Feb 21, 2011

Pembuktian

PROSEDUR PEMBUKTIAN


Prosedur pembuktian dalam kes-kes sivil ada sedikit perbezaaannya (dan lebih mudah) daripada prosedur pembuktian dalam kes-kes jenayah. Berikut ini diberikan ringkasan kedua-dua prosedur berkenaan:

Pertama, prosedur pembuktian dalam kes-kes sivil.

Untuk makluman, prosedur pembuktian dalam kes-kes sivil adalah menggunakan Kaedah-kaedah Mahkamah (sama ada Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan) dan juga Akta Keterangan 1950. Dalam kes-kes sivil, seperti tuntutan gantirugi dalam tort1 (pencerobohan, kecuaian, dan lain-lain) dan kontrak2 (pelanggaran kontrak), dan sepertinya, ia dimulakan dengan plaintif (yakni pihak yang menuntut) mengemukakan satu tuntutan bertulis yang dinamalan “Penyata Tuntutan” kepada pihak defendan (yakni pihak yang dituntut). Penyata Tuntutan adalah merupakan kenyataan bertulis yang dinyatakan didalamnya fakta yang plaintif akan sandarkan dan  relif yang plaintif tuntut, misalnya gantirugi. Penyata Tuntutan ini difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah berkenaan. Kemudiaannya defendan akan menyediakan pembelaan (jika dia ingin mempertahankan kesnya). Kenyataan bertulis pembelaan oleh defenden ini dikenali sebagai “Penyata Pembelaan”. Penyata Pembelaan ini, selain didaftarkan di mahkamah, akan diserahkan kepada plaintif. Dengan itu jika defendan berdiam diri dan tidak membuat sebarang Penyata Pembelaan maka dia dianggap tidak menafikan fakta-fakta yang dinyatakan didalam Penyata Tuntutan, dan seterusnya defendan dianggap menerima fakta yang dinyatakan oleh plaintif. Sebagai tambahan, ada juga kes dimana selain daripada membuat Penyata Pembelaan, defendan turut pula menyertakan “Penyata Tuntutan Balas” terhadap plaintif. Proses yang dilalui oleh plaintif seterusnya dalam menerima atau menafi Penyata Tuntutan Balas adalah serupa dengan yang defedan lakukan dalam menjawab Penyata Tuntutan.

Semua proses di atas dipanggil “pliding”. Pada akhir proses pliding tersebut, pliding pun ditutup. Kemudiannya, semua dokumen yang relevan dengan kes akan disenaraikan yakni yang dinyatakan faktanya didalam Penyata Tuntutan, Penyata Pembelaan, Penyata Tuntutan Balas (jika ada) hendaklah dikemukakan kepada kedua-dua pihak. Ini bererti mereka (plaintif dan defendan) akan saling bertukar-tukar senarai dokumen yang akan digunakan. Akan terdapat dokumen-dokumen yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak – dokumen-dokumen ini akan dihimpunkan dan dikenali sebagai “Ikatan Dokumen Yang Dipersetujui”. Jika sesuatu dokumen itu dikemukakan oleh mana-mana satu pihak untuk digunakannya dalam proses pembuktian di mahkamah tetapi pihak yang satu lagi tidak bersetuju dengan pengemukaan dokumen atau dokumen-dokumen itu atau kandungan dokumen itu maka dokumen-dokumen itu juga akan dihimpun dan dikenali sebagai “Ikatan Dokuman Yang Dipertikaikan”.

Katakan proses di atas telah selesai, maka kes ini akan dimulakan perbicaraannya.

Perbicaraan bermula dengan kenyataan fakta oleh pihak plaintif dan diikuti dengan memanggil saksi-saksi. Saksi-saksi ini juga biasanya akan memberi keterangan-keterangan di mahkamah dalam bentuk kenyataan (testimoni) atau pengemukaan dokumen, dan lain-lain. Defendan juga akan melalui proses yang serupa.

Kedua, prosedur pembuktian dalam kes jenayah:

Untuk makluman pembaca, rujukan utama dalam pengurusan prosedur pembuktian dalam kes-kes jenayah adalah Kanun Acara Jenayah (N.M.B. Bad 6 & Pindaan serta Perluasan melalui Akta A324 tahun 1976), dan juga Akta Keterangan 1950.

