Feb 23, 2011

Pemuliharaan Bandar dan Prinsipnya

Pemuliharaan Bandar
Kepentingan pemuliharaan dihubungkaitkan dengan pembangunan pelancongan dan ekonomi, kerana pemuliharaan difokuskan kepada bangunan, kawasan dan kebudayaan. Pemuliharaan bandar adalah proses pengurangan kadar perubahan fizikal yang dirancang di atas bahagian atau kawasan atau penempatan yang mempunyai nilai sosial, persekitaran dan sejarah dalam tempoh masa panjang bagi memenuhi keperluan penduduk yang bersifat dinamik dan sebaliknya dalam aktiviti mereka yang berterusan (Owen, 1976). Terdapat perbezaan nyata mengenai tapak dan bandar warisan iaitu tapak hanyalah satu kawasan manakala bandar merangkumi bangunan, kawasan dan budaya. Bagi Larkham (1996), sekiranya perubahan ingin dilakukan ke atas sesebuah bandar warisan, maka pengurusan yang tersusun perlulah dilakukan bagi memastikan bandar warisan itu tidak terus pupus ditutupi pembangunan. Dinyatakan, jika anda mempunyai bangunan lama yang terbiar, jadikan ia muzium bagi menarik pelawat. Menurut Feilden (1979) pemuliharaan adalah pengurusan perubahan yang dinamik untuk mengurangkan proses kehancuran di mana warisan kebudayaan yang signifikan dan semulajadi mesti dipelihara sebagai dokumen yang sahih. Feilden (1994) menyatakan pemuliharaan adalah untuk mengekalkan dan mengembalikan kepentingan budaya sesuatu tempat termasuk aspek keselamatan struktur bangunan, penjagaan dan masa hadapannya. Walaupun kos penyelenggaraan dan pemuliharaan bangunan dilihat membebankan pemilik dan pemegang amanah, ia merupakan tanggungjawab mereka bagi memastikan bangunan tersebut diserahkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan baik. Artikel 1.4 Burra Charter 1999, “Pemuliharaan adalah segala proses yang terlibat dalam menjaga atau mengekalkan sesuatu tempat yang mempunyai kepentingan budaya.” Takrif “tempat” (Burra Charter,1999), antaranya, tapak, kawasan, tanah, lanskap, kumpulan bangunan termasuk komponen, kandungan, ruang dan kawasan sekitarnya. Mengikut AICCM (2007), pemuliharaan adalah...“Segala tindakan yang diambil ke atas bahan atau monumen bagi tujuan keselamatan di masa akan datang yang merangkumi kajian, rekod, aktiviti pengekalan dan pemuliharaan. Ia melibatkan kerja serta kemahiran yang memerlukan pemahaman dan pengetahuan terhadap bahan, pembinaan dan keadaan persekitaran termasuk bangunan dalam memastikan bahawa monumen berada dalam keadaan baik.”
Prinsip Pemuliharaan  Bandar
Prinsip dan polisi am pemuliharaan bertujuan mencapai objektif pemuliharaan bandar, iaitu berasaskan: (a) Kepekaan dan penghormatan kepada komponen struktur dan fabrik yang wujud, harus melibatkan gangguan yang minimum. Ia tidak seharusnya mengubah, mempengaruhi atau menghapuskan bukti yang ditunjukkan oleh fabrik tersebut, (b) Yang bersesuaian bagi sesuatu tempat mestilah dikenalpasti dengan pemahaman kepentingan kebudayaan dan keadaan fizikalnya, (c) Penentuan jenis kegunaan yang bersesuaian sesuatu tempat, (d) Penjagaan terhadap latarbelakang visual yang bersesuaian-- bentuk, skala ,warna, tekstur dan bahan binaan. Tiada sebarang pembinaan baru, perobohan atau pengubahsuaian yang akan memberi kesan negatif terhadap latar belakang visual tersebut dibenarkan. Ganggunan persekitaran yang memberi kesan negatif haruslah diabaikan, dan (e) Menekankan pemuliharaan rupa bandar seperti yang terbentuk daripada lot dan jalan, perkaitan bangunan dan kawasan hijau/lapang, pandangan yang formal, dalam dan luar bangunan, dan perkaitan antara bandar atau kawasan bandar dengan persekitaran semulajadi atau buatan manusia.

Di atas adalah cabutan daripada kertas seminar, Mohd. Nadzri Ariffin & Abdul Aziz Hussin. 2007. Aspek pelaksanaan program pemuliharaan Taiping Bandar Warisan oleh Majlis Perbandaran Taiping, Seminar on Malaysian City Outlook. 28-29 November. Lumut, Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.