Feb 23, 2011

KEWAJIPAN STATUTORI MAJIKAN DALAM MENYEDIAKAN PERALATAN KESELAMATAN PEKERJA

(a)        Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Menurut Seksyen 15(i) Akta, adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan untuk memastikan,  yang praktik, keselamatan semasa bekerja semua pekerjanya.  Sehubungan dengan ini, menurut peruntukan seksyen 15(2)(c), antara lain, majikan diwajibkan mengada maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan pekerjanya yang sedang bekerja.
            Berkaitan perkara ini, penulis tertarik dengan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban pada 27 Oktober 2003 dalam kes Pendakwa Raya lwn. Hualon Corp. (M) Sdn. Bhd.3  Syarikat berkenaan didenda RM25,000.00 (atau 2 bulan penjara jika gagal membayar denda) setelah didapati bersalah dan disabitkan atas kesalahan dibawah seksyen 15 (i)  Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, kerana gagal menyediakan peralatan keselamatan kepada pekerja-pekerjanya semasa kerja-kerja penyelenggaraan (yang mengakibatkan seorang maut dan lima orang lagi tercedera).  Fakta yang relevan dengan hal ini adalah seperti berikut:
                        Pada 17 Oktober 1998, enam orang pekerja memasuki satu kawasan tertutup tanpa mematuhi sebarang prosedur keselamatan (seperti memakai peralatan keselamatan) dan latihan.  Akibatnya mereka semua pengsan (dan seorang mati) akibat tiada sistem pengudaraan dan juga kerana gas nitrogen yang bocor.  Syarikat berkenaan didakwa gagal dalam membekalkan pekerja-pekerja itu dengan peralatan keselamatan yang sesuai atau arahan dan latihan khusus bagi mempastikan keselamatan mereka semasa bekerja membaiki paip nitrogen yang bocor didalam satu kawasan tertutup di dalam kilang tersebut.
            Menurut peruntukan seksyen 19 Akta yang sama, seseorang yang melanggar, antara lain seksyen 15 diatas, adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(b)        Di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967.
Menurut seksyen 24 Akta ini, dimana seseorang di dalam mana-mana kilang (yang termasuklah tapak pembinaan) adalah terdedah kepada basah atau keadaan habuk, bunyi bising, haba panas atau apa-apa bahan beracun, kakis atau lain-lain bahan berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan tubuh badan, maka Menteri (Menteri yang berkenaan buruh dan pekerjaan) boleh membuat arahan mengenai penyediaan dan penyenggaraan untuk kegunaan orang-orang itu (pekerja-pekerja berkenaan) pakaian atau peralatan pelindung diri yang sesuai dan mencukupi termasuklah seperti pelindung muka, sarung tangan, penutup lutut, topi, kasut dan minyak atau losyen pelindung.  Diperuntukkan dibawah seksyen 51(2) Akta ini bahawa mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan Akta (termasuklah melanggar peruntukan seksyen 24 yang telah dibincangkan di atas) dan didapati bersalah, maka apabila disabitkan dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00.
            Perkara khusus mengenai jenis-jenis peralatan keselamatan pekerja (yang perlu disediakan oleh majikan dan dipakai atau digunakan oleh pekerja semasa bekerja) adalah sepertimana yang dinyatakan di dalam Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Operasi Bangunan dan Kerja-kerja Pembinaan Kejuruteraan)(Keselamatan) 1986.  Dibawah peruntukan Peraturan 154, Peraturan-peraturan tahun 1986 ini, mana-mana orang yang melanggar Peraturan-peraturan ini adalah melakukan kesalahan, yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000.00. Berdasarkan betapa seriusnya perkara ini pada masa ini daripada kesannya kepada pekerja berkenaan secara khususnya (terutama berkaitan kesan kemalangan dan kekerapan kemalangan yang berlaku), dan kepada industri pembinaan secara amnya, penulis berpendapat amaun denda ini agak rendah. Perlu juga disebutkan bahawa seperti diperuntukan oleh Peraturan 3,  Peraturan-peraturan tahun 1986 ini terpakai kepada kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja dalam pembinaan kejuruteraan.