Dalam kes jenayah3, pendakwa (yang dibuat atas nama atas nama “Pendakwaraya”) akan memanggil saksi untuk mengemukan keterangan (testimoni) bersama dengan lain-lain keterangan seperti dokumen dan barang atau benda. Ini diikuti pula oleh pihak Kena Tuduh yang juga akan mengemukakan saksi dan lain-lain keterangan (seperti dokumen, barang dan lain-lain).

PROSES KETERANGAN DAN PEMBUKTIAN


Daripada kedua-dua proses di atas, samaada sivil atau jenayah, nampak jelas bahawa perkara paling utama adalah berkaitan keterangan – yakni keterangan untuk menyokong pihak masing-masing. Seperti dinyatakan sebelum ini, perkara-perkara mengenai keterangan, di Malaysia, adalah ditetapkan dibawah Akta Keterangan 1950.

Daripada proses yang dinyatakan sebelum ini, persoalan utama yang ditimbulkan adalah: Bagaimana fakta sesuatu kes itu dibuktikan?
Terdapat lima cara sesuatu fakta itu dibuktikan, iaitu:
Pertama,   melalui kenyataan saksi (disebut juga testimoni)4;
Kedua,      melalui cara dengar-cakap;
Ketiga,      melalui pengemukaan dokumen;
Keempat,  melalui pengemukaan benda-benda atau barang-barang lain selain dokumen; dan
Kelima,     melalui fakta-fakta lain sebagai keterangan kepada fakta yang akan dibuktikan.

Di bawah ini dibincangkan setiap satunya:

Pertama, testimoni.

             Testimoni adalah kenyataan (ungkapan atau perkataan) yang seseorang saksi itu berikan di mahkamah semasa perbicaraan. Saksi yang dipanggil ke mahkamah akan mengangkat sumpah atau membuat ikrar. Namun dalam sebahagian kes, dia boleh dikecualikan daripada mengangkat sumpah (tetapi taraf kesaksiannya adalah rendah). Selepas itu orang berkenaan akan menyatakan butiran dirinya (seperti nama, tarikh lahir, tempat tinggal, tempat bertugas, jawatan, dan lain-lain yang relevan dengan kes). Kemudiannya saksi itu akan menyatakan fakta-fakta mengenai kes yang sedang berjalan itu. Saksi perlu membuat kenyataan tegas (asersi) yang akan menjadi keterangan tentang kebenaran apa yang dinyatakannya itu. Inilah yang dikatakan sebagai “testimoni”. Diperingkat ini mahkamah akan pengandaikan saksi berkenaan bercakap benar. Walau bagaimana pun ini tertakluk kepada saksi itu akan disoal, disoal-balas dan disoal semula, masing-masing oleh pendakwa atau plaintif dan yang kena tuduh atau defendan, mengikut mana yang berkenaan. Ini bagi mempastikan samaada saksi itu bercakap benar atau sebaliknya. Dengan itu testimoni adalah butiran perkara asas dalam proses pemberian keterangan semasa perbicaraan di mahkamah. Perlulah juga disebutkan bahawa saksi itu hendaklah seorang yang kompeten yakni dewasa (namun kanak-kanak yang tahu bentuk sumpahnya  juga boleh dianggap kompeten oleh mahkamah) dan waras fikirannya (yakni siuman – tidak gila, mabuk, meracau, nyayok, dan lain-lain).

Kedua, kenyataan dengar-cakap.

             Kenyataan dengar-cakap adalah kenyataan yang dibuat oleh orang yang selain daripada yang dibuat oleh orang yang memberi keterangan secara lisan di mahkamah itu sendiri. Ianya keterangan atau cerita mengenai apa yang orang lain telah katakan atau sebutkan. Contohnya Kamal menyebut, “Saya dengar Aziz berkata bahawa, ‘aku akan bunuh Zainab’.” Biasanya kenyataan dengar-cakap tidak diterima sebagai keterangan di mahkamah. Namun dalam beberapa kes, mahkamah mempunyai budibicara untuk menerimanya jika perlu dan relevan dengan kes (terutamanya dalam kes-kes sivil).

Ketiga, dokumen.

