Feb 21, 2011

Pihak Yang Boleh Diberikan Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan

Terdapat beberapa kategori pihak-pihak tertentu yang dibenarkan diberi Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan Sementara dan Permit oleh Pihak Berkuasa Negeri seperti yang diperuntukan di bawah s 43 Kanun Tanah Negara 1965. Pihak-pihak itu ialah:


(a)        Orang biasa yang sudah dewasa;
(b)       Perbadanan;1
(c)        Organisasi berdaulat, kerajaan, organisasi dan orang lain yang dibenarkan memegang tanah di bawah peruntukan Ordinan Keistimewaan-Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957; dan
(d)       Badan-badan yang secara nyata dibenarkan memegang tanah oleh undang-undang bertulis yang lain.

          Oleh yang demikian, orang-orang persendirian yang sudah dewasa boleh diberi Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan Sementara atau Permit. Mengikut Akta Umur Dewasa, 1971,2 seseorang dianggap di sisi undang-undang sebagai telah dewasa apabila mencapai umur 18 tahun. Walaupun s 43 Kanun Tanah Negara 1965 cuma menyebut mengenai syarat umur dewasa tetapi ia juga merujuk orang-orang yang waras fikiran (tidak gila dan mempunyai kelemahan mental lain) seperti yang ditakrifkan oleh Ordinan Kekusutan Mental, 1952.3 Ini disebabkan orang sedemikian juga tidak mampu menguruskan dirinya dan perhubungannya di sisi undang-undang kontrak adalah tidak sah.4

          Perbadanan juga boleh diberi Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan Sementara dan Permit. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perbadanan’ di sini? Tidak ada takrif perbadanan yang diberikan, sama ada dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Tafsiran, 1967.5 Mengikut The Concise Dictionary of Law,6 ‘perbadanan’ ialah suatu entiti yang mempunyai personaliti undang-undang iaitu suatu entiti yang berupaya menikmati dan tertakluk kepada hak-hak dan tanggungjawab di sisi undang-undang.7

Contohnya dalam kes Tindok Besar Estate Sdn. Bhd. lwn Tinjar Co.,8 Lesen Pendudukan Sementara telah diberi kepada sebuah syarikat.

          Selain itu, badan-badan lain atau kerajaan yang dibenarkan dalam peruntukan Ordinan Keistimewaan-Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957, boleh juga diberi Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan Sementara dan Permit.

          Begitu juga badan-badan yang dibenarkan secara nyata oleh undang-undang bertulis yang lain antaranya untuk berurusan dan memegang serta memiliki tanah, boleh diberi Hakmilik, Pajakan, Lesen Pendudukan Sementara dan Permit. Peruntukan s 43(d) Kanun Tanah Negara 1965 ini bertindan dan termasuk dalam s 43(b) Kanun yang sama.

NOTA:

SEBAHAGIAN BESAR DARIPADA ISIKANDUNGAN ARTIKEL INI ADALAH CABUTAN DARIPADA BUKU, ABDUL AZIZ HUSSIN, 1996. UNDANG- UNDANG TANAH: LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA DAN PERMIT. KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.       


1     Tanpa mengira sama ada perbadanan itu diberi kuasa untuk memiliki tanah atau tidak, perbadanan itu masih boleh diberi permit untuk mengambil dan mengalih batu-batan – Proviso s 43, Kanun Tanah Negara. 1965
2     Akta No. 21
3       Ordinan No. 31
4      S 12 (3) Akta Kontrak 1950
5     Akta No. 23
6     Elizabeth A. Martin (ed.), 1983, Oxford University Press.
7     Ia pula boleh jadi perbadanan berbentuk arregat iaitu yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, 1965 atau Akta Perkongsian, 1961 atau boleh juga merupakan suatu perbadanan tunggal iaitu yang dipunyai oleh seorang ahli sahaja iaitu yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956. Ia boleh jadi juga sebuah badan yang ditubuhkan di bawah statut-statut khusus seperti Perbadanan Kemajuan Negeri, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Lembaga-Lembaga Pelabuhan, Lembaga atau Institut penyelidikan. Perbadanan juga termasuklah badan-badan yang berdaftar atau ditubuhkan bawah kuatkuasa undang-undang tertentu seperti koperasi yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan pertubuhan sahsiah dan faedah bersama, seperti persatuan-persatuan, yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
8         [1979] 2 M.L.J. 229



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.