            Di bawah ini diperturunkan iktisar beberapa Peraturan di bawah Peraturan-peraturan tahun 1986 yang berkaitan dengan peralatan-peralatan keselamatan:
Peraturan 7:
            Apabila pekerja terdedah kepada bahaya terjatuh kedalam air dan mungkin lemas, maka peralatan keselamatan yang mencukupi perlulah disediakan untuk menjadikan orang itu tidak tenggelam dan untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat.
Peraturan 12:
            Pakaian keselamatan yang sesuai untuk melindungi daripada terkena alkali, asid atau bahan-bahan kakisan, toksid atau bahan-bahan berbahaya yang lain hendaklah disediakan kepada pekerja.
Peraturan 13:
Apabila kerja-kerja kimpalan, pemotongan, penebukan, penghirisan dan lain-lain yang api percikan kecil mungkin berlaku, maka pekerja berkenaan hendaklah dibekalkan dengan peralatan perlindungan mata yang sesuai.
Peraturan 14:
Apabila peralatan bantuan pernafasan diperlukan dalam melaksanakan kerja, maka peralatan tersebut, yang perlu senantiasa diselenggara, hendaklah disediakan.
Peraturan 15:
Apabila pekerja dikehendaki melalui atau bekerja dalam kawasan-kawasan yang ada kemungkinan ditimpa benda-benda atau bahan-bahan yang jatuh, maka topi keselamatan perlu disediakan.
Apabila pekerja dikehendaki bekerja di dalam air, simen cair atau keadaan yang menyebabkan kaki basah, maka but kalis air mesti disediakan. 
Pekerja-pekerja yang dikehendaki menggunakan bahan-bahan kakisan dan toksid hendaklah disediakan peralatan dan pakaian perlindungan sewajarnya.
Peraturan 24:
Semua orang yang melaksanakan sebarang kerja atau servis dalam kawasan tapak bina hendaklah memakai topi keselamatan.
Peraturan 39:
Majikan dikehendaki menyediakan dan menghendaki pekerjanya memakai peralatan-peralatan keselamatan apabila terlibat dalam kerja-kerja membersih, membaiki dan menyenggara bumbung, talang, tingkap, ram dan lobang angin.
Peraturan 40:
Pekerja yang bekerja dibumbung dengan kecerunan bernisbah 1:4 dikehendaki disediakan tali berpenyangkut (mengikut kehendak Peraturan 41) atau papan angkat (mengikut kehendak Peraturan 42) (kecualilah telah disediakan tali pinggang keselamatan).
Peraturan 50:
Tali pinggang keselamatan, tali keselamatan dan semua peralatan tali keselamatan hendaklah cukup kekuatannya (kekukuhannya) dan daripada jenis yang diluluskan oleh Ketua Inspektor Kilang dan Jentera.
Selain daripada Peraturan-peraturan tahun 1986 itu, terdapat satu lagi Peraturan yang berkaitan dengan penyediaan dan menggunakan peralatan keselamatan pekerja yang diwujudkan dibawah Akta Kilang dan Jentera 1967.  Peraturan-peraturan tersebut ialah Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970.  Peraturan yang berkaitan adalah peraturan 32, iaitu antaranya seperti berikut:
Topi Keselamatan-
Sesiapa yang terdedah kepada objek jatuh atau melayang dan melantun ke kepala hendaklah memakai topi keselamatan industri yang cukup lengkap.
Penutup Muka-
Dalam hal melakukan kerja-kerja seperti menggerudi kering logam, melarik bahan-bahan logam, memotong, menghiris atau memecah logam, batu atau konkrit, maka penutup muka atau skrin muka hendaklah disediakan untuk melindungi mata pekerja itu atau orang-orang berdekatan kerja itu.
