Feb 17, 2011

Fasal "FORCE MAJEURE"

PENDAHULUAN

Di dalam perjanjian-perjanjian kontrak kerja-kerja pembinaan, terutamanya sebahagian besar yang berformat seragam, terdapat satu fasal yang menyentuh mengenai force majeure. Malangnya rangkap force majeure di dalam perjanjian-perjanjian tersebut tidak disertakan huraian lanjut mengenai force majeure. Ini menjadikan fasal (atau sub-fasal) berkenaan suatu yang asing bagi kebanyakan pihak yang terlibat dalam industri pembinaan, termasuklah klien sendiri, kontraktor, subkontraktor dan ahli-ahli profesional projek pembinaan (terutamanya arkitek, jurutera dan juruukur bahan).

Kertas ini khusus membincangkan mengenai force majeure, terutama daripada aspek takrif, contoh, skop pemakaiannya dan kesan fasal force majeure ini kepada pihak-pihak berkenaan.

APAKAH FORCE MAJEURE?

Seperti yang dinyatakan oleh Turner, D.F.1 perkataan force majeure bukanlah ungkapan asli undang-undang Inggeris. Menurut Powell - Smith, V. & Sim, J2 force majeure adalah terma dalam undang-undang Perancis.

Menurut Mozley & Whiteley’s Law Dictionary,3 ungkapan force majeure bermaksud “tekanan atau desakan yang tidak dapat dilawan”.

Seterusnya, Turner, D.F.4 dan penulis-penulis Powell - Smith, V. & Sims, J.5 bersependapat bahawa makna force majeure tidaklah jitu tetapi jelas ianya telah luas daripada skop terma cammon law “Takdir ilahi”. Ianya merujuk kepada perkara-perkara terkecuali yang diluar kawalan mana-mana pihak.

Dengan kata lain ianya merujuk kepada sesuatu kejadian luar biasa yang sangat besar. Contoh yang diberi ialah seperti mana yang berlaku didalam kes Oakley lwn. Portsmouth & Ryde Steam Packet Co.6

Jika kita merujuk Speaight, A & Stone, G.7 ada dinyatakan bahawa makna terma force majeure adalah sukar untuk dinyatakan dengan tepat, tetapi secara umumnya perkataan tersebut merangkumi keadaan-keadaan khas yang agak diluar kawalan kontraktor dan tidak diperuntukkan dimana-mana lagi didalam kontrak. Dengan demikian campurtangan kerajaan, kesan wabak penyakit adalah merupakan contoh kejadian yang kemungkinan besar termasuk didalam fasal force majeure.8

Perbincangan khusus mengenai contoh force majeure akan dibuat selepas ini.

CONTOH FASAL FORCE MAJEURE

Jika kita merujuk kepada Borang Seragam Kontrak Bangunan JCT Edisi 19809, perkara force majeure terdapat didalam fasal 25.4.1, iaitu seperti berikut:

“25.4 Berikut adalah Kejadian-kejadian Relevan yang dirujuk di dalam fasal   2510 :
                      25.4.1. force majeure”.

Dibawah borang seragam JKR 203 pula, peruntukan berkaitan force majeure terdapat didalam fasal 43, iaitu seperti berikut:

            “43. Kelambatan Dan Lanjutan Masa
            Apabila didapati dengan munasabahnya jelas bahawa kemajuan Kerja terlambat. Kontraktor hendaklah dengan serta-merta memberi notis bertulis menyatakan sebab-sebab kelambatan kepada P.P. dan jika pada pendapat P.P. penyiapan Kerja itu mungkin dilambatkan atau telah terlambat melebihi Tarikh Siap yang dinyatakan dalam Lampiran atau melebihi mana-mana Tarikh Siap Lanjutan yang ditetapkan dahulunya di bawah Syarat ini:
(a)         oleh kerana force majeure, atau
(b)         oleh sebab apa-apa keburukan cuaca yang luar biasa, atau
(c)-(f) (ditinggalkan) 
maka P.P. hendaklah, sebaik sahaja dia dapat menganggarkan beberapa lama kelambatan itu melewati tarikh atau masa yang tersebut itu, memberi secara bertulis suatu lanjutan masa yang adil dan berpatutan untuk menyiapkan Kerja, dengan syarat sentiasanya bahawa Kontraktor hendaklah sentiasa berusaha sedaya-upayanya untuk mengelakkan kelambatan dan hendaklah membuat apa-apa sahaja yang dikehendaki dengan munasabahnya sehingga memuaskan hati P.P. untuk meneruskan Kerja. Perakuan yang dikeluarkan oleh P.P. di bawah Syarat ini hendaklah disebut “Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa”.

