasukkan butiran-butiran dadah atau sediaan yang dibekal atau diberikan olehnya kepada pesakit ke dalam suatu buku harian pengalaman tidak perlu lagi membuat daftar rekod, tetapi buku harian itu hendaklah dicatatkan setiap hari juga.
19         Ibid
20         Peraturan 15(1)(a), Peraturan-peraturan Dadah Merbahaya 1952.
21         Peraturan 15(6), Ibid
22         Peraturan 15(5), Ibid
23         Denda tidak melebihi RM2000 boleh dikenakan atas kesalahan ini – Peraturan 16(2), Peraturan-peraturan Dadah Merbahaya 1952.
24         “Ahli farmasi berdaftar” ialah ahli farmasi yang didaftar di bawah Akta Pendaftaran Ahli-ahli Farmasi, 1951 (Akta 371 Disemak Tahun 1989).
25         “Dadah” bermaksud sebarang bahan atau campuran bahan yang digunakan oleh manusia sebagai ubat, pada luaran tubuh atau dalaman tubuh, termasuklah anaestetik/sama ada seksyen 2(1), Akta Jualan Dadah, 1952.
26         Berkuat kuasa mulai 1 November 1952, Akta 368 disemak tahun 1989.
27         Untuk ini, lihat Nota kaki 8, op. cit.
28         Ini kerana ia merupakan kesalahan di bawah seksyen 10(1)(4), Akta Jualan Dadah, 1952.
29         Mengenai pelancungan dadah, lihat seksyen 15, Akta, Ibid yang termasuk:
(a)     Apabila mengandungi, dicampur, diaduk dengan bahan lain yang mengurangkan khasiat atau kurang ketulenannya;
(b)     Sebarang bahan atau ramuannya dikeluarkan atau ditinggalkan yang menjadikannya kurang ketulenannya;
(c)     Ia dicampur bahan-bahan komersil bermutu rendah;
(d)     Ia mengandungi bahan yang menjadikan dadah itu merosakkan kesihatan
30         Kecualilah ia pati bes isopropil alkohol yang telah diperiksa oleh Ketua Pengarah Kimia dan diluluskan sebagai bahan pati – Seksyen 10(a)(proviso), Akta Jualan Dadah, 1952.
31         “Rawatan Perubatan” bermaksud rawatan penyakit-penyakit pada manusia – seksyen 2, Akta Racun, 1952.
32         Jadual Racun (Jadual Pertama), Akta Racun 1952, adalah seperti di LAMPIRAN 3.
33         Berkuat kuasa mulai 1 September 1952 di Semenanjung dan 1 Jun 1978 di Sabah dan Sarawak. Akta 336 disemak tahun 1989.
34         Jadual Kedua, Akta Racun 1952, adalah seperti di LAMPIRAN 4.
35         Ibid.
36         Seksyen 15(2)(f), Akta Racun, 1952.
37         Op. cit. Nota kaki 32.
38         Seksyen-seksyen 18(1)(c), 19(1)(b), Akta Racun 1952.
39         Seksyen-seksyen 19 dan 20, Akta. Lihat Nota kaki 32 untuk Jadual Racun.
40         Seksyen 19(3) Akta.
41         Op. cit. Nota kaki 32.
42         Op. cit. Nota kaki 33
43         Seksyen 22(b), Akta.
44         Op. cit. Nota kaki 32.
45         “Preskripsi” di sini bermaksud sebarang arahan bertulis atau lisan kepada pembekal (yang boleh juga dibuat oleh pengamal perubatan itu sendiri) untuk membekal racun, atau ubat yang mengandungi racun – seksyen 24(2), Akta Racun, 1952.
46         Seksyen 23 Akta Racun, 1952.
47         P.U.(A) 66 Tahun 1989.
48         Dan ini termasuklah orang yang dengan sah dibenarkan memiliki di sisi undang-undang bahan-bahan saikotropik – Peraturan 32(2)(1)(i), Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik), 1989. Senarai Bahan-bahan Psikotropik ialah seperti di LAMPIRAN 5.
49         Peraturan 9, Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik), 1989.
50         Peraturan 16, Ibid.
51         Peraturan 26 dan 28, Peraturan-peraturan (Bahan-bahan Psikotropik), 1989.