Penutup Telinga dan Skrin-
Orang yang bekerja dalam keadaan kebisingan intensif berpanjangan hendaklah disediakan dengan alat penutup telinga yang sesuai.
Seseorang yang bekerja yang terdedah kepada percikan, besi cair, benda terbang atau benda asing hendaklah disediakan penapis telinga.
Pakaian Perlindungan-
Setiap orang yang terdedah kepada bahan-bahan kakisan atau lain-lain bahan berbahaya hendaklah disediakan pakaian, penyangkut, apron, penutup, sarung tangan dan lain-lain pakaian perlindungan kalis cecair.
Sarung Tangan-
Setiap orang yang melaksanakan kerja proses melibatkan benda tajam, objek kakisan, benda asahan, toksid atau bahan berjangkit maka hendaklah disediakan sarung tangan yang sesuai.
Alatan Pernafasan-
Mana-mana orang yang terdedah kepada bahan meruwap, gas berbahaya, berhabuk, toksid atau persekitaran bahaya akibat kekurangan oksigen maka hendaklah disediakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
Menurut Peraturan 41,  Peraturan-peraturan tahun 1970 ini, seseorang yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-peraturan ini (misalnya Peraturan 32 yang telah dibincangkan sebelum ini) maka ia melakukan kesalahan yang apabila disabitkan, boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM1,000.00.
Terdapat satu kes mahkamah yang relevan dengan pematuhan penyediaan peralatan keselamatan kepada pekerja, iaitu Wong Soon San lwn. Malayan United Industrial Co. Ltd.4  Fakta yang relevan adalah seperti berikut:
            Plaintif adalah seorang juru mesyin yang diambil kerja oleh defendan yang merupakan pengilang alatan dapor.  Plaintif menjalankan kerja melarik dan membentuk kepingan zink.  Sekeping zink kecil telah terpelanting dan tertusuk ke dalam mata kanan plaintif dan akibatnya plaintif buta mata kanannya.  Plaintif tidak disediakan alat pelindung mata atau muka seperti yang dikehendaki dibawah Peraturan 16(3) Peraturan-peraturan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1956.
Mahkamah memutuskan defendan (yakni tuan punya kilang) melanggar peruntukan statut itu, dan juga dibawah common law (iaitu melanggar tugas berhati-hati terhadap plaintif, iaitu pekerjanya). Hakim Raja Azlan Shah ada menyatakan:
            “Saya sedar    bahawa Peraturan-peraturan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) adalah ditujukan bukan         sahaja untuk melindungi pekerja-pekerja  yang cermat, cerdik dan patuh tetapi juga kepada pekerja-pekerja yang bodoh, cuai, tidak  munasabah atau engkar”.
            Dalam kes Ho Teck Fah lwn. Looi Wah t/a Loooi Construction5, seorang tukang kayu mahir (plaintif) diambil bekerja oleh sebuah syarikat pembinaan (defendan). Semasa plaintif sedang memasang atap di sebuah bangunan kilang, dia tergelincir dan jatuh. Akibatnya dia mengalami kecederaan teruk dan lumpuh separuh badan. Semasa menjalankan kerja tersebut, dia tidak disediakan peralatan keselamatan yang sesuai (yakni tali yang mengikatnya agar tidak jatuh). Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan defendan telah gagal dalam tugas statutori 9 yakni peruntukan Peraturan-peraturan 12 dan 38(3) Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970) kerana gagal mengambil langkah menjaga keselamatan pekerjanya yang sedang bekerja. Namun mahkamah juga mendapati plaintif turut cuai-sumbang dalam kemalangan tersebut atas kadar 40%.


3 The Star, 20 Oktober 2003
4 (1967) 1 M.L.J. 1
5 [1981] 1 M.L.J.162


Di atas adalah cabutan artikel, Abdul Aziz Hussin (2004) Pematuhan Penggunaan Peralatan  Keselamatan Pekerja Di Tapak Bina Industri Pembinaan. KANUN (Journal of Malaysian Law), Jun. 16 KANUN (2): 1-14.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.