Bagi borang seragam CIDB 2000 pula peruntukan mengenai force majeure terdapat dalam fasal 24.1, iaitu seperti berikut:

“24.1 Lanjut masa

Dengan syarat bahawa Kontraktor telah melaksanakan Kerja-Kerja atau mana-mana bahagian Kerja dengan ketekunan sewajarnya dan telah mengambil segala langkah-langkah munasabah untuk mengelak atau mengurangkan kelewatan berkenaan, Tempoh Penyiapan bagi Kerja-Kerja atau mana-mana bahagian Kerja-Kerja boleh dilanjutkan oleh Pegawai Penguasa untuk suatu tempoh lebih lama atau tempoh-tempoh masa yang munasabah yang menggambarkan kelewatan dalam penyiapan Kerja atau mana-mana bahagian Kerja yang telah atau disebabkan oleh mana-mana satu kejadian atau lebih yang berikut:
(a)         Force Majeure;
(b)-(g)(Ditinggalkan)
Dengan syarat senantiasa bahawa Kontraktor tidaklah berhak kepada sebarang lanjut masa dimana arahan, atau perbuatan Majikan atau Pegawai Penguasa adalah diperlukan atau bertujuan membetulkan mana-mana kesalahan atau pelanggaran kontrak oleh Kontraktor”.

Borang seragam PAM 1998 pula memperuntukkan mengenai force majeure dibawah fasal 23.7, iaitu seperti berikut:

“23.7 Kejadian-Kejadian Relevan yang menyebabkan Kelewatan Dimana Lanjut Masa Boleh Diberi.
Kejadian-kejadian relevan yang menyebabkan kelewatan dimana Kontraktor boleh diberi lanjut masa yang adil dan munasabah adalah:
27.3 (i)      force majeure
(ii)      cuaca buruk yang luar biasa;
(iii)-(v)(Ditinggalkan)    


SKOP FORCE MAJEURE

Beberapa pengkaji telah merujuk fasal 25.4.1 borang JCT11 untuk melihat skop force majeure didalam fasal berkenaan: Murdoch, J. dan Hughes, W12 memberi contoh iaitu jika Akta Kawasan-Kawasan Bahan Purba dan Tugu-Tugu Lama 1979 (UK)13 digunakan pada sesuatu tapak pembinaan (yakni bahan-bahan purba misalnya, ditemui dan kerja diberhentikan menggunakan peruntukan Akta tersebut) maka kerja yang terhenti akibat penguatkuasaan Akta tersebut merupakan satu contoh force majeure. Kedudukan yang sama juga terpakai di Malaysia.

Dibawah Akta Benda Purba 1976, apabila seseorang (misalnya kontraktor kerja penggalian tapak pembinaan) menemui benda-benda yang termasuk dibawah Akta (misalnya benda-benda purba atau tugu-tugu lama) maka dia  mesti memaklumkan segera kepada Pejabat Daerah (dan biasanya kerja-kerja tanah berkenaan akan dikehendaki diberhentikan dahulu atas pematuhan undang-undang ini)14.