JENIS-JENIS KETERANGAN PERUBATAN

Doktor biasanya dipanggil ke mahkamah sebagai saksi bagi jenis-jenis keterangan seperti yang berikut:
Yang pertama, doktor akan memberi keterangan sebagai saksi fakta. Apa yang dimaksudkan di sini ialah fakta-fakta yang diperoleh daripada pemeriksaan perubatan seorang doktor. Ia merupakan keterangan langsung mengenai sesuatu perkara yang doktor itu peroleh daripada pemeriksaan perubatannya. Contohnya dalam kes Lim Meng Huat lwn Pendakwa Raya,[1] seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasatan mayat seorang yang mati dibunuh, telah memberikan fakta mengenai luka luaran yang menembusi tubuhnya sedalam 12.5 sentimeter dan luka itu telah memotong banyak organ penting tubuh si mati. Ini merupakan keterangan fakta dan doktor itu merupakan saksi fakta. Dalam Pendakwa Raya lwn Subramaniam,[2] fakta perubatan yang diserahkan adalah mengenai keretakan di kepala seorang mangsa.[3] Dalam kes Abu Pramanik lwn E,[4] hakim Hidayatullah[5] ada menyebut bahawa saksi perubatan yang telah melakukan bedah siasat  ialah seorang saksi fakta dalam perkara itu.
Yang kedua, doktor juga akan memberi keterangan mengenai fakta yang ada dalam pengetahuannya semasa beliau menjalankan tugas sebagai doktor. Dalam hal ini, contohnya, seorang saksi perubatan hanya perlu menghuraikan bentuk kecederaan. Misalnya katakan A telah mengalami kecederaan di perut, dan diperiksa oleh doktor B. B akan memberi keterangan mengenai bentuk kecederaan A itu iaitu sama ada luka terhiris benda tajam atau luka lebam. Doktor itu tidak boleh memberi keterangan dengan menyatakan bahawa kecederaan itu teruk ataupun tidak.[6] Doktor B juga mungkin memberikan fakta bahawa A pernah datang mendapatkan rawatan kecederaan sebelum kejadian kecederaan kali kedua itu.

Selain dua bentuk persaksian perubatan yang telah dibincangkan di atas, doktor juga akan diminta memberikan pendapatnya, iaitu yang berkaitan dengan fakta-fakta yang dikemukakan kepadanya atau yang doktor itu peroleh semasa membuat pemeriksaan atau siasatan perubatan tertentu, khusus bagi tujuan menyediakan keterangan perubatan di mahkamah. Keterangan seperti ini dikenali sebagai “keterangan pakar”, dan doktor berkenaan akan hadir di mahkamah untuk memberi pendapat kepakarannya dalam bidang perubatan. Beliau disebut juga “saksi pakar”. Perkara-perkara mengenai saksi pakar ini akan dibincangkan di bawah tajuk yang seterusnya.

SAKSI PAKAR

Seperti yang dikatakan oleh penulis Cross dan Wilkins,[7] peraturan amnya ialah saksi-saksi hendaklah memberitahu fakta-fakta yang mereka lihat dan bukan menyatakan pendapat mereka, misalnya menyimpulkan apa yang mereka peroleh daripada fakta. Walau bagaimanapun, Seksyen 45 Akta Keterangan 1950[8] membuat pengecualian bagi peraturan am ini. Antara lain seksyen 45 memperuntukkan bahawa pendapat mengenai “sains atau seni” oleh orang yang khasnya mahir dalam sains atau seni itu adalah fakta relevan (iaitu yang berkaitan). Dengan itu pendapat berkenaan boleh diterima oleh mahkamah. Orang yang memberi keterangan atau pendapat itu dipanggil pakar.[9] Dengan demikian saksi pakar boleh diminta pendapat mereka berhubung persoalan seni dan sains yang sesuai dengan pengetahuan khusus mereka.[10] Ini termasuklah pakar dalam bidang perubatan. Penulis H.M. Zafrullah[11] menyatakan bahawa penerimaan testimoni pakar di bawah seksyen 45 Akta Keterangan merupakan satu daripada pengecualian kepada doktrin kuno bahawa seorang saksi tidak boleh memberi pendapatnya. Apakah yang dikatakan, “sains atau seni”? Penulis Ratanlal dan Takore[12] menyatakan bahawa termasuk semua perkara yang memerlukan suatu kursus kajian khas atau pengalaman kursus untuk membentuk suatu pendapat. Jadi, bidang perubatan juga adalah suatu sains. Apakah yang dikatakan “pakar”? Seksyen 45 Akta Keterangan ada menyatakan bahawa seseorang yang khasnya mahir merupakan pakar. “The Random House Dictionary” (1980)[13] mentakrif “pakar” sebagai seseorang yang mempunyai kemahiran atau pengetahuan khas dalam sesuatu bidang. Dengan demikian, pakar perubatan ialah seorang pakar atau ahli perubatan yang mempunyai kemahiran atau pengetahuan khas dalam bidang perubatan. Jadi mereka ini adalah “pakar” bagi maksud Seksyen 45 Akta Keterangan.

