Feb 20, 2011

Ganti Rugi Yang Ditetapkan

APAKAH GANTI RUGI YANG DITETAPKAN?

Secara amnya, gantirugi yang ditetapkan adalah salah satu cabang kecil gantirugi (yakni bayaran dalam bentuk kewangan yang diaward oleh Mahkamah dalam sesuatu tuntutan sivil bagi perbuatan salah leh defendan kepada plaintif1, yang biasanya dalam tort, kontrak dan lain-lain2). Gantirugi yang ditetapkan adalah amaun yang telah ditetapkan, yang dinyatakan dalam nilai ringgit dan sen, dalam perjanjian yang akan diterima oleh orang yang menderita akibat perbuatan engkar daripada pihak yang satu lagi. Amaun itu pula adalah berbentuk anggaran terdahulu yang sebenar bagi gantirugi bagi apa-apa kerugian yang akan dialami kelak, dimana amaun itu dinyatakan didalam perjanjian yang pihak-pihak itu buat (tandatangan)3. Major, W.T4 menambah bahawa amaun yang dinyatakan itu hendaklah dibayar apabila berlaku pelanggaran syarat perjanjian. Bayaran itu ialah oleh pihak yang melanggar kepada pihak yang satu lagi.
          
Takrif “gantirugi yang ditetapkan” juga, secara tidak langsung ada diberikan oleh seksyen 75 Akta Kontrak 1950, iaitu seperti berikut:
          “Suatu jumlah yang mesti dibayar jika berlaku pemecahan janji jika suatu jumlah telah disebutkan dalam kontrak itu sebagai jumlah yang mesti dibayar”.
        Secara mudah, menurut O’Reilly, M5 gantirugi yang ditetapkan bermaksud sejumlah wang yang dipersetujui dalam kontrak yang perlu dibayar apabila berlaku pelanggaran kontrak oleh pihak yang menandatangani kontrak itu (yakni oleh pihak yang melanggar kontrak).
      
Misalan (b) kepada seksyen 75 Akta Kontrak 1950 juga menerangkan mengenai gantirugi yang ditetapkan. Misalan (b) adalah seperti berikut:
(b)   A. berkontrak dengan B. bahawa jika A. mengambil sebagai jurubedah dalam kawasan Calcutta, dia akan membayar $5,000 kepada B. A. beramal sebagai jurubedah di Calcutta. B. berhak mendapat pampas an sejumlah yang tidak melebihi $5,000.00 sebagaimana Mahkamah menganggapnya munasabah.


1        Saunders, J.B. 1977. Mozley & Whiteley’s Law Dictionary. London: Butterworths & Co. (Publishers) Ltd.
2        Untuk bacaan lanjut bagi gantirugi di bawah kontrak, lihat Guest, A.G. 1975. Anson’s Law of Contract. Oxford: ELBS & Oxford University Press. m.s. 531-557; Major, W.T. 1978. The Law of Contract. Edisi Kelima. Plymouth: Macdonal & Evans Ltd. m.s. 206-218; Uff, J. 1985. Construction Law. Edisi Keempat. London: Sweet & Maxwell Limited. M.s. 85-88; Sinnadurai V. 1979. The Law of Contract in Malaysia and Singapore. Kuala Lumpur: Oxford  University Press. m.s. 639-714. Untuk gantirugi dibawah tort, lihat Abdul Aziz Hussin & Abdul Rashid Ab. Aziz. 2000. Aspek Undang-Undang Tort Dalam Projek Pembinaan. P.Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. m.s. 46; Heuston, R.F.V. 1977. Salmond on the Law of Torts. Edisi Ketujuhbelas. London: Sweet & Maxwell Ltd. m.s. 530-557.
3        Hakim Ab. Aziz dalam kes Wearne Brothers (M) Ltd. lwn. Jackson [1966]2 MLJ.155. Lihat juga kes Lowe lwn. Preers [1558-1774] All E.R. Rep. 364; (1768) 4 Burr 2225 dimana hakim Lord Mansfield menyatakan bahawa apabila jumlah yang tepat telah ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak-pihak, maka jumlah itu adalah gantirugi yang ditetapkan. Di  Malaysia tidak dibezakan diantara penalti dan gantirugi yang ditetapkan.
4        Op. cit. Nota kaki 2. di m.s 216
5        O’Reilly, M. 1999, Civil Construction Contract. Edisi Kedua. London: Thomas Telford Publishing Ltd. m.s. 85


Catatan di atas adalah sebahagian daripada perbincanagn di dalam Bab 10 buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2004. Aspek Undang-undang Dalam Pengurusan Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 96-97. Harga RM36 (sebelum diskaun).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.