Penulis-penulis Powell – Smith, V. dan Sims, J.15 semasa membincangkan berkenaan force majeure dibawah fasal 25.4.1 borang JCT 1989 menyatakan bahawa terma force majeure mempunyai makna yang terhad. Ini kerana banyak perkara seperti perang, rusuhan, kebakaran dan cuaca buruk luar biasa ada disebutkan dengan nyata dalam fasal-fasal-fasal lain dalam borang JCT itu.

Situasi yang sama terpakai kepada pihak-pihak yang menggunakan borang CIDB 2000,16 JKR 20317 dan PAM 1998.18

Berdasarkan skopnya yang sebegitu maka mengikut Powell – Smith, V. dan Sims, J.19 bahawa fasal 25.4.1 borang JCT 1980 (iaitu mengenai skop terma force majeure) adalah terhad kesannya. Begitu jugalah skop force majeure bagi borang-borang seragam JKR 203, PAM 1998 dan CIDB 2000.


CONTOH-CONTOH PEMAKAIAN

Skop force majeure itu dapat dibincangkan lanjut dengan melihat contoh-contoh dimana fasal force majeure telah digunakan. Berikut ini dibincangkan contoh-contoh dimana fasal force majeure telah digunakan.

Dalam kes Berney lwn. Tronoh Mines Ltd.20, kontrak perkhidmatan plaintif telah terkecewa kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Hakim Evans21 memutuskan bahawa kontrak itu telah terkecewa pelaksanaannya atas alasan tersebut, dan dengan itu tidak berlaku pelanggaran kontrak oleh defendan.

Dalam kes Lebeaupin lwn. Crispin & Co.22, hakim McCardie ada menyebut,

“Terma ini23, digunakan dengan merujuk kepada semua keadaan yang diluar daripada kehendak manusia, dan ianya tidaklah berada dalam kuasa kawalannya… Dengan itu peperangan, banjir dan wabak penyakit adalah kes-kes force majeure … [tetapi] sesuatu fasal force majeure yang hendak ditafsirkan dalam setiap kes perlulah dilihat dan diteliti perkataan-perkataan yang diguna sebelum atau selepas perkataan [force majeure] itu dan dengan mengambilkira juga bentuk dan terma-terma umum kontrak. Kesan fasal itu boleh berbeza daripada satu-satu suratcara”.

Beliau juga menambah bahawa contoh force majeure lain ialah seperti campur tangan terus dalam hal perundangan dan pentadbiran. Begitu juga sekatan perdagangan adalah merupakan force majeure.

Dalam kes Matsoukis lwn. Priestman & Co.24, musnahnya perniagaan disebabkan oleh mogok umum pekerja seluruh negara telah dikatakan oleh mahkamah adalah termasuk dalam terma force majeure. Begitu juga kerosakan mesyin boleh juga termasuk dalam terma force majeure. Hakim Bailhache dalam kes tersebut juga memutuskan bahawa force majeure tidak termasuk kelewatan akibat cuaca buruk, perlawanan bola sepak atau upacara pengkebumian, kerana,

            “ini adalah kejadian-kejadian yang biasa berlaku yang mengganggu kerja, dan defendan dalam membuat kontrak pastinya telah pun mengambilkira hal ini”.

Dalam kes Tennants (Lancashire) Ltd. lwn. C.S. Wilson & Co. Ltd.,25 mahkamah mengiktiraf syarat dalam satu kontrak yang memperuntukkan bahawa, “penghantaran barang boleh digantung jika terjadi sebarang kontingensi yang diluar kawalan penjual atau pembeli (seperti … perang …) yang menyebabkan kekurangan buruh, bahan api, bahan mentah, bahan pengilangan, atau selainnya yang menghalang atau menggangu pembuatan atau penghantaran bahan”, sebagai fasal force majeure.

Sebagai kesimpulan, penulis-penulis Powell – Smith, V.E dan Sims, J. menyatakan bahawa, yang dapat dikatakan ialah kejadian yang berlaku untuk disandarkan sebagai force majeure hendaklah yang menjadikan pelaksanaan kontrak itu seluruhnya menjadi tidak mungkin, dan dalam hal ini, terma force majeure ini nampaknya sama seperti dotrin undang-undang Inggeris iaitu kekecewaan kontrak. Perbincangan mengenai perkara ini akan penulis panjangkan selepas ini.