Setakat mana dan bagaimana bentuk penggunaan keterangan pakar perubatan? Bagi tujuan pemberian keterangan di bawah seksyen 45 Akta Keterangan, pakar perubatan itu perlulah memberi keterangan langsung secara lisan. Dengan kata lain beliau perlu hadir sendiri di mahkamah untuk memberi pendapatnya itu. Jika pakar perubatan itu cuma menyerahkan laporan yang menyatakan pendapatnya berhubung perkara tertentu, itu tidak boleh diterima sebagai keterangan saksi pakar.[14]

Perlulah ditekankan bahawa seorang pakar perubatan yang memberi keterangan di mahkamah bukanlah seorang saksi fakta[15] tetapi hanya memberi pendapatnya dalam persoalan-persoalan yang dikemukakan. Perkara ini telah disebutkan oleh hakim S.K. Das dan Sarkar dalam kes Abu Pramanik lwn E,[16]
            “Apabila seorang ahli perubatan dipanggil sebagai saksi pakar, dia bukanlah saksi fakta dan keterangannya bukanlah keterangan langsung mengenai bagaimana sesuatu kecederaan yang menjadi persoalan telah berlaku. Dia cuma memberikan pendapatnya mengenai bagaimana kecederaan itu besar kemungkinan berlaku”.

Contoh-contoh apabila keterangan pakar perubatan digunakan oleh mahkamah adalah seperti berikut:
Dalam kes Ling Meng Huat lwn Pendakwa Raya,[17] seorang pakar patologi forensik telah menjalankan  bedah siasat mayat seorang yang mati dibunuh. Pakar tersebut mendapati ada luka luaran akibat tikaman yang teruk. Dia juga mendapati luka luaran itu telah menembusi tubuh mangsa sedalam 12.5 sentimeter, dan merosakkan banyak organ penting dalam tubuhnya. Pakar itu menyatakan kepada mahkamah bahawa luka sedemikian adalah mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian mangsa. Dalam kes Tan Hung Thiam dan seorang lagi lwn Pendakwa Raya,[18] seorang doktor pakar telah diminta hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan pakar mengenai luka tikaman pada si mati yang telah menyebabkan kematiannya dan mengenal pasti senjata yang menyebabkan luka tersebut.

Oleh sebab pakar perubatan memberi keterangan berdasarkan pendapatnya maka keterangan seseorang pakar perlulah dipertimbangkan secara berhati-hati.[19] Contohnya, dalam kes Doddamani lwn State,[20] Mahkamah Tinggi India menyatakan bahawa pendapat yang diberikan oleh seorang pegawai perubatan adalah paling baik bagi suatu pendapat dan tidak boleh menyanggah keterangan positif saksi-saksi berkenaan bila kali terakhir si mati makan dan bila dia ditikam. Begitu juga contohnya dalam kes Mukanda lwn State,[21] Mahkamah Tinggi Rajasthan memutuskan bahawa anggaran perubatan tidak boleh menyangkal keterangan lain berkaitan masa si mangsa dibelasah.

Keterangan pakar perubatan bukanlah dengan sendirinya membuktikan kes pihak pendakwa atau plaintif. Keterangan sedemikian hanya untuk menyokong kes pendakwa atau plaintif dan tidak lebih daripada itu. Contohnya mahkamah dalam kes Sunil Chandra Roy lwn State[22] memutuskan bahawa keterangan perubatan boleh membuktikan bahawa kecederaan itu mungkin boleh atau mungkin tidak boleh menyebabkan kematian.

