Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan salah satu aktiviti pengurusan sumber manusia yang penting dan berperanan untuk mencegah kecederaan dan kemalangan kepada pekerja semasa menjalankan kerja (Ayers & Kleiner, 2002). Namun, perlaksanaan amalan ini sewajarnya dilaksanakan oleh semua pihak termasuk pihak kerajaan, klien, konsultan dan pihak lain yang terlibat. Penglibatan pihak pengurusan dalam aspek keselamatan sememangnya dapat mengurangkan berlakunya kemalangan di tempat kerja (Nance, 1999). Pengurusan merupakan kunci kepada peningkatan perlaksanaan keselamatan dalam organisasi (Freda, Arn and Gatlin-Watts, 1999; Hinze, 1997; Levitt and Samelson, 1993; Statzer, 1999). Di bawah konsep pengurusan, aspek keselamatan perlu diwujudkan dan diamalkan di setiap peringkat dan pada semua pihak dalam organisasi projek (Walker et al., 2001). Pengurusan keselamatan adalah berfungsi sebagai kaedah mengawal polisi keselamatan, prosedur dan praktis yang berkaitan di tapak bina (Wilson dan Koehn, 2000). Kepentingan peranan dan komitmen pihak pengurusan dalam memberi sokongan atas usaha mempraktikkan amalan keselamatan dan kesihatan dalam organisasi (di tempat kerja) perlu didokumenkan. Justeru, Cook dan McSween (2000) menyatakan pihak yang terlibat dalam organisasi seperti pengurus perlu mempunyai komitmen dan berusaha melaksanakan praktis kerja yang selamat serta membuat keputusan terhadap sebarang tindakan. Firma kontraktor juga seharusnya mempunyai pembaharuan dan perbezaan budaya korporat dalam mempelbagaikan dan membawa keluar cara lama kepada cara yang lebih baik bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja (Haupt, 2003).
Bagi pihak kerajaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merupakan satu jabatan yang diwujudkan bagi menangani segala bentuk masalah berkaitan dengan kes kemalangan yang berlaku di tempat kerja. JKKP sememangnya merupakan sebuah jabatan yang amat prihatin mengenai soal keselamatan pekerja samada dalam industri binaan maupun industri–industri lain di Malaysia. Bagi mencapai misi dan matlamat memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja sentiasa terjamin, maka JKKP telah bertanggungjawab mencapainya melalui perumusan piawai, penguatkuasaan, penggalakan dan penyediaan khidmat nasihat di samping menerima aduan ataupun laporan kemalangan yang berlaku di tempat kerja samada yang membabitkan kemalangan maut, hilang upaya sementara atau kekal (JKKP : 2002). Daripada aduan yang diterima, pihak JKKP akan mengambil atau mengenakan tindakan tegas kepada pihak yang terlibat atas kemalangan yang berlaku serta mengkaji punca kemalangan tersebut agar kejadian yang sama tidak berulang. Selaras dengan wawasan JKKP untuk “menjadi sebuah organisasi dinamik yang menerajui serta membentuk budaya kerja yang selamat dan sihat ke arah mempertingkatkan kualiti hidup semasa bekerja“, maka ia turut mengambil langkah menubuhkan sebuah institut iaitu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) yang mana bertanggungjawab mengadakan latihan atau kursus kepada pekerja dan majikan (JKKP : 2002). Hal ini supaya mereka dapat menggunakan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin bagi mencapai objektif mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja selain melahirkan pekerja yang mahir. Menurut Datuk Lee Lam Thye selaku Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), institut ini telah bersedia untuk mengurangkan kadar kemalangan pekerja di tapak bina iaitu dengan mengadakan latihan dan kursus kepada pekerja serta kakitangan pengurusan (Utusan Malaysia, 14 September 1996). Bagi meningkatkan lagi usaha mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja, maka pengemblingan tenaga bersama dengan pihak–pihak yang terlibat berkaitan dengan aspek keselamatan ini perlu dititikberatkan agar persekitaran dan budaya kerja yang selamat dapat diwujudkan. Justeru, peranan yang aktif perlu dimainkan oleh pihak klien, kontraktor utama dan konsultan dalam memperbaiki serta mempertingkatkan mutu keselamatan di tapak bina (Hinze dan Wiegand, 1992; Smallwood, 1998; Smith, 1998). Satu daripadanya adalah penekanan mengenai aspek penyediaan peralatan keselamatan oleh majikan dan pematuhan pemakaian peralatan ini oleh pekerja semasa bekerja di tapak bina. Peraturan 2, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 mendefinisi peralatan keselamatan atau kelengkapan pelindung diri iaitu :
“kelengkapan pelindung diri” ertinya apa-apa kelengkapan yang dimaksudkan untuk dipakai atau dipegang oleh seseorang yang sedang bekerja dan yang melindunginya terhadap satu atau lebih risiko kepada kesihatan atau keselamatannya dan apa-apa aksesori tambahan yang direka bentuk untuk memenuhi matlamat itu.
Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan) 1970 turut menyenaraikan beberapa peralatan keselamatan yang perlu disediakan dan dipakai oleh pekerja sewaktu melakukan kerja–kerja yang berkaitan di tempat kerja. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah menekankan tentang penyediaan peralatan keselamatan oleh majikan dan pematuhan pemakaiannya oleh pekerja. Antara jenis-jenis peralatan keselamatan yang dinyatakan di dalam Peraturan 32 Peraturan–Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan ) 1970 adalah seperti berikut :
· Alat perlindungan mata dan muka seperti cermin mata keselamatan, ‘googles’ dan perisai muka serta alat perlindungan kepala (topi keselamatan);
· Alat perlindungan kulit dan badan seperti sarung tangan, apron, tali pinggang keselamatan, pakaian keselamatan am ataupun khas (pakaian kalis cuaca dan bersalut serta jaket mudah - nampak) dan kasut keselamatan;
· Alat perlindungan pernafasan (APP); dan
· Alat perlindungan pendengaran / telinga.
Di atas adalah cabutan daripada kertas kerja, Nurul Azita Binti Salleh, Mohd Nasrun Bin Mohd Nawi, Dr.Amlus Bin Ibrahim & Associate Prof. Abdul Aziz Bin Hussin. 2006. Pematuhan Majikan Terhadap Penyediaan Peralatan Keselamatan Kepada Pekerja Di tapak Bina, National Conference on Public Management, Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah, 11-13 Disember 2006, hlm. 1-15.
Perbincangan tentang keselamatan pekerja di tapak bina juga terdapat di dalam Abdul Aziz Hussin (2003) Keselamatan Pekerja di Tapak Bina. Malaysian Safety & Industry Bulletin, July-September, (1): 8-10.
Perbincangan tentang keselamatan pekerja di tapak bina juga terdapat di dalam Abdul Aziz Hussin (2003) Keselamatan Pekerja di Tapak Bina. Malaysian Safety & Industry Bulletin, July-September, (1): 8-10.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.