Dengan merujuk kes Hong Guan & Co. Ltd. lwn. R. Jumobhoy & Sons Ltd.26, Sinnadurai, V.27 menyatakan bahawa dalam kontrak yang terdapat fasal force majeure, mahkamah akan melihat kepada pembentukan fasal itu untuk menentukan samaada fasal itu adalah cukup luas untuk meliputi perkara-perkara kontingensi.

KESAN KEPADA PIHAK-PIHAK

Adalah jelas, seperti apa yang telah dibincangkan sebelum ini, fasal force majeure ini memberi kesan besar daripada aspek pemakaiannya kepada pihak-pihak yang terlibat didalam perjanjian berkenaan. Dengan itu bentuk dan erti skop force majeure yang terpakai bagi setiap perjanjian itu perlulah dikaji. Seperti dinyatakan oleh Sinnadurai, V.28 bahawa oleh kerana fasal force majeure ini boleh diderafkan dalam pelbagai cara berlainan maka ia menjadi pelbagai bentuk. Fasal-fasal itu perlulah ditafsirkan dalam erti kata yang tepat perkataan itu diguna dan dengan mengambilkira bentuk dan terma-terma umum kontrak tersebut29.

Contohnya dalam kes C.Czarnikaw Ltd. lwn. Centralla Handlu Zagranicznego Rolimper30, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa defendan, berdasarkan keadaan kes, boleh bersandarkan kepada fasal force majeure yang memperuntukkan bahawa jika penghantaran adalah terhalang, antaranya kerana “campurtangan kerajaan ……. diluar kuasa kawalan penjual”, maka kontrak itu batal tanpa penalti.

Simon M.S.31 pula menyatakan bahawa sebahagian kelewatan, yang biasanya dirujuk sebagai kelewatan yang dimaafkan, adalah membolehkan lanjutan masa diberi tanpa sebarang pampasan [gantirugi] tambahan. Lanjutan akibat kelewatan yang dimaafkan biasanya ditemui didalam fasal force majeure32.

Abrahamson, M.W.33 menyatakan bahawa fasal force majeure membawa kesan dimana kontraktor akan terlepas (dibebaskan) daripada liabiliti akibat kelewatan misalnya kerana rusuhan dan lain-lain, dan lain-lain sebab yang diluar kawalannya.

Dalam kes Hong Guan & Co. Ltd. lwn. R. Jumobhoy & Sons Ltd.34 hakim Lord Moris of Borth-Y-Gest menyatakan,

            “Setakat fasal itu mengenai force majeure nampaknya ia diwujudkan untuk melindungi responden35 daripada liabiliti dalam keadaan dimana mereka dihalang daripada melaksanakan kontrak oleh keadaan-keadaan yang diluar dariapda kawalan mereka”.

Fasal force marjeure juga boleh diguna oleh subkontraktor36. Contohnya force majeure yang dialami oleh subkontraktor yang menyebabkan kelewatan projek dan ini membolehkan subkontraktor (dan juga kontraktor) mendapat lanjut masa akibat kelewatan itu37.
Perlulah juga dinyatakan bahawa beban membuktikan wujud force majeure adalah ditangan kontraktor (atau subkontraktor) yang ingin memohon lanjut masa38.