Seorang pakar perubatan tidak perlu memberi pendapat tentang sesuatu kelaziman. Contohnya dalam R lwn Turner,[23] mahkamah memutuskan bahawa seorang pakar sakit jiwa tidak boleh memberi keterangan bahawa pihak tertuduh yang normal akalnya mungkin akan naik berang apabila teman wanitanya mengaku berdosa. Ini kerana adalah suatu kecenderungan yang sememangnya diketahui oleh para juri.

Selanjutnya telah diputuskan dalam kes-kes Hari Singh lwn Lachmi Devi,[24] Baswantrao Bajirao lwn E[25] dan In goods of Gopessuar Dutt,[26] bahawa pendapat ahli perubatan yang tidak menyaksikan sendiri fakta tetapi diberi berasaskan fakta-fakta yang dinyatakan oleh saksi lain tidak begitu kukuh berbanding keterangan doktor yang merawat sendiri pesakit.[27]


[1]           (1982) 2 M.L.J. 294. Kes dari Singapura.
[2]           (1969) 1 M.L.J. 145.
[3]           Ibid. Walau bagaimanapun, dalam kes ini keterangan fakta itu diberi di bawah Seksyen 399 Kanun Prosedur Jenayah yang tidak memerlukan kehadiran doktor – lihat penghakiman hakim Ab. Aziz di hlm. 145 Jernal.
[4]           (1942) C.239; 199 I.C 610; 43Cr.L.J. 567; 74 C.L.J. 423.
[5]           Ibid.
[6]           (1885) A.W.N. 297.
[7]           ‘Outline of Law Of Evidence” (1975) Edisi Keempat, hlm 89.
[8]           Akta 56 (Disemak tahun 1971). Peruntukan Seksyen 45 Akta adalah seperti di LAMPIRAN 10.
[9]           Seksyen 45(2) Akta Keterangan, 1950.
[10]         Cross dan Wilkins, op. cit. Nota kaki 9.
[11]         “Expert Testimony – Some Reflections From Malaysia” (1980) J.M.C.L. hlm. 244.
[12]         “Law of Evidence” (1970) hlm. 131.
[13]         Jess Stein (Ed), Ballentine Books, New York; 1980
[14]         Lihat Perumal Mudaliar lwn South Indian Railway Co. Ltd. I.L.R. (19370 M764; (1937) M 407; 1711.C.259, kes Bhoore Singh lwn Karen Singh 1935 A 142 dan Ahilia Menaji lwn E 47B 74; 84 I.C.643; (1923) B 183; 26 Cr.L.J. 339. Ini kerana menurut penulis H. M. Zafrullah, op. cit. Nota kaki 13 hlm. 224, untuk mempastikan pihak yang satu lagi dalam sesuatu tindakan atau prosiding diberikan, peluang untuk menyoal balas saksi. Ini bertujuan mempastikan pendapat itu “ditapis” oleh proses soal balas sebelum diterima sebagai keterangan. Dengan demikian jika pihak yang satu lagi itu telah menerima laporan bertulis dari pakar itu sebagai suatu keterangan tanpa memanggil pakar itu untuk diperiksa di mahkamah, maka pihak itu tidak lagi boleh membantah kebolehterimaannya semasa kes itu dirayu – Dil Mohamad lwn Med Sain Das 150 I.C. 351; (1934) L. 230.
[15]         “Saksi fakta” adalah seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
[16]         Op. cit. Nota kaki 6.
[17]         Op. cit. Nota kaki 3
[18]         (1991) 2 M.L.J. 137.
[19]         Daerao lwn E (1946) N.321
[20]         (1961) 1 Cr.L.J.120.
[21]         (1957) Cr.L.J.1178.
[22]         (1954) C.305
[23]         (1975)1 All E.R. 70
[24]         59 I.C.230 ; 1921 L 126.
[25]         1949 N.66
[26]         39 G 245 ; 13 I.C. 577
[27]         Lihat M.Monir, “Principle and Digest of the Law of Evidence (1977) hlm. 627.


Di atas adalah cabutan daripada Bab 3 dan Bab 5, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2006. Tanggungjawab Doktor dan Hak Pesakit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 21-25, 52-57. Harga RM30









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.