             Dokumen bermaksud mana-mana perkara yang dinyatakan atau dijelaskan atas apa bahan dengan cara huruf, angka atau tanda, atau oleh mana-mana lebih daripada satu cara itu, yang dimaksudkan untuk diguna atau boleh diguna untuk tujuan merekodkan perkara tersebut. Dengan itu kertas bertulis atau bercetak, peta, pelan, model, rajah, lukisan, dan seumpamanya adalah “dokumen”. Dokumen boleh dikemukakan kepada mahkamah untuk pelbagai tujuan. Kandungan dokumen berkenaan boleh diterima oleh mahkamah sebagai keterangan asli.

             Dokumen-dokumen terbahagi kepada “dokumen awam” atau “dokumen persendirian”. Dokumen awam adalah seperti Warta Kerajaan, triti, statut (Akta, Ordinan, Enakmen, Peraturan, Kaedah, Perintah), perisytiharan, dan juga keputusan-keputusan mahkamah. Catatan-catatan dan daftar di pejabat-pejabat kerajaan juga adalah juga dokumen awam. Dokumen persendirian pula adalah lain-lain dokumen selain daripada dokumen awam.

             Perlulah dinyatakan bahawa dokumen-dokumen berbentuk tulisan tangan perlulah dibuktikan oleh penulisnya sendiri atau oleh orang yang melihat orang itu menulis tulisan berkenaan.

Keempat, benda atau barang.

             Benda-benda kadangkala dikemukakan juga kepada mahkamah sebagai keterangan, bagi tujuan mahkamah memeriksanya. Contohnya sebilah parang yang terdapat kesan darah, sehelai baju yang ada kesan tembakan, dan lain-lain. Ia akan dibawah ke mahkamah dan dikemukakan sebagai barang kes (ekshibit). Namun jika barang atau benda itu tidak sesuai dibawa untuk dipamerkan di mahkamah (misalnya sebuah meriam penangkis kapalterbang atau sebuah jentolak) maka memadai dengan ditunjukkan gambarnya sahaja kepada mahkamah (dan mahkamah mempunyai budibicara untuk pergi memeriksa benda tersebut ditempat ia berada).

             Keterangan berbentuk benda atau barang ini juga dikenali sebagai keterangan jati. Ia biasanya mempunyai nilai yang tinggi dalam keterangan dan senang diterima oleh mahkamah sebagai keterangan. Ini kerana mahkamah mendapat terus keterangan itu tanpa perlu bergantung kepada huraian-huraian atau kenyataan-kenyataan oleh saksi.
Kelima, fakta-fakta yang relevan.

             Kadangkala fakta dalam isu sesuatu kes itu (misalnya fakta En. Y telah cuai memandu dengan cara memandu disebelah kanan jalan) perlulah disimpulkan daripada fakta-fakta lain. Fakta itu dikenali sebagai fakta yang relevan dengan isu, dan ia boleh diberi keterangan secara testimoni, dengar-cakap, dokumen, barang atau benda atau lain-lain fakta.


1           Bacaan lanjut bagi tort, lihat Abdul Aziz Hussin & Ab. Rashid Ab. Aziz, 2001. Undang-Undang Tort Dalam Industri Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit USM.
2           Untuk bacaan bagi  bidang kontrak, lihat Abdul Aziz Hussin. 2001. Pengenalan Kepada Undang-Undang Kontrak. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
3           Bagi bacaan lanjut, sila rujuk Abdul Aziz Hussin, 1991. Panduan Umum Undang-Undang Jenayah di Malaysia. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka. Untuk jenayah yang lebih khusus lihat Abdul Aziz Hussin. 2001. Undang-Undang Kesalahan Terhadap Diri. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka; Abdul Aziz Hussin, 1997. Undang-Undang Berkaitan Dengan Rahsia Rasmi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka; Abdul Aziz Hussin. 1997. Undang-Undang Berkaitan Mata Wang. Kuala Lumpur: MDC Penerbit Pencetak; Abdul Aziz Hussin. 1996. Undang-Undang Berkaitan Dengan Cek. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
4           Mengenai perkara-perkara berkaitan “saksi”, lihat artikel Abdul Aziz Hussin, “Memberi Keterangan Sebagai Saksi Di Mahkamah”, MATRA Jan/Mac 2003 Bil. 15.

Di atas adalah cabutan daripada artikel Abdul Aziz Hussin (2003) Peranan Keterangan Dalam Pembuktian Fakta Kes. Majalah MATRA. Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Polis Malaysia, Januari-Mac (14): 5-8.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.