Selain daripada itu, kesan berkaitan force majeure juga dinyatakan didalam seksyen 57(2) Akta Kontrak 1950, dimana dinyatakan kontrak untuk melakukan sesuatu perbuatan yang kemudiannya menjadi mustahil atau tidak dapat dicegah (yakni diluar kawalan) maka kontrak itu menjadi mustahil atau taksah. Seksyen 57(2) Akta Kontrak 1950 dan misalan-misalan (b)(d) dan (e) (yang relevan dengan force majeure) adalah seperti berikut:

57(2) Suatu kontrak untuk melakukan suatu perbuatan yang, selepas kontrak itu dibuat, menjadi mustahil, atau oleh sebab suatu kejadian yang pembuat-janji itu tidak dapat mencegah, menjadi taksah, maka kontrak itu menjadi mustahil atau taksah.
            Misalan-misalan:    
(b)    A. dan B. berkontrak untuk berkahwin. Sebelum masa yang ditetapkan untuk perkahwinan itu, A. menjadi gila. Kontrak itu menjadi batal.
(d)    A. berkontrak untuk membawa masuk barang muatan kesuatu pelabuhan asing untuk B. Kerajaan negeri A. kemudiannya mengistiharkan peperangan terhadap negeri dimana pelabuhan itu terletak. Kontrak itu menjadi batal apabila peperangan diistiharkan.
(e)    A. berkontrak untuk berlakun disebuah panggung selama enam bulan sebagai balasan kepada suatu bayaran yang dibuat terlebih dahulu oleh B. Buat beberapa kali, A. terlampau uzur untuk berlakun. Kontrak untuk berlakun pada beberapa kali itu menjadi batal.

Kesan lanjut berkaitan force majeure ada juga diperuntukkan dibawah seksyen 66 Akta Kontrak 1950. Seksyen 66 dan misalan-misalan (a) dan (d) (yakni yang relevan dengan force majeure) adalah seperti berikut:

66.    Bila suatu perjanjian itu didapati batal, atau bila suatu kontrak menjadi batal, sesiapa juga yang telah menerima sebarang faedah daripada perjanjian atau kontrak sedemikian, adalah terikat untuk memulangkannya, atau memberi pampasan untuknya, kepada orang dari siapa ia menerima faedah itu.
Misalan-misalan:
(a)    A. membayar kepada B. RM1,000 sebagai balasan kepada janji B. untuk berkahwin dengan C., anak perempuan A.  C. telah meninggal dunia semasa perjanjian itu dibuat. Perjanjian itu adalah batal, tetapi B. mestilah membayar balik RM1,000 itu kepada A.
(c)         A. berkontrak dengan B. untuk menyanyi di suatu sandiwara dengan upahan RM1,000 yang dibayar terlebih dahulu. A. terlampau uzur untuk menyanyi. A. tidak terikat untuk membayar pampasan untuk hilang keuntungan yang mungkin didapati oleh B. sekiranya A. boleh menyanyi, tetapi dia mestilah membayar balik kepada B. RM1,000 yang dibayar terlebih dahulu itu.

Oleh kerana peruntukan seksyen 66 itu adalah jelas, dan dipenjelaskan lagi oleh misalan-misalan (a) dan (b) maka penulis tidak bercadang menghuraikannya lagi disini.

PENUTUP

Daripada perbincangan didalam bab ini, adalah jelas bahawa fasal force majeure, walaupun dinyatakan secara amat ringkas didalam perjanjian (dan tidak pula disertakan dengan huraian), namun ianya amat besar implikasinya (jika berlaku keadaan atau kejadian yang tergolong kedalam force majeure) kepada pihak-pihak. Ia juga amat bermenafaat kepada kontraktor (dan dipanjangkan kepada kontraktor) untuk mendapat lanjut masa tanpa dikenakan penalti (gantirugi), dan disamping itu bagi penamatan kontrak tanpa mempersalahkan mana-mana pihak.

Walau bagaimana pun, pemakaian dan skop penggunaannya perlulah diteliti agar ianya menepati maksud fasal tersebut diwujudkan.



1           Turner, D.F. 1987. Building Contracts – A Practical Guide. Edisi Keempat Essex: Logman Scientific & Technical. m.s 59.
2           Powell - Smith, V. & Sims, J. 1988. Building Contract Claims. Edisi Kedua, Oxford: BSP Professional Books. m.s. 65.
3           Saunders, J.B. 1977. Mozley & Whiteley’s Law Dictionary. Edisi Kesembilan. London: Butterworths & Co. (Publishers) Ltd.
4           Op. cit. Nota kaki 1.
5           Op. Cit. Nota kaki 2.
6           (1856) T.1 Exchequer Reports 6.1.F.
7           Speaight, A. & Stone, G. 1990. Architects. Edisi Kelima, London: Butterworth – Heinemann Ltd. m.s. 77.
8           Ibid.
9           Joint Contracts Tribunal (JCT) 1980 United Kingdom.
10         Fasal 25 JCT 1980 adalah mengenai lanjut masa, dimana Arkitek boleh melanjut masa jika berlaku Kejadian-Kejadian Relevan.
11         Op. cit. Nota kaki 8.
12         Murdoch, J. & Hughes, W. 1992. Construction Contracts – Law and Management. London: E. & FN Spon. m.s. 158.
13         Ancient Manuments and Archeological Areas Act 1979 (UK).
14         Lagi pun, di bawah fasal 10 borang CIDB 2000, fasal 4.0 borang PAM 1998 dan fasal 11 borang JKR 203, kontrak diwaadkan mematuhi semua obligasi-obligasi statutori.
15         Op. cit. Nota kaki 2. m.s. 65.
16         Misalnya fasal 43 (b) mengenai cuaca buruk luar biasa dan fasal 52 mengenai perang dan gempa bumi.
17         Misalnya fasal 43 (b) mengenai cuaca buruk luar biasa dan fasal 52 mengenai perang dan gempa bumi.
18         Misalnya fasal 23.7 (ii) mengenai cuaca buruk luar biasa, fasal 23.7 (iv) mengenai mogok dan lain-lain, fasal 31.0 mengenai permusuhan dan fasal 32.0 mengenai peperangan.
19         Op. cit. Nota kaki 2. m.s. 66.
20         [1949] MLJ4
21         Beliau telah merujuk kes Denny, Mott & Dickson Ltd. lwn. James B. Fraser & Co. Ltd. [1944] A.C. 265 dan kes Hirji Mulji lwn. Cheong Yue Steam-Ship Co. Ltd. (1926) A.C. 497.
22         [1920]2 K.B. 714
23         Yakni terma force majeure
24         [1915]1 K.B 681
25         [1917] A.C. 495
26         [1960] M.L.J. 141
27         Sinnadurai, V. 1979. The Law of Contract in Malaysia and Singapore: Cases and Commentary. Kuala Lumpur: Oxford University Press. m.s. 489.
28         Ibid. m.s. 519. Beliau merujuk keputusan kes Lebeaupin lwn. R. Crispin & Co. [1920] 2 K.B. 714 dan kes Matsoukis lwn. Priestman & Co. [1915]1 K.B. 681.
29         Ibid.
30         [1977]3 W.L.R. 677
31         Simon, M.S. 1989. Contruction Claims and Liability. New Jersey: John Wiley & Sons. Inc. m.s. 280.
32         Ibid.
33         Abrahamson, M.W. 1979. Engineering Law and The I.C.E. Contracts. Edisi Keempat. Essex: Applied Science Publishers Ltd. m.s. 371.
34         [1970] M.L.J. 141. Kes Mahkamah Majlis Privy.
35         Yakni pembekal, dalam kes tersebut.
36         Dalam perjanjian subkontrak dimana fasal force majeure ada diwujudkan.
37         Powell – Smith, V. & Sims, J. Op. cit. Nota kaki 2. m.s. 254.
38         Ibid. m.s. 254.


Artikel di atas adalah juga merupakan salah satu Bab di dalam buku, ABDUL AZIZ HUSSIN. 2004. Aspek Undang-undang Dalam Pengurusan Projek Pembinaan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 105-113. Harga RM36 (sebelum diskaun). Buku tersebut boleh diperolehi di Kedai Buku Koperasi Universiti Sains Malaysia, penerbit USM, atau terus daripada penulis (seperti di alamat di sebelah